Fikratul Ummah – April 2010

 

Dari Lidah Pengarang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Para pembaca budiman,
Nampaknya virus Influenza A H1N1 menyerang lagi. Sehingga 20hb April 2010, sejumlah 75 kes disahkan Influenza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah kes terkumpul adalah 13,274 [Sumber:http://h1n1.moh.gov.my/]. Walaupun Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa negara masih belum mengalami gelombang kedua, rakyat diminta prihatin dan mengambil langkah-langkah pencegahan terutama kumpulan berisiko tinggi. Malangnya, sebahagian umat Islam begitu peka dengan kesihatan fizikal, tetapi tidak memikirkan bahawa ada virus merbahaya yang merebak dengan senyap dan memberi kesan fatal iaitu Sekularisme yang merupakan pemisahan agama dari kehidupan. Virus ini menyebabkan sebahagian umat Islam mencari jalan penyelesaian bukan dari al-Quran dan Sunnah, sebaliknya menggunakan logik akal semata-mata dan lebih fokus kepada menangani gejala atau simptom, dan bukan mengubati penyakit sebenar. Justeru, apabila dihadapkan dengan pelbagai permasalahan seperti kahwin lari dan kes buang bayi yang semakin meningkat kebelakangan ini, mekanisme penyelesaian yang dicadangkan oleh para penguasa beragama Islam tidak memiliki unsur pencegahan, bukan untuk mencari redha Allah Subhanahu wa Taala sebaliknya menggalakkan lagi kemaksiatan dan pelanggaran hukum.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah edisi April 2010 menyajikan dua buah artikel iaitu Kahwin Lari: Isu Lombok vs Isu Lapuk dan Buang Bayi kesan Buang Syariat Allah. Disamping dua artikel yang mengupas permasalahan yang sedang hangat diperkatakan di Negara ketika ini, sebuah artikel terjemahan bertajuk Hak-hak Wanita: Antara Islam dan Pembaratan diharap akan dapat mengingatkan kaum Muslimah bahawasanya, puak Kuffar Barat berusaha menjauhkan umat yang mulia ini dari agamanya secara istiqamah, secara konsisten. “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” [TMQ Al Baqarah (2): 120].
Wallahu ‘alam bisshawab.


KAHWIN LARI: ISU LOMBOK VS ISU LAPUK

Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggal emak, tinggal saudara, kerana kasih hamba turutkan.

Tanam pinang rapat-rapat, biar senang puyuh berlari,
ku pinang-pinang tak dapat-dapat, ku pujuk-pujuk, ku bawa lari.

Pastinya para pembaca selalu terdengar dan pernah terbaca dua buah pantun Melayu klasik ini.  Siapakah yang dapat memastikan bilakah pantun klasik ini dicipta?  Mungkin ramai yang kurang berminat untuk mengetahui sejarah kewujudan pantun klasik Melayu ini. Sebenarnya, kupasan ini juga bukan bertujuan untuk membicarakan sejak berapa lama pantun ini wujud sebaliknya apa yang lebih penting ialah latar belakang budaya yang mewarnai masyarakat Melayu itu sendiri.  Pastinya ramai yang bersetuju apabila dikatakan bahawa pantun itu melambangkan budaya masyarakat.  Justeru, kewujudan kedua-dua buah pantun ini sangat sinonim dengan unsur-unsur percintaan dalam masyarakat Melayu antara teruna dan dara dan wujud pula elemen cinta tanpa restu daripada kedua orang tua. Si dara, bersetuju meninggalkan sanak saudara demi mengikut kekasih hatinya. Manakala si teruna pula, setelah berusaha untuk berkahwin dan pinangannya ditolak, jalan terakhir ialah dipujuknya si dara untuk dibawa lari atau kahwin lari.

Pantun ini sebenarnya menceritakan budaya setempat yang mana tidak keterlaluan jika dikatakan ini adalah bukti kewujudan budaya kahwin lari dalam masyarakat Melayu. Bagi pasangan yang asyik memadu kasih tetapi cinta mereka terhalang, kahwin lari ialah penyelesaian masalah mereka.  Barangkali juga batasan sempadan negara kurang menonjol dalam masyarakat Melayu lama, dek keterbatasan prasarana dan seumpamanya.  Hari ini, isu kahwin lari kembali popular dan semakin hangat diperkatakan.  Isu ini mendapat liputan luas di media, baik di akhbar, laman-laman web, televisyen dan sebagainya.  Paling sinonim dengan isu kahwin lari mutakhir ini ialah isu Jejak Lombok.  Untuk mendapat maklumat ini di internet misalnya, taip perkataan “Lombok” atau “Jejaka Lombok”, deretan berita mengenainya akan muncul…. “Anak dilarikan ke Lombok”, “Lagi mangsa cinta lelaki Lombok”, “Jejaka Lombok punca kami bercerai”, “Ayah tak boleh terima menantu Lombok”, “Keramat cinta Lombok” dan bermacam-macam lagi.  Terbaru, akhbar Utusan Online bertarikh 23 Mac 2010 melalui program Sembang Utusan Online telah menjemput Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga Penganalisis Jenayah yang tidak asing lagi iaitu Encik Kamal Affandi Hashim dan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh untuk ditemubual berkenaan isu “Kahwin di Lombok”.

Menurut sumber berita ini, dianggarkan sejak lima tahun belakangan ini, sekurang-kurangnya 600 gadis Malaysia yang kebanyakannya berusia di bawah umur 18 tahun menjadi suri rumah di Lombok.  Lombok adalah nama sebuah tempat yang terletak di Indonesia.  Kedudukannya di Kepulauan Nusa Tenggara Barat, Indonesia, jauh ke selatan Pulau Borneo dan berada di kedudukan Barat daya dari Kepulauan Sulawesi.  Antara bandarnya yang ternama ialah Mataram.  Menurut Kamal Affandi, sosio budaya masyarakat Lombok ialah mengiktiraf dan mengangkat sesiapa juga yang boleh melarikan gadis-gadis dari daerah-daerah berlainan, iaitu mereka akan diiktiraf sebagai ‘orang jantan’ atas kejayaan tersebut.  Namun  beliau juga mengakui bahawa senario yang mengaitkan kahwin lari dengan “Jejaka Lombok” ini sebagai kebetulan kerana hakikatnya ada banyak kes seperti ini yang melibatkan jejaka-jejaka dari pelbagai negara dan pelbagai benua.  Seterusnya beliau menambah, secara kebetulan, di sektor ladang di Malaysia kini, sejumlah besar pekerjanya adalah dari Lombok.  Justeru, senario kahwin lari menjadi amat sinonim dengan jejaka Lombok.

