Fikratul Ummah – Februari 2009

 

Dari Lidah Pengarang
Gadis Melayu vs Wanita Muslimah
Meraih Cinta Sejati
Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 2)

 

 

Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Muslimah yang dirahmati Allah,

Kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestine masih belum berakhir. Buletin Utama TV3 pada 18hb Februari 2009 menyatakan bahawa Presiden Amerika ke-44 yang baru dilantik pada tanggal 20 Januari 2009 lepas nampaknya telah mula menunjukkan taring apabila menghantar lebih 3,000 anggota tentera negara Uncle Sam itu ke Afghanistan. Ketika ramai umat Islam merasakan bahawa dengan bantuan derma, doa serta solat hajat akan terbit sinar di penghujung terowong yang mana dengannya, penderitaan rakyat Palestine akan sirna dan benih-benih kebahagiaan akan menyinari negara kecil yang bersempadan dengan Mesir itu, sebahagian umat Islam telah mula lali dengan babak-babak duka yang menyelubungi rakyat di bumi anbiya itu. Krisis kewangan dan senario ekonomi dunia yang semakin merudum ini seakan membuai kebimbangan umat Islam kepada permasalahan ‘survival’ ekonomi mereka semata-mata, seolah-olah isu-isu lain seperti permasalahan yang melanda saudara seagama di belahan dunia yang lain tidak menjadi keutamaan untuk difikirkan dan dicari jalan penyelesaiannya. Kepada kaum wanita pula, sebahagian mereka lebih cenderung memikirkan isu-isu berkaitan kaum Hawa sahaja.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini akan mengangkat dua isu iaitu artikel Gadis Melayu vs Muslimah Sejati dan Meraih Cinta Sejati. Artikel Gadis Melayu vs Muslimah Sejati ini diharapkan akan memberi pencerahan kepada Muslimah tentang program realiti pencarian Gadis Melayu yang dianjurkan oleh TV9. Manakala artikel berjodol Meraih Cinta Sejati ini merupakan satu peringatan kepada Muslimah tentang cinta yang merupakan suatu perasaan yang boleh mendorong seseorang untuk meraih pahala seandainya landasan perbuatannya adalah demi dan semata-mata kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Fikratul Ummah juga menyajikan bahagian kedua artikel terjemahan iaitu Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah yang mana isikandungnya tertumpu kepada posisi wanita yang amat menyedihkan yang dipaparkan dalam banyak tamadun dunia seperti China, India, Jepun, Parsi, Turki dan sebagainya.

Wallahu a’lam bisshawab.


Gadis Melayu vs Wanita Muslimah.

Setiap negeri kami jelajahi,
  Mencari Gadis Melayu Sejati
  10 Finalis Berjaya ditemui
  Siapakah bakal memikat dihati

Begitulah bunyi serangkap pantun yang tertera di atas surat jemputan sebagai menandakan  usaha stesen televisyen Dekat Di Hati, TV9 untuk mencari siapakah yang bakal dinobatkan sebagai Gadis Melayu sejati. Hampir tiga bulan ujibakat Gadis Melayu dijalankan di seluruh pelusuk Malaysia seperti Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. Daripada keseluruhan 1000 peserta yang hadir, hanya 10 calon sahaja yang terpilih untuk menyertai sebuah lagi rancangan realiti terbaru terbitan TV9 ini. Menariknya, peserta yang hadir mendapat sokongan serta dorongan daripada ahli keluarga mereka.

Bagi memperkenalkan 10 gadis bertuah ini, satu majlis telah disusun rapi dalam suasana yang penuh adat istiadat kemelayuan, lengkap dengan pantun seloka hasil susun kata pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) Ahmed Fedtri Yahya, menjadikan acara memperkenalkan 10 peserta akhir program realiti ini lebih bermakna dan ceria.Bukan sahaja dari segi atur cara majlis, malah lokasi yang dipilih iaitu di sebuah Banglo Mewah, Villamay yang berkonsepkan Bali dan adat pusaka Melayu ini turut membantu menyemarakkan lagi majlis ini.

Sebelum majlis bermula, hadirin dan tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian kanak-kanak dari kumpulan Tunas Budaya Kuala Lumpur dan diikuti dengan tayangan audio visual yang memaparkan aksi rombongan datang meminang yang dijayakan pelakon terkenal tanah air sebagai satu cara untuk memaklumkan bahawa mereka telah berjaya dipilih sebagai peserta diperingkat akhir rancangan ini. Banyak pihak mengakui bahawa sebaik sahaja melihat 10 peserta ini berbaris di hadapan tetamu, tidak dapat dinafikan dari segi fizikal masing-masing mempunyai kecantikan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kecantikan bukanlah faktor utama untuk memenangi pertandingan ini. Apa yang penting adalah keterampilan diri mereka ketika berdepan dengan orang ramai, berjaya ketika diuji ilmu pengetahuan dan asas agama mereka.

Sebagai contoh, mereka diuji dari segi pengetahuan berzanji selain jati diri Melayu yang lain seperti bersilat. Walaupun mereka perlu melalui pelbagai ujian yang berkaitan kehidupan gadis Melayu, namun apa yang dicari ialah Gadis Melayu Kontemporari yang dapat disesuaikan dengan zaman ini, jelas Penerbit Eksekutif Pencarian Gadis Melayu, Ezzah Aziz Fawzy pada sidang media lepas.
Apabila ditanya, apakah bentuk cabaran yang perlu dilalui oleh gadis Melayu ini, Ezzah berkata mereka akan diberi tugasan seperti merancang ekonomi keluarga yang menjadi perkara asas dalam kehidupan berumah tangga serta mengendalikan acara yang dikehendaki pelanggan. “ Biasalah kerenah pelanggan ini bermacam-macam. Jadi dari situ kita boleh lihat sejauh mana kesabaran mereka dalam berdepan  dengan pelbagai situasi yang tidak diduga,” ujar Ezzah lagi, sambil mengakui pihaknya memikul tanggung jawab yang besar apabila mengendalikan program realiti seperti ini yang amat berbeza formatnya berbanding program realiti yang lain. Ezzah berkata dengan dibantu mereka yang profesional, mereka akan berusaha memastikan juara rancangan ini mampu menjadi contoh yang baik kepada Gadis Melayu lain.

