Fikratul Ummah – Februari 2011
Cuti umum bersempena Tahun Baru Cina telah bermula dan rata-rata masyarakat majmuk di Malaysia meraikan peluang `keemasan’ dengan percutian bersama keluarga tercinta. Di pihak sidang redaksi Fikratul Ummah, kami memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami untuk terus menerbitkan Fikratul Ummah keluaran bulan Febuari 2011, sebagai salah satu medan untuk menyebarkan agamaNya. Harapan kami agar Fikratul Ummah sentiasa mengisi ruang masa masyarakat dalam menjana dan memperkasakan lautan ilmu dengan tsaqofah Islam, demi meraih kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. InsyaAllah.
Bersempena dengan tarikh 12 Rabiul Awal tahun ini, Fikratul Ummah mengetengahkan artikel utama yang bertajuk KELAHIRAN RASULULLAH MEMIMPIN MANUSIA KEPADA KEGEMILANGAN HIDUP sebagai muhasabah kita bersama. Memandangkan tarikh tersebut jatuh di bulan Februari, maka amat wajar perkara ini diangkat agar kita semua tidak hanya mengingati tarikh kelahiran junjungan Mulia Sallallahu Alaihi wa Sallam. Sebaliknya, umat Islam pada hari ini mestilah menyelami dengan lebih mendalam dan memahami intipati perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Deen yang haq di atas muka bumi sebagai sebuah misi agung dan amanah yang utama oleh Baginda kepada umatnya. Oleh itu, jelaslah bahawa kita sebagai khaira ummah merupakan penerus kepada perjuangan baginda dan bertanggung jawab penuh untuk melaksanakannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah meninggalkan kita dengan dua perkara dan baginda berpesan bahawa sesiapa yang berpegang teguh dengannya nescaya dia tidak akan tersesat. Itulah al-Qur’an dan as-Sunnah. Mudah-mudahan perbicangan dalam artikel ini dapat mentarbiyyahkan kita dalam memahami tanggung jawab dalam meneruskan perjuangan suci Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Manakala dalam artikel kedua yang bertajuk PENTINGNYA MENANAMKAN ANAK-ANAK KECINTAAN KEPADA AL-QUR’AN, diharap mampu menyedarkan ibu bapa akan tanggung jawab mereka ke arah membentuk generasi pelapis yang cintakan al-Qur’an. Marilah sama-sama kita menghayati peranan utama ibu bapa dalam Islam yang kian lama diabaikan. Untuk segmen artikel terjemahan, ditampilkan satu artikel menarik tentang keunikan penciptaan wanita oleh al-Khaliq, di mana kupasannya mampu membuka minda golongan yang memperjuangkan hak-hak persamaan gender dan sesiapa sahaja yang bersetuju dengan mereka bahawa perjuangan mereka sebenarnya tidak berasas. Artikel ini diterjemahakan daripada artikel asal bertajuk مسلمة خواطر أخت hasil penulisan seorang pendakwah wanita Palestin yang diterjemahkan dari majalah al-Waie (edisi 287-288 November-Disember 2010).
Tidak ketinggalan juga, ruangan fikih muslimah kali ini turut mengupas satu persoalan malar segar di kalangan wanita sekitar HUKUM PENGGUGURAN KANDUNGAN MENURUT ISLAM. Manakala doa pilihan kali ini menampilkan doa BERLINDUNG DARI PERBUATAN BURUK. Sekian, harapan kami agar para pembaca budiman mendapat pencerahan dan informasi bermanfaat daripada artikel-artikel yang dipaparkan. Insya Allah.
Mukaddimah
Sebut saja bulan Februari, tentu ramai akan teringat Hari Valentine. Dalam keseronokan sebahagian besar dari umat Islam yang tidak tahu atau tidak mahu mengakui keharaman meraikan hari kekasih ini, mungkin ada yang tidak perasan atau mungkin tidak mengambil cakna tentang satu peristiwa penting bagi umat Islam. Tarikh kelahiran kekasih Allah dan junjungan mulia kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu 12 Rabiulawal bagi tahun 1432H ini jatuh pada 15 Februari 2011, sehari selepas sambutan hari Valentine. Sambutan hari Valentine ini dalam kalangan umat Islam merupakan salah satu bukti bahawa pada akhir zaman ini umat Islam sebenarnya telah berpaling daripada hukum Allah yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kalau dulu manusia hidup dalam masyarakat jahiliyyah yang tidak beriman pada Allah, hari ini pula umat Islam sendiri hidup dalam masyarakat jahiliyyah kerana Islam hanya dipraktikkan dalam amalan individu dan yang berunsur ibadah sahaja. Persoalannya, adakah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini hanya untuk masyarakat Arab Jahiliyyah 1500 tahun dahulu sahaja sehinggakan umat Islam hari ini mengabaikan pengamalan syariatnya? Inilah persoalan yang akan dikupas dalam tulisan ini.
Amalan Jahiliyyah terkubur
Lahirnya Muhammad ke dunia ini dan diutuskannya menjadi Rasul Allah, penyebar risalah Allah, membawa rahmat ke sekalian alam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21):107]. “(Mereka Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ an-Nisa’ (4):165].