Dalam sesi temubual itu juga, Kamal antara lain menerangkan tentang isu gadis bawah umur dan Akta Perlindungan Gadis dan Wanita 1973 yang mana umur dewasa didefinisikan mengikut peruntukan di dalam Akta Umur Dewasa 1971 di mana Seksyen 2 Akta tersebut memperuntukkan “… umur belum dewasa bagi semua lelaki dan perempuan adalah terhad kepada lapan belas tahun…” .  Oleh yang demikian gadis yang berumur di bawah 18 tahun dianggap kanak-kanak. Berhubung dengan perkara ini, Kamal selanjutnya menerangkan apa yang dimaksudkan pedofilia dari sudut ilmu jenayah.  Menurut beliau, pedofilia ialah suatu klasifikasi lelaki di bawah forensik psikiatrik di mana mereka adalah orang yang mendapat kepuasan apabila melakukan hubungan, sama ada intim atau tidak dengan kanak-kanak.  Kamal seterusnya menambah, keadaan ini menjadi bahaya apabila ia melibatkan keadaan melangkau sempadan di mana menurut beliau sekiranya masalah ini berlaku di Malaysia, ia mungkin boleh dianggap sebagai isu kecil. Tetapi apabila ia melangkaui sempadan, maka impaknya menjadi besar, baik kepada keluarga itu sendiri mahupun kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

Daripada apa yang dibicarakan dalam temubual yang diringkaskan di atas, beberapa isu penting dapat dikupas.  Isu-isu ini sememangnya penting kerana setiap permasalahan yang berlaku pasti ada jalan keluarnya dan sebagai orang Islam yang beriman sepenuhnya kepada Allah dan Rasul, penyelesaian hakiki yang perlu diambil dalam setiap permasalahan ialah dengan kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah; di sana, kita akan temui penyelesaian yang memuaskan akal dan selari dengan fitrah penciptaan manusia itu sendiri. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan  ar-Rasul  (As-Sunnah) jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhir.” [TMQ An-Nisa’ (4): 59]

Isu penting yang akan dikupas boleh dibahagikan kepada tiga isu yang besar dan isu-isu sampingan yang lain akan dikupas di bawah isu besar ini.  Antara isu yang perlu diperjelas agar pencerahan yang sebenar dapat sama-sama dikongsi dengan umat Islam umumnya dan kaum wanita khususnya ialah isu berkenaan dengan  apakah had umur dewasa yang ditetapkan dalam syariat Islam; hak gadis dan hak wali di dalam Islam; dan batasan sempadan negara mengikut syariat Islam.

Umur dewasa dalam Islam

Pedofilia yang dirujuk oleh En Kamal Affandy di atas adalah keadaan di mana lelaki dewasa mempunyai minat terhadap perempuan di bawah umur yang mana umur dewasa yang dimaksudkan oleh beliau ialah 18 tahun.  Persoalannya ialah adakah sebarang had umur dewasa dalam Islam?

Umur dewasa atau ‘baligh’ dalam Islam merujuk kepada satu had umur di mana seseorang itu bukan lagi kanak-kanak dan sebaik mencapai umur baligh, seseorang Muslim itu adalah seorang mukallaf yang akan terbeban dengan bebanan hukum yang telah digariskan dalam syariat Islam.  Dengan kata lain persoalan mengenai dosa dan pahala akan diambilkira. Umur baligh meletakkan seseorang individu Islam itu bertanggungjawab ke atas bahunya terhadap segala amal perbuatannya. Jika dia melakukan perkara yang baik, dia akan mendapat pahala sebaliknya jika dia melakukan perkara yang berlawanan dengan syariat Islam, maka dia akan berdosa.  Tahap umur baligh dalam Islam, berbeza antara kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan. Ia juga tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain.  Umum mengetahui tanda baligh bagi kanak-kanak perempuan ialah bilamana dia kedatangan haid. Biasanya seseorang perempuan akan mengalami haid di usia sembilan hingga empat belas tahun.  Sekiranya kanak-kanak perempuan itu tidak mengalami haid, di sini Imam Mazhab ada perbezaan pendapat, di mana Imam Abu Hanifah berpendapat umur balighnya ialah 16 tahun manakala dalam mazhab Syafi’e, Imam Ahmad berpendapat, umur baligh ialah 15 tahun. Manakala bagi kanak-kanak lelaki, umur baligh mereka ialah bilamana mereka mengalami ‘mimpi basah’.  Bagi yang tidak mengalami ‘mimpi basah’ mazhab Hanafi berpendapat umur balighnya ialah 18 tahun manakala Mazhab Syafi’e berpendapat di usia 15 tahun.

Justeru di mana relevannya umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 yang mendefinisikan umur dewasa sebagai 18 tahun?  Menurut undang-undang yang digunapakai di negara kita hari ini, sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun dikira sebagai kanak-kanak dan mereka tidak boleh dikenakan hukuman sekalipun mereka melakukan kesalahan jenayah.  Mereka juga perlu dilindungi sebagaimana peruntukan dalam Akta Perlindungan Gadis dan Wanita 1973 yang disebutkan di atas.  Jelas di sini bahawa definisi yang digunapakai dalam Akta Umur Dewasa bukanlah definisi yang syar’ie dan tidak melambangkan umur baligh sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam.

Seterusnya wajar juga diambil tahu bilakah seseorang itu layak berkahwin menurut pandangan Islam? Untuk tujuan berkahwin, Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: “Wahai genarasi muda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu serta berkeinginan untuk menikah, maka hendaklah ia menikah. Sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan.” [HR Muttafaq ‘alaih].

Satu persoalan penting yang juga untuk dikupas di sini ialah berapakah umur gadis yang layak untuk berkahwin?  Jika bawah 18 tahun dikira sebagai kanak-kanak, maka adakah ianya suatu kesalahan untuk seseorang perempuan itu berkahwin sekiranya umur mereka belum mencapai 18 tahun?   Untuk perkahwinan Islam, undang-undang di setiap negeri menggunapakai enakmen undang-undang negeri masing-masing dalam menangani persoalan tentang undang-undang kekeluargaan.  Di Wilayah Persekutuan misalnya, hal ini dirujuk kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 [Islamic Family Law (Federal Territory) Act atau IFLA]. Seksyen 8 IFLA memperuntukkan “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.

Jelas di sini, seorang perempuan boleh berkahwin sekiranya dia berumur 16 tahun ke atas dan perkahwinan di bawah dari umur ini bagi seorang perempuan juga dibolehkan jika telah mendapat kebenaran daripada Hakim Mahkamah Syariah secara bertulis. Maka, jika kita menggunapakai peruntukan ini, di mana justifikasi kepada persoalan pedofilia yang diutarakan oleh penganalis jenayah dalam temubual di atas tadi?  Ini baru mengambilkira dari sudut penggunaan IFLA. Bagaimana pula dari sudut pandang syariat Islam yang sebenar?  Bagaimana dengan perkahwinan Junjungan Mulia, Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan Saidatina Aisyah Radiallahu ‘Anha?  Tidak keterlaluan jika disimpulkan pedofilia hanya rekaan dan ciptaan akal manusia semata-mata tanpa mengambilkira apa yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.” [TMQ An Nahl (16): 116].

Hak Gadis dan Hak Wali dalam Islam

“Ayah tak boleh terima menantu Lombok” itulah salah satu tajuk berita dalam arkib Utusan Online bertarikh 25hb Februari 2010.  Bapa kepada gadis berusia 15 tahun bernama Salsabila yang dibawa lari ke Lombok ini mendakwa bahawa perkahwinan anak gadisnya dengan lelaki Lombok tidak sah kerana mengecualikan dirinya sebagai wali yang masih hidup.  Beliau seterusnya menyatakan kekhuatiran kalau-kalau anaknya terkena sihir kerana sejak dibawa pulang ke Malaysia, anaknya asyik teringat kepada lelaki Lombok dan keadaannya seperti orang yang sakit. Persoalannya adakah si ayah mempunyai hak untuk tidak mengizinkan anak gadisnya berkahwin? 

Dalam Islam, wali dilarang menghalangi wanita yang hendak menikah berdasarkan dalil daripada sebuah hadis Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam : “Seorang janda lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya. Sedangkan seorang gadis hendaklah diminta izinnya.  Izinnya adalah diamnya.” [HR Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah,  dan at-Tirmidzi].