Setelah lebih tiga bulan melalui tugasan mencabar, gelaran Ikon Gadis Melayu nampaknya berpihak kepada Khairul Noormaidah Zali atau lebih mesra dengan panggilan Aida. Beliau telah berjaya memukau juri profesional dan penonton menerusi persembahan ‘dramatik’ yang dipamerkannya pada peringkat akhir program realiti terbitan TV9 itu di Auditorium MBSA yang lalu.

Peserta berusia 23 tahun itu berjaya mengalahkan empat lagi finalis lain. Apa yang pasti, kemenangannya pada malam itu menepati ramalan ramai setelah Aida mempamerkan persembahan yang menarik dengan bacaan puisi bertemakan kasih sayang kepada ibu bapa serta turut diselitkan elemen drama memaparkan balasan Tuhan terhadap anak derhaka. Beliau juga telah memukau penonton yang hadir apabila turut menyanyi ‘rap’ dalam Bahasa Arab  dalam persembahannya itu bersama artis jemputan, Akhbar.

Aida juga cukup berkeyakinan ketika menjawab soalan oleh seorang juri profesional malam itu, iaitu Pakar Bahasa dan Karyawan Tamu di Akademik Pengajian Melayu, Universiti Melaya,Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim tentang tiga ciri utama yang diperlukan untuk melayakkan diri merangkul gelaran ikon Gadis Melayu.

Dengan kemenangan tersebut, Aida berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000 serta produk-produk kecantikan dan kesihatan. Aida juga ditawarkan menjadi wartawan penyiaran di TV9  sebaik sahaja tamat menjalani latihan praktikal pengajiannya bulan April nanti.

Kini, Malaysia dapat berbangga kerana masih memiliki Gadis Melayu yang menepati ciri-ciri kemelayuan yang asli. Bak kata Hang Tuah “Tidak Melayu Hilang Di Dunia”. Walaupun dalam 1000, hanya seorang yang menepati ciri-ciri kemelayuan yang ideal yang masih mengamalkan adat Melayu walaupun berperwatakan moden, yang masih terserlah kecantikan asli walaupun di selaputi aksesori, yang mempunyai kemahiran dalam mengurusi ekonomi keluarga, berpersonaliti serta punya didikan agama.

Ikon Gadis Melayu ini akan menjadi ikutan bagi gadis Melayu yang kurang memiliki ciri-ciri Melayu asli agar tetap dapat mengamalkan adat-adat ketimuran dan meninggalkan jauh adat-adat kebaratan. Seperti kata Aida, “Adapun, saya sedar selepas ini saya perlu pikul tanggungjawab yang berat dengan gelaran seperti ini. Dengan kepercayaan yang telah diberikan saya harap, saya akan dapat menjadi insan yang lebih baik” katanya sejurus selepas berakhirnya program tersebut.

Apakah dengan berakhirnya program ini, dan setelah ditemui seorang Gadis Melayu Sejati, masyarakat Melayu akan berpuas hati dengan ciri-ciri kemelayuan yang diberikan? Apakah pencarian ini memberi impak kepada majoriti gadis Melayu sama ada yang punya ciri kemelayuan atau kurang? Adakah jika dia berbangsa Melayu tapi tidak mempunyai kecantikan, tidak mempunyai kepandaian, tidak mempunyai kepetahan berkata-kata, tidak berapa pandai dalam pergaulan, malu dalam memberi persembahan di khalayak ramai, tapi mempunyai pendidikan agama yang tinggi, adakah Gadis ini tidak lagi di anggap Gadis Melayu? Jadi gelaran apakah yang hendak diberikan kepada gadis ini? Sedangkan bangsa seseorang itu tidak pernah boleh diubah. Kalau Melayu, Melayulah dia, kalau Arab, Arablah dia. 

Persoalan di sini, adakah Gadis Melayu ini menepati ciri-ciri wanita Muslimah yang  digambarkan dalam Islam?

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa sering dikaitkan dengan kaum Hawa. Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukum-hakam-Nya ke atas makhluk yang dianggap kaum yang lemah ini. Walaupun berat pada pandangan mata sijahil dan sang ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dinikmati oleh wanita solehah.

Oleh sebab itu, sebagai anak, dia akan berusaha menjadi anak yang solehah. Sebagai remaja, dia akan menjadi remaja yang berhemah. Sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya. Sebagai ibu dia akan mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang supaya anak itu membesar menjadi insan yang solehsolehah, dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 24 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh, samada lelaki mahupun wanita sedang dia seorang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiya walau sedikit pun.” [TMQ An Nisaa:24]

Ciri-ciri Muslimah Sejati
Seorang Muslimah sejati bukanlah dilihat dari kecantikan dan keayuan paras wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil, akan tetapi Muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya dalam mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya sebagaimana hadis Rasulullah:  “Allah tidak melihat kepada tubuh kalian, Allah hanya melihat kepada hati dan perbuatan kalian.” [ HR Muslim ].

Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersonakan, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersonakan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak manakah kebaikan yang diberikan, tetapi dari keikhlasan ketika dia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari betapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat dari apa yang sering dibicarakan oleh mulutnya. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari keahlian bahasanya, tetapi dilihat dari bagaimana cara dia menggunakan bahasa dalam berhujah menegakkan kebenaran.

Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.” [TMQ An-Nur (24): 31]

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan Yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata Dengan lembut manja (semasa bercakap Dengan lelaki asing) kerana Yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang Yang ada penyakit Dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah Dengan kata-kata Yang baik (sesuai dan sopan).”[TMQ Al-Ahzab (33): 32]   

Selain itu, Muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya  mengenakan busana hebat tetapi dilihat dari sejauh mana dia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuatirannya digoda orang di jalanan, tetapi dilihat dari kekhuatiran dirinyalah yang mengundang orang lain tergoda. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang dijalani tetapi dilihat dari sejauh mana dia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada Tuhannya. Dia juga sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan. Selain itu, Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul, tetapi dilihat dari sejauh mana dia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.

Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya” [HR at- Tabrani dan Baihaqi]

Antara contoh Muslimah sejati
Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah Subhanahu wa Taala. Malah Rasulullah Sallalahu alaihi Wasallam memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Dunia ini penuh dengan perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah.” [Hadis Riwayat Muslim]

Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini. Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan dengan itu, Baginda Rasulullah  bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda.” [Hadis Riwayat Bukhari]

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Yang Esa. Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Manakala Khadijah pula adalah simbol isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya, serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan di atas bahu Rasulullah.

Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita solehah: anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah tokoh seluruh wanita dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya, wajarnya dijadikan ikutan para Muslimah.

Selain dari yang tertera dalam hadis di atas, Asma binti Abu Bakar adalah sosok seorang Muslimah sejati. Dia adalah puteri dari seorang sahabat Rasulullah yang mulia iaitu Abu Bakar As-Siddiq. Dia menekuni ajaran suci Illahi yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam tanpa keraguan sedikitpun di dalam hatinya. Nilai-nilai Islam yang begitu  kuat dalam jiwanya mampu membentuk keperibadian yang teguh, pandangan hidup, sikap serta cita-cita yang lurus.

Kematangan peribadinya terserlah tatkala dia berusaha sedaya upaya dan sanggup bersusah payah membantu perjalanan besar Rasulullah yang disertai ayahnya dari Mekah menuju Madinah. Dalam peristiwa yang paling bersejarah itu, Asma telah memperlihatkan semangat pengorbanannya yang luar biasa. Dia turut memantau perkembangan keamanan di sekitar kota Mekah, jatuh dan bangun sewaktu melintasi padang pasir dan menaiki bukit  sambil membawa bekal makanan dan maklumat berharga bagi Rasulullah dan ayahnya yang ketika itu sedang menyembunyikan diri dari dikejar kaum Quraisy di gua Tsur. Dengan cerdiknya dia berkemas dan mengikat segala persiapan hijrah di atas punggung unta. Untuk melakukan itu, dia telah mengoyak ikat pinggangnya. Sejak itulah dia terkenal dengan julukan Dzat-Nitaqaini – “Sipemilik Dua Tali Pinggang“.

Dalam usia yang masih  remaja, Asma binti Abu Bakar telah mampu untuk memahami betapa pentingnya erti hijrah Rasulullah tersebut. Beliau sanggup menutup mulutnya ketika Abu Jahal secara paksa mengancamnya agar dia memberitahu dimana persembunyian Rasulullah dan ayahnya. Ketika Abu Jahal bertanya “Dimana ayahmu ?” dia hanya menjawab dengan singkat, “Aku tidak tahu !”. Berulang kali Abu Jahal menanyakan hal yang sama, bahkan dia mengancam akan menyiksa Asma. Namun dengan berani dan tabah Asma menjawab, “Tidak tahu!” Ketika ketidaksabaran Abu Jahal memuncak, dia menampar muka Asma  dengan kuat hingga saudara perempuan Ummul Mukminin Saidatina Aisyah radiallahu anha itu merasakan pedih yang amat sangat di telinganya. Namun pukulan dan pelbagai ancaman itu bukanlah sesuatu yang membawa kesan kepada “Sipemilik dua tali pinggang” ini hingga mampu menggugat pendiriannya. Akhirnya Abu Jahal dan rakan-rakannya bosan dengan ketegasan ibunda Abdullah bin Zubair ini lalu pergi meninggalkannya.
Asma telah melalui masa remajanya dengan berusaha kuat untuk menjaga dirinya dari kotoran-kotoran  tradisi jahiliyah. Sebagai isteri dari seorang mujahid agung iaitu Zubair bin Awwam, dia telah memperlihatkan kesetiaannya yang begitu mengagumkan. Dengan setia dia mengikuti suami, bersama-sama menyibukkan diri dengan perjuangan dan penyebaran Islam. Tetapi kesibukannya itu tidaklah membuat dirinya lupa terhadap puteranya yang merupakan amanah dari Allah. Dia begitu tekun memelihara dan mendidik puteranya, Abdullah bin Zubair, dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Dia melaksanakan tugas-tugas sepanjang hidupnya dengan penuh kebanggaan, cinta dan pengorbanan hingga akhir hayatnya. Ketika usianya menjangkau 100 tahun yang mana kedua matanya sudah tidak mampu lagi melihat,  dia masih mampu memberikan pandangan dan dorongan kepada puteranya yang akan pergi berjuang.
Kalau kau yakin, kau diatas kebenaran, kemudian kau saksikan penderitaan dan kesulitan orang-orang yang menempuh jalan itu, apakah engkau akan menjadi lemah? Demi Allah ini bukanlah sikap orang-orang yang merdeka, dan bukan sikap mukmin yang sejati. Berapa lama engkau akan tinggal di dunia ini ? Syahid adalah jauh lebih mulia … !”
Abdullah bin Zubair yang ketika itu merasa bimbang tatkala pengikutnya satu-persatu mulai meninggalkannya, langsung bangkit menyahut panggilan mulia itu tanpa sedikit keraguan hingga menemui syahid di jalan-Nya. Itulah Asma, yang dalam usia yang sangat lanjut masih mampu memperlihatkan karismanya sebagai seorang Muslimah sejati. Kepada beliau yang wafat pada usia yang 100 tahun iaitu tahun 73 setelah hijrah, mudah-mudahan Allah selalu melapangkan tempatnya di akhirat kelak.

Demikianlah antara beberapa sosok Muslimah yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Adakah Gadis Melayu sejati jelmaan rancangan TV9 ini bertepatan dengan  model wanita Muslimah ataupun Gadis Melayu sejati ini tak ubah seperti gadis-gadis lain yang hanya mempamerkan kecantikan untuk meraih keuntungan duniawi semata?

Khatimah
Serangan virus Sekuler-Kapitalis yang menjangkiti ramai umat Islam telah membawa mereka semakin hari semakin jauh dari Deen yang mulia ini sehingga menyebabkan ikon atau idola yang dicari bukanlah dipilih berdasarkan ciri-ciri sahabiyah yang mulia tetapi ikon atau idola Muslimah dilihat hasil acuan budaya hedonisme. Sesungguhnya hanya dengan kembali kepada ajaran Islam, Muslimah akan dapat membezakan kaca dan permata sehinggaa idola yang disanjung bukanlah kerana keterampilan fizikal sebaliknya berdasarkan ketaqwaan mereka semata-mata. “Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa..”  [TMQ Al-Hujurat ( 49 ): 13].

