Bolehkah Berhukum Mengikut Syariat Nabi Yusuf?

Soalan:egypt-2
Ada sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kita boleh untuk turut serta terlibat dalam sistem kufur yang ada dengan dalil bahawa Nabi Yusuf as dahulu pernah menjadi pemerintah di Mesir yang mana pada ketika itu ia bukan sistem pemerintahan Islam. Adakah terdapat ulama-ulama yang menggunakan hujah sebegitu dan sejauh manakah benarnya hujah berkenaan?

 

Jawapan:

Pertama: Ya, memang benar terdapat pendapat yang dinyatakan sepertimana di atas, tetapi ia dilontarkan oleh para ulama salathin (ulama pemerintah). Pendapat seperti ini tidak mempunyai hujah dan asas yang kukuh. Ia tidak lebih hanya sekadar justifikasi untuk mengukuhkan kekuasaan pemerintah yang ada. Memerintah dan berhukum berdasarkan hukum yang diturunkan oleh Allah SWT itu dalil-dalilnya adalah jelas dan qat’ie, baik dari segi tsubut (sumbernya), mahupun ad-dilalah (maknanya). Tidak ada ikhtilaf di kalangan para ulama dalam hal sebegini. Berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah itu hukumnya adalah wajib. Allah SWT berfirman:

فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللهُ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ
Maka berhukumlah di anatara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepada kamu”. [TMQ al-Maidah (5): 48].
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللهُ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللهُ إِلَيْكَ

Dan hendaklah kamu berhukum di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu”. [TMQ al-Maidah (5): 49].

Terdapat banyak nas-nas yang mempunyai makna yang sama dengan nas-nas di atas.

Tidak memerintah dan tidak berhukum berdasarkan hukum Allah serta sebaliknya memerintah dan memutuskan hukum berdasarkan hukum buatan manusia yang dianggap lebih baik dan lebih adil adalah jelas merupakan suatu kekufuran (jika ia yakin dengan hukum kufur tersebut), serta dianggap zalim atau fasik (jika ia tidak yakin dengan hukum kufur tersebut). Ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. [TMQ al-Maidah (5): 44].
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Maidah (5): 45].
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. [TMQ al-Maidah (5): 47].

law-1

Kedua: Mereka berhujah dengan tindakan Nabi Yusuf as bahawa Nabi Yusuf as telah berhukum dengan hukum Raja Mesir, yakni tidak berdasarkan hukum yang diturunkan oleh Allah. Hujah seperti ini langsung tidak relevan untuk dijadikan sandaran. Sebagai umat Islam, kita telah diperintahkan untuk mengikuti syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, dan bukannya mengikuti syariat Nabi Yusuf as atau mana-mana Nabi yang lain. Syariat sebelum kita bukanlah syariat bagi kita dan ia telah dimansukhkan dengan kedatangan syariat Islam. Allah SWT berfirman:

وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ

Kami telah menurunkan kepada kamu kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang datang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan menguasai terhadapnya (kitab-kitab yang lain itu). Maka berhukumlah di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepada kamu”. [TMQ al-Maidah (5): 48].

Makna “muhaiminan ‘alaihi” dalam ayat ini adalah menghapus. Jadi, kedatangan Islam telah menghapuskan syariat kitab-kitab yang terdahulu.

Terdapat beberapa ulama usul yang menggunakan kaedah dalam bentuk yang lain iaitu:

شَرْعٌ مَنْ قبلَنَا شَرْعٌ لَنَا مَالمَ يُنْسَخْ

Syariat orang sebelum kita merupakan syariat bagi kita selamamana ia belum dihapuskan.

Kaedah fiqih ini menyatakan bahawa berhujah dengan syariat terdahulu hanya boleh dilakukan jika hukum daripada syariat tersebut belum dinasakhkan (dihapuskan). Namun apa yang pasti, kita diperintahkan untuk terikat dengan apa yang dinyatakan dalam syariat kita umat Nabi Muhammad saw. Islam jelas telah menasakhkan semua syariat-syariat terdahulu yang berbeza dengan syariat yang ada. Oleh kerana itu, seluruh ulama usul yang muktabar, baik yang menyatakan kaedah yang pertama “syar’un man qablanâ laysa syar’an lanâ (syariat orang sebelum kita bukan merupakan syariat bagi kita)” ataupun yang mengatakan kaedah kedua “syar’un man qablanâ syar’un lanâ mâ lam yunsakh (syariat orang sebelum kita merupakan syariat bagi kita selamamana ia belum dimansukhkan)”, kedua-duanya menyatakan kewajiban untuk berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Ini dinyatakan secara tegas dalam Islam dengan dalil yang qat’ie, baik dari segi sumber ataupun maknanya.

Malah, Nabi Yusuf as sendiri mengatakan sebagaimana yang direkodkan oleh Allah SWT dalam al-Quran:

إِنِ الْحُكْمُ إِلا لِلَّهِ

Hak menetapkan hukum itu hanyalah milik Allah”. [TMQ Yusuf (12): 39-40].

Jadi tindakan Nabi Yusuf as tidak mungkin menyalahi ucapannya. Bagaimana mungkin beliau mengatakan bahawa “hak menetapkan hukum itu menjadi milik Allah SWT” tetapi pada masa yang sama beliau memutuskan perkara berdasarkan hukum kufur? Pandangan yang menyatakan bahawa Nabi Yusuf as berhukum sepenuhnya berdasarkan hukum Raja Mesir adalah seolah-olah sama dengan mempertikaikan kemaksuman Nabi Allah sekaligus bersikap biadap terhadap dirinya. Ini merupakan satu dosa besar yang sepatutnya dihindari.

Nabi Yusuf as sebagai Nabi terdahulu dengan syariatnya yang tersendiri, kita boleh mengandaikan bahawa pada zamannya Allah SWT memang membenarkan Nabi Yusuf as untuk memutuskan beberapa perkara berdasarkan undang-undang Raja Mesir pada ketika itu berdasarkan syariat yang diturunkan kepada dirinya. Syariat itu hanya sah untuk dirinya pada zamannya. Kedatangan Islam telah menghapuskan syariat ini sebagaimana dalil-dalil di atas. Bagi kita umat Islam hanya wajib untuk berhukum dengan syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw semata-mata dan tidak ada yang lain daripada itu.

Wallahua’lam.