Saidatina Aisyah Radiallahu ‘Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: ‘“Perkahwinan seorang wanita yang menikahkah dirinya sendiri tanpa persetujuan wali adalah batil.Baginda menyebutkan hal ini sebanyak tiga kali. Sekiranya mereka telah melakukan hubungan suami isteri, dia layak menerima mahar atas hubungan suami isteri itu tadi. Sekiranya berlaku perselisihan, qadhi atau hakim adalah wali bagi orang yang tidak memiliki wali.”’ [Sunan Abu Dawud].

Saidatina Aisyah Radiallahu ‘Anha juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: “Tiada anak nikah kecuali dengan wali dan seseorang yang tidak memiliki wali, maka dia akan berwalikan hakim.” [HR Ibnu Majah].

Ibnu Abbas Radiallahu ‘Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  telah bersabda: “Seorang gadis telah datang kepada Rasulullah dan memberitahu baginda bahawa ayahnya menikahkannya tanpa persetujuan dirinya. Rasulullah telah memberi kebenaran kepada gadis itu untuk membuat pilihan.” [Sunan Abu Dawud].

Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  telah bersabda: “Seorang wanita yang pernah berkahwin (thayyib) lebih berhak ke atas dirinya dari walinya. Dan seorang gadis hendaklah diajak berbincang (untuk menikahkannya) dan diam tanda setuju[Sahih Muslim].

Diriwayatkan dari Khansa bt Khidam bahawa bapanya telah menikahnya setelah dia menjanda dan dia tidak menyukai perkahwinan itu. Beliau telah menemui Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam dan baginda membatalkan pernikahan itu [Sahih Muslim].

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “… Janganlah kalian (para wali) menghalangi mereka kahwin semula dengan calon suaminya apabila telah dapat kerelaan diantara mereka dengan cara yang makruf ”  [TMQ al-Baqarah (2): 232]

Isu Sempadan Negara dalam Syariat Islam

Dalam tajuk berita “Ayah tak boleh terima menantu Lombok” itu juga, si ayah telah menggesa kerajaan agar mengharamkan kemasukan pekerja warga Indonesia dari Lombok supaya kejadian menimpa keluarganya tidak berulang lagi.  Sementara itu, Felo Penyelidikan Utama, Institut Tamadun Alam Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Noriah Mohamed, yang membuat kajian di Lombok dipetik oleh Harian Metro Online sebagai berkata, adat istiadat perkahwinan dalam budaya masyarakat Lombok agak pelik kerana bakal penganitn perlu dibawa lari.  Menurut beliau, “Melarikan gadis yang disukai adalah perkara biasa bagi masyarakat di pulau itu dan ia menjadi tradisi berkurun-kurun lamanya.  Tindakan pemuda Lombok melarikan gadis yang mereka cintai adalah bagi menunjukkan sikap kelelakian dan keperkasaan mereka”.  Beliau seterusnya menambah “Bagaimanapun gadis yang mereka larikan tidak akan ‘dirosakkan’.  Masa minimum bakal pengantin perempuan dilarikan ialah tiga hari.  Selepas itu, pemuda berkenaan perlu menghantar rombongan meminang pengantin perempuan”.

Jika ditelusuri sejarah, sedangkan Hang Tuah pahlawan Melaka tersohor itu pun melarikan Tun Teja untuk dianugerahkan kepada Sultan, apa lagi jejaka Lombok yang sememangnya menjadi tradisi bagi masyarakat mereka untuk melarikan gadis-gadis yang bakal dikahwininya.   Persoalannya yang perlu diteliti di sini ialah berkenaan dengan sempadan negara.  Di mana batasan sempadan Negara yang sebenar dalam Islam? Umum mengetahui, lakaran sempadan geografi yang ada hari ini sebenarnya hasil persetujuan penjajah-penjajah imperialis Barat demi kepentingan mereka. Sesuai dengan peringatan Baginda Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  tentang nasib umat Islam setelah dijangkiti penyakit wahan melalui hadis riwayat Abu Dawud: “Daripada Tsauban Radiallahu ‘Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’”. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”.  Dari lipatan sejarah, Belanda telah mengadakan perjanjian dengan British dengan meletakkan sempadan Indonesia menjadi milik Belanda dan Tanah Melayu menjadi milik British.  Dahulunya wilayah ini adalah satu, dikenali dengan nama Wilayah Nusantara yang merupakan salah satu wilayah di bawah naugan Daulah Islamiyyah yang berpusat di Turki.  Bukti-bukti sejarah banyak telah dihilangkan, dihapuskan terus agar generasi kemudian tidak mengenali sejarah mereka sendiri.  Wali Songo (Wali Sembilan) yang dihantar ke wilayah Nusantara untuk mengembangkan ajaran Islam langsung tidak dikaitkan dengan keberadaan Khilafah Islam yang berpusat di Turki. 

Sebenarnya amat penting untuk dikongsikan bersama bahawa sesungguhnya sempadan negara  dalam Islam cuma dua iaitu Darul Islam dan Darul Kuffar. Umat Islam bersatu di bawah naungan pemimpin sama yang bergelar Khalifah. Jika umat Islam hari ini sedar akan hakikat ini, nescaya sentimen rumpun bangsa dan elemen-elemen seperti evolusi rentas budaya atau ‘cross culture evolution’ ini bukanlah satu isu yang besar sebenarnya. Malah ia tidak timbul langsung kerana umat Islam sebenarnya umat yang satu, Negara Islam juga negara yang satu.  Telah terbukti dalam sejarah Nusantara bahawa penghijrahan, pelayaran dan seumpamanya adalah perkara yang biasa baik untuk masyarakat Nusantara khasnya mahupun masyarakat Islam umumnya. Mereka membuka kawasan-kawasan baru dengan misi yang satu iaitu dakwah Islam.  Justeru perkahwinan melangkaui sempadan bukanlah satu masalah selama mana kedua-dua mereka adalah Islam. 

Khatimah

Isu “Jejak Lombok” bukanlah isu besar yang sukar dicari jalan penyelesaiannya melainkan ianya sengaja disensasikan agar semakin jauh jurang pemisah antara warga tempatan dan warga asing yang mencari rezeki di negara ini. Hal ini sudah tentu dipicu oleh suntikan jarum assobiyah yang merupakan agenda pihak Kuffar untuk menghancurkan umat Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  bersabda, “Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”. Virus assabiyah ini akan menghalangi sebarang usaha untuk menyatukan umat Islam di bawah ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Hakikatnya, Rasulullah mengingatkan kita bahawa kaum Muslimin adalah umpama tubuh yang satu: jika salah satu bahagian sakit maka keseluruhan tubuh akan terasa sakit. Ini bermakna setiap Muslim tidak kira Arab, Melayu, Cina, Turki, Kurdis, Pakistan dan sebagainya adalah “ummatan wahidah” dan kita tidak boleh dibezakan antara satu sama lain berdasarkan bangsa mahupun tanahair. Selain itu, kesimpulan yang hendak kita buat terhadap suatu insiden atau peristiwa seperti perbuatan melarikan anak gadis atau menikahi gadis di bawah umur bukanlah dinilai melalui latar belakang pelaku itu sendiri atau berdasarkan undang-undang buatan manusia yang membelakangkan hukum yang digali dari sumber wahyu. Dalam hal ini, kita hendaklah memahami bahawasanya standard perbuatan (miqyas al-‘amal) adalah hukum syarak. Sebagai kaum Muslimin, demi membuktikan kepatuhan kepada Pencipta dan RasulNya, setelah hukum ditetapkan, siapalah manusia untuk membuat pilihan. “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” [TMQ An Nisa (4): 65]. Wallahu’alam bisshawab.


