Konflik Mesir – Jangan Sampai Terperosok Untuk Kali Kedua

Setelah bermacam kejadian dan tragedi buruk yang menimpa rakyat Mesir, khususnya dengan meningkatnya angka kematian angkara revolusi baru-baru ini, kini Presiden sementara Mesir, Adly Mansour berikrar akan mengadakan pilihan raya Parlimen yang baharu menjelang awal tahun depan. Pengumuman itu juga dilakukan selepas 51 orang yang kebanyakannya para penyokong Mohammed Mursi dibunuh di luar ibu pejabat tentera beberapa hari yang lalu.

Bukankah apa yang telah terjadi saat ini seharusnya memberi pengajaran dan iktibar yang sangat besar kepada kita semua khususnya rakyat Mesir bahawa apa yang bakal ditempuh oleh mereka melalui pilihanraya yang serupa akan menghasilkan natijah buruk yang sama sepertimana sekarang? Mengapakah umat masih lagi boleh bergantung harap dengan sistem yang buruk lagi busuk yang menghina diri mereka selama ini?

Dalam pada itu, Adly juga telah mengeluarkan satu dekri yang menetapkan jadual untuk mengadakan pungutan suara ke atas penggubalan Perlembagaan dan kemudiannya pilihan raya umum, yang mana ini dengan jelasnya akan mengulangi  senario yang sama ke atas bumi Mesir tersebut. Kegagalan revolusi yang lalu seharusnya menjadi renungan kepada kita semua bahawa satu-satunya jalan untuk mengembalikan kemuliaan umat ini hanyalah dengan mengubah ideologi dan sistem negeri Mesir itu sendiri yang sekarang ini masih lagi mengekalkan perlembagaan sekular. Ia wajib untuk ditukarkan sepenuhnya kepada ideologi Islam dan sistem Khilafah Islamiyyah.

Umat Islam tidak sepatutnya melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua sepertimana sabda Nabi SAW:
 

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « لاَ يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ ». متفق عليه
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Nabi SAW bersabda, “Tidak sepatutnya seorang Mukmin itu terperosok ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali”. (Muttafaqun ‘alaih).

Melalui perubahan kepada penerapan ideologi dan sistem Islam sahajalah yang yang akan menjamin kestabilan dan kesejahteraan bagi seluruh umat Islam, baik di Mesir mahupun di seluruh dunia. Ini adalah kerana Daulah Khilafah adalah sebuah negara yang akan mempersatukan umat Islam di seluruh dunia tanpa sebarang sempadan batas negara nasionalisme sepertimana yang berlaku pada saat ini. Ikatan antara sesama Muslim termasuklah institusi tentera adalah ikatan akidah semata-mata. Mereka dilarang sama sekali untuk menyakiti, apatah lagi membunuh sesama Muslim tanpa hak. Semoga kesedaran dalam diri kaum Muslimin khususnya para pemegang kekuasaan di seluruh belahan bumi umat Islam khususnya di bumi Mesir tumbuh dan subur sepertimana yang terjadi kepada para pejuang Islam di Syria saat ini. Ya Allah, berikanlah kemenangan kepada umat Islam ini dengan tertegaknya Daulah Khilafah Islamiyyah.

Sumber: Utusan Malaysia 09/07/13