SN648 – Serangan Iran ke atas Israel Adalah Mengikut Perancangan Amerika

Bil: SN648 (PDF/Print) – 20 Shawwal 1445 / 29 April 2024

Serangan Iran ke atas Israel pada malam 13 April yang lepas telah menggemparkan seluruh dunia. Sebahagian umat Islam merasakan tindakan Iran perlu disokong sebagai balasan terhadap kezaliman dan kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin. Pada masa yang sama, perbincangan samada peperangan lebih besar akan berlaku di Timur Tengah telah mengambil tempat di banyak platform diskusi. Sebahagian lain umat Islam pula masih meragui objektif sebenar serangan Iran ke atas entiti haram Yahudi kerana serangan tersebut segera dihentikan dengan alasan balasan setimpal ke atas entiti tersebut telah dicapai. Apakah motif sebenar di sebalik serangan tersebut? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita telusuri beberapa fakta berkaitan:

          Beberapa fakta sebelum dan selepas serangan Iran ke atas entiti haram Yahudi pada 13 April 2024:

  1. Penangguhan bantuan ketenteraan di Ukraine sejak enam bulan lepas akan menyebabkan kekalahan Ukraine berlaku dengan lebih cepat. Rusia sedang memperoleh momentum dalam perangnya terhadap Ukraine. (https://www.theguardian.com/world/2024/feb/26/putin-ukraine-aid-jake-sullivan : Putin ‘gains every day’ Congress fails to send Ukraine aid, top Biden official says)
  2. Rang Undang-Undang pakej bantuan sebanyak USD 95 bilion untuk Ukraine, entiti haram Yahudi, Taiwan dan sekutu-sekutu yang lain dihalang dari diluluskan Kongres AS oleh pihak parti Republikan sejak Februari lepas. Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson yang merupakan sekutu Trump mengatakan Kongres tidak perlu tergesa-gesa meluluskan bantuan ke Ukraine. (GOP Speaker Johnson says House won’t be ‘rushed’ to approve aid for Ukraine as $95B package stalls -https://apnews.com/article/house-speaker-johnson-ukraine-aid-06889e166a5417d5b4bc7795813e37ef)
  3. Serangan ke atas Kedutaan Iran di Damascus, Syria berlaku pada 1 April 2024. AS menolak terlibat dengan serangan tersebut, tetapi pihak Iran mengetahui bahawa serangan ke atas kedutaannya dilakukan oleh entiti haram Yahudi atas keizinan AS. (Iran’s foreign minister accuses US of giving Israel ‘green light’ to attack consulate in Syria – https://apnews.com/article/syria-iran-israel-hezbollah-lebanon-consulate-amirabdollahian-68c7a652c5434d80fbff47e0ddbdd483)
  4. Selepas serangan ke atas Kedutaan Iran, AS mengumumkan Iran akan menyerang entiti haram Yahudi. AS juga mengetahui bentuk serangan Iran dan sejauh mana serangan itu akan berlaku. (US expects Iran to carry out direct attack on Israel, sources say, as Biden warns ‘don’t’ – https://edition.cnn.com/2024/04/12/politics/white-house-iran-threat-israel/index.html)
  5. Sumber daripada Reuters dan Nikkei menyatakan terdapat koordinasi antara pihak AS dan Iran melalui perantaraan pihak Switzerland sebelum dan sesudah serangan Iran ke atas entiti haram Yahudi. (https://asia.nikkei.com/Spotlight/Iran-tensions/U.S.-denies-Iran-gave-72-hours-notice-of-attack-on-Israel)
  6. Sejurus selepas serangan Iran ke atas entiti haram Yahudi, Biden menelefon Netanyahu dan mengarahkan agar entiti tersebut tidak menyerang balas. Netanyahu disaran agar berjiwa besar dan menganggap entiti haram Yahudi telah menang. Biden menegaskan lagi, sekiranya Netanyahu masih berkeras mahu menyerang balas Iran, maka AS tidak akan bersamanya. (‘You got a win, take the win’ Joe Biden tells Netanyahu – https://www.telegraph.co.uk/world-news/2024/04/14/biden-tells-netanyahu-us-will-not-support-a-strike-on-iran/)
  7. Pihak tentera entiti haram Yahudi mengatakan 99% serangan Iran berjaya dipatahkan oleh sistem pertahanannya. (Hagari: ‘99% of Iranian aerial threats were shot down’-https://www.jpost.com/israel-hamas-war/article-796882)
  8. Pihak tentera AS mengeluarkan kenyataan membantah kenyataan pihak tentera entiti haram Yahudi dengan mengatakan majoriti serangan peluru berpandu dan dron Iran dipintas oleh AS dan sebahagian kecil dipintas oleh UK, Perancis dan Jordan. Hampir kesemua pintasan peluru berpandu dilakukan di luar ruang udara entiti haram Yahudi. (U.S., NOT ISRAEL, SHOT DOWN MOST IRAN DRONES AND MISSILES – https://theintercept.com/2024/04/15/iran-attack-israel-drones-missiles/)
  9. Iran mengatakan serangan Operation True Promise sudah tamat kerana telah mencapai objektifnya. Padahal serangan itu tidak memberi sebarang impak kepada entiti haram Yahudi dan tiada langsung sebarang kematian di pihak tenteranya. (https://english.almayadeen.net/news/politics/irgc-chief–strike-on–israel–more-successful-than-expected)
  10. Keesokan hari selepas serangan, Biden menekan Speaker Mike Johnson agar mengadakan undi pakej bantuan tersebut kerana entiti haram Yahudi memerlukan bantuan ketenteraan dengan segera. (‘The speaker has to move quickly’: White House urges Mike Johnson to pass aid for Ukraine and Israel – as it happened – https://www.theguardian.com/us-news/live/2024/apr/15/biden-trump-primary-politics-live)
  11. Mike Johnson mahu memecahkan pakej bantuan tu menjadi pakej bantuan entiti haram Yahudi, pakej bantuan Ukraine dan pakej Taiwan. Setiap pakej bantuan tersebut perlu diundi oleh Kongres satu demi satu. Namun, pelan Speaker itu ditolak oleh Biden. Biden mahu pakej itu diundi secara utuh tanpa dipecah-pecahkan. (House Speaker Plans Separate Ukraine, Israel Aid Votes to Overcome Deadlock-https://www.wsj.com/politics/policy/mike-johnsons-big-decision-help-israel-ukraine-or-both-5ffdd7ef)
  12. Pada 20 April, akhirnya pakej itu dibentang oleh Speaker untuk diundi oleh Kongres dengan keputusan 311-112 (majoriti meluluskan). Justeru itu, pakej tersebut berjaya diluluskan secara utuh dan akan dihantar ke sekutu AS, Ukraine, entiti haram Yahudi dan Taiwan. (https://www.aljazeera.com/news/2024/4/20/us-house-approves-aid-package-worth-billions-for-ukraine-israel)