Perutusan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam kepada masyarakat Arab jahiliyyah membawa impak perubahan yang sangat besar. Daripada aspek agama dan kepercayaan, penyembahan kepada berhala ditentang dan baginda menawarkan penyembahan kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menciptakan manusia. Budaya menipu dalam timbangan semasa jual beli dihapuskan. Begitu juga dengan tabiat meminum arak, membunuh anak perempuan hidup-hidup kerana takut miskin dan demi menjaga harga diri, menjadikan wanita sebagai hamba seks dan banyak lagi amalan jahiliyyah lainnya telah terkubur dengan kedatangan Islam.
Serentak dengan itu, bermulanya pembinaan individu dengan aqidah Islam sehingga lahirnya muslim yang bersyakhsiyah (jati diri) Islam. Tanpa bertangguh, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya mengumpul mereka, membentuk satu kelompok yang berjuang mengamalkan Islam di tengah-tengah kerosakan masyarakat kuffar. Kelompok ini teguh mempertahankan bahawa Allah itu Tuhan yang wajib disembah dan Rasulullah itu pesuruh Allah. Bagi mengubah sistem kehidupan kuffar yang membelenggu mereka, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para sahabat berusaha menegakkan sebuah negara Islam untuk diterapkan di dalamnya hukum Allah secara kaffah. Hijrah ke beberapa tempat dilalui oleh mereka sehinggalah masyarakat Yathrib (Madinah) menerima baginda sebagai pemimpin negara, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memimpin daripada segenap aspek kehidupan termasuk sistem ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan lain-lain.
Menurut Zeeneth Kausar (1995) dalam kertas kerjanya Women’s Issues: Women’s Perspectives, Islam meletakkan wanita dalam tiga kategori penting mengikut keupayaannya iaitu sebagai ibu, isteri dan anak perempuan. Ibu diletakkan di tempat paling tinggi selepas Allah dan RasulNya. Bagi wanita Islam yang berkahwin, mereka mempunyai hak-hak tersendiri sepanjang perkahwinannya sama seperti lelaki serta masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan terhadap keluarga (ibu, isteri, anak perempuan) dan masyarakat (guru, pengasuh, pemimpin , penasihat, perawat dan lain-lain dalam semua sektor). Sebagai seorang Islam, wanita perlu mempunyai penghayatan Islam yang jelas dan keimanan yang kukuh supaya dapat dimanifestasikan keimanan dan jiwa Islam itu dalam ibadah, akhlak, pergaulan, pekerjaan dan segala aktiviti dalam kehidupannya. Ini penting supaya wanita tetap menjaga maruah dan kehormatan dirinya daripada kaca mata Islam seperti sentiasa menjaga aurat, menjaga tutur kata dalam pergaulan, menjauhkan segala yang mendekatkan diri wanita kepada zina, bersikap positif dan berdaya saing sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Islam.
Ironinya, kehidupan umat Islam masa kini kelihatan telah melintasi sejarah menyeberangi zaman kegemilangan pemerintahan Islam. Masyarakat Islam telah kembali menjadi masyarakat jahiliyyah yang tiada pegangan hidup.
Tabiat menganiaya wanita dan kanak-kanak perempuan.
Bila diimbas kembali rentetan tragedi yang melibatkan penderaan dan penganiyaan ke atas wanita, kita akan dapati bahawa trauma ini tidak pernah lenyap daripada kehidupan masyarakat. Antara isu yang nampaknya semakin meruncing saban tahun adalah kes simbahan asid yang bukan sahaja menyebabkan mangsanya menanggung kesakitan yang amat sangat tetapi juga terpaksa menjalani kehidupan dengan kecacatan kekal. Pada 27 Januari 2007, seorang suami bertindak nekad menyimbah asid ke belakang badan isterinya, Ramlah Mohamad, 26, kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Pada 9 April 2010, seorang peneroka bertindak di luar batasan apabila tergamak menyimbah asid ke muka dan tubuh isterinya, Zarina Wahab, selepas wanita itu menolak untuk melakukan hubungan seks. Pada 10 Januari 2011, seorang lelaki disabitkan kesalahan cuba membunuh isterinya yang sedang hamil, Nor Shamila, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi berdasarkan statistik yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia dan jumlah sebenar (mangsa) lebih dari itu, cuma tidak dilaporkan. Di peringkat global pula, sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dipukul, dipaksa melakukan aktiviti seksual atau didera sepanjang hayatnya [Berita Harian, 28/11/2010].
Awal tahun 2011 juga disambut dengan beberapa kes dera ke atas kanak-kanak. Pada 9 Januari 2011, Nordiana Qistina Nurafizan, 3 tahun, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang serius akibat dari 73 kesan penderaan di seluruh tubuhnya. Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad berusia setahun turut menjadi mangsa kekejaman yang dipercayai dilakukan oleh bapa dan ibu tirinya [Utusan Malaysia Online, 11/1/2011]. Tidak dilupakan kes bualan orang ramai yang melibatkan kanak-kanak berusia 18 bulan, K Haresvarran yang mati dipukul dan dipijak jiran yang menjaganya serta Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, mati ditendang dan dipijak teman lelaki ibunya pada tahun lalu.
