Fikratul Ummah – Februari 2010

 


Dari Lidah Pengarang


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Ketika engkau lahir, bumi bersinar, cakerawala bermandikan cahayamu, Kami pun berjalan di tengah cahaya, sinar dan jalan yang penuh petunjuk” [Syair Sayyidina ‘Abbas memuji Rasulullah].

Sambutan Maulidur Rasul masih lagi seperti kebiasaannya yang mana sering kali keperibadian Junjungan Mulia ini lebih difokuskan kepada sejarah perjalanan hidup baginda sebagai seorang individu, bapa dan suami di samping amalan ruhiyah.

Syukur Alhamdulillah kerana Fikratul Ummah kali ini mengemukakan dua buah artikel dan satu artikel terjemahan. Artikel Istimewa Maulidur Rasul: Rasulullah, Engkaulah teladan hidup kami (Bukti cinta kepada Rasulullah Salallahu Alaihi wa Salam) diharapkan akan memberi kesedaran kepada Muslimah apakah yang perlu dilakukan oleh para Muslimah sebagai membuktikan kecintaan mereka kepada Junjungan Mulia.

Manakala artikel Perihal Saint Valentine dan Manifestasi Cinta: Benarkah Pendidikan Seks Jalan Keluar? disajikan untuk menyedarkan kepada kaum Muslimah bahawa pendidikan seks yang didiharapkan dapat membendung gejala sosial dalam kalangan remaja dan wanita bukanlah jalan keluar menurut syarak. Artikel terjemahan bahagian Pengharaman pemakaian Niqab di Perancis: Pertembungan Islam dan Kufur dari laman web www.khilafah.com diharapkan akan memberi kesedaran kepada Muslimah khususnya bahawa hukum-hakam yang paling dekat dengan para Muslimah iaitu aurat wanita akan sentiasa dijadikan senjata oleh pihak Kuffar Barat untuk menghancurkan Islam.

Semoga artikel-artikel yang dikemukakan ini akan menyuntik semangat kepada Muslimah khususnya untuk meluaskan dan mendalami ilmu agama kerana hanya dengan berpegang teguh kepada agama Islam yang sempurna ini akan memberi kebahagiaan kepada seluruh umat manusia di dunia dan akhirat. Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan [kekafiran] kepada cahaya [iman] [TMQ Al-Baqarah (2): 257].
Wallahu a’lam bisshawab.


Istimewa Maulidur Rasul: Rasulullah, Engkaulah teladan hidup kami
( Bukti cinta kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam )

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah memberikan nikmat iman dan Islam kepada kita. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali Allah. Tiada sekutu bagi-Nya. Dialah yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah utusan Allah. Semoga selawat dan salam selalu tercurahkan kepada Rasulullah, keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti jalan hidupnya.

Allahu Akhbar... Maha Suci Allah, begitu agung peribadimu, sungguh menawan tutur bicaramu, terpaut hatiku menghayati sirah hidupmu. Engkaulah Rasul pilihan, engkaulah pemimpin sanjungan, engkaulah suri teladan, engkaulah permata yang sentiasa bergemerlapan, engkaulah sinar yang menerangi seluruh alam. Engkaulah pujaan setiap insan.

Sempena bulan Rabiul Awal, bulan yang mulia, bulan memperingati kelahiran junjungan mulia Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Setiap pelusuk Negara menyambut dengan besar-besaran bagi memperingati kelahiran kekasih Allah ini. Semua aturcara yang diadakan, semuanya untuk menunjukkan betapa cintanya umat Islam kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam.

Rasulullah diutus membawa cahaya, memberi sinar pengharapan, menunjuk jalan kepada kebenaran. Keperibadian baginda tidak dapat disangkal lagi, keluhuran baginda tidak dapat diragui, keikhlasan baginda tidak dapat ditandingi, pemergian baginda tiada lagi pengganti. Perginya baginda meninggalkan umat, mewasiatkan dua perkara yang paling berharga dan tiada tandingannya, iaitu kitab suci al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam sebagaimana sabda baginda:“Aku tinggalkan kalian dua perkara. Kalian tidak akan tersesat selama berpegang dengannya, iaitu kitabullah (Al-Quran dan sunah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam)  [HR Muslim]