Berdasarkan fakta-fakta di atas, kita akan dapati bahawa memang wujud koordinasi antara AS dan Iran dalam serangan ke atas entiti haram Yahudi. Koordinasi ini membolehkan Iran menjaga air mukanya melalui serangannya terhadap entiti haram Yahudi dengan kemusnahan yang minimal. Amerika pula dapat memberi tekanan kepada entiti haram Yahudi bahawa tanpa bantuan AS, peluru berpandu dan dron Iran tidak mampu ditangkis oleh entiti tersebut dan sekiranya entiti haram Yahudi itu tidak mengikut rancangan Amerika dan melakukan serangan balas ke atas Iran, maka Amerika tidak akan membantu entiti haram Yahudi jika berlalu serangan balik oleh Iran. Sekiranya ini terjadi, kemusnahan entiti haram tersebut  tidak dapat dielakkan. Dari segi politik dalaman Amerika pula, serangan Iran dapat menekan pihak Republikan di dalam  Kongres untuk membentangkan usul pakej bantuan ke Ukraine dengan segera. Akhirnya pakej bantuan tersebut berjaya diluluskan dan dihantar ke Ukraine untuk melemahkan Rusia seperti yang dirancangkan oleh AS sebelum ini. Nampaknya dari analisis ke atas fakta yang dibentangkan, serangan ini dapat memenuhi kepentingan AS di dalam dan di luar negara.

Kesimpulan

          Kita perlu sedar bahawa Iran bukanlah sebuah negara yang bebas secara ideologis. Hakikatnya Iran akan menjaga kepentingannya dan sekiranya kepentingan tersebut memerlukannya untuk bersekongkol dengan Amerika, Iran akan melakukannya. Kekuatan ketenteraan Iran yang ada akan hanya digunakan untuk tujuan ini dan sebarang tindakan luarnya akan dilakukan dengan koordinasi dan persetujuan AS. Retorik pemimpin Iran untuk menghancurkan entiti haram Yahudi hanyalah omongan kosong selagi ia tidak diizinkan oleh Amerika.