Buang bayi….Kesan Umat Membuang Syariat Allah Subhanahu wa Ta’ala

Ketika ini, sebahagian daripada kalangan kita mengeluh kerana bahang cuaca panas yang kadang-kala diselang-selikan dengan hujan gerimis. Ada yang mengatakan bahawa inilah kesan bumi kita semakin panas sehingga rakyat Malaysia disibukkan dengan kempen “Earth Hour” yang mana kemuncaknya adalah memadamkan lampu selama satu jam pada 27hb Mac 2010 yang lepas. Namun begitu, adakah kita sedar bahawa permasalahan umat ketika ini lebih hebat bahang kepanasannya? Jawapannya ya, bagi mereka yang memang sentiasa memikirkan bermacam-macam permasalahan yang membelenggu umat-yang kita lihat seakan tiada penghujungnya malah semakin menjadi-jadi, terutamanya masalah sosial yang terlalu banyak untuk disebutkan di sini. Tetapi jika kita sebut mengenai gejala buang bayi yang semakin menjadi ‘trend’ terkini di kalangan pelakunya di Malaysia, maka itu bukan sesuatu yang asing atau luar biasa bagi setiap daripada kita. Apa tidaknya, hampir setiap hari berita itulah yang menghiasi dada-dada akhbar, televisyen, corong-corong radio dan lain-lain media cetak dan elektronik. Pelbagai respon diterima daripada masyarakat apabila kita mengutarakan masalah ini. Ada yang meluahkan perasaan marah, sedih, kesal dan tidak puas hati. Tetapi ada juga yang memberi respon bersahaja, seolah-olah tidak ambil endah dengan apa yang berlaku. Begitulah umat kini. Apabila diutarakan permasalahan ini, mereka meluahkan berdasarkan emosi semata-mata. Apa yang dapat kita saksikan ialah setiap individu mempunyai emosi yang berbeza-beza yang seringkali bersifat sementara. Sekiranya satu tempoh masa nanti masalah buang bayi ini kurang diperkatakan dan tidak lagi menjadi fokus utama media arus perdana, maka emosi umat pun kembali seperti sediakala. Jika suatu masa berlaku pula masalah lain yang melanda umat, maka umat pun mula bercerita mengenainya, apatah lagi apabila mendapat liputan meluas daripada pihak media. Di kala masalah kelihatan begitu meruncing, pelbagai mekanisme penyelesaian dikemukakan yang mana antaranya ialah saranan agar kembali kepada ajaran Islam tanpa perincian yang jelas. Akibatnya, apabila masalah seakan reda, ia akan dilupakan. Lumrah manusia. Sewaktu ditimpa kesusahan, dia mencari Tuhannya. “Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudaratan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu” [TMQ Az-Zumar (39): 8]. Di sebalik kepiluan ini, adakah umat pernah memikirkan penyelesaian yang terbaik untuk melenyapkan masalah ini daripada terus membelenggu dan menjadi mimpi ngeri berpanjangan? Adakah umat mengetahui bahawa di sebalik masalah buang bayi ini, ada satu masalah utama yang menjadi punca semua ini? Bagaimana perkara ini boleh berlaku di zaman serba moden dan era globalisasi ini? Ikutilah kupasan Fikratul Ummah seterusnya yang bakal menyajikan penyelesaian tuntas berkenaan kes buang bayi ini.

Sekilas Realiti dan Statistik Pembuangan Bayi

Jika diperhatikan, hampir setiap hari kes-kes baru yang dilaporkan di media cetak dan elektronik yang meruntun hati dan perasaaan kita. Kesulitan yang dialami sang ibu sepanjang proses kehamilan yang dipicu oleh peningkatan kadar hormon HCG (hormon chorionic gonadothropin)  serta lain-lain alahan dan kesengsaraan seperti  mabuk atau “morning sickness” tanpa mengira waktu, keletihan, sembelit dan lain-lain dugaan sepanjang tempoh kehamilan seakan tiada makna. Seolah-olah dosa yang membelit sang pelaku zina menyebabkan Allah ‘Azza wa Jalla mencabut perasaan kasih dan belas hingga nyawa si manja yang tidak berdosa diperlakukan sebegitu rupa tanpa perikemanusiaan. Mungkin pelampiasan  nafsu  syahwat yang sebentar berakibat kesedihan yang lama [HR Al Baihaqi]. Jika amalan masyarakat jahiliyyah berlaku sebelum kedatangan Islam sebagai penyelamat, tetapi kini Islam telah lama sampai kepada kita lebih 14 abad lamanya. “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. (58) Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): Adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”(59). [TMQ An-Nahl:58-59] Jika masyarakat jahiliyah menguburkan bayi perempuan kerana perasaan malu, bagaimana pula keadaannya apabila bayi tanpa mengira jantina dibuang??

Sebenarnya kes-kes pembuangan bayi yang berlaku ini adalah rentetan daripada masalah sosial dalam kalangan remaja dan anak muda yang terjebak dengan zina iaitu hubungan lawan jenis tanpa nikah atau ikatan perkahwinan yang sah. Kes pertama, membabitkan penemuan dua bayi iaitu seorang bayi lelaki ditinggalkan dalam sebuah kebun sayur di Cameron Highlands dan seorang lagi dianggarkan berusia tidak sampai seminggu berjaya diselamatkan ketika dihanyutkan arus sungai di Bentong dalam tempoh dua hari lalu [Sinar Harian, 10/1/2010]. Kes kedua, mayat seorang bayi yang masih terlekat dengan uri dan bertali pusat ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dibuang sebelum dibakar di dalam sebuah tong sampah di Jalan Tengku Zainal Abidin, Kuala Krai, Kelantan. [Kosmo, 14/2/2010]. Kes ketiga, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis berhubung kes pembuangan bayi di dalam longkang berdekatan dengan Pasar Komuniti Stutong, Kuching. [Utusan Borneo, 8/3/2010]. Kes keempat, janin lelaki dipercayai berusia empat bulan dan masih bertali pusat ditemui disumbat dalam balang plastik gula-gula yang ditinggalkan di hadapan Tokong Foo Yan, Jinjang Utara di sini, malam kelmarin [Berita Harian, 31/3/2010]. Terbaru, mayat bayi lelaki berbalut empat beg plastik dijumpai oleh seorang pekerja syarikat kutipan sampah swasta Hulu Selangor jam 8 pagi di dalam tong sampah di Kampung Tanjung dekat Sungai Choh, Rawang.  [Harian Metro, 12/4/2010].

Dalam kehidupan hari ini, apabila kejayaan akademik anak-anak lebih dititikberatkan berbanding ilmu akhirat, apa yang dinyatakan dalam sabda Junjungan Mulia Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam seumpama mimpi ngeri menjadi realiti yang menakutkan: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan berleluasa” [HR Bukhari dan Muslim]. Akibatnya, muncul pengakuan-pengakuan yang mengejutkan daripada remaja-remaja belasan tahun yang masih bersekolah melakukan zina dan menganggap perlakuan itu sebagai perkara biasa di usia sebegitu. Akhirnya mereka hamil di luar nikah dan apabila perkara itu  diketahui keluarga, bayi yang dilahirkan dapat diselamatkan dengan diserahkan kepada keluarga angkat. Jika diperhatikan, pelaku-pelaku bagi kes-kes pembuangan bayi ini adalah daripada kalangan pelajar iaitu peringkat sekolah menengah dan juga institusi pengajian tinggi (IPT). Selain itu, majoriti pelaku-pelakunya adalah daripada kalangan bangsa Melayu beragama Islam sepertimana statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 36 kes. Merujuk kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006-menurut laporan PDRM, sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti 92% (532 kes) adalah bayi baru lahir, sementara 8% (48) adalah janin. Manakala menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan iaitu 53 kes pada tahun 2006, 76 kes pada tahun 2007, 102 kes pada tahun 2008 dan 33 kes pada tahun 2009 (sehingga Mei) dan pastinya angka tersebut telah meningkat di penghujung tahun. [sumber: http://laman-seri.blogspot.com/2010/03/akibat-cinta-bersandarkan-nafsu.html]. Adakah kita hanya menunggu kes-kes baru berlaku setiap hari dan juga meneliti statistik yang semakin meningkat tanpa berbuat apa-apa? 