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita duduk sejenak merenung kejadian sendiri, menginsafi kekurangan diri, kembali ke pangkuan IIahi. Apakah kita benar-benar ingin menjadi umat baginda? Apakah peranan dan tugas kita sebagai umatnya? Layakkah kita bergelar umat baginda? Beranikah kita memohon syafaat baginda di akhirat kelak? Apakah yang telah dikorbankan untuk Islam? Apakah yang telah kita sumbangkan untuk perjuangan dakwah baginda? Persoalan inilah yang sepatutnya berlegar-legar di fikiran kita, seandainya mengaku bahawa kita adalah umat Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam. Duduklah sebentar, fikir-fikirkan, apakah bukti cinta kita kepadanya?

Cara mencintai Rasulullah
Rasa cinta kepada Rasulullah sangat dangkal (lemah) seandainya hanya diungkapkan dalam upacara-upacara ritual seperti peringatan mengenang kelahiran beliau. Kecintaan semacam ini tidak bermakna apa-apa jika dalam aspek kehidupan seharian, cara hidup Rasulullah ditinggalkan sehingga sebahagian umat Islam menganggap ibadah hanya di atas sejadah. Bagaimana mungkin seseorang dikatakan mencintai Rasulullah manakala teladan kehidupan seharian yang diambil adalah selain daripada Rasulullah. Contohnya dalam berekonomi mereka meneladani Adam Smith dan David Richardo, dalam berpolitik mereka merujuk kepada Machievelli, dalam kehidupan sosial dan perubahan masyarakat mereka beriman kepada konsep yang lahir dari pemikiran Karl Marx, Lenin dan Stalin. Dalam pendidikan dan psikologi, mereka bercermin kepada hukum dan prinsip Sigmund Freud dan sebagainya. Sedangkan hanya Rasulullah yang selayaknya dijadikan teladan dalam semua aspek di atas, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah Subhanahu wa Taala: “Demi sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian” [TMQ Al-Ahzab (33): 21].

Kecintaan dan pengagungan kita kepada Rasulullah mewajibkan kita untuk menyelaraskan semua hal yang berkaitan dengan peribadi mahupun sosial kita dengan tuntunan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Meneladani Rasulullah dalam aspek ibadah diwujudkan dalam bentuk ketundukan dalam menjalankan dan memelihara solat dan mengerjakannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda. Sabda baginda “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” [HR al-Bukhari].

Rasulullah adalah sosok yang berakhlak agung dan mulia, yang sewajibnya kita jadikan contoh dan selayaknya kita tiru. Siti Aisyah Radiallahu Anha. Ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah, beliau menjawab,“Akhlak Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah al-Quran itu sendiri”. [HR Muslim dan Abu Daud].

Perlu diingat, ada perbezaan antara akhlak dan moral. Akhlak adalah berdasarkan Islam dengan landasan niat dari Allah dan RasulNya serta beroleh pahala di sisi-Nya. Sebaliknya moral bersifat umum, yang dorongannya kadang-kadang dari sifat kemanusiaan yang belum tentu muncul dari perintah Allah dan RasulNya sebaliknya ada kalanya lahir dari nilai-nilai sejagat (universal value). Justeru, sikap moral tidak menjamin akan mendapat pahala dari Allah bagi pelakunya.

Kecintaan kita kepada Rasulullah juga mestilah kita wujudkan dalam cara kita berpakaian, makan dan minum. Allah mewajibkan seorang Muslim dan Muslimah untuk berpakaian menutup aurat. Aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lututnya. Manakala aurat bagi perempuan ialah menutupi seluruh tubuhnya kecuali dua telapak tangan dan muka. Allah dan RasulNya juga mewajibkan kaum Muslim untuk makan dan minum dari barang yang halal dan baik (thayyib), jika mereka memang mencintai Allah dan RasulNya.

Dalam kehidupan rumah tangga, selayaknya seorang Muslim menjadikan Rasul sebagai contoh ketua keluarga yang baik. Seorang suami adalah pemimpin yang wajib melindungi keluarganya dari santapan api neraka. Sebagai seorang suami, Rasulullah adalah lelaki yang sangat mencintai dan menyayangi isteri-isterinya. Baginda telah menyatakan rasa cinta ini pada hadisnya “Telah ditanamkan padaku rasa cinta kepada wanita, serta dijadikan mataku sejuk tehadap solat” [HR an-Nasa’i].

