Lakonan Terkini Barat Dan Israel

 
Yigal-PalmorPada hari Isnin yang lepas, jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor mengumumkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Majlis Hak Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung kajian terhadap penempatan Yahudi di Tebing Barat. Ini adalah balasan Israel ke atas badan dunia itu yang terus-menerus mengecam Israel.  Badan dunia tersebut baru-baru ini telah mengecam Israel kerana merancang untuk mempercepatkan pembinaan penempatan baru untuk penduduk Yahudi di Tebing Barat dan Timur Jerusalem. Menurut mereka, tindakan Israel tersebut akan menjejaskan proses pelan damai dan langkah untuk mengiktiraf kedudukan Israel dan Palestin sebagai dua negara berjiran (two-state solution) di wilayah itu.
Bagi penduduk Palestin, penempatan baru itu akan menafikan hak mereka manakala bagi Israel, mereka berhak ke atas wilayah itu sambil merujuk kepada catatan sejarah dan kitab mereka dan mahukan masalah penempatan tersebut ditentukan melalui rundingan damai. Inilah senario terkini yang sedang berlaku ke atas umat Islam di Palestin. Mereka terus ditekan dan hak mereka dinafikan di bumi sendiri.

Permainan politik yang dimainkan di antara barat dan Israel sudah lama menimbulkan rasa bosan dan muak  di kalangan umat Islam yang mengikuti perkembangan dan lakonan semasa di antara barat dan Israel di sana. Israel mengecam PBB dan pada ketika yang lain, PBB pula yang mengecam Israel. Isu yang dimainkan pula pelbagai, iaitu daripada isu izin masuk ke Masjid Al Aqsa sehinggalah kepada proses penempatan Yahudi. Ini semua dijadikan sebagai sebab untuk terus ‘memanaskan suasana’ di rantau itu sehingga dunia terlupa bahawa yang menjadi persoalan utama adalah kewujudan Israel itu sendiri yang tidak sah.

Isu-isu yang diketengahkan itu dilihat seolah-olah untuk menunjukkan bahawa Israel itu wujud dan mereka mempunyai peranan di timur tengah. Pelbagai isu dan masalah yang ditimbulkan oleh PBB agar Israel dilihat terus releven dan bagi Amerika, ia mempunyai sebab untuk terus berada di rantau teluk untuk satu tempoh masa yang panjang dengan alasan untuk menjaga keamanan padahal apa yang mereka mahkan adalah kekayaan di dunia arab dan menjaga kedudukan dan kepentingan strategik mereka.

Oleh itu, kita tidak harus leka dengan pelbagai isu yang dimainkan oleh Barat dan Israel di dalam usaha mereka untuk mengekalkan kedudukan Israel di bumi Palestin itu. Lebih menyedihkan lagi apabila para pemimpin umat Islam juga terlibat di dalam permainan politik ini. Padahal kewajiban mereka pada ketika ini adalah menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menggerakkan tentera ke Palestin demi untuk
membela dan mempertahankan kehormatan umat Islam di sana.

Rujukan : Al Jazeera  26/3/2012