Membayar Fidyah

Membayar fidyah adalah kewajiban bagi orang yang sakit, yang mana sakitnya tidak ada harapan untuk sembuh. Atau bagi orang tua yang sudah tidak mampu lagi untuk berpuasa. Adapun yang sakitnya masih ada harapan untuk sembuh, maka kewajiban yang ada adalah untuk qadha`, bukan membayar fidyah.

Membayar fidyah ertinya memberi makan orang miskin sebanyak satu mud bagi setiap hari ia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan. Jika tidak berpuasa sehari, ia membayar fidyah satu mud. Jika dua hari, fidyahnya dua mud, dan seterusnya. Ini adalah kewajiban bagi orang yang sakit yang tidak mempunyai harapan untuk  sembuh dan juga bagi orang tua yang sudah tidak mampu lagi berpuasa.


“(Puasa yang diwajibkan itu) ialah beberapa hari yang tertentu.Maka barangsiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak mampu berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka barangsiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), jika kamu mengetahui.”
[TMQ  Al-Baqarah (2): 184]

Mud adalah ukuran isipadu (bukan berat) yang setara dengan isipadu 544 gram gandum (al-qamhu). [Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 62]. Menurut jumhur ulama, fidyah dibayar dalam bentuk makanan asasi pada sesuatu negeri (ghaalibu quut a-balad). [Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, II/687]. Jadi untuk Malaysia, fidyah dibayar dalam bentuk beras, yang mana  isipadunya satu mud. Untuk lebih hati-hati, tunaikannya dalam timbangan berat 1 kg beras.

Adakah fidyah boleh dibayarkan dalam bentuk wang?

Menurut ulama Hanafiyah, boleh dibayar dengan nilainya (qiimatuhu), iaitu dalam bentuk wang yang setara nilainya dengan beras 1kg. Manakala menurut ulama jumhur (Malikiyah, Syafi’iyah, Hanabilah), tidak boleh dibayar dengan nilainya [Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, II/687]. Penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur  sebab membayar fidyah dengan nilainya (wang) tidak disokong dengan dalil. Adapun dalil yang ada (TMQ  al-Baqarah : 184), secara jelas menyebutkan pembayaran fidyah dalam bentuk makanan, iaitu firmanNya  berbunyi “wa ‘alal ladzina yuthiiqunahu fidyatun tha’aamu miskin”. Maksudnya , fidyah itu adalah dengan memberi makan (tha’am). Membayar fidyah dalam bentuk makanan itulah yang diamalkan oleh para sahabat. Dalam kitab Al-Muhadzdzab I/178, Imam Asy-Syirazi meriwayatkan kata-kata Ibnu Abbas RA,

“Barangsiapa yang menjadi orang tua lalu dia tidak mampu berpuasa Ramadhan, maka wajiblah untuk setiap tiap hari (dia tidak berpuasa) satu mud gandum.” Ibnu Umar RA berkata, “Jika seseorang tidak mampu berpuasa, hendaklah ia memberi makan setiap harinya satu mud.” Diriwayatkan dari Anas RA, baháwa beliau tidak mampu berpuasa setahun sebelum wafatnya, maka beliau berbuka dan memberi makan. [Lihat Ali Raghib, Ahkamus Solah, hal. 119].

Jika Tidak Mampu Membayar Fidyah

Sekali lagi perlu diingatkan, kewajiban fidyah ini untuk orang sakit yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Tidak berlaku hukum ini untuk orang yang sakitnya masih mempunyai harapan untuk sembuh. Seseorang yang sakit dengan penyakit yang tidak mempunyai  harapan untuk sembuh, atau orang tua yang tidak mampu lagi berpuasa, maka ia wajib membayar fidyah [TMQ al-Baqarah (2): 184] Lalu bagaimana pula jika untuk membayar fidyah pun dia juga  tidak berkemampuan, misalnya dia adalah seorang faqir atau miskin?

Membayar fidyah adalah kewajiban bagi orang yang berkemampuan (muusir). Kemampuan ini diukur ketika ia tidak berpuasa kerana sakitnya itu. Jadi, jika terdapat orang sakit yang  tiada harapan untuk  sembuh, lalu dia tidak berpuasa pada tahun lalu, adakah dia wajib membayar fidyah? Maka hal ini perlu  dilihat, jika pada Ramadhan tahun lalu dia dalam keadaan berkemampuan (bukan faqir atau miskin), maka dia wajib membayar fidyah. Jika pada Ramadhan tahun lalu dia dalam keadaan tidak berkemampuan, maka dia tidak wajib membayar fidyah, walaupun pada tahun ini dia sudah menjadi orang yang berkemampuan.

Inilah pendapat yang dianggap rajih (kuat) menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu’ Syarah Muhadzdzab, iaitu gugurnya kewajiban fidyah bagi orang yang tidak berkemampuan. Pendapat ini disepakati juga oleh Ibnu Hajar, meskipun berbeza dengan pendapat Ar-Rafi’i dan Ar-Ramli (As-Sayyid Al-Bakri, I’anathut Thalibin, II/241; Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, I/204; Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, II/687).

Pendapat Imam Nawawi itu kiranya lebih tepat dan rajih, sesuai firman Allah SWT :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 286]Wallahu a’lam.