Dalam kehidupan sosial, Rasulullah juga wajib kita jadikan teladan. Rasul bukanlah jenis manusia yang mementingkan diri sendiri, bukan pula manusia yang suka memerap di rumah dan memisahkan diri dari masyarakat sekeliling. Keadaan ini tentunya tidak selaras dengan misi baginda sebagai pembawa risalah bagi umat manusia. Baginda bergaul dengan masyarakat di kalangan atasan mahupun bawahan. Antara contohnya, baginda pernah mengunjungi Ibn Anas bin Malik, juga Qais bin Saad bin Ubadah, lalu baginda berdoa untuk mereka. Baginda juga mengunjungi Rubayyi’ binti Muawwidz ketika Rubayyi’ menikah. Ragam kunjungan baginda ke lapisan masyarakat sewajarnya menjadi teladan kepada kita dalam bergaul dalam masyarakat.

Rasulullah juga seorang ahli politik dan negarawan yang ulung. Ketajaman analisis politik baginda terakam jelas dengan perubahan masyarakat yang baginda jalankan. Baginda tidak menerima kekuasaan dari kalangan Quraisy, walaupun mereka ini kuat dari sisi politik dan kekuatan, tetapi rapuh dari kekuatan ideologi. Baginda justeru menempuh jalan yang khas dengan cara menyatukan kelompok yang tadinya bercerai berai (Aus dan Khazraj) dengan kekuatan keyakinan ideologi Islam. Persaudaraan yang dijalankan ke atas Aus dan Khazraj ini mampu mengalahkan kekuatan Quraisy seperti yang telah berlaku semasa peperangan Badar.

Muhammad Syeit Khaththab, seorang jenderal dari Iraq, dalam bukunya Ar-Rasul al-Qa’id (Rasulullah Sang Panglima) menukilkan strategi peperangan yang ditempuh oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Baginda adalah seorang panglima besar bukan hasil warisan atau keturunan. Baginda ialah panglima besar yang berawal dari seorang anak yatim. Prestasi yang tidak pernah wujud oleh panglima perang sepanjang sejarah.

Rasulullah Junjungan Mulia juga adalah seorang hakim (qadhi) yang adil dalam berbagai-bagai keputusan pengadilan. Ketika baginda melawat ke pasar, baginda melihat penjual melakukan penyelewengan iaitu dengan meletakkan barang basah di bawah, di atasnya barang yang baik dan kering untuk memberatkan timbangannya yang mana natijahnya tentu akan merugikan pembeli. Kemudian Rasul memasukkan tangannya untuk memeriksa penipuan ini, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada golonganku” [HR Imam Muslim dari Abu Hurairah Radiallahu anhu.] Keadilan baginda juga jelas pada khutbah baginda yang ertinya, “Sesiapa yang pernah hartanya aku ambil, inilah hartaku, maka ambillah. Siapa yang punggungnya pernah aku cambuk, maka sekarang cambuklah punggungku atau qisaslah”.

Sebagai seorang ahli ekonomi, baginda boleh kita contohi dari sisi mikro mahupun makro. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam menjadi orang yang terpercaya di Mekah. Meskipun orang Mekah memusuhi baginda sebagai Rasul, secara peribadi, sikap jujur dan amanah baginda diakui. Baginda adalah tempat menyimpan wadiah (titipan). Asas ekonomi secara mikro adalah dasar percaya (trust). Manakala secara makro pula, sistem ekonomi yang baginda bangunkan adalah sistem ekonomi yang memberikan kemakmuran kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa mahupun keturunan, yang mana ia amat bertentangan dengan sistem ekonomi Kapitalis yang berasaskan manfaat, tanpa mengira halal mahupun haram.

Ketahuilah sesungguhnya mencintai Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah sebuah ibadah agung yang akan mendatangkan pahala besar jika segala apa yang dipaparkan di atas kita contohi. Itulah antara buktinya bahawa kita mencintai Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam.