Wallahu A’lam.



MERAIH CINTA SEJATI

Sekuntum mawar merah….sebuah puisi ….untuk gadis pilihan….di bulan Februari….”  Pastinya ramai yang pernah mendengar bait-bait merdu lirik lagu nyanyian kumpulan Alleycats yang digubah oleh penggubah tersohor negara, M.Nasir.  Lagu malar segar ini seolah-olah tidak dapat dipisahkan dengan kedatangan bulan Februari yang di dalamnya ada sambutan satu hari khas yang dinamakan Hari Kekasih.  Umum telah mengetahui Hari Kekasih disambut sempena memperingati pengorbanan cinta Saint Valentine. Maka, ungkapan lazimnya diucapkan pada hari tersebut ialah “Happy Valentine’s Day”.

Dalam keghairahan stesyen-stesyen televisyen menyajikan program dan rancangan yang menonjolkan manifestasi cinta sesama manusia, kita mendapati cinta kepada manusia yang tidak dilandasi dengan ketaqwaan kepada Allah bakal mengundang binasa.  Akhbar Harian Metro pada 17hb Februari 2009 melaporkan bahawa akibat tertekan dengan khabar angin kononnya suami akan berkahwin lagi, seorang wanita sanggup meminum cecair pencuci lantai hingga meragut nyawanya.  Alangkah malangnya mengorbankan nyawa sendiri kerana dorongan cinta yang tidak dilandasi taqwa.

Secara umumnya walaupun sambutan dan kemeriahan Hari Kekasih lebih sinonim di kalangan remaja, kita bersyukur kerana sentiasa ada golongan yang tidak jemu untuk memperingatkan kepada semua tentang hukum sambutan hari tersebut.  Sudah jelas bagi golongan yang berfikir dengan akal yang waras bahawa hukum menyambutnya adalah haram kerana unsur tasyabuh bil kuffar – menyerupai orang kafir.  Ianya adalah budaya orang-orang Nasrani yang langsung tidak ada kena mengena dengan agama Islam yang syumul.  Ibnu Umar berkata: “Rasulullah Sallalahu alaihi wasallam bersabda: ”Barang siapa menyerupai suatu kaum maka dia termasuk golongan mereka “ [HR. Abu Dawud]. Justeru mengapa masih ada golongan yang terus menyambut hari kekasih?  Tidakkah mereka sedar bahawa cinta yang sejati lagi hakiki, malah boleh dikatakan cinta yang agung ialah kepada Allah Subhanahu wa Taala?

Sejenak kita renungkan firman Allah: “Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah.  Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal).” [TMQ Al-Baqarah (2):165]

Mencari cinta Allah
Sungguh Allah telah golongkan orang-orang yang mencintai Allah dalam golongan orang-orang yang beriman.  Justeru, cuba kita tanyakan beberapa persoalan kepada diri kita sendiri: sejauh manakah cinta kita sebagai hamba kepada Allah?  Jika kita mengatakan bahawa cinta kita kepada Yang Maha Esa ini mengatasi segalanya, apakah bukti cinta kita itu? Atau adakah kita sebenarnya lebih cinta kepada pasangan hidup kita, harta, anak-anak dan segala kemewahan dunia?  Untuk menilai cinta dan kasih kita kepada Allah, elok sekiranya kita perincikan satu persatu persoalan tadi sekaligus bertindak sebagai penunjuk aras di manakah sebenarnya diri kita. Layakkah kita mengaku kita telah kasih dan telah cinta kepada Allah?

Sejauh mana cinta hamba kepada Allah dan Rasul-Nya?
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, mereka sentiasa patuh dengan perintah Allah, mereka mengerjakan apa yang Allah wajibkan ke atas mereka dan mereka tinggalkan apa yang dilarang Allah.  Kepatuhan ini didorong oleh kesedaran yang tinggi akan amaran yang diberikan Allah supaya tidak meninggalkan ajaran Islam kerana jika mereka melakukannya, Allah Subhanahu wa Taala akan memusnahkan mereka seluruhnya dan menggantikan mereka dengan suatu kaum yang dicintai Allah dan Allah juga mencintai mereka.  Allah berfirman yang maksudnya ”Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang Kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberiannya), lagi Maha Mengetahui” [TMQ Al-Maidah (5):54].

Rata-rata masyarakat hari ini mengatakan mereka cinta kepada Rasul, tetapi bagaimana?  Paling jelas, setiap tahun tatkala 12 Rabiul Awal menjelma mereka menunjukkan cinta kepada Rasul dengan menyambut Maulidurrasul.  Persoalannya cukupkah bukti cinta kita hanya dengan sambutan itu semata-mata?  Ironinya semasa hayat Rasulullah tidak pernah seorang pun dari para sahabat menyambut tarikh kelahiran Nabi.  Justeru di manakah relevannya sambutan itu jika tidak disertai dengan penghayatan kepada pahit getirnya perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Deen Allah di muka bumi ini?.
Dalam ayat lain Allah berfirman: “Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[TMQ Ali-Imran:31]

Sesiapa yang mencintai Allah, maka hendaklah dia mengikut apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah.  Antaranya, yang paling relevan dengan kedudukan Islam yang sentiasa ditindas mutakhir ini ialah contoh bagaimana perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Islam.  Pengorbanan yang Rasulullah lakukan di jalan Allah sehingga tertegaknya kalimah Allah di muka bumi, sehingga Islam menguasai satu pertiga dunia, sehingga Islam digeruni oleh semua musuh-musuhnya.  Semua itu menuntut satu pengorbanan yang besar.

Berkorban di jalan Allah
Allah  berfirman: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” [TMQ At-Taubah (9):111].

