Krisis Crimea: Sikap Bermuka-muka AS Dan EU Terserlah
Krisis di Crimea merupakan rentetan daripada kemelut politik dalaman Ukraine yang mulai tercetus semenjak November 2013. Kemelut tersebut akhirnya menyebabkan Presiden Yanukovych terpaksa meletakkan jawatan setelah berdepan dengan penentangan rakyatnya. Pada 22 Februari 2014, Parlimen Ukraine telah mengumumkan Presiden dan Perdana Menteri baru yang pro kepada AS dan EU.
Tindakan ini jelas mengancam pengaruh Rusia di rantau tersebut memandangkan Ukraine merupakan sebuah negara yang sangat strategik dalam percaturan geopolitik Rusia. Penyertaan Crimea ke dalam Rusia merupakan strategi Rusia untuk memelihara pengaruhnya di rantau tersebut.
Sikap Bermuka-muka Barat Di Sebalik Undang-undang Antarabangsa
AS dan EU menegaskan bahawa tindakan tersebut sebagai tidak demokratik serta mencabuli kedaulatan Ukraine. Pungutan suara tersebut tidak diiktiraf oleh AS dan EU kerana ia dikatakan dilakukan ‘secara paksa’ lantaran kehadiran tentera Rusia serta tekanan politik daripada Rusia.
Tindakan tersebut dilihat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa yang menghormati kedaulatan sesebuah negara. Namun Barat sebenarnya mengambil sikap bermuka-muka (double standard) dalam menanggapi undang-undang tersebut.
Hal ini jelas ketara sekiranya dibandingkan dengan polisi AS di Afghanistan. AS atas helah ‘Perang Terhadap Keganasan’ telah bertindak menyerang Afghanistan dan masih menduduki negara tersebut sehingga ke hari ini. Pada 5 April baru-baru ini, Afghanistan telah mengadakan pilihanraya buat ke sekian kalinya di bawah pendudukan tentera AS dan sekutunya. Namun, kehadiran tentera AS di Afghanistan tidak pula dilihat sebagai satu bentuk ‘ugutan’ atau ‘paksaan’ terhadap warga Afghanistan.
Umat Islam dilihat seolah-olah diberikan kebebasan untuk memilih pemimpin mereka, sedangkan pada hakikatnya, AS terlebih dahulu telah meletakkan calon presiden yang pro kepada Barat.2 Bahkan pilihanraya tersebut diiktiraf oleh badan antarabangsa meskipun Afghanistan masih lagi diduduki oleh penjarah AS dan sekutunya. Hal ini jelas membuktikan sikap bermuka-muka Barat!
Wahai kaum Muslimin! Sedarkah kalian bahawa hakikatnya umat Islam pada hari ini sedang diperkotak-katikkan oleh Barat? Mengapakah hal sebegini boleh terjadi? Ini tidak lain disebabkan oleh umat Islam pada hari ini tidak lagi mempunyai pelindung yang dapat membela mereka daripada terus diperkotak-katik dan dipermainkan oleh Barat dalam percaturan politik antarabangsa mereka. Umat pada hari ini masih terus berada dalam kehinaan lantaran ketiadaan Khilafah yang pernah memayungi umat selama lebih 13 kurun di persada antarabangsa. Sudah tiba masanya untuk kalian berjuang bersama Hizbut Tahrir ke arah mengembalikan semula Khilafah demi membebaskan umat daripada belenggu kehinaan ini.
Sumber:
1) “EU and US put sanctions on Russia over Crimea” Al-Jazeera, 18 Mac 2014
2) “Boneka AS Kandidat Terkuat Gantikan Karzai Sebagai Presiden Afghan” Era Muslim, 5 April 2014