Kaedah Penyelesaian Yang Tidak Menyelesaikan

Apabila kejadian pembuangan bayi ini berlaku dan semakin menjadi-jadi, rakyat Malaysia mula menyuarakan respon mereka yang rata-rata menyatakan perasaan kesal, sedih dan marah dengan tindakan individu-individu yang tidak bertanggungjawab melakukan amalan yang lebih hina daripada amalan masyarakat jahiliyyah. Justeru, pelbagai pihak daripada kalangan individu-individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta tampil menghulurkan bantuan atau penyelesaian kepada masalah pembuangan bayi ini. Antaranya ialah kewujudan pusat-pusat perlindungan wanita seperti Raudhatus Sakinah, Rumah Perlindungan Wanita Gombak, Kem Modal Insan Kewaja dan lain-lain. Selain itu, kerajaan juga tidak terkecuali mewujudkan dan membina pusat-pusat perlindungan yang sama seperti Majlis Agama Islam Selangor yang sudah pun menyediakan Pusat Pemulihan Akidah dan Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mempunyai Pusat Perlindungan Wanita Taman Seri Puteri, Cheras.  Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah meminta ibu pejabat polis daerah (IPD) menubuhkan pasukan khas jika berlaku kejadian pembuangan bayi bagi mengesan segera individu yang terlibat dan jika suspek dapat ditangkap, hukuman yang berat akan dikenakan terhadapnya. Individu yang membuang bayi dan menyembunyikan kelahiran boleh dihukum mengikut Seksyen 317 dan 318, Kanun Keseksaan. Manakala membunuh bayi boleh dihukum mengikut Seksyen 309B, Kanun Keseksaan. Namun begitu, terdapat pihak-pihak yang tidak berpuashati apabila hanya wanita atau si ibu kepada bayi yang dibuang sahaja yang akan disabitkan dengan hukuman manakala si ayah dibiarkan terlepas begitu sahaja.  Seandainya selepas ini terdapat peruntukan undang-undang di Malaysia mengambilkira perkara ini, besar kemungkinan kedua-dua pelaku tidak akan terlepas daripada hukuman. Akan tetapi, dapatkan gejala yang semakin meruncing ini dibendung?

Selain  peruntukan undang-undang di atas, pelbagai kempen telah dilancarkan oleh pihak-pihak tertentu seperti kempen “Kami Prihatin” anjuran akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) serta Astro dan kempen “Hidup Amat Berharga” yang bertemakan “1Malaysia 1Jiwa 1Cinta” yang telah dilancarkan oleh  Pergerakan Puteri UMNO. Kempen ini bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia supaya tidak melakukan perbuatan membuang bayi dengan menyemai perasaan kasih kepada kanak-kanak dan juga menunjukkan kepada rakyat bahawa bagi mereka yang telah terlanjur atau berzina sehingga melahirkan anak luar nikah, masih ada yang prihatin dan masih ada tempat untuk mereka tuju iaitu pusat-pusat perlindungan wanita. YB Senator Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, “Ibu bapa diingatkan supaya jangan membuang bayi merata-rata kerana kerajaan menyediakan pelbagai tempat bagi mereka menempatkan bayi dengan selamat” [Utusan Malaysia, 13/2/2010]. Sebagai seorang Muslim, apa yang menakutkan ialah sebahagian anggota masyarakat akan beranggapan bahawa perbuatan zina itu “tidak apa” asalkan jangan membuang bayi hasil hubungan songsang itu merata-rata.

Dalam kes pembuangan bayi, di samping memperkenalkan pendidikan seks di sekolah, negara-negara Barat seperti Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran utama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya. Manakala di Amerika Syarikat pula, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat. Selain itu, melalui undang-undang “Safe Haven” yang diperkenalkan di Amerika pada Julai 2008, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana jua. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang “Safe Haven” ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat. [sumber: http://zahirzainudin.blogspot.com/2007/03/pembuangan-bayi-mencari-punca-dan.html]. Di Malaysia, sebuah pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan yang diberi nama OrphanCare yang fungsinya hampir sama seperti “Baby Hatch” yang dipraktikkan di Jerman dan Jepun diwujudkan bertujuan untuk memberikan kasih sayang sebuah keluarga kepada anak-anak yatim dan juga bayi-bayi yang terbuang [sumber: www.orphancare.org.my]. Ini membuktikan pendekatan-pendekatan yang diambil Barat telah mula dipraktikkan di Malaysia. Persoalannya ialah adakah ianya benar-benar akan menyelesaikan masalah pembuangan bayi di negara ini?  

Apakah penyelesaian hakiki dalam Islam?

Jika kita perhatikan kaedah-kaedah penyelesaian di atas, maka telah jelas dan terang bahawa semua itu bukanlah kaedah penyelesaian yang menyelesaikan masalah. Tetapi itulah jalan yang dipilih oleh umat sekarang. Umat Islam lebih cenderung memilih penyelesaian yang bersumber daripada akal fikiran mereka semata-mata sedangkan itulah penyelesaian yang digunapakai oleh kafir Barat. Kita sebagai umat Islam yang telah diberikan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebuah manual iaitu Al-Quran sebagai pegangan hidup kita yang mana Junjungan Besar Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah berwasiat bahawa kita tidak akan sesat selagi berpegang teguh padanya. Malangnya umat Islam memilih sebuah manual lain iaitu sistem kufur Barat yang jelas-jelas akan menyesatkan mereka malah lebih buruk lagi, mereka akan menerima azab Allah Subhanahu wa Ta’ala di akhirat kelak. Walau sekian lama mereka dibelenggu oleh pelbagai permasalahan, sebahagian umat Islam masih tidak menyedari bahawa ianya memerlukan penyelesaian menyeluruh dari akar umbi, bukan hanya memilih untuk mengubati simptomnya sahaja. Ibarat atap rumah yang bocor menyebabkan air menitis setiap kali hujan melanda, umat Islam sibuk mencari penyelesaian melalui kempen, forum, seminar dan sesi percambahan fikiran sama ada untuk menggunakan baldi atau bekas lain yang lebih sesuai untuk menakung air yang menitis disebabkan atap yang bocor tadi. Mereka mungkin sibuk memikirkan untuk menyediakan baldi atau kolah yang dibina dengan teknologi terkini dengan peralatan “state-of-the-art” dan menimbangkan untuk melantik perunding dan kontraktor ternama untuk memastikan baldi atau kolah adalah mesra alam dan mencapai piawaian tertentu. Persoalannya, apakah selesai masalah dengan pendekatan sebegini? Sedar dan berfikirlah wahai umat Islam, satu-satunya jalan penyelesaian yang dapat menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan membaiki atap yang bocor tadi. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.[TMQ  Al-A’raaf (7): 179].

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Mai’dah (5): 50].