Persoalannya setakat manakah kesanggupan kita sebagai hamba untuk berkorban jiwa dan harta kita di jalan Allah?  Sanggupkah kita menegur pemimpin yang telah leka dibuai oleh arus sekularis-kapitalis yang hanya mementingkan diri dan kepentingan mereka?  Sanggupkah kita menyeru sekelian umat untuk kembali menghayati kehidupan Islam dengan menerapkan syariat Islam dalam kehidupan?  Sanggupkah kita membetulkan segala sistem yang telah rosak ini dan menggantikannya dengan sistem Islam?  Kesemua ini menuntut kita untuk melakukan sesuatu dan bukan hanya berdiam diri dan terus menunggu dengan mengatakan “..itu bukan tugas aku…”, “…itu tugas orang-orang yang berilmu…”.

Sebenarnya apa yang membuat kita tidak sanggup?  Apakah sebenarnya yang lebih kita cintai?  Allah berfirman: “dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.”[TMQ Al-Fajr: 20].
Renungkanlah firman Allah: “Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”[TMQ  Muhammad (47):7].

Cinta Allah vs Cinta Manusia.
Di dalam satu ayat, Allah berfirman: “Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”[TMQ At-Taubah: 24].

Ramai antara kita yang lebih cinta kepada pasangannya jika dibandingkan dengan cinta kepada Allah.  Jika kita cinta kepada manusia, manusia akan mati, sebaliknya jika cinta kepada Allah, Allah tetap ada, cinta itu adalah cinta hakiki.  Dari Anas bin Malik radiallahu anhu., dia berkata: Saya mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Allah berfirman : “Wahai anak Adam (manusia), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengharap kepadaKu, Aku memberi ampunan kepadamu terhadap apa (dosa) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampunan kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu niscaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi” [Hadits ditakhrij oleh Tirmidzi].

Cinta sesama manusia bersifat rapuh dan sementara.  Misalnya dalam sebuah perkahwinan, walau dipupuk dengan penuh cinta dan kasih sayang, tidak mustahil cinta itu akan sirna.  Sisuami misalnya akan cinta kepada isteri selagi kulit masih gebu.  Bila sudah berkedut, maka dia akan mencari isteri muda.  Di sini si isteri akan melakukan apa saja untuk mendapatkan cinta yang kian padam itu tadi hingga sanggup melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.  Itulah hakikat cinta manusia.

Paling parah jika isteri tadi memberontak dengan si suami dan cuba mencari kepuasan di luar.  Fenomena ini semakin lazim dalam dunia metropolitan hari ini.  Kalau dulu berpantun, bunyinya santun…nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan....ibarat sekali air bah, pantai turut berubah. Kini, nasi lemak nasi kerabu, abang tak nak, saya pun tak mahu…. Akhirnya keluarga porak peranda, rumah tangga entah ke mana.

Bagi suami yang suka menjalin kasih sayang berangkai, satu isteri belum berpada.  Paling tidak, akan ditambah dua atau tiga.  Isteri yang menyedari cinta manusia bersifat rapuh, tidak akan mudah tertekan menghadapi keadaan tersebut kerana cintanya telah disalurkan kepada cinta hakiki, iaitu cintanya hanya kepada Allah dan semata-mata kerana Allah.  Manusia datang dan pergi tapi Allah tetap abadi.  Justeru soal poligami bukanlah satu perkara yang mematahkan semangat mereka untuk hidup.  Bagi si suami pula, jika mereka benar-benar memahami tugas dan tanggungjawab yang besar bakal menanti mereka, mereka tidak akan dengan mudahnya membuat keputusan untuk berkahwin lebih dari satu.

Khatimah
Kesimpulannya, cinta dan kasih manusia yang sebenarnya hendaklah kepada al-Khaliq, Tuhan yang Maha Berkuasa.  Dengan cinta dan kasih sayangnya kita wujud di dunia ini, demikian juga halnya dengan perasaan cinta dan kasih sayang, ianya dipinjamkan oleh Allah kepada kita untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya.  Cinta dan kasih kepada makhluk hendaklah didasari rasa taqwa, bukan emosi dan nafsu semata.  Apa yang penting, seorang Muslim itu memahami bahawa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya tidak cukup sekadar mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya dalam urusan ibadah khusus semata-mata sebaliknya manifestasi kecintaan kepada Allah dan RasulNya itu ditunjukkan dengan usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam (isti’naf fil al-hayati al-Islam) sehingga pada akhirnya, sebuah negara (Islam) tertegak dan seluruh hukum-hakam terlaksanakan secara kaffah.  Manifestasi cinta itu juga dizahirkan tidak hanya dengan membenci perayaan orang-orang Kafir, tetapi dia juga menunjukkan penentangan dan kebencian kepada ideologi dan pemikiran Kuffar-Barat termasuk sistem politik, pemerintahan dan cara hidup yang terbit dari undang-undang Barat dan undang-undang buatan manusia (man-made laws). Manifestasi kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya melalui perjuangan kearah penegakkan sebuah negara (daulah khilafah) ini memerlukan pengorbanan yang amat tinggi, maka perasaan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya yang amat mendalam, yang melebihi cinta kepada selain keduanya akan menjadi pemangkin kepada seorang Muslim itu untuk menzahirkan tujuan penciptaanNya dimuka bumi ini bukan hanya untuk beribadat kepada-Nya tetapi dia juga menunjukkan cintanya itu dengan kesanggupan dan kesediaan untuk diuji.
 ”Dia lah yang telah mentakdirkan mati dan hidup (kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun”  [TMQ Al-Mulk (67):2].
Wallahu’alam.



Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 2)

Wanita Dalam Tamadun Cina
Dalam tamadun Cina, wanita digelar “Air penyakit yang mencuci dan menyapu masyarakat dari kebahagiaan dan harta”. Kaum lelaki menganggap wanita jahat dan digunakan hanya untuk melayan kehendaknya. Ia memperlakukan mereka menurut cara yang disukainya. Wanita, khususnya dari kasta tinggi hidup dalam keadaan hampir terpencil sama sekali. Mereka tiada hak untuk keluar daripada rumah atau untuk menerima kunjungan sesiapa bahkan untuk bergaul dengan orang lain. Terdapat rumah-rumah yang dikhususkan untuk wanita dan juga rumah-rumah untuk lelaki. Wanita diharamkan dari memperoleh harta pusakanya samada daripada suaminya atau daripada bapanya. Wanita hanya memiliki apa yang diberikan kepada mereka ketika berumahtangga.