Peranan Muslimah dalam Merealisasikan Cintanya kepada Rasulullah
1.Peranan sebagai ibu Solehah
Sesungguhnya seorang ibu Muslimah wajib mengetahui bahawa anak-anak adalah amanah dari Allah Subhanahu wa Taala. Jika amanah ini tidak diperlakukan atau dididik dengan akhlak yang mulia, maka akan huru-haralah dunia ini. Ini kerana anak dilahirkan seperti kain putih, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam: “Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah Islami). Ayah dan ibunyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala)” [HR al-Bukhari]

Betapa indahnya dunia ini, jika ibu Muslimah mengerti hakikat dirinya, sebagai seorang hamba Allah yang solehah yang dari tangannya dan belaian kasih sayangnya mampu melahirkan generasi-generasi rabbani yang mereka tidak takut akan celaan orang yang mencela. Dan dari kasih sayangnya lahirlah manusia-manusia gagah yang bersedia memikul amanah dakwah walau orang-orang bodoh selalu mencelanya, tetapi dengan segala ketawadukannya, dia hadapi dan terima celaan itu dengan senyuman sambil mengucapkan nada dan kalimat keselamatan bagi mereka.

Wanita Muslimah bukanlah orang yang cinta pada dunia dan bukan pula orang yang uzlah dari dunia. Sebaliknya mereka adalah orang yang mampu mengimbangi antara hak dan kewajiban, antara tanggungjawab dan perasaan peribadi. Mereka adalah orang yang lebih mementingkan akhirat, kerana mereka tahu dan yakin bahawa dunia hanya sekadar jalan untuk mencapai predikat yang tinggi iaitu Mardhotillah

Seorang ibu Muslimah akan berusaha mendidik dan menanamkan perasaan cinta anaknya hanya kepada Allah dan RasulNya ditahap tertinggi. Jika rasa cinta kepada Allah dan Rasul mengatasi segalanya, maka dengan sendiri anak itu mengetahui tentang tanggung jawabnya kepada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan seterusnya Negara. Hasil didikan seorang ibu itu juga akan melahirkan generasi penerus perjuangan yang sentiasa taat kepada Allah dan menjadikan Rasulullah sebagai “role model” atau idola dalam kehidupan hariannya.

2. Peranan Muslimah sebagai isteri solehah
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam: “(sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika dia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika dia memerintahkannya, dan tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya.” [HR an-Nasa’i]

Seorang isteri, jika mahukan rumahtangga yang bahagia, mestilah mengikut ajaran RasulNya. Dengan berpandukan Al-Quran dan Hadis Rasulullah, barulah segala tugas sebagai seorang isteri dapat dijalankan dengan baik. Tugas utama seorang isteri adalah menjadi pengurus kepada rumah suaminya dan di tangannyalah terletak kebahagiaan dan kestabilan rumahtangga. Seorang isteri menjadi penyejuk mata suami di kala seorang suami dilanda kerungsingan. Kelembutan yang dimilikinya dimanfaatkan untuk meredakan amarah suaminya. Kemarahan yang boleh membawa malapetaka bagi rumah tangga jika si isteri tidak mampu mengendalikan emosi, dengan kasih sayang yang didasari perasaan cinta, si isteri mampu menenangkan suaminya, ketika suaminya mengalami konflik batin. Semua itu telah ditunjukkan oleh Khadijah Radiallahu anha yang merupakan salah seorang daripada empat tokoh wanita terbaik yang pernah hadir dalam pentas sejarah dunia sekaligus isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam.

Kisah keagungan wanita yang tersimpan rapi dalam khazanah Islam dan tidak akan pernah dilupakan oleh zaman dan waktu bermula ketika kepulangan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam di kala pertama kali beliau menerima wahyu di Gua Hira’. Ketika suasana hati Rasulullah di landa kekalutan dan kekacauan beliau datang menemui Khadijah seraya berkata “Selimutilah aku! Selimutilah aku”. Dengan penuh kasih sayang, Khadijah menyelimuti suaminya hingga hilang rasa takutnya. Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bertanya “Wahai Khadijah apa yang terjadi atas diriku? Diceritakannya sebuah khabar kepada Khadijah, baginda berkata: “Aku takut suatu hal akan menimpa diriku“. Dengan kelembutannya Khadijah berkata: “Janganlah takut namun bergembiralah. Demi Allah, tidak mungkin Allah akan menghinakanmu. Demi Allah engkau adalah orang yang selalu menyambung tali persaudaraan, engkau selalu berkata benar, engkau selalu membantu mereka yang memerlukan dan memuliakan tamu serta engkaulah yang selalu menolong orang yang ditimpa musibah“.

