Apakah Negara Khilafah Wajib Membayar Hutang Luar ‘Rejim’ Sebelumnya?

Soalan:

Jika Daulah Khilafah Islamiyah telah tertegak nanti, bagaimanakah Daulah mengatasi masalah hutang luar negeri yang telah diambil oleh ‘rejim’ sebelumnya? Bagaimana pula dengan jumlah riba yang telah pun dipersetujui untuk dibayar oleh ‘rejim’ sebelumnya? Dari manakah Daulah mendapat dana untuk pembayaran sisa hutang luar negeri yang diwariskan oleh ‘rejim’ sebelumnya?

Jawapan:

Hutang luar negeri merupakan senjata berbahaya yang menjadi alat negara-negara Kapitalis dalam menguasai negara-negara membangun. Hutang yang semakin meningkat akan semakin menyukarkan negara peminjam melunaskannya. Sangat mencekik darah, bahkan, ada negara yang sehingga terpaksa menggadaikan aset nasionalnya untuk membayar hutang tersebut. Ironinya, bukan semua hutang tersebut adalah kepunyaan pemerintah, malahan syarikat swasta juga turut menikmati ‘bantuan’ tersebut, sehingga negara terpaksa menjaminnya.

Terdapat juga satu keadaan yang seumpama hutang ‘luar negeri’ di dalam sebuah sistem pemerintahan kufur yang bersifat federasi, di mana wujudnya kerajaan pusat yang mempunyai kuasa tersendiri dan kerajaan negeri mempunyai kuasa tersendiri, walaupun hakikatnya mereka adalah berada dalam negara yang satu. Sebagai contoh di Malaysia, apa yang terjadi baru-baru ini di mana kerajaan negeri Kelantan mendedahkan bahawa hutang negeri Kelantan yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini sebanyak RM220.26 juta telah dibayar oleh kerajaan PAS. Daripada jumlah tersebut RM56.46 juta adalah kadar faedah (bunga) yang dikenakan dan jumlah pokok hutang yang dibayar adalah sebanyak RM162.8 juta [harakahdaily.net 29 Okt 2008].

Sebelum menjawab persoalan di atas, maka sebagai Muslim, kita hendaklah meletakkan kerangka berfikir yang benar terlebih dahulu, yakni kita mesti keluar dari keadaan fakta yang ada sekarang ini. Kerangka berfikir kita hendaklah syar’ie dan syar’ie semata-mata. Janganlah hendaknya di campur adukkan dengan undang-undang kufur yang ada di dalam sistem Kapitalis ini. Kita berbicara dalam konteks Daulah Khilafah yang menerapkan hukum Allah dan Rasul dan dalam pemerintahan Daulah Khilafah, tidak dibenarkan seorang individu Muslim ataupun negara melakukan pendekatan dan penyelesaian selain daripada hukum Islam, termasuk dalam hal hutang luar negeri ‘warisan rejim terdahulu’.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mewajibkan kepada kita, baik selaku individu mahupun penguasa di dalam Daulah Khilafah Islamiyah, untuk sentiasa terikat dengan berbagai transaksi (akad), baik antar sesama Muslim mahupun antara Muslim dengan orang-orang atau negara kafir. Dengan syarat, selama transaksi/akad tersebut tidak bertentangan dengan sistem hukum Islam. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu.” [TMQ al-Ma’idah (5):1]

Ayat ini berbentuk perintah (dengan kategori wajib) dari Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kaum Muslimin untuk selalu bertindak sesuai dengan kontrak (akad) yang telah mereka lakukan. Hutang luar negeri, sama ada yang dilakukan oleh perseorangan, institusi/syarikat, mahupun negara adalah termasuk dalam salah satu jenis akad, iaitu transaksi hutang-piutang. Apabila seseorang, syarikat, ataupun negara, berhutang dengan pihak lain sama ada dengan perseorangan, institusi/syarikat, mahupun negara lain, maka mereka wajib menunaikan kontrak itu hingga transaksi tersebut selesai/berakhir, iaitu dilunaskan segala hutang yang ada.

Berubahnya keadaan masyarakat ataupun sistem pemerintahan dan undang-undang tidak menggugurkan hutang. Misalnya, hutang yang dilakukan oleh seseorang, sebuah syarikat ataupun pemerintah sebelum berdirinya Daulah Khilafah, tetap menjadi hutang yang wajib dibayar oleh mereka. Jika Khilafah telah berdiri, sementara hutang belum dilunaskan, transaksi hutang-piutang yang sudah mereka akadkan/sepakati tidak gugur begitu saja. Hukum untuk menepati berbagai akad adalah wajib, selama akad-akad tersebut tidak bertentangan dengan hukum Islam.

