Manifesto Mengikut Nafsu Bukan Syariat

manifesto-prBertemakan Manifesto Rakyat, ‘Pakatan Harapan Rakyat’, gabungan tiga parti politik PAS-DAP-PKR di bawah gabungan Pakatan Rakyat (PR) telah membentangkan manifesto mereka yang terkini beberapa hari lalu. Walaupun ada pihak yang memandang sinis khususnya yang pro-BN dengan menganggap bahawa manifesto tersebut sebagai tidak realistik, tetapi pada masa yang sama sehingga kini BN yang dipimpin oleh Najib masih belum bersedia mengumumkan manifesto mereka sendiri untuk ‘menandingi’ manifesto pesaing terbesar mereka itu di dalam PRU 13.

Jika kita melihat kepada manifesto yang dilancarkan oleh PR, mereka langsung tidak menyentuh soal perlaksanaan syariat Islam mahupun Negara Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Baik BN mahupun PR, mereka sama-sama memperjuangkan hawa nafsu rakyat kerana mereka hanya menginginkan undi di dalam pilihanraya semata-mata. Inilah senario sistem demokrasi yang memegang falsafah bahawa kekuasaan itu daripada rakyat, untuk rakyat, kepada rakyat. Daripada teori falsafah ini, rakyatlah yang menentukan segala bentuk keinginan dan kemahuan mereka dalam mengatur segala urusan dalam negara, sedangkan pada hakikatnya falsafah ini hanyalah khayalan dan fatamorgana sahaja. Itulah realiti sistem demokrasi yang berjalan di seluruh dunia. Kekuasaan yang diperoleh adalah alat untuk menguasai dan membolot segala harta kekayaan negara oleh parti-parti yang bertanding.

manifesto-bnSenaraikanlah walau ratusan dan ribuan janji-janji manis di dalam manifesto pilihanraya demokrasi ini, ia tetap bukan datang daripada al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun isi manifesto tersebut nampak seakan-akan ‘sama’ dengan apa yang dituntut di dalam Islam, namun pada hakikatnya ia bukanlah terhasil daripada perintah dan larangan Allah SWT. Ia hanyalah lahir daripada kehendak dan nafsu semata-mata yang ingin mencari redha daripada manusia (rakyat), dan bukannya redha Allah SWT. Inilah yang dinamakan oleh mereka sebagai mandat daripada rakyat. Kita dapat lihat manifesto PR sebagai contoh, walaupun Islam mengharamkan kutipan cukai dan mereka ingin menghapuskannya, namun ia hanyalah sekadar keinginan untuk memenangi hati rakyat dan bukannya lahir daripada nas-nas daripada al-Quran dan as-Sunnah. Ketahuilah, bahawasanya Allah SWT telah mewajibkan agar syariat Islam itu diterapkan secara kaffah tanpa memerhatikan pendapat majoriti manusia dan bukannya menerapkan cebisan-cebisan hukum yang ingin memenuhi kemahuan nafsu dan akal semata-mata.

“…maka berhukumlah di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan jangan engkau menuruti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu…” [TMQ al-Maaidah (5) : 48]

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/politik/kos-tunai-manifesto-hanya-rm45-bilion-kata-pakatan-1.135097
http://www.sinarharian.com.my/politik/penganalisis-manifesto-bn-perlu-komprehensif-saingi-pakatan-1.135176
http://www.sinarharian.com.my/politik/pakatan-cabar-bn-debat-manifesto-1.135147