Wanita Dalam Tamadun India
Dalam tamadun India pula, wanita dianggap malapetaka dan wabak kematian. Mereka dianggap lebih dahsyat daripada neraka, lebih berbisa daripada racun serta lebih berbahaya daripada ular. Para wanitanya suka berkahwin awal dan boleh untuk tidak mentaati walinya dan tidak patuh kepada perintah mereka jika telah menjangkau lebih tiga tahun dari usia balighnya dan belum lagi dikahwinkan. Oleh itu, walinya akan berusaha untuk mengahwinkannya pada masa dia berusia dua belas tahun atau kurang dari itu. Adakalanya mereka dikahwinkan seawal usia lapan tahun. Dalam hidupnya, suaminya memilikinya sama seperti memiliki harta, tiada pembelaan dan perlindungan untuknya, tidak juga berhak untuk persaksian. Lelaki berhak untuk menjadikannya taruhan dalam perjudian.

Lelaki boleh berkahwin lagi jika si isteri telah mati. Namun begitu, wanita tidak boleh berbuat demikian dan terus menjadi janda di sisa-sisa hidupnya. Mereka akan dipuji jika [mengamalkan adat ‘sati’] iaitu membakar dirinya dengan api untuk mengikuti suaminya yang telah mati sebagai menunjukkan kesetiaannya dan melarikan diri daripada kepayahan hidup. Adat ini masih berleluasa hingga beberapa kurun sehingga umat Islam menghapuskannya dan seterusnya [turut dihapuskan oleh] kaum penjajah Inggeris.

Wanita Dalam Tamadun Jepun
Dalam tamadun Jepun, mereka menganggap wanita sebagai kesenangan bagi lelaki. Wanita dipergunakan sekehendak hati mereka. Mereka boleh menjual isteri atau anak perempuan mereka. Antara amalan mereka juga, seorang lelaki yang memiliki wanita akan menyewakannya, iaitu wanita yang tidak bersuami atau seorang anak gadis dalam tempoh tertentu dengan individu tertentu. Anak perempuan sebelum dia bersuami dianggap sebagai milik bapanya, sementara jika sudah bersuami menjadi milik suaminya dan selepas suaminya mati mereka berada di bawah wasiat kerabat suami. Sebahagian undang-undang ini terus dipraktikkan sehingga akhir kurun ke sembilan belas Masehi.

Wanita Dalam Tamadun Antara Dua Sungai
Dalam tamadun antara dua sungai, para pemerintah dari kalangan Assyria dan Babilon tidak membenarkan ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka. Demikian pula, anak perempuan tidak boleh berkahwin sendiri. Hak ini diberikan kepada ahli nujum. Anak-anak gadis yang telah baligh dikumpulkan setiap tahun bersama ahli nujum. Mereka akan menjual gadis-gadis tersebut di pasar dengan secara lelong. Wali kepada gadis itu perlu membayar harga tertentu kepada si suami jika lelaki itu tidak menyukainya lagi. Anak gadis itu pula akan pergi kepada dewa kecantikan sekali dalam seumur hidupnya untuk menyerahkan dirinya kepada orang asing yang memilihnya untuk menggaulinya.

Wanita Dalam Tamadun Parsi
Dalam tamadun Parsi, orang-orang Parsi menganggap wanita sebagai pembantu kepada ahriman (syaitan). Dia melambangkan keburukan yang terjelma. Dia adalah milik lelaki. Lelaki boleh membunuhnya dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya jika dia mahu. Dia juga merupakan barangan yang boleh digunakan sesuka hati seperti menggunakan barang-barang miliknya yang lain. Dia tidak boleh belajar atau keluar daripada rumah. Dia hidup di dalam rumah dan ditutup seperti barang tertentu yang lain oleh si pemilik rumah.

Wanita Dalam Tamadun Turki Lama
Dalam tamadun Turki Lama (sebelum Islam), orang-orang Turki menganggap wanita itu sangat lemah. Mereka hanya digunakan untuk melampiaskan nafsu syahwat oleh para hartawan. Kaum wanita berkumpul secara individu atau berpuluh-puluh orang di rumah ketua atau pemimpin dan tinggal di sana supaya dapat dijadikan tempat untuk bersenang-senang. Pada siang harinya mereka pergi mengerjakan ladang-ladang dan bekerja di kebun-kebun. Sementara kedudukan ibu di sisi mereka adalah seseorang yang dihormati dan dilayan dengan baik (diberi khidmat).

Wanita Dalam Tamadun Firaun
Dalam tamadun Firaun di Mesir, lelaki berkahwin dengan adik-beradik atau anak gadisnya. Cemburu lelaki terhadap wanita sangat sedikit. Perkahwinan di kalangan mereka dibina atas asas keredhaan antara suami dan isteri semata. Wanita ada hak mensyaratkan talak untuk dirinya samada secara sendiri atau secara bersama-sama iaitu antara dia dan suaminya. Barangkali dia mensyaratkan atas suaminya agar harta milik suaminya hanya diberikan kepada anak-anaknya sahaja dan tidak kepada anak-anak daripada isteri-isteri yang lain. Wanita tidak boleh mengelolakan harta melainkan dengan izin suami. Semuanya adalah untuk suami. Kaum wanita tidak boleh memiliki kerana lelaki adalah sumber kekayaan dan pemilik utamanya. Kedudukannya lebih rendah daripada lelaki meskipun dia berhak, bahkan dia juga tidak berhak untuk duduk di atas singgahsana melainkan jika lelaki telah pupus daripada keluarga pemerintah. Hal seperti ini jelas berlaku ketika pemerintahan Yunani di Mesir. Hanya wanita Mesir di beberapa zaman menikmati hak-hak yang sama seperti lelaki. Dia menyertai lelaki di tempat-tempat peribadatan dan institusi pemerintahan. Ratu Cleopatra telah masyhur dengan perkara itu dalam sejarah.