Statistik di negara kita menunjukkan kes penderaan fizikal yang dilaporkan di Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dari 1999 hingga 2006 ialah sekitar 100 kes setahun. Selain itu, 42 peratus daripada pendera adalah ibu bapa sendiri, iaitu bapa 22 peratus dan 16 peratus di kalangan ahli keluarga. Di Amerika Syarikat (AS), negara berkenaan menyediakan peruntukan RM384.8 bilion (AS$104 bilion) setahun bagi menangani isu penderaan kanak-kanak hasil laporan bahawa empat kanak-kanak dilaporkan mati setiap hari kerana didera serta diabaikan daripada aspek psikologi, emosi dan seksual. Secara purata, 31 peratus wanita di dalam penjara di AS disabitkan kesalahan melakukan penderaan ke atas kanak-kanak. Di United Kingdom (UK) satu hingga dua peratus kanak-kanak mengalami penderaan fizikal sejak peringkat kanak-kanak. Malah, lebih tiga juta orang dewasa, iaitu satu dari 12 orang dewasa menyatakan mengalami tanda lebam akibat penderaan fizikal ketika kanak-kanak dan sembilan peratus menderita dengan kesan jangka panjang. [Berita Harian, 9/3/2010]
Dalam Islam, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud: “Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula”. [HR Ahmad].
Seruan Islam yang telah lama sampai kepada kita dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mengharamkan suami/bapa memukul apatah lagi mendera isteri mengikut hawa nafsu. Pukulan hanya dibenarkan dalam rangka untuk mendidik isteri dan anak-anak. Salah satu dalil tentang kebolehan bagi para suami untuk memukul ketika menta’dib (mendidik) isterinya adalah sepertimana ayat berikut:“Laki-laki adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Maka wanita solehah adalah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka. Isteri-isteri yang kalian khuatiri melakukan nusyuz maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka”. [TMQ an-Nisa’ (4): 34].
Islam juga membolehkan melakukan pukulan sebagai ta’dîb terhadap anak. Ibnu Amr bin al-’Ash meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika tetap enggan mengerjakan solat)”. [HR Abu Dawud dan al-Hakim].
Di dalam hukum fikih, pukulan dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, Dharb mubarrih iaitu pukulan yang kuat/keras sehingga dikhuatiri boleh mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mencacatkan anggota tubuh badan. Pukulan seperti ini adalah dilarang dalam syariah dan termasuk sebagai perkara yang diharamkan. Kedua, Dharb ghairu mubarrih ialah pukulan ringan yang tidak mengalirkan darah serta tidak dikhuatiri akan menimbulkan kebinasaan jiwa atau kecacatan pada tubuh badan, patah tulang dan sebagainya. Pukulan jenis kedua ini menurut syariah boleh dilakukan kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran syariah, iaitu setelah dilakukan maw’izhah dan hajr (nasihat dan pemisahan tempat tidur). (An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan).
Para fuqaha mengatakan bahawa dharb ghairu mubarrih adalah pukulan yang tidak melukakan isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak meninggalkan parut pada tubuh badannya dan tidak boleh dilakukan pada wajah. Pukulan tersebut juga tidak harus berpusat pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul secara terus-menerus agar tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara fuqaha, ada yang menyatakan bahawa, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh dengan cemeti (cambuk/rotan) dan tongkat.”
Begitulah sedikit penerangan mengenai bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini begitu melindungi wanita dan anak-anak daripada perbuatan ganas suami/bapa. Sebagai suami atau bapa, pukulan hanya dibenarkan bagi tujuan ta’dib (mendidik) isteri atau anak dan bukannya untuk melampiaskan kemarahan atau membalas dendam. Namun, apa yang dikisahkan daripada peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan bahawa para suami dan bapa tidak lagi mengikut syariat Allah dan contoh tauladan yang ditunjukkan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Tidak cukup dengan isu penderaan wanita di dalam negara oleh ahli keluarga sendiri, sejenak kita telusuri nasib wanita di belahan dunia yang sentíasa ditindas oleh musuh Islam.
Muslimah di belahan dunia yang ditindas musuh.
Pada 31 Disember 2010, berdasarkan keterangan dari pihak media yang dilaporkan Maan, seorang wanita Palestin meninggal dunia akibat menghirup gas pemedih mata yang ditembakkan Israel ke arah mereka ketika melakukan demonstrasi damai mingguan di desa Bil’in. Pasukan Israel menembak bertin-tin gas pemedih mata ke arah mereka yang selalu melakukan demonstrasi secara damai. Sekitar 250 orang cedera, termasuk seorang remaja yang ditembak wajahnya dengan tabung gas pemedih mata. Kekejaman Israel jelas ketara kerana mereka menggunakan gas pemedih mata yang dilarang di Eropah pada tahun 60-an dan 70-an kerana menyebabkan kematian, tetapi mereka terus menggunakannya di Palestin [Buletinonliner.com, 3/1/2011].