Di samping itu, Daulah Khilafah, tatkala baru berdiri nanti, mestilah memperhatikan kedudukan/keadaan politik antarabangsa. Dalam hal ini, Daulah mesti mencipta imej yang baik di tengah-tengah masyarakat antarabangsa, sebagai Daulah yang adil, bertanggung jawab dan berusaha mendapat sokongan masyarakat antarabangsa untuk menghadapi negara-negara besar yang memusuhi dan memerangi Khilafah. Salah satu ‘manouver’ (percaturan) yang akan dilakukan Khilafah dalam menarik perhatian masyarakat antarabangsa adalah dengan tetap membayar sisa baki hutang pokok ‘rejim’ sebelumnya.

Jadi, bagaimana caranya Daulah Khilafah membayar sisa baki hutang pokoknya, dari manakah dana yang akan diperoleh Daulah Islam ini nanti untuk membayar hutang-hutang ‘rejim’ sebelumnya ?

Menanggapi persoalan ini, ada beberapa langkah yang harus ditempuh oleh Daulah Islamiyah, antaranya:

(1)    Mesti dipisahkan antara hutang luar negeri yang dilakukan oleh pemerintah sebelumnya dengan hutang yang dilakukan oleh pihak swasta (baik perseorangan mahupun syarikat). Ini kerana hal ini terkait persoalan ‘siapakah’ yang berkewajiban untuk membayar. Jika hutang itu hutang swasta, maka merekalah yang wajib membayar. Sebaliknya, jika hutang itu melibatkan penguasa ‘rejim’ sebelum munculnya Khilafah, maka barulah Khilafah (selaku) penguasa yang baru, wajib mengambil alih sisa baki hutangnya. Ini kerana akad terdahulu itu adalah berlaku di antara ‘government to government’ (penguasa dengan penguasa).

(2)    Sisa pembayaran hutang luar negeri hanya meliputi baki hutang pokok (prinsipal) saja, tidak termasuk bunga (riba), kerana, syariat Islam jelas-jelas mengharamkan apa jua bentuk riba. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut) jika kalian orang-orang yang beriman.” [TMQ al-Baqarah (2):278].

Ayat ini mewajibkan Daulah Islamiyah, individu mahupun syarikat mana pun yang memiliki hutang luar negeri, membayar/melunaskan sisa baki pokoknya sahaja dan diharamkan sama sekali untuk membayar bunga/riba hutang tersebut.

(3)    Meskipun diwajibkan untuk melunaskan sisa baki pokok hutang luar negeri, Daulah Khilafah mestilah menggunakan berbagai cara untuk meringankan bebannya dalam pembayaran; boleh dilakukan lobi agar pihak pemiutang bersedia memberikan cut off (pemutihan). Jika langkah ini berjaya, bererti ia tidak lagi menjadi beban Daulah. Namun jika cara ini gagal, untuk mengurangkan tekanan beban pembayaran dalam sela waktu yang amat pendek, boleh diminta rescheduling (penjadualan semula) pembayaran hutang yang lebih panjang waktunya.

(4)    Hutang ‘rejim’ yang sebelumnya, akan dibayar oleh Daulah dengan mengambil seluruh harta kekayaan yang dimiliki secara tidak sah oleh penguasa ‘rejim’ sebelumnya serta kroni-kroni mereka. Deposit (harta/wang simpanan) mereka di pelbagai bank luar negeri sama ada di Switzerland, Kepulauan Cayman, Singapura dan lain-lain, akan dijadikan jaminan oleh Daulah bagi pembayaran sisa hutang luar negeri. Jumlah deposit harta kekayaan para penguasa Muslim yang zalim, yang ada di luar negeri ketika ini sebenarnya ‘lebih dari cukup’ untuk melunaskan warisan hutang luar negeri ‘regim’ sebelumnya. Namun, seandainya jumlah keseluruhan deposit harta kekayaan mereka masih kurang untuk melunasi sisa hutang, khilafah haruslah mengambil alih hutang tersebut dengan mengambil peruntukan dari pendapatan Daulah. Misalnya, Daulah boleh menggunakan harta yang berasal dari diwan jizyah, usyur atau mana-mana badan syarikat milik Daulah. Khilafah mestilah menghindarkan sejauh mungkin penggunaan harta yang berasal dari pemilikan umat (seperti hasil hutan, bahan galian, dan sebagainya) untuk pembayaran hutang. Sebab, yang berhutang adalah penguasa ‘rejim’ sebelumnya, bukannya rakyat dalam ‘rejim’ tersebut.