Wanita Dalam Kalangan Kaum Yahudi
Dalam kalangan kaum Yahudi yang telah menyelewengkan agama mereka, ditemukan beberapa hukum yang pelik dalam kitab Taurat yang telah diubah. Antara hukum tersebut adalah menganggap wanita yang sedang haid sebagai najis, tidak boleh disentuh dan tidak boleh tidur di katil bersamanya, tidak boleh sembahyang dan tidak boleh memasuki tempat ibadat serta tidak boleh makan makanan yang dimasaknya. Oleh yang demikian, lelaki Yahudi akan menjauhinya dan memusuhinya seumpama dia adalah kekotoran hasil daripada perbuatan syaitan. Mereka dizalimi, dipaksa menurut perintah lelaki. Mereka juga bertanggungjawab atas kesalahan lelaki sebagaimana anggapan mereka bahawa Hawa bertanggungjawab di atas kesalahan Adam dan menyebabkannya keluar dari syurga kerana telah memakan daripada pokok yang diharamkan. Setelah itu, tanggungjawab memikul beban kesalahan tersebut berpindah kepada para wanita. Dalam salah satu protokol mereka disebutkan di bawah lisan wanita :  ”Inilah aku dengan dosa aku digambarkan dan dengan kesalahan aku bawaan dari ibuku”. Yahudi tidak mewariskan harta kepada wanita. Hak-haknya dalam perkahwinan juga tidak dijaga. Lelaki berkahwin dengan wanita tanpa mengira jumlahnya dan menceraikan mereka hanya kerana sebab-sebab yang remeh. Mereka dianggap antara barisan perhiasan rumah yang dimanfaatkan oleh lelaki bila mana dia suka dan akan melemparkannya apabila dia tidak suka. Jika seorang wanita diceraikan, dia akan berkahwin lagi setelah itu. Kemudian diceraikan sekali lagi maka lelaki itu tidak boleh merujuknya semula. Jika dia melakukan hal demikian maka anak-anaknya adalah anak zina. Jika si lelaki mati, tempat tersebut wajib digantikan oleh abangnya.

Wanita Dalam Kalangan Kaum Nasrani
Kaum Nasrani telah menyelewengkan agama mereka. Banyak syariat mereka diambil daripada kitab Taurat yang telah diselewengkan. Pada hakikatnya Taurat adalah perkhabaran daripada pendeta Yahudi dan paderi Nasrani. Oleh itu, dalam Injil tidak ditemukan persoalan mengenai wanita melainkan sedikit sekali. Meskipun sedikit, ia sesungguhnya tunduk kepada pentafsiran para paderi dan agamawan mereka. Disebutkan dalam peringatan oleh Isa al-Masih alaihissalam, menurut kata mereka, “Kamu telah mendengar bahawa dikatakan kepada orang terdahulu, jangan berzina dan adapun aku maka aku katakan kepada kamu bahawa semua yang melihat kepada wanita untuk menikmatinya maka dia telah berzina dengannya dalam hati. Dan dikatakan bahawa sesiapa yang menceraikan isterinya hendaklah memberikan buku cerai. Dan adapun aku, aku nyatakan kepada kamu sesiapa yang menceraikan isterinya melainkan dengan sebab zina ia menjadikannya berzina, barangsiapa yang mengahwini orang yang diceraikan maka sesungguhnya dia berzina”. Sebahagian lelaki Nasrani telah bersikap melampau selepas masa Sayidina Isa alaihissalam. Mereka terlalu berburuk sangka terhadap wanita contohnya ketika mereka meragukan kemanusiaannya. Hinggakan dalam perkumpulan di gereja mereka tertanya-tanya samada jika wanita tidak mempunyai ruh seperti ruh lelaki dan persoalan mengenai jika perlu meletakkan kedudukannya adakah di antara binatang buas atau antara makhluk berfikir. Sebahagian paderi besar dalam pertemuan Bacon telah menegaskan bahawa “Kaum wanita tidak terikat dan terkait dengan jenis manusia”, sepertimana dinyatakan dalam pertemuan yang diadakan di Rom pada tahun 582 Masehi. Para gerejawannya memperakukan bahawasanya “Wanita adalah makhluk yang tidak berjiwa, oleh itu, dengan sebab ini ia tidak mewarisi Firdaus, dan tidak sekali-kali akan masuk ke kerajaan langit dan ia adalah kekotoran yang terhasil daripada perbuatan syaitan. Ia tidak boleh bercakap, ketawa dan makan daging. Matlamat waktunya hendaklah dihabiskan untuk berkhidmat kepada lelaki tuannya dan untuk beribadat kepada tuhannya.”

Dalam kurun pertengahan, di bawah naungan kekuasaan gereja, mereka memandang wanita sebagai barang milik lelaki, boleh digunakan sesuka hati. Dia adalah milik bapanya, kemudian suaminya dan kemudian anaknya yang semuanya mengurusinya sama seperti mengurus haiwan, barang atau dagangan mereka. Adat yang mendominasi di Eropah sangat kejam. Mereka memandang seksual sebagai kotor dan keji. Lelaki yang baik dan bersih tidak menginginkannya. Mereka menghina sesiapa yang memberi perhatian mendalam atau membincangkan tentangnya kerana hal itu tidak sesuai bagi orang yang mahu membersih dan meninggikan diri daripada kerendahan. Wanita tidak lain adalah tempat untuk anak-anak yang dilahirkan dan dididik untuk meneruskan generasi. Dia adalah syaitan dengan rupa manusia, diragui kemanusiaannya kerana salah seorang anggota dewan gereja di Rom memperakukan bahawa “Wanita tanpa ruh dan tidak kekal tetapi diwajibkan beribadat dan dimestikan untuk berkhidmat dan mulutnya ditutup seperti unta”. Mereka juga sangat berburuk sangka terhadap akhlak wanita. Pada zaman tersebut telah maklum dengan pemakaian cawat besi yang dibentuk pada tali pinggang yang dipakai oleh wanita di sekeliling pinggangnya sementara para suami menjaga kunci-kuncinya.