          Oleh itu, mengharapkan pemimpin Iran untuk melindungi penduduk Palestin dari penjajahan entiti haram Yahudi adalah bagaikan sebuah mimpi di siang hari. Satu hakikat lain yang dapat dilihat dari serangan Iran terhadap entiti ini adalah persepsi yang kononnya entiti haram Yahudi ini memiliki kekuatan ketenteraan yang hebat adalah suatu yang jauh dari kenyataan. Entiti haram Yahudi ini sebenarnya tidak mampu melindungi dirinya sendiri tanpa bantuan AS dan dalam aspek ini ia terpaksa mengikut pelan Amerika. Kenyataan Netanyahu bahawa entiti haram tersebut boleh bertindak sendiri tanpa bantuan sekutu hanyalah cakap besar daripada mulut pemimpin yang kejam.  Jika entiti haram ini mahu bertindak di luar pelan Amerika, AS akan pastinya melemparkan ugutan untuk tidak lagi melindunginya.

          Oleh yang demikian, percaturan politik dunia terutamanya di Timur Tengah masih berada di dalam genggaman AS buat masa ini. AS lah yang berkuasa penuh di Timur Tengah pada saat ini dan semua negara di rantau itu, termasuk entiti haram Yahudi berada di bawah telunjuknya. Namun, kekuasaan AS di rantau tersebut khasnya dan di seluruh dunia amnya tidak akan kekal lama. Allah SWT adalah satu-satunya Zat yang benar-benar menentukan siapa yang berkuasa di dunia ini dan Dia akan menarik kekuasaan mereka jika Dia kehendaki. Sabda Rasulullah SAW:

“Setelah itu, akan wujud kerajaan yang sombong (Mulkan Jabariyyan) dan kewujudannya adalah atas kehendak Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian akan datang Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah)..”

[Hadith Riwayat Ahmad dan Baihaqi dari Nuaman bin Basyir dari Huzaifah]


PEDULI PALESTIN

Israel Terus Melampaui Batas

          Setelah lebih 34,000 rakyat Gaza terkorban akibat pengeboman dan serangan berat sebelah yang dilakukan oleh entiti haramYahudi laknatullah, dengan sokongan dari pakatan tentera Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), sedikit demi sedikit kita mula nampak apakah sebenarnya matlamat entiti haram Yahudi menyerang dan menghalau rakyat Gaza – rejim Zionis berhasrat untuk menguasai setiap inci bumi Palestin.

          Ini dapat difahami dari kenyataan Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu beberapa hari lepas yang mengumumkan bahawa kabinet rejim telah meluluskan rancangan lima tahun bernilai 19 bilion shekel (USD 5 bilion) untuk membina semula dan mengukuhkan komuniti berhampiran sempadan Gaza selepas serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lepas. Menurut Netanyahu, peruntukan besar itu akan digunakan untuk membangun perumahan, infrastruktur, pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan kawasan lain [https://www.reuters.com/world/middle-east/israel-cabinet-approves-5-billion-plan-bolster-develop-gaza-border-towns-2024-04-17/].

          Memetik kata-kata Netanyahu selepas pengumuman peruntukan itu; “Pengganas Hamas mahu menyingkirkan kami, tetapi kamilah yang akan menyingkirkan mereka dan mengukuhkan kedudukan kami. Kami akan membina Tanah Israel dan melindungi negara kami.”

          Terserlah niat jahat di dalam hati-hati mereka yang dengan penuh keangkuhan ingin menjadikan tanah Palestin sebagai milik mereka semata-mata. Seboleh-bolehnya mereka ingin melihat semua rakyat Gaza dihalau keluar dan menjadikan tanah Palestin milik mereka sepenuhnya. Mereka mahu menjadikan tanah Palestin sebagai tanah yang satu dan tidak dipisah-pisah di mana seluruh kekuasaan dan keselamatan berada ditangan mereka. Mereka tidak sedar bahawa hakikatnya, mereka adalah golongan pendatang dan pengemis. Mereka mendakwa tanah Palestin adalah milik mereka sejak dari dahulu namun, mereka lupa bahawa sejak dari zaman Nabi Musa (Alaihi as-Salam) lagi, mereka menjadi puak yang dihina dan terbuang kerana mereka engkar terhadap perintah Allah SWT. Sesungguhnya, mereka akan dihina di dunia ini dan di akhirat kelak Allah SWT akan membalas keingkaran dan kesombongan mereka dengan siksaan berkekalan yang cukup pedih!