Hukum Memanfaatkan Barang Pajak Gadai (Rahnu)
Apakah hukumnya memanfaatkan barang pajak gadai (rahn)? Misalnya, seseorang menggadaikan motosikalnya kepada si fulan, bolehkah si fulan ini menggunakan motosikal tersebut?
Jawapan :
Pertamanya, perlu difahami terlebih dahulu bahawa apabila seseorang penggadai (rahin) menyerahkan barang pajak gadai (rahn/marhun) kepada pemegang pajak gadai (murtahin), ini tidak bermakna bahawa barang pajak gadai tersebut menjadi milik pemegang pajak gadai. Barang tersebut tetap menjadi milik penggadai (rahin). Dalilnya adalah daripada hadith daripada Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tidak terhalang (pemilikan) barang pajak gadai daripada pemiliknya yang telah menggadaikannya. Pemiliknya berhak untuk mendapatkan keuntungannya dan dia menanggung kerugiannya.” (HR Syafi’i & Daruquthni, hadis hasan).
Hadis di atas menunjukkan bahawa barang pajak gadai tidak terpisah daripada pemiliknya iaitu si penggadai. Maka yang menjadi pemilik ke atas barang pajak gadai, termasuk manfaat yang datang daripada barang tersebut adalah penggadainya, bukan pemegang pajak gadai. Keberadaan barang pajak gadai berada di tangan pemegang pajak gadai hanyalah sebagai amanah kepercayaan semata-mata dalam hal hutang piutang (dain) antara penggadai dan pemegang pajak gadai. Ini bukan bermakna bahawa pemegang pajak gadai boleh terus memiliki barang tersebut atau berhak untuk memanfaatkannya. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhsiyah Al-Islamiyah, 2/340; Wahbah az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 6/62).
Si penggadai tetap berhak ke atas manfaat barang pajak gadainya dan tetap berhak untuk mengambil bayaran (ujrah) jika barang pajak gadai tersebut disewakan kepada orang lain, sama ada orang lain itu pemegang pajak gadai ataupun bukan. (Taqiyuddin An-Nabhani, ibid., 2/343).
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jika pemegang pajak gadai menggunakan motosikal yang digadaikan itu dengan akad sewa (ijarah), hukumnya adalah mubah (boleh). Tetapi sekiranya pemegang pajak gadai menggunakan motosikal itu tanpa sebarang bayaran, berikut adalah perincian hukum syara’ tentang perkara tersebut :
Pertama, jika hutang piutang (dain) antara penggadai dan pemegang pajak gadai itu bukan dalam bentuk qardh (pinjaman wang), misalnya hutang jual beli sesuatu (secara ansuran) yang belum dilangsaikan bayarannya, atau kerana ijarah yang belum dibayar upahnya, atau kerana hutang lain selain daripada qardh, maka adalah dibolehkan bagi pemegang pajak gadai (murtahin) untuk memanfaatkan barang pajak gadai tersebut dengan izin penggadai (rahin). Mengapa dibolehkan? Dalam hal ini, tidak terdapat suatu nas pun yang melarang perkara tersebut dan memanfaatkannya tidak termasuk dalam definisi riba, memandangkan tidak wujud qardh (pinjaman wang) di sini.
Kedua, jika hutang piutang (dain) dalam bentuk qardh (pinjaman wang), hukumnya adalah haram bagi pemegang pajak gadai untuk memanfaatkan barang pajak gadai tersebut, walaupun ia diizinkan oleh penggadai. Mengapa tidak boleh? Ini adalah kerana terdapat nas yang melarangnya, di samping memanfaatkan barang tersebut adalah termasuk riba yang diharamkan dalam akad qardh. Daripada Anas RA, dia berkata, “Rasulullah SAW ditanya tentang seorang lelaki di kalangan kami memberikan pinjaman harta (qardh) kepada saudaranya, lalu saudaranya itu memberikan hadiah kepada lelaki tersebut. Maka Rasulullah SAW bersabda,
‘Jika salah seorang daripada kalian memberikan pinjaman (qardh), lalu dia diberikan hadiah, atau dinaikkan ke atas kenderaan si peminjam, maka janganlah dia menaikinya dan janganlah dia menerimanya. Kecuali jika perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan sebelum itu di antara mereka.” (HR Ibnu Majah)
Berdasarkan hadith ini, haram hukumnya bagi pemegang pajak gadai untuk memanfaatkan barang pajak gadai jika hutangnya berbentuk qardh (pinjaman wang). Kecuali jika sebelum ini di antara mereka berdua (penghutang dan pemiutang) sudah menjadi amalan sesama mereka sebelum ini untuk saling memberi atau saling meminjamkan barang, maka hukumnya adalah boleh (mubah). (Taqiyuddin An-Nabhani, ibid., 2/341-343).
Jadi dalam kes di atas, adalah jelas jika hutang piutangnya bukan berbentuk qardh, si fulan (pemegang pajak gadai) boleh mengenderai atau menggunakan motosikal tersebut yang menjadi barang pajak gadai tanpa sebarang bayaran, asalkan diizinkan oleh penggadainya (pemilik motosikal). Akan tetapi, jika sekiranya hutang piutangnya berupa qardh, si fulan tidak boleh mengendarai motosikal tersebut, walaupun diizinkan oleh penggadainya. Kecuali jika sebelum ini di antara sesama mereka berdua sudah biasa menjadi amalan untuk saling memberi atau meminjamkan barang, maka hukumnya adalah mubah (boleh). Wallahu a’lam.
Muhammad Siddiq Al-Jawi.