Yayasan Solidariti Hak Asasi Manusia Antarabangsa menyatakan bahawa seorang tahanan wanita Palestin, Kifah Auni Qutsy yang berasal dari kota Birah, terperosok di penjara Israel menderita kekurangan immunisasi badan yang menyebabkan penyempitan pembuluh darah seperti mengalami Gangrene, penyakit yang menggugurkan jari tangan disebabkan tidak sampainya darah ke jari [iLuvislam.com, 20/10/2010]. Tidak jauh bezanya dengan insiden di atas, pada 10 Januari 2011, Yayasan Perlindungan Tahanan “Yusuf ash Shidiq” melaporkan bahawa para tahanan wanita Palestin terpaksa menanggung kenaikan harga yang tinggi di kantin penjara Israel dan mereka dipaksa membeli dari sana, terutama pakaian dan alas kaki (selipar/kasut). Lebih teruk lagi, keluarga tahanan tidak dibenarkan untuk membawakan alas kaki untuk tahanan penjara. Akhirnya mereka dipaksa untuk membelinya di kantin penjara yang harganya mencapai 80 dolar. Selain itu kantin tahanan juga tidak memiliki banyak barang yang diperlukan para wanita, namun pihak penjara tetap menolak kiriman daripada keluarga tahanan. Kebelakangan ini juga, pihak penjara menghadkan jumlah pakaian yang masuk ke penjara. Laporan ini menyebutkan bahawa para tahanan wanita, khususnya di penjara Damon, mengalami kekurangan air minuman yang bersih. Hal ini juga memaksa para tahanan membeli air bersih daripada kantin penjara dengan harga yang sangat mahal [Republikan Online, 10/1/2011].
Di pelosok bumi yang lain, Islam dihina nasib muslimah seperti hidup dalam penjara di tanah air sendiri. Mereka dinafikan haknya untuk menjalankan kewajipannya dalam berpakaian menurut Islam.Sebagai contoh dalam sebuah artikel menyatakan,“burqa dan niqab merupakan tradisi yang memandang bahawa perempuan sebagai objek seksual, seorang penggoda, yang mana dengan gerakan pergelangan kaki mereka dapat membawa lelaki (makhluk yang lemah yang tidak mampu menahan godaan ini) untuk bertekuk lutut di hadapan mereka. Ini adalah sistem nilai yang menjijikkan dan saya menolaknya. Begitu juga dengan semua warga Kanada yang menganut feminisme sekular. Jadi marilah kita mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan hijab.” Itulah artikel yang telah diterbitkan oleh sebuah akhbar online Canada, Toronto Star, pada 18 Disember 2010 yang mengesyorkan supaya pengharaman bukan hanya dibuat terhadap niqab (penutup wajah/purdah) dan burqa (penutup seluruh tubuh), tetapi juga terhadap hijab (tudung kepala).
Sungguh sakit mata yang memandang dan pedih hati yang merasakan penderitaan yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia ini akibat penindasan yang didalangi musuh-musuh Islam. Jadi, umat Islam wajib memikirkan cara untuk menyelesaikannnya habis-habisan. Usaha yang diambil bukan setakat membantu mengisi perut-perut mereka yang kemudian akan tembus terburai dengan tembakan peluru, bukan setakat membekalkan selimut dan pakaian membaluti tubuh-tubuh mereka yang kemudian akan terbakar dengan serangan bom, bukan setakat menyediakan khidmat perubatan merawat luka-luka mereka yang kemudian akan diseksa dengan bom kimia, tetapi usaha yang dapat menghalau tentera Israel dan pakatannya kerana masalah Palestin dan negara-negara umat Islam lain adalah masalah penjajahan, fizikal dan mental, bukan masalah kemiskinan. Pencabulan terhadap hak umat Islam dalam melaksanakan kewajipannya bukan masalah kelemahan ketaqwaan individu tetapi masalah tekanan undang-undang kuffar yang dipaksakan ke atas mereka.
Tindakan Yang Diambil oleh Pemimpin Islam ke atas musuh Islam
Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, seorang wanita Muslimah tersingkap auratnya apabila seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ telah mengikat hujung kain yang dipakainya pada kerusi. Ketika itu, seorang lelaki Muslim telah bangun membela dengan membunuh Yahudi tadi. Sebagai membalas dendam, puak Yahudi membunuh pula lelaki Muslim itu. Kaum Muslim yang lain telah membantu kaum keluarga lelaki Muslim itu, dan Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menghantar pasukan tentera Muslim untuk menyerang Yahudi Bani Qainuqa’ dan selepas lima belas hari, kaum Muslim berjaya menghapuskan seluruh Bani Qainuqa’ dari tanah Madinah.