Khadijah seorang wanita yang dianugerahi kelebihan dan kebesaran. Sewaktu suaminya di timpa musibah, dia turut merasakan penderitaan suaminya. Dibesarkan hatinya dengan segala kebaikan yang dilakukannya agar mampu menenangkan hati sang suami. Kebesaran wanita inilah yang digambarkan Ibnu Hisyam dalam sirahnya:”Sesungguhnya Khadijah adalah orang yang pertama kali beriman kepada Allah dan Rasulullah, serta membenarkan semua yang datang daripada Allah. Dialah yang selalu membantu Rasulullah dalam menjalankan urusannya dan membenarkan risalahnya di saat orang lain mendustakannya. Maka Allah meringankan Rasulullah dengan adanya Khadijah. Rasulullah tak pernah menerima daripada Khadijah sesuatu yang dibencinya ketika orang lain menolak dakwahnya dan mendustakan dirinya, yang hal ini akan menambah diri Rasulullah sedih, kecuali Allah menghilangkan penderitaannya ketika beliau kembali kepada Khadijah. Dikuatkan hati Rasulullah, diringankan penderitaannya, dibenarkan seluruh ucapannya dan dibantunya Rasulullah dalam menjalankan urusannya dengan manusia”.

Selain itu contoh isteri solehah juga terdapat dalam diri Ummu Salamah, ketika kematian anak yang di cintainya, sedangkan suaminya Abu Thalhah sedang berpergian. Dia berpesan kepada keluarganya: “Jangan engkau ceritakan kepada Abu Thalhah akan kematian anaknya sampai saya sendiri yang akan menceritakannya”. Ketika suaminya pulang, Ummu Salamah menyambut suaminya dengan mesra, diajaknya suaminya makan bersama dan dia mencantikkan dirinya dengan tutur bahasa yang indah dan manis. Ketika dilihat suaminya tenang dan kenyang, dengan lemah lembut Ummu Salamah bertanya: “Wahai Aba Thalhah apakah pendapatmu jika ada suatu kaum memberikan kepada ahlubaitmu barang untuk disimpan, kemudian mereka meminta kembali barangnya itu, adakah kamu melarangnya? Abu Thalhah menjawab: “Tentu tidak“. Kemudian Ummu Salamah berkata: “Begitu pula yang terjadi dan menimpa anakmu“.

Begitulah antara sikap seorang isteri solehah yang sentiasa tunduk dan patuh dengan ajaran RasulNya sehingga dapat memberi ketenteraman kepada si suami di kala si suami kelelahan dalam menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah dan Rasul dengan menyebar risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Senario masa kini pasti berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh Ummu Salamah yang mana sebahagian ibu-ibu Muslimah sukar menerima kenyataan dan menolak qada’ Allah apabila anak-anak mereka dipanggil menemui Sang Pencipta ‘Azza wa Jalla sedangkan menerima qadha’ dan qadar adalah salah satu dari Rukun Iman.

3. Peranan Muslimah sebagai anak solehah
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah Subhanahu wa Taala kepada setiap Muslim. Sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Disamping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Dalam Al-Quran, Allah Subhanahu wa Taala dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa yang mana Allah menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala:”Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun )” [TMQ Al-Israa’ (17): 23]

Menghormati ibu, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu mestilah dipatuhi dan sama sekali tidak boleh dikhianati. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibunya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk ajar yang baik,  aka dia (anak tersebut) dianggap telah mendurhaka. Dan bagi mereka yang durhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, mendurhaka kedua ibu bapa bererti telah mendurhaka kepada Allah Subhanahu wa Taala Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Dari Abdullah bin Amru Radiallahu Anhu telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam: Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa” [HR at Tirmidzi]
 