Pernahkah umat terfikir tentang punca sebenar di sebalik isu pembuangan bayi hasil zina ini? Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada gejala ini. Pertama, prosedur yang menyusahkan perkahwinan dan penceraian; tetapi memudahkan penzinaan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah berpesan agar memudahkan pernikahan dengan pemberian mas kahwin walaupun hanya dengan sebentuk cincin besi atau mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Malangnya, prosedur perkahwinan dan perceraian di Malaysia banyak halangannya yang bukan bersumberkan hukum melainkan adat serta kerenah birokrasi pihak pemerintah. Demi keinginan mencipta sejarah di hari bahagia, seringkali suatu perkahwinan hanya akan dilangsungkan apabila pengantin dan keluarga dapat mengadakan kenduri ala “Wedding of the Year” walaupun terpaksa berhutang dan bergolok-gadai. Sementara menunggu hari pernikahan, ada pasangan yang tidak mampu menahan keinginan terhadap lawan jenis hingga terjerumus ke lembah hina. Manakala kes-kes perceraian juga bermasalah untuk diselesaikan sehingga pihak-pihak yang terlibat terpaksa turun naik Mahkamah Syariah bertahun-tahun lamanya hanya untuk mengesahkan status perceraian yang menyebabkan ramai isteri yang digantung tak bertali. Kedua, tohmahan yang dilemparkan oleh pejuang feminisme terhadap pelaku kasih sayang berangkai menyebabkan hukum-hakam tentang poligami dipandang negatif, malah wajar dihindarkan kerana kononnya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja manakala sebelah pihak lagi akan sengsara. Seolah-olah memiliki perempuan simpanan dan berzina itu lebih baik daripada bermadu. Ketiga, terlalu banyak rangsangan di sekeliling kita kerana ada wanita yang tidak menghiraukan auratnya, malah berbangga mendedahkan auratnya semaksima yang mungkin tanpa ada perasaan malu dan takut dengan azab Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sementelah di Malaysia, tiada hukuman bagi mereka yang tidak menjaga auratnya. Kurangnya kesedaran kepada kaum lelaki akan perintah dalam Surah An Nur ayat 30: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya” yang diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai rangsangan yang lain seperti bahan-bahan pornografi yang dengan mudah diperolehi di mana-mana tanpa dapat dikawal oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Apabila naluri meneruskan keturunan (gharizatul an-nau’) yang secara fitrah wujud dalam diri manusia tidak dipandu dengan hukum syarak, maka manusia akan memenuhi naluri tersebut seiring dengan kemahuan nalurinya tanpa mengambilkira standard/ukuran perbuatan tersebut sama ada halal atau haram. Keempat, umat hanya bergantung sepenuhnya kepada ketakwaan individu semata-mata; sedangkan Islam telah menggariskan bahawa hukum Islam akan terlaksana secara sempurna (kaffah) melalui 3 komponan yang dilaksanakan secara serentak iaitu i) ketakwaan individu, ii) kawalan masyarakat dan iii) negara yang melaksanakan hukum syara’. Ini berakibat daripada tiadanya Khilafah Islam yang mana melaksanakan hukum syara’ secara keseluruhan. Keenam, sistem pendidikan yang ada sekarang hanya bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berorientasikan peperiksaan (exam-oriented student) semata-mata tanpa menitikberatkan pembentukan syakhsiyah Islam dalam diri setiap pelajar. Para pelajar banya ditekankan supaya mencapai keputusan yang terbaik dalam peperiksaan untuk memastikan tempat di menara gading. Walhal dalam Islam, sistem pendidikan yang diterapkan kepada para pelajar hendaklah berteraskan aqidah Islam yang akan mencerminkan syakhsiyah Islam kepada setiap pelajar. Oleh itu, sistem pendidikan lebih berkesan dan seimbang kerana para pelajar akan cemerlang dari segi akademik dan juga syakhsiyah Islamiyah.   

Disamping itu, di Malaysia juga hukuman yang dikenakan dalam masalah ini hanya tertumpu kepada pesalah yang membuang bayi tetapi tidak kepada pesalah yang melakukan zina. Sedangkan di dalam Islam, perbuatan zina adalah merupakan dosa besar dan termasuk di bawah hukum hudud yang mana pesalah zina lelaki dan wanita yang telah berkahwin (muhsan) dikenakan hukuman rejam manakala yang belum berkahwin (ghaira muhsan) dikenakan sebatan sebanyak 100 kali. Kalau ada pun hukuman untuk pesalah zina di Malaysia, hukumannya terlalu ringan dan tidak terkesan kepada pesalah zina sehingga perbuatan zina semakin berleluasa. Maka, penyelesaian yang hakiki kepada permasalahan ini adalah dengan mengambil Islam sebagai pegangan hidup. Permasalahan ini berlaku kerana umat Islam telah meninggalkan Islam jauh di belakang, hukum Islam tidak diterapkan di tengah-tengah umat dan kehidupan tetapi memilih hukum kufur untuk dijadikan pegangan. Sekiranya, umat Islam kembali kepada Islam dalam menyelesaikan permasalahan umat, pastinya dengan setiap permasalahan dapat dituntaskan dengan mudah dan sempurna. Sesungguhnya, Islam mestilah diterapkan secara keseluruhan dan bukannya hanya sebahagian mengikut manfaat yang akan diperolehi. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Belumkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan, dan (penduduk) negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka Rasul-Rasul dengan membawa keterangan yang nyata; maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” [TMQ at-Taubah (9) : 70 -71].

Justeru, kewujudan sebuah negara iaitu Daulah Islamiyyah yang akan menerapkan seluruh hukum hakam secara kaffah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan.” Yang mana dengannya, sistem hukuman dalam Islam iaitu sistem uqubat akan dapat melaksanakan hukuman kepada pesalah zina sebagai jawabir (penebus) dan zawajir (pencegah) sebagaimana firman Allah: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari mereka seratus kali sebatan.” [TMQ An-Nur (24): 2]. Juga sabda Rasulullah: “Ambillah dari aku! Sesungguhnya Allah memberi jalan kepada mereka (perempuan yang berzina), jikalau teruna dengan dara hendaklah disebat seratus kali sebatan, dan dibuang negeri setahun, dan jika yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin hendaklah disebat dengan seratus kali sebatan dan direjam dengan batu sampai mati.” [HR Muslim]. Sesungguhnya dengan berdirinya kali kedua Daulah Khilafah Islamiyyah bukan sahaja masalah zina akan selesai, masalah buang bayi juga akan dapat dielakkan yang mana hal ini pastinya memberi seribu harapan dan khabar gembira kepada golongan wanita khususnya, yang selama ini menanggung sengsara akibat terjebak dalam noda. Wallahu ‘alam bisshawab.


Hak-hak Wanita: Antara Islam dan Pembaratan (Westernisation)
Terjemahan sebahagian artikel tulisan Yusuf Mukharazah-Abu Hamam

Ungkapan ‘hak-hak wanita’ telah dikemukakan tanpa rasa bersalah. Syiar ini juga diukir kononnya untuk mengembalikan hak yang tidak dimiliki oleh wanita daripada lelaki, atau daripada sistem yang ada. Sebenarnya ini merupakan manifestasi penentangan terhadap hukum Allah, dan pembebasan dari hukum-hukum tersebut secara perlahan-lahan. Ia juga sebagai permulaan untuk menarik wanita Muslimah dari peraturan dan nilai-nilai yang mengatur kehidupan mereka dan memimpin perilaku mereka. Pada asalnya, ia merupakan perjuangan wanita yang dilancarkan dalam kehidupan Barat sebelum era kebangkitan atau Renaissance. Mereka juga telah mengeksport ke negeri kita fenomena penyakit skizofrenia dan konflik dahsyat di antara agama dan ilmu yang menjadi tragedi dalam sejarah mereka. Lalu mereka menanamkan dalam diri kita penyakit dan konflik ini secara zalim dan dengan semangat permusuhan. Mereka membabitkan kita dengan sejarah permasalahan mereka supaya kita memperjuangkannya serta bertindak sesuai dengan bimbingan dan dorongan mereka,  mengikuti mereka, meniru dan meneladani sunnah mereka. Seolah-olah sejarah silam mereka perlu kita hidupkan dari kanak-kanak hingga menjadi dewasa, sesuai dengan petunjuk mereka. Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Engkau anugerahkan nikmat, dan bukan jalan orang-orang yang sesat [TMQ Al-Fatihah (1): 6-7].