Khalifah Islam yang memerintah selepas para Sahabat mengambil Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam menyelesaikan masalah yang sama. Imam Ibnu Athir mencatatkan dalam “Al-Kamil fi Tarikh”, sebuah kisah yang terkenal mengenai seorang wanita Muslimah yang telah ditangkap oleh puak Rom dan ditahan di satu tempat bernama ’Amuriyyah. Tidak puas dengan menahan beliau, mereka juga telah cuba untuk mencabul kehormatan wanita Muslimah itu. Bersendirian dan ketakutan, wanita itu memanggil nama Khalifah pada ketika itu “Oh Mu’tasim”. Seorang lelaki menyaksikan kejadian ini, lantas bertemu dengan Khalifah Mu’tasim dan memaklumkan beliau tentang kejadian itu. Tatkala Mu’tasim mendengar tentang rintihan wanita itu, beliau menyahutnya dengan penuh keberanian, “Labbaik (Aku datang menyahut seruanmu).” Mu’tasim mempersiapkan sepasukan bala tenteranya dan melancarkan serangan untuk menyelamatkan wanita itu. Pasukan tentera beliau telah menawan pihak musuh dan memasuki ‘Amuriyyah. Selepas menghancurkan kubu kuat musuh, mereka sampai kepada wanita itu serta berjaya membebaskannya.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula telah mengirim sepucuk surat kepada Tahanan Perang Muslimin di Konstantinopel. Beliau memberitahu mereka: “Kalian mengatakan dirimu adalah Tahanan Perang. Sebenarnya, kalian bukanlah begitu. Kalian telah dipenjarakan kerana berjihad untuk Allah. Aku ingin memberitahukan kalian semua, apabila aku memberi sesuatu kepada semua kaum Muslimin, aku akan memberikan lebih kepada kaum keluarga kalian dan aku mengirimkan si polan dan si polan membawakan 5 dinar untuk setiap seorang dari kalian. Seandainya bukan kerana aku risaukan penguasa diktator Roman yang akan merampasnya dari kalian, sudah pasti aku akan mengirim lebih lagi. Aku juga telah mengutus si polan bin si polan untuk memastikan pembebasan setiap dari kalian, tanpa mengira berapa pun wang tebusan yang perlu dibayar. Maka bergembiralah kalian! Salam Sejahtera.”
Begitulah usaha-usaha yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan pemimpin umat Islam demi membela nyawa dan maruah umat Islam. Sesungguhnya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda:“Seorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lainnya, maka janganlah dia menindas saudaranya dan jangan sekali-kali dia menyerahkan saudaranya yang lain kepada pihak yang menindas”.[HR Bukhari].
Kembalilah kepada sirah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam
Wahai muslimah yang berfikir!
Sejak terpadamnya cahaya kegemilangan Islam di Turki pada tahun 1924, pemimpin umat Islam yang manakah sanggup melakukan seperti apa yang telah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para Khalifah lakukan untuk melindungi kalian? Jawapannya tidak ada. Para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini adalah pemimpin khianat. Tatkala nyawa dan maruah umat Islam berada di hujung tanduk dengan ancaman pelbagai jenis jenayah, kekejaman dan penindasan di seluruh penjuru dunia, para pemimpin hina ini sibuk mengatur lawatan kepada musuh, sibuk mencari keuntungan berunding urusan perdagangan dengan bermanis muka dan berlembut lidah. Inilah hakikat pemimpin umat Islam! Sepatutnya dengan kuasa yang ada, mereka wajib memerintah dengan hukum Islam seperti Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintah. Diterapkannya sistem pendidikan Islam yang mendidik insan bertaqwa sehingga tiada yang berani menganiayai wanita khususnya dan umat Islam amnya kerana takutkan dosa. Diajarkannya sistem sosial Islam yang mewujudkan masyarakat amar ma’ruf nahi mungkar. Diamalkannya pula sistem politik Islam yang mewajibkan penguasa-penguasa umat Islam memimpin mereka dengan tali Allah. Sebaliknya pemimpin hari ini mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengeluarkan umat Islam daripada segala penderitaan dan ketakutan selain terus asyik dengan kenikmatan dunia dan berbaik-baik dengan musuh yang tidak akan henti-henti meratah umat Islam. Kita tidak mahukan pemimpin yang telah berpaling dari hukum Allah ini.
Sesungguhnya Allah telah menjelaskan bahawa siapa sahaja yang tidak mengimani Al Qur’an, membenarkan berita yang disebutkan di dalamnya, tidak meyakini perintah yang diwajibkan di dalamnya, dialah yang dikatakan berpaling daripada zikir pada Allah. Bahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengancam kepada orang yang berpaling dari zikir ini iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda bahwa orang tersebut akan diberikan penghidupan yang sempit di dunia dan akhirat. Allah berfirman:
“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan.” [TMQ Thaaha (20): 124-126].
Oleh itu, sanggupkah kita membiarkan pemimpin-pemimpin yang diancam Allah ini sama-sama mengheret kita ke dalam kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat?
Jadi, marikah kita telusuri semula sirah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam. Firman Allah Subhanahu wa T’aala: “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa”. [TMQ al-An’am (6): 153]
Sememangnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mencerminkan keperibadian Islam yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia dalam segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah” [TMQ al-Ahzab (33): 21].