Khatimah
Cara mencintai dan mengagungkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah dengan meneladani baginda secara keseluruhan bukan dalam hanya perkara-perkara tertentu sahaja. Satu-satunya cara untuk mewujudkan tujuan agung itu adalah dengan melangsungkan kembali kehidupan Islam dan memahami untuk tujuan apa baginda diutuskan di muka bumi ini. Semua orang maklum bahawa Rasulullah diutuskan adalah sebagai pembawa risalah Allah kepada seluruh umat manusia. Kerana itu, misi utama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah menegakkan syariah Allah di tengah-tengah umat manusia. Itulah yang dilakukan Baginda sepanjang usianya sejak Baginda diangkat sebagai utusan Allah Subhanahu wa Taala. Tidak kurang 23 tahun lamanya Baginda berjuang menegakkan syariah Allah di tengah-tengah umat manusia saat itu, dengan mengorbankan harta bahkan jiwa Baginda. Selama itu, Baginda dihadapkan dengan halangan, cabaran bahkan gangguan yang luar biasa daripada orang-orang kafir musuh Allah. Mereka melakukan semua itu tidak lain untuk menghentikan dakwah Baginda.

Namun atas pertolongan Allah, Rasulullah berjaya mengatasi semua itu dan akhirnya baginda berhasil menegakkan syariah Allah dalam wadah Negara (daulah) di Bumi Madinah untuk pertama kalinya. Daulah Islam di Madinah kemudian berhasil menggabungkan wilayah sekitarnya di Jazirah Arab ke dalam pangkuannya. Setelah Rasulullah wafat, Daulah Islam itu kemudian diteruskan oleh para pengganti Rasul (khulafa’ ar-Rasul), yang menggantikan baginda dalam bidang pemerintahan bukan dalam kerasulan. Khulafa’ur Rasyidin kemudian melanjutkan misi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam iaitu menyebarluaskan risalah Islam ke seluruh Jazirah Arab, wilayah Syam, Mesir dan Parsi seterusnya ke seluruh penjuru dunia.

Dari paparan di atas, jelas bahawa menegakkan syariah Islam yang mana Muslimah tidak terlepas dari tanggungjawab merealisasikannya merupakan puncak mewujudkan kecintaan kepada Rasulullah. Menegakkan syariah Islam secara kaffah, iaitu mencakup seluruh aspek kehidupan seperti pendidikan, sosial politik, ekonomi, budaya, pertahanan dan keamanan dan lain-lain lagi. Semua itu tidak mungkin tegak kecuali dengan adanya Negara. Itulah yang telah dicontohkan oleh baginda Rasulullah yang kemudian dilestarikan oleh sahabat baginda. Itulah Khilafah.

Pendek kata, menegakkan kembali khilafah yang akan menegakkan kembali risalah yang dibawa oleh Rasul, dan menyebarluaskannya ke seluruh dunia, adalah puncak manifestasi kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Maka, agak ganjil jika ada Muslimah yang mendakwa mencintai Nabi, tetapi tidak mahu menegakkan syariah dan memperjuangkan Negara yang pernah Rasulullah dirikan.
Wallahu a’lam bisshawab.


Perihal Saint Valentine dan Manifestasi Cinta: Benarkah Pendidikan Seks Jalan Keluar?

Sejak zaman berzaman, cinta diungkapkan dengan pelbagai bentuk dan lambang. Hebatnya cinta Adam dan Hawa bukan hanya kerana ia menyatukan dua jiwa sebaliknya ia menyebabkan kejatuhan Empayar hebat dunia. Tiba hari Valentine yang disambut oleh sebahagian umat Islam, suasana kemeriahannya disaksikan dalam media cetak dan elektronik yang mana filem-filem romantik disajikan untuk menghangatkan dan mengujakan lagi gelora cinta terutamanya dalam kalangan muda-mudi. “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” [TMQ Faathir (35): 6]

Demi keagungan cinta, sebahagian manusia dinilai dengan status perkahwinan. Golongan janda dan anak dara lanjut usia (andalusia) sering menjadi bahan usikan. Seolah-olah demi cinta, walau apa jua cara, yang penting mesti ada pasangan. Tidak sulit memahami senario yang ‘biasa’ berlaku seperti contoh ini: Seorang guru bertanya kepada para pelajar satu persoalan “Siapa tahu bilakah Nabi Muhammad Salallahu Alaihi wa Salam dilahirkan?...”. Kelas yang tadi keriuhan pasti senyap sepi umpama garuda datang melanda, kerana ‘terkasima’ dengan soalan guru tadi. “Baiklah, soalan kedua pula, bilakah sambutan hari kekasih diadakan?...” Umpama gempita kedengaran tatkala pelajar berebut-rebut untuk menjawab soalan yang ‘hebat’ tadi. Ini adalah seumpama suatu kebiasaan, menjadi ‘trend’ yang sangat-sangat mencemaskan dan menakutkan.