Keadaan ini berlaku hasil dari penjajahan kuffar terhadap negara-negara Muslim dan usaha mereka untuk menanamkan kekufuran ke dalam hati umat Islam dan dalam hubungan sesama mereka. Firman Allah Taala: Maksudnya: “Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam ). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu).” [TMQ al-Baqarah (2): 109].

Demikianlah, kerana kuatnya belenggu rasa rendah diri pada beberapa kelompok kaum Muslimin. Mereka merasakan bahawa Barat mengatasi mereka dalam perkara yang ada pada mereka dan tidak ada pada kita iaitu: gaya hidup, pola berfikir dan perjalanan sistem kehidupan mereka. Barat telah melakukan suatu tipu daya untuk memalingkan umat Islam dari agamanya. Mereka ini telah menggunakan kelemahan kita untuk mengalahkan kita. Kita diarah untuk  bergantung harap pada Barat dan menirunya, dalam situasi yang diciptakan oleh mereka yang kemudiannya melahirkan konsep ‘pembebasan wanita’ dan ‘hak-hak wanita’. Bahkan wanita telah menjadi isu yang sentiasa disebut dan diperjuangkan, kerana umat ini telah mereka kalahkan. Sebagai orang yang kalah, kelompok ini merasa kehilangan kepimpinan dan kepercayaan kepada dirinya sendiri, rumah tangganya, isterinya serta anak-anaknya. Barat seterusnya mengasak untuk menyempurnakan siri kekalahan itu hingga sampai ke kemuncaknya.

Isu ini telah mula menjadi barah dalam pemikiran, politik dan fiqh. Kita dapat melihat kecenderungan mereka kepada orang asing, terpesona terhadap mereka, menerima atau terpengaruhnya mereka kepada manhaj asing iaitu pada ketika umat dalam keadaan lemah yang mana kelemahannyalah yang menjadikannya merasa sangat kagum dengan keunggulan kaum kafir dan kemajuannya dalam semua aspek kehidupan. Hal ini kerana faktor yang menyebabkan umat Islam maju adalah disebabkan oleh mereka memahami agama mereka dan menjalankan kehidupan mereka sesuai dengan tuntutan agama. Namun perkara ini telah hilang dari kehidupan mereka. Kehidupan kaum Muslimin yang kosong dari agama memudahkan ia diisi dengan pemikiran Barat yang telah tersedia. Pemikiran Barat mengenai konsep kekuasaan, kepimpinan dan tingkah laku ditanamkan oleh negara-negara kafir penjajah ini ke dalam hati umat Islam. 

Lenyapnya kekuasaan Islam dari kehidupan yang mampu menegakkan agama Allah di muka bumi, menyebabkan lelaki dan wanita Muslim meninggalkan hukum-hukum Allah. Namun kerana mereka ini adalah orang-orang Mukmin yang saling bersatu, Barat perlu menggunakan helah terhadap mereka. Tujuannya untuk menimbulkan keraguan terhadap Islam dengan cara yang kotor, iaitu kata-kata bahawa wanita telah tunduk pada ketidakadilan lelaki. Lelaki yang mana? Ia adalah suaminya yang ganas! Atau bapanya yang zalim! Atau saudara lelakinya yang mendominasi dan bersikap melampau terhadap kebebasannya! Atau mereka semuanya! Mereka semua itu adalah musuh wanita! Wanita bersengketa dengan suaminya, ayahnya dan saudara lelakinya bahkan ibunya, yang ingin menyimpannya di rumah. Untuk melepaskan wanita dari semua itu perlu kepada undang-undang yang melindunginya dan melindungi kebebasannya dari penindasan dan penganiayaan ini. Padahal wanita dan lelaki mampu mendirikan batas-batas hukum Allah dalam ruang lingkup hubungan mereka dengan semaksima mungkin tanpa campurtangan sistem pemerintahan. Firman Allah Ta’ala: Maksudnya: “Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” [TMQ al-Baqarah (2): 230].

Kafir ingin memerangi kelebihan pada aspek ini yang masih tersisa dalam masyarakat Muslim. Maka perlu ada perlembagaan dan piagam yang mencegah wanita dari menjadi sahabat dengan suaminya dalam menegakkan batas-batas hukum Allah. Piagam yang zalim ini, dan yang disepakati oleh mereka itu secara zalim serta permusuhan dan kefasikan terhadap perintah Allah dengan persengketaan yang didakwa ada, dan perang antara wanita dengan bapa, suami dan kerabatnya adalah kerana mereka semua itu adalah musuhnya yang ingin merampas kebebasannya.

Dalam Islam dan masyarakat Islam tidak wujud persengketaan seumpama ini sehingga memerlukan revolusi feminisme. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” [TMQ An-Nisaa’(4): 124].

Sepatutnya telah tertancap di benak kita bagaimana seorang wanita Muslimah di zaman awal memahami gambaran hubungan mereka dengan lelaki. Marilah kita melihat kepada kisah seorang wanita yang datang menemui Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam ini:

Dari Asma Binti Yazid bin as-Sakn ia berkata: Aku datang menemui Rasulullah yang sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya seraya berkata, “Wahai Rasulullah: Saya seorang wanita yang diutuskan untuk menemuimu, bahawa tiada seorang wanita pun yang mendengar pemergianku menemuimu melainkan dia seperti pendapatku, iaitu sesungguhnya Allah telah mengutusmu kepada lelaki dan wanita. Kami beriman denganmu dan dengan petunjuk yang engkau bawa, bahawa sesungguhnya Allah telah melebihkan golongan lelaki ke atas kami dengan solat berjamaah dan Jumaat, melawat pesakit, menghadiri jenazah dan lebih baik daripada itu adalah jihad di jalan Allah. Salah seorang daripada kalian jika keluar berperang, menunaikan haji atau umrah, maka kamilah yang memelihara harta kalian, kamilah yang menjaga pakaian kalian, kamilah yang mendidik anak-anak kalian dan sesungguhnya kamilah kaum wanita yang terbatas dan terkurung dalam peraturan rumah-rumah kalian.” Lalu Rasulullah berpaling kepada para sahabatnya dengan seluruh mukanya dan bersabda: “Kamu dengar ucapan wanita ini?” Mereka berkata: “Kami tidak menyangka bahawa seorang wanita akan memperoleh petunjuk kepada perkara ini sepertimana wanita ini” Wanita itu berkata “Apakah pahala yang kami kongsi dengan kalian?” Lalu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  bersabda: “Ketahuilah dan beritahulah wanita di belakang kamu bahawa wanita yang berlaku baik  terhadap suaminya dan tunduk kepada apa yang disukainya dan diredhainya, akan mendapatkan pahala menyamai kesemuanya itu”. Lalu dia pun pulang dalam keadaan bertahlil, bertakbir dan memuji Allah  ‘Azza wa Jalla dengan berita gembira itu.