(5)    Sementara itu, hutang luar negeri yang dilakukan oleh pihak swasta (baik secara individu mahupun syarikat) maka perkara ini diserahkan  kepada mereka untuk membayarnya. Misalnya, boleh dengan menyita dan menjual aset syarikat yang mereka miliki. Jika jumlahnya masih kurang untuk menutupi hutang luar negerinya, Daulah Islamiah boleh mengambil secara paksa harta kekayaan mahupun deposit (harta/wang simpanan) para pemilik syarikat sebagai jaminan pembayaran hutang luar negeri mereka. Kenyataannya, amat banyak para konglomerat yang memiliki simpanan harta kekayaan peribadi yang luar biasa jumlahnya dan disimpan di luar negeri. Terhadap simpanan mereka di luar negeri, Daulah boleh menjadikannya sebagai jaminan pelunasan hutang-hutang mereka. Namun, jika jumlah harta kekayaan mereka belum mencukupi juga, maka Daulah Khilafah mestilah mengambil-alih dan membayar hutang-hutang mereka, kerana Daulah adalah penjaga dan pemelihara (ra’in) atas seluruh rakyatnya.

Seperkara penting yang perlu diperhatikan adalah, baik individu, syarikat mahupun Daulah, hutang yang dilunaskan itu hendaklah jumlah pokok (prinsipal)nya sahaja, dan haram sama sekali untuk membayar walau satu sen pun jumlah riba yang ada.

Demikianlah, beberapa langkah praktikal yang boleh dilakukan oleh Daulah Islamiyah untuk mengatasi beban warisan hutang luar negeri ‘rejim’ penguasa sebelumnya. Penyelesaian ini hendaklah dilakukan tanpa mengganggu gugat aset harta kekayaan yang dimiliki oleh rakyat, yang dikelola oleh Daulah untuk kemaslahatan dan kemakmuran seluruh masyarakat.

Penyelesaian ini, selain mengikut jalan yang Allah redhai, pada masa yang sama, akan dapat mengelakkan cengkaman negara-negara Barat Kapitalis ke atas negeri-negeri kaum Muslimin. Ia juga akan dapat memutuskan ketergantungan yang membahayakan negeri-negeri Islam kepada negara kuffar. Tambahan lagi, penyelesaian yang dilakukan secara syar’ie ini pastinya akan memberikan keyakinan diri yang amat besar bagi kaum Muslimin bahawa mereka memiliki hukum-hakam yang jelas dan sempurna dan kaum Muslimin mampu untuk menghadapi apa jua tentangan di bawah naungan Khilafah.

Namun demikian, ketika ini tidak ada satu negeri Islam pun atau seorang penguasa dari semua penguasa Muslim yang ada, yang berani dan tegas untuk memutus ikatan hutang luar negeri yang mereka hadapi, berdasarkan hukum Allah. Sungguh malang bagi umat Islam kerana pemimpin mereka, walaupun dilihat Islamik, namun masih tidak dapat lari dari kerangka berfikir sekular Kapitalis dan langsung tidak mempunyai gambaran yang jelas dan terperinci tentang hukum Islam. Sudahnya, mereka masih menggunakan undang-undang kufur dan membayar hutang ‘rejim’ yang ditinggalkan sebelumnya yang dicampur adukkan terus dengan jumlah riba yang begitu besar, walhal hakikatnya mereka memahami bahawa keharaman riba adalah qat’i di dalam Al-Quran dan juga Sunnah. Firman Allah SWT,

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian adalah disebabkan mereka berkata: “Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba” padahal Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) dan urusannya terserah kepada Allah. Orang yang mengulangi (perbuatan mengambil riba itu) maka orang itulah adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TQM al-Baqarah (2):275]

Sabda Rasulullah SAW,

“Rasululllah saw melaknat pemakan riba (yang mengambil riba), yang membayar riba, yang menjadi pencatat dan dua orang yang menjadi saksi dan baginda bersabda, ‘Mereka semua sama” [HR Muslim]

Wallahu a’lam.