Bila cinta sedang berbunga, semua indah sahaja. Dek kerana nasi lemak buah bidara, halal-haram tidak diambil kira. Akibatnya amat menyedihkan dan menyebakkan dada akhbar Harian Metro bertarikh 1 Julai 2009 memetik laporan berikut: Johor Bahru: Sedih dan menyayat hati! Itulah nasib malang seorang bekas pelajar wanita berusia 26 tahun yang ditemui mati dipercayai akibat pendarahan serius selepas melahirkan anak dalam keadaan serba kekurangan di sebuah bilik asrama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dekat sini, petang kelmarin. Lebih malang lagi, bekas pelajar tahun empat itu dipercayai menderita keseorangan ketika melahirkan anak dan hanya ditemui kira-kira jam 5 petang, selepas lebih dua hari Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Jika kes di atas melibatkan seorang bekas pelajar yang mati selepas melahirkan anak luar nikahnya yang turut kembali mengadap Sang Pencipta bersamanya, bagaimana pula dengan nasib bayi-bayi luar nikah yang selamat dilahirkan? 
Kuala Krai: Menyayat hati apabila seorang bayi lelaki yang baru lahir bukan saja dibuang ke dalam tong sampah, malah mayatnya dibakar sehingga melecur seluruh tubuh [Harian Metro 13 Februari 2010].

Kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa ini sudah pasti menakutkan kaum wanita khususnya golongan ibu yang mempunyai anak gadis yang menginjak usia dewasa. Fikratul Ummah yang merupakan satu wadah khusus untuk Muslimah ingin membicarakan perihal cinta kerana tajuk ini amat dekat dengan kaum wanita. Seringkali kita dihidangkan dengan pelbagai kes dan peristiwa yang terkait dengan cinta yang ‘mangsa’nya adalah wanita. Sebagai contoh, peningkatan kes jenayah seperti keldai dadah yang mana mengikut analogi kes kebanyakannya menjadi mangsa yang juga dimulai dengan cinta [http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=442091]. 

Konsep Pendidikan Seks Kini
Memandangkan kes-kes gejala seks songsang semakin berleluasa seperti kelahiran anak-anak luar nikah sebagaimana rekod dari pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara melaporkan 257 411 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008 [Kosmo 30 Oktober 2008]. Pelbagai mekanisme penyelesaian dicadangkan yang mana antaranya ialah pendidikan seks. Menurut Wikipedia, pendidikan seks adalah suatu istilah yang digunakan untuk menjelaskan pendidikan mengenai anatomi seksual, pembiakan seksual, perhubungan seks, dan aspek-aspek lain kelakuan seksual manusia. Lebih umum untuk pendidikan seks adalah ibu bapa atau wali, atur cara sekolah, dan kempen kesihatan awam [http://ms.wikipedia.org/wiki/Pendidikan_seks].

Menurut Pensyarah Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Sapora Sipon yang dipetik oleh akhbar Harian Metro bertarikh 1hb Februari 2010, pendidikan seks wajar dilaksanakan dalam PLKN daripada langsung tidak diajar kepada pelajar dengan mekanisme berikut:

i.    Subjek itu perlu disampaikan dengan cara yang betul supaya tidak memberi kesan yang negatif kepada pelajar.

ii.    Banyak perkara yang perlu dititikberatkan terutama masa dan individu yang mengajarnya.

iii.    Pendidikan seks sangat meluas dan mempunyai peringkat-peringkat selain seharusnya dimulakan daripada awal.

iv.    Pendidikan seks perlu diajar di peringkat sekolah lagi kerana elemen pendidikan seks ada pelbagai peringkat selain mempunyai enam tunjang penting iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual masyarakat serta budaya.