Demikianlah gambaran wanita Muslimah di hadapan syariat. Dia memahami kekhususannya dan tanggungjawabnya serta peranannya untuk melaksanakan kewajipan sebagai seorang isteri, ibu dan pengatur rumah tangga. Dalam keadaan ia tidak melihat hal itu sebagai sesuatu yang silap kerana ini adalah hakikat tugasnya yang sesuai dengan fitrahnya. Tetapi apa yang mengganggunya adalah kedudukannya di sisi Allah: adakah dia terkebelakang dari lelaki kerana dia tidak melakukan tugas-tugas mereka, lalu dia digembirakan bahawa tugasnya sebagai isteri solehah yang taat dapat menyamai semua pintu-pintu kebaikan yang telah dibukakan untuk lelaki.

Tetapi Barat yang Kafir tidak mahukan persepsi yang lurus seperti ini. Mereka juga tidak mahu hubungan yang sihat ini berjaya. Lalu mereka segera berusaha untuk memusnahkan dengan memulakan propagandanya terhadap umat Islam. Turut bersama mereka adalah tentera upahan dari kalangan para penulis, pemikir dan ahli politik. Pembangkit mereka antaranya adalah seorang peguam Koptik bernama Mark Fahmy dalam bukunya ‘Wanita di Barat’ yang dari tulisannya menginginkan agar wanita di Timur keluar dari hukum-hakam Islam dengan katanya: “Bahawasanya wanita di Timur tertindas; penyebabnya adalah syariat Islam”. Dia menuntut agar hijab dihapuskan dan wanita keluar dari rumah. Lebih buruk lagi, ia menuntut agar para Koptik diizinkan – kerana ia Koptik – untuk mengahwini wanita Muslimah. Demikianlah dia menghendaki kerosakan ini! Tetapi dia tidak mampu merealisasikan apa yang dia kehendaki. 

Setelah itu, urusan tersebut dikelolakan oleh para intelektual Muslim seperti Muhammad Abduh yang sangat ingin meniru orang asing dengan tujuan untuk membangkitkan umat dengan cara yang sama dilakukan oleh Barat ketika membangkitkan bangsa mereka. Lalu diwariskan kepada muridnya Qasim Amin yang kemudian menerbitkan bukunya yang terkenal ‘Emansipasi Wanita’ yang menyebutkan isu-isu yang merupakan permulaan pada emansipasi wanita daripada perintah Allah dan menyerah kepada bisikan kaum perosak, yang memberi khabar gembira mengenai gaya hidup Barat dan model kehidupan mereka iaitu pakaian, hubungan dan sistem mereka.

Ketika kejahatan baru ini mula menguasai pemikiran manusia, Qasim Amin kembali menulis dan menerbitkan buku keduanya, iaitu ‘Wanita Baru’. Kitabnya ini merupakan pancaran keinginannya supaya pemikiran Barat mendominasi pemikiran umat. Dia mahu menyesatkan manusia supaya muncul wanita Muslimah yang baru, yang keluar dari pakaian Muslimahnya yang tidak menampakkan kecantikan dan pesona keindahannya, bahkan keluar dari kemurnian dan kesuciannya. Semuanya itu dilakukan dengan usaha yang serius yang disertai dengan seruan kepada pemberian hak-hak wanita untuk mendapat pendidikan dan bekerja untuk memperbaiki kedudukannya dan menjadi unsur efektif dalam masyarakat. Wanita tidak boleh untuk menjadi unsur yang efektif dalam masyarakat melainkan jika dia keluar dari rumahnya dan berada di tengah masyarakat serta terhubung dengan semua elemen di dalamnya seperti perdagangan, industri, pertanian, pendidikan dan hubungan yang tidak berbeza dengan keadaan hubungan lelaki dengan kesemuanya itu.

Padahal, wanita memiliki peranan penting yang berkaitan dengan dirinya sebagai ibu, wanita dan isteri. Dia tidak dibenarkan untuk melakukan semua perkara itu sama seperti yang dilakukan oleh lelaki kerana ciri-ciri khususnya itu. Hal ini dapat diterima oleh semua orang yang berakal. Adakah wujud sesiapa yang akan mengatakan bahawa persamaan antara sesama lelaki membenarkan semua lelaki yang berakal untuk menjadi pemimpin negara contohnya? Tidak seorang pun akan mengatakan demikian. Bahkan orang akan menetapkan syarat yang paling minimum selain syarat-syarat dari perspektif syarak adalah mampu untuk memikul tugas ini berdasarkan ilmu pengetahuan dan kebolehannya. Lalu adakah wanita mampu untuk menjadi penyusu, pendidik kepada anak-anak kecilnya yang memerlukan wanita itu setiap masa, menjadi pengurus rumah tangga serta pada masa yang sama sibuk di lombong dengan kaum lelaki! Atau keluar bersama tentera di seluruh pelusuk bumi? Wanita dalam keadaan semulajadinya adalah seorang ibu yang kadangkala akan hamil atau mengasuh anak atau mendidik mereka, maka bagaimana ia akan menemui jalan untuk terus berdamping sebelah menyebelah dengan lelaki dalam semua bidang?

Bahawasanya Barat yang menipu dirinya sendiri pun tidak meletakkan wanita ke posisi kepemimpinan yang sebenarnya dan tidak juga posisi yang memerlukan kekuatan tertentu dalam tentera melainkan kadang-kadang sahaja, meski Barat mendakwa bahawa ia memberikan kebebasan dan hak-hak kepada wanita.

Gerakan-gerakan Nasionalis – yang diatur dan dibela oleh British, di bawah pimpinan Parti Wafd yang diketuai oleh Saad Zaghloul- mengutarakan isu yang disebut sebagai isu wanita dan menggunakan slogan pembebasan wanita. Isteri Saad yang bernama Safiyyah telah turut serta dengan perjuangan ini. Lalu dia menamakan dirinya sebagai Shafiyyah Zaghloul (menisbahkan kepada nama suaminya) dan meninggalkan nama bapanya. Dia mengambil wanita lain yang dijuluki dengan pemimpin gerakan wanita – kerana mereka dapati bahawa Qasim Amin adalah lelaki, maka pemimpinnya hendaklah seorang wanita – wanita ini adalah Hoda Shaarawi. Ia menyertai Parti Wafd dan diambil oleh Saad Zaghloul dan peranannya diperluaskan. Dari sinilah bermulanya konspirasi di tangan para wanita.

Maka, telah bergeraklah ‘bola’ yang dinamakan hak-hak wanita dan pembebasannya untuk menjadi alat perosak dan merosakkan masyarakat Islam. Ia disempurnakan menerusi pembaratan wanita Muslimah yang bermula dengan menanggalkan pakaian yang menutupi auratnya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah kepadanya hingga ditanggalkan pakaian takwa yang merupakan pakaian terbaik.

Gagasan hak-hak wanita dan pembebasannya telah terkait dengan gerakan-gerakan feminisme yang ada di seluruh dunia Islam. Sistem-sistem yang mendorongnya pada hakikatnya memikul permusuhan terhadap Islam yang adakalanya secara terbuka dan adakalanya pula secara sembunyi.

Di semua negeri telah ditubuhkan banyak persatuan yang berkaitan dengan hak-hak wanita, tetapi hak-hak wanita ini semuanya mengabaikan kitab Allah, menolak syariat Allah dan apa yang diturunkan dalam kitab-Nya. Lalu hak-hak wanita membawa maksud mendedahkan aurat, mempraktikkan seni yang rendah, bercampur gaul dengan lelaki ajnabi (bukan Mahram), berkhalwat dengan mereka dan bekerja di saf-saf lelaki tanpa rasa malu kerana wanita dan lelaki adalah sama, tiada bezanya.

[Artikel penuh boleh dibaca dari majalah Al-Mukhtaraat Edisi ke-8. 1430H. Hal 37 terbitan www.hizb.ut.tahrir.info ]