Hakikatnya lagi, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bukan sahaja menunjukkan contoh peribadi yang baik sebagai suami, bapa, sahabat dan peniaga, tetapi baginda juga memetakan jalan bagi umat Islam dalam membentuk individu yang bertaqwa, menyampaikan Islam di tengah-tengah masyarakat kuffar, berjuang bersama kelompok sahabat mendirikan sebuah negara Islam dan seterusnya menerapkan segala syariat Allah di situ serta ke wilayah-wilayah yang lain. Pemimpin yang sebeginilah yang kita perlukan. Dia adalah Khalifah yang akan memerintah Daulah Islam suatu masa nanti seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam atas usaha kita. Inilah amanah yang telah diwariskan oleh baginda kepada kita. Sedarlah wahai umat Islam, jalan-jalan yang dipetakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam itu tidak akan pudar daripada sirah kerana ia wajib terus dilalui oleh umatnya.
Khatimah
Sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menghidupkan Islam di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyyah bukan semata-mata sejarah yang perlu diceritakan untuk memperingati baginda sempena sambutan kelahiran baginda setiap tahun. Ia sebenarnya adalah hukum yang tertaklif pada umat Muhammad untuk terus diamalkan. Bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya menyelamatkan malah melindungi maruah dan martabat wanita serta umat Islam daripada lembah jahiliyyah, begitulah kita umat Islam hari ini wajib lakukan. Daripada tahap pembinaan individu, penyatuan dalam kelompok dakwah kepada mendirikan daulah Islam, itulah jalan yang wajib dilalui oleh setiap individu untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah. Wallahu a’lam bisshawab.
Menghindari Anak-Anak dari Keasyikan Masa Kecil
Al-Ghazali menyatakan “Anak adalah amanah buat kedua ibu bapanya. Hatinya masih suci ibarat permata yang mahal harganya. Apabila anak-anak dibiasakan dengan perkara yang baik dan dididik serta diberi tunjuk ajar, nescaya dia akan membesar dengan sifat-sifat baik dan akan bahagia di dunia dan akhirat. Sebaliknya apabila anak dibiasakan dengan amalan-amalan buruk, dibiarkan begitu sahaja tanpa dihiraukan seperti yang berlaku dalam dunia haiwan, nescaya anak itu akan hancur dan binasa.”
Anak umpama sehelai kain putih. Apa-apa sahaja yang dicorak ke atas anak-anak ini pada permulaan kehidupan mereka, maka itulah yang akan membentuk perwatakan dirinya. Apabila yang pertama ditanam adalah warna agama dan keluhuran budi pekerti, maka akan terbentuk antibodi pada diri anak-anak yang akan akhirnya membentuk syakhsiyyah yang positif seperti benci kepada kesombongan, rajin beribadah, tidak melawan cakap orang tua dan seumpamanya. Sebaliknya, apabila warna agama dan keluhuran budi pekerti tidak menjadi perkara pertama dalam pembentukan anak-anak, maka yang muncul adalah antibodi yang menghalang pembentukan pengaruh positif seperti malas sembahyang, malas belajar, suka dipuji, angkuh dan sebagainya.
Alam kanak-kanak merupakan satu alam yang penting di mana di sinilah berlakunya pembentukan watak utama dalam diri kanak-kanak. Apabila seorang anak dibiarkan melakukan sesuatu yang kurang baik dan kemudiannya menjadi kebiasaan, maka sangat sukar untuk meluruskannya semula. Sebuah pepatah arab menyatakan:
“Barangsiapa membiasakan sesuatu semenjak kecil maka dia akan terbiasa dengannya hingga dewasa”
Para ulama mengatakan bahawa terdapat penyakit berbahaya yang biasa hinggap dalam kalangan anak-anak kecil yang disebut dengan penyakit “jununus shaba” (keasyikan di masa kecil) iaitu satu kecenderungan buruk, titik hitam kederhakaan dan bibit-bibit kesesatan pada anak-anak yang berasal daripada semaian syaitan. Penyakit ini kerap berjangkit pada anak-anak yang tidak ditanamkan pendidikan yang baik sejak daripada awal lagi.
Justeru, mendidik anak-anak daripada sejak kecil merupakan hal yang sangat perlu dan sangat mendesak. Setiap lapisan masyarakat khususnya ibu bapa tidak boleh mengabaikan hal ini. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka….” [TMQ: at-Tahrim (66):6]
Berkenaan ayat ini, Ali bin Abu Talib radiallahu anha berkata “Ajarlah dan didiklah anak-anakmu dengan pendidikan yang baik”
Hassan al-Bashri pula berkata, “Suruhlah mereka taat kepada Allah dan didiklah mereka ajaran kebaikan”.
Sementara sahabat, Abdullah bin Umar r.a berkata, “Didiklah anak-anakmu pendidikan yang baik kerana hal itu tanggungjawabmu, sementara kelak bila dewasa anak-anakmu bertanggungjawab untuk berbuat baik dan patuh kepadamu”.
Ayat di atas dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam.
“Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap kamu pasti akan diminta pertanggungjawaban dari gembalaannya. Seorang lelaki (ayah) adalah pengembala keluarganya dan akan diminta pertanggungjawaban dari gembalaannya” [HR Bukhari dan Muslim]
Fungsi utama pendidikan adalah melestarikan fitrah anak iaitu fitrah kebenaran, fitrah tauhid, fitrah berperilaku positif dan seumpamanya. Sejak lahir lagi seseorang kanak-kanak diberi instinct atau kecenderungan kepada kebaikan agar tertanam sebagai satu naluri dalam dirinya. Fitrah anak tersebut perlu melalui proses pendidikan yang tidak menyimpang. Di dalam al-Qur’an Allah berfirman:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yng lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” [TMQ ar-Rum (30):30]
Pendidikan anak-anak juga berfungsi agar kehanifan anak (kelurusannya dalam meniti kebenaran) tetap terjaga. Ia sentiasa rapat, dekat dan sekaligus tetap dengan kebenaran. Dengan izin Allah, cahaya hikmah akan selalu bersamanya dan dengan demikian segala tipu daya syaitan yang ingin menghindarinya daripada kehanifan itu dapat dijauhi. Dalam sebuah hadis qudsi dinyatakan:
“Sesungguhnya Aku mencipta hamba-hambaKu secara hanif (lurus, cenderung kepada fitrah, beragama Islam) seluruhnya. Sesungguhnya syaitan-syaitan datang lalu mengalihkan hamba-hambaKu itu dari agama mereka”. [HR Muslim]
Pihak yang bertanggungjawab penuh dalam aspek pendidikan anak-anak, tidak lain ialah kedua ibu bapanya. Ibu bapalah yang akan mengukir anaknya sendiri. Mereka juga yang menjadikan anak-anak mereka soleh (beriman) atau kafir. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Setiap bayi dilahirkan atas fitrah (tauhid, iman). Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” [HR Bukhari].
Oleh sebab itu, peranan ibu bapa yang amat dominan ini menuntut ibu bapa lebih serius dalam hal pendidikan anak-anaknya sehingga anak itu mampu menjadi generasi penerus yang teguh, kukuh dan kental keimanannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan hendaklah takut kepda Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah yang mereka khuatirkan terhadap kesejahteraan mereka….” [TMQ an Nisa’(4):9]
Ayat ini menyeru kepada ibu bapa agar tidak meninggalkan generasi penerus (anak-anak) yang lemah, bukan sahaja dari segi ekonominya, namun lebih parah adalah kelemahan dari segi mental dan spritualnya. Menurut pandangan akidah Islam, mental yang lemah daripada suatu generasi sangat dibimbangi dan perlu diambil berat dibandingkan dengan lemah dalam ekonomi. Jalan untuk mengukuhkan mental anak-anak ialah dengan memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak tersebut.
Persoalannya, pendidkan yang bagaimana yang perlu diberikan kepada anak-anak? Cukupkah dengan hanya menghantar anak-anak ke sekolah, pagi bersekolah aliran akademik, petangnya pula bersekolah aliran agama? Manakala di waktu lapang pula, anak-anak asyik menghabiskan masa di hadapan televesyen. Menonton pelbagai siaran dan rancangan, daripada cerita-cerita kartun yang menjadi pujaan dan kebanggan mereka sehinggalah kepada cerita seram tahyul yang merosakkan akidah mereka. Kesemua unsur tidak sihat ini menyerap dalam minda anak-anak dengan begitu pantas, sekaligus mencorak pemikiran anak-anak dengan third class mentality. Ke mana hilangnya kesedaran ibu bapa untuk mendidik kecintaan kepada al-Qur’an dalam jiwa anak-anak mereka?
Menanamkan Anak Dengan Kecintaan Kepada Al-Qur’an
Untuk menghindari penyakit jununus shaba (keasyikan semasa kecil) sekaligus melestarikan fitrah dan kehanifan anak serta meningkatkan mentaliti keimanan, maka satu-satunya jalan yang diajarkan oleh Islam adalah melalui usaha menanamkan pada anak-anak pendidikan yang berorientasi kecintaan terhadap al-Qur’an sejak kecil lagi.
Ibnu Khaldun menunjukkan pentingnya menanamkan pendidikan al-Qur’an kepada anak-anak ini. Menurutnya, pendidikan al-Qur’an merupakan asas seluruh kurikulum pendidikan di dunia Islam kerana al-Qur’an merupakan syiar agama yang mampu menguatkan aqidah dan mengukuhkan keimanan.
Ibnu Sina juga menasihati agar memberi tumpuan pendidikan al-Qur’an kepada anak-anak. Menurutnya, segenap potensi anak, baik jasmani mahupun akal, hendaklah dicurahkan untuk menerima pendidikan utama ini agar anak-anak mendapatkan bahasa asalnya dan juga supaya aqidah akan meresap dan tertanam dalam jiwanya.
Dengan menanamkan kecintaan anak terhadap al-Qur’an sejak kecil, maka kecintaan itu akan bersemi pada masa dewasanya kelak, mengalahkan kecintaan anak terhadap hal yang lain. Hal ini sangat penting kerana masa kanak-kanak itulah masa pembentukan watak yang utama.
Misalnya, generasi para sahabat, sebaik sahaja diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dengan al-Qur’an, mereka segera mendidik putra-putri mereka dengan kitab teragung sepanjang sejarah kehidupan umat manusia ini. Maka, lahirlah setelah itu revolusi generasi umat manusia dengan hadirnya generasi tabi’in, generasi pelanjut yang istimewa dalam mencintai al-Qur’an, barakah daripada penanaman kecintaan kepada al-Qur’an sejak kecil.