Dalam kertas kerja “Pendidikan Seks Menurut Pendekatan Islam: Satu Tinjauan”,  pemakalahnya Prof Madya Hasbullah Abdul Rahman, Azhar Abdul Aziz dan Mohd Yadman Sarwan (UiTM Perak) Pendidikan seks boleh ditakrifkan sebagai satu proses memberi pengajaran, kesedaran serta penerangan mengenai masalah seksual kepada anak dari kecil hingga dewasa.

Muhamad Zahiri Awang Mat (UIAM) dan Rahimi Md Saad (UM) dalam kertas kerja bertajuk “Konsep dan Objektif Pendidikan Seks Menurut Perspektif al-Quran” menggariskan empat perspektif Islam mengenai konsep pendidikan seks iaitu:

1) Dilihat secara menyeluruh kerana pelaksanaannya mahukan sebuah sistem kehidupan insan yang harmoni dan sejahtera.
2) Mengelakkan salah faham yang boleh mengganggu akibat salah guna maklumat yang diperoleh.
3) Mementingkan keselamatan dan kesejahteraan umat dalam pelaksanaan pendidikan seks.
4) Mengikut rangka matlamat syariat – menjaga agama, maruah dan keturunan agar pelaksanaannya mencapai objektif yang diharapkan.

Azhar Muhammad (UTM, Johor) dalam kertas kerjanya, “Etika dan Nilai Akhlak Islam sebagai Asas Pembentukan Kurikulum Pendidikan Seks” pula berkata muslim perlu memiliki nilai dan etika dalam setiap sudut kehidupan, termasuk bidang pendidikan seks.

Justeru, tegasnya, kurikulum pendidikan seks untuk pelajar juga tertakluk kepada nilai akhlak dan etika yang telah ditetapkan Islam. Bentuk pendedahan mengenai seks yang tidak disusuli nilai akhlak dan etika Islam akan mengundang masalah. Pendidikan seks perlu didedahkan kepada anak atau pelajar bagi memperlihatkan nilai akhlak yang terkandung di dalamnya dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah. Institusi yang boleh menerapkan nilai ini ialah keluarga dan sekolah [http://tutor.layar.net/mod/forum/discuss.php?d=17]

Apa yang boleh dibahaskan tentang pendapat Azhar Muhammad ialah sejauh mana dan apakah penanda aras yang digunakan untuk mengukur kejayaan institusi yang menerapkan nilai ini iaitu keluarga dan sekolah? Hal ini kerana Subjek pendidikan seks yang dulunya mahu dilaksanakan di sekolah tiba-tiba senyap tanpa sebarang keputusan [hmetro.com.my 1hb Februari 2010] yang menunjukkan bahawa usaha melaksanakan pendidikan seks sebagai satu strategi untuk membendung seks songsang hanyalah “hangat hangat tahi ayam” semata. Walaupun akhbar yang sama memetik bahawa pendidikan seks ini akan dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan diubah menjadi pendidikan gender, sehingga kini tiada kepastian adakah perubahan istilah akan dapat mencapai matlamat yang diharapkan iaitu membendung gejala seks songsang.

Pendidikan Seks Gagal Cegah Kehamilan Remaja
British Medical Journal yang mengatakan bahawa pendidikan seks sebaiknya dimulakan secepat mungkin, selagi anak masih sangat muda, misalnya seawal usia lima tahun. Walaubagaimanapun pendidikan seks sebenarnya gagal mencegah kehamilan remaja. Laman web www.isekolah.org/file/h_1090923237.doc menyebut bahawa pendidikan seks tidak mengurangi kadar kehamilan remaja atau meningkatkan pemakaian alat kontrasepsi sebagaimana hasil kajian berbeza yang dilakukan di Britain dan Kanada. Menurut pengkaji Kanada, program pendidikan seks gagal untuk menahan kadar hubungan seks, gagal untuk meningkatkan pemakaian alat pelindung kehamilan ataupun mengurangi kadar kehamilan remaja.

Hal yang sama turut dikemukakan oleh pengkaji dari Scotland. Menurutnya, pendidikan seks memang meningkatkan kualiti hubungan antara anak muda dan juga