Wanita Dalam Kalangan Arab Jahiliyyah
Dalam kalangan kaum Arab pada zaman Jahiliyyah, wanita lebih rendah kedudukannya dari lelaki. Mereka dipandang rendah. Lelaki Arab meskipun mereka menunggang kuda dan menjaga kabilah dan harta benda namun penghinaannya kepada wanita sampai kepada tahap menanam hidup-hidup anak perempuannya, iaitu menanamnya dalam tanah hidup-hidup samada kerana takut malu, miskin atau celaan. Al-Qur’an al-Karim telah memberi amaran mengenai hal tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh.” [TMQ At-Takwir: 8-9]. Orang Arab berasa sedih dan berputus asa serta marah jika diberitahu mengenai kelahiran anak perempuan seperti yang diterangkan dalam al-Qur’an dengan firman Allah Subhanahu wa Taala:Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.“ [TMQ An-Nahl: 58-59].

Wanita tiada hak untuk mewarisi samada dia adalah ibu, adik-beradik perempuan, isteri, anak perempuan dan sebagainya. Dia juga tiada hak untuk memperoleh pendapatan atau mengelolakan harta miliknya. Dari Umar bin al-Khattab radiallahu anhu. katanya: “Kami pada zaman Jahiliyyah tidak menilai apa pun terhadap wanita, ketika Islam datang dan Allah menyebut tentang mereka, kami melihat bagi mereka ada hak ke atas kami.” [Riwayat Bukhari].
Dan dari Ibn Abbas telah berkata: “Dulu (Arab Jahiliyyah) jika telah mati seorang lelaki,  wali-walinya lebih berhak kepada balunya, jika  mereka menyukai,  akan dikahwini, atau jika tidak, dikahwinkannya (untuk mendapatkan maharnya) dan jika mereka suka, mereka juga tidak akan mengahwinkannya. Mereka lebih berhak terhadapnya daripada keluarganya.” Maka turunlah surah an-Nisa’:19 : “Wahai orang-orang yang beriman tidak halal bagi kamu untuk mewarisi wanita secara paksa” [Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i].

Dalam kehidupan berkeluarga, si isteri kebiasaannya ditindas, lelaki mengamalkan poligami yang tidak dibataskan dengan jumlah tertentu, talak merupakan satu cara untuk menekan wanita dan melenyapkan harta mereka. Nafsu syahwat dan ingin berseronok merupakan pendorong untuk berkahwin tanpa ada niat untuk membina keluarga. Talak mengikut acuan lelaki. Mereka  tidak memelihara kemaslahatan si isteri. Ila’ dan zihar juga merupakan cara untuk menekan dan menyakiti wanita yang berkahwin.

Pernikahan (dalam kalangan Arab) disempurnakan dengan beberapa cara yang masyhur. Antaranya:

Pernikahan manusia: seorang lelaki melamar anak perempuan seorang lelaki atau tanggungannya dan diberi mahar (iaitu ditunaikan maharnya) kemudian dikahwininya.

Pernikahan secara permanian beradas: dalam perkahwinan ini, seorang lelaki akan berkata kepada wanitanya jika dia telah bersih dari haidnya: Utuslah kepada si fulan lalu ambillah sperma darinya.  Dia akan dipencilkan hingga jelas kandungannya. Jika telah jelas, wanita tersebut dikahwini sekiranya dia suka dan hal itu dilakukan semata-mata menginginkan kelahiran anak tersebut.

Pernikahan yang lain: sekumpulan lelaki yang berjumlah kurang dari sepuluh orang berkumpul untuk menyetubuhi seorang wanita. Jika ia mengandung dan melahirkan dan telah berlalu beberapa malam diutuskan wanita itu kepada mereka. Tiada seorang lelaki pun boleh menolak hingga mereka berkumpul bersamanya dan kepada mereka dikatakan, kamu telah mengetahui apa yang kamu lakukan dan aku telah melahirkan. Inilah anakmu wahai si fulan. Dia memanggil nama orang yang dia sukai lalu anak tersebut diserahkan kepadanya sedangkan lelaki tersebut tidak boleh menolaknya.

Pernikahan keempat: ramai lelaki berkumpul dan menyetubuhi seorang wanita. Wanita itu tidak boleh menghalang siapa yang datang kepadanya, mereka ini para pelacur. Pada pintu-pintu rumah mereka dipacakkan seumpama bendera. Sesiapa yang menginginkan mereka akan menyetubuhinya dan jika salah seorang mengandung dan melahirkan anak, mereka berkumpul dan memanggil tukang tenung (tukang tilik), dan mereka akan menyerahkan anaknya kepada orang yang dilihat sebagai bapanya. Lalu anak itu ditemui dan dipanggil tanpa dapat menolaknya.

Demikian juga di sana terdapat bermacam-macam lagi pernikahan lain yang sangat sedikit dipraktikkan seperti: pernikahan tukaran dan pernikahan yang membabitkan amalan saling bertukar pasangan antara suami isteri tanpa talak dan melakukan akad yang baru dan sebagainya.

Pada zaman Jahiliyyah, jika suami kepada seseorang wanita meninggal dunia, dia akan mengurung dirinya selama setahun penuh tanpa memakai pakaian baru atau mandi dan berwangi-wangian. Dia juga tidak menawarkan diri untuk berkahwin atau ditawarkan untuk dikahwini oleh orang lain. Waris si suami tidak berasa perlu bertanggungjawab untuk memberikan tempat tinggal, makanan selama tempoh berkabung tersebut.

Orang Arab pada zaman Jahiliyyah meninggikan jumlah mahar dan syarat sekufu. Seorang merdeka tidak boleh mengahwini hamba sahaya. Wanita yang bernasab tinggi pula tidak berkahwin dengan orang yang lebih rendah nasabnya yang menyebabkan terdapatnya ramai andartu dalam kalangan orang Arab.

Inilah keadaan wanita pada zaman Jahiliyyah pada umumnya. Cuma terdapat riwayat yang banyak jumlahnya serta benar yang menjelaskan tingginya kedudukan sesetengah wanita. Tiadalah nama-nama seperti Khadijah binti Khuwalid, anak-anak perempuan Hatim at-Tha’i, Jalilah Binti Murrah, Hindun Binti Atabah dan al-Khansa’ melainkan contoh-contoh wanita yang mulia. Namun contoh tersebut sangat sedikit berbanding jumlah  seluruh wanita Arab.

[Bersambung]