Bilakah Masa Untuk Mendidik Anak dengan Al-Qur’an?
Bilakah seseorang anak itu sebenarnya bersedia untuk dididik dengan al-Qur’an? Secara idealnya anak menerima pendidikan al-Qur’an secara formal pada usia 4-6 tahun. Mengapa usia ini dianggap ideal? Ini kerana pada usia 7 tahun, anak telah ditekankan untuk dilatih dengan solat di mana di dalam solat memerlukan kelancaran bacaan al-Qur’an seperti surah al-Fatihah dan surah-surah pendek lainnya serta bacaan doa-doa. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Suruhlah anak-anakmu menjalankan solat dalam usia tujuh tahun, pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika masih enggan mengerjakan solat) dan pisahkanlah tempat-tempat tidur di antara mereka”. [HR Abu Dawud]
Al-Qasthalani menceritakan dalam bukunya Irsyadus Sari bahawa sahabat Abdullah bin Abbas atau yang dikenal dengan Ibnu Abbas telah menghafal al-Qur’an sedangkan usianya masih muda. Sementara Sufyan bin Uyainah telah mampu menghafal al-Qur’an pada usia 4 tahun. Imam Shafi’e pada usia 7 tahun dan Ibnu Hajar al-Asqalani pada usia 9 tahun. Jika pada seawal umur begini mereka telah mampu menghafal al-Qur’an bolehkah kita bayangkan seawal usia berapa tahun pula mereka sudah mula dididik dengan al-Qur’an?
Sebenarnya sebelum usia 4-6 tahun pun, anak-anak sudah dapat dididik dengan al-Qur’an, hanya saja tekniknya ialah secara tidak formal, misalnya dengan memperdengarkan bacaan aya-ayat suci al-Qur’an, melatih mengeja dan kegiatan pra membaca yang lainnya.
Menurut pakar psikologi pendidikan, menjelang usia dua tahun, anak-anak sudah mula memiliki kemampuan untuk memberi atau mengenal nama benda-benda. Sementara daripada usia dua hingga tiga tahun, anak sudah pun memiliki persediaan untuk membaca. Pada usia ini, anak kelihatan seolah-olah suka meniru. Oleh itu, apabila ibu bapa memperdengarkan bacaan al-Qur’an atau melatih mengeja secara berulang-ulang, bacaan itu akan mudah diserap atau dirakam oleh otak anak.
Perlu juga diperhatikan bahawa di usia awal kanak-kanak, anak-anak cepat menjadi bosan. Untuk itu perlu dihindarkan faktor-faktor yang boleh membuat anak-anak bosan atau lari terus daripada pendidikan yang sedang diajarkan kepada mereka, terutamanya dalam pendidikan al-Qur’an. Ibu bapa atau pendidik al-Qur’an hendaklah menimbulkan kesan yang menarik lagi indah bagi anak-anak pada awal-awal masa pendidikan hingga mampu menarik minat mereka untuk belajar al-Qur’an dan akan sentiasa belajar dengan penuh bersemangat dan gembira.
Dunia anak-anak adalah dunia bermain. Ada bahaya yang sangat besar jika ibu bapa atau pendidik al-Qur’an mengabaikan hal ini. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin mengatakan, “Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri dari keadaan ini”
Untuk mengatasi hal ini, ibu berperanan memberi motivasi kepada anak-anak, tidak dimarahi malah hendaklah disayangi, tidak dicela sebaliknya hendaklah dibelai dengan kasih sayang. Anak juga tidak diberikan beban kerja yang berlebihan daripada kemampuannya. Anak-anak seharusnya diberi kesempatan bermain, bercerita dan seumpamanya. Sesekali anak juga perlu diberi rehat seumpama percutian bersama keluarga dan seharusnya dielakkan daripada banyak menonton rancangan di televesyen. Wallahu a’lam bisshawab.
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّ سَمْعِىْ، وَمِنْ شَرِّ بَصَرِىْ، وَمِنْ شَرِّلِسَانِيْ، وَمِنْ شَرِّقَلْبِيْ، وَمِنْ شَرِّ قَلْبِيْ، وَمِنْ شَرِّمَنِيِّيْ.
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari keburukan pendengaranku, kejahatan penglihatanku, keburukan lidahku, keburukan hatiku dan keburukan air maniku. [HR.Abu Dawud no.1551, at-Tirmidzi no.3492]
اَللَّهُمَّ جَنِبْنِيْ مُنْكَرَاتِ اْلأَخْلاَقِ، وَاْلأَهْوَاءِ، وَاْلأَعْمَالِ، وَاْلأَدْوَاءِ.
“Ya Allah, jauhkanlah aku dari berbagai kemungkaran akhlak, hawa nafsu, amal perbuatan dan segala macam penyakit. [HR Al-Hakim dan dia mengatakan hadits tsb sahih dgn syarat Muslim]
َاللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّمَا عَمِلْتُ، وَمِنْ شَرِّمَالَـمْ أَعْمَلْ.
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari keburukan apa yang telah aku kerjakan dan dari keburukan apa yang belum aku kerjakan” . [HR.Muslim(4/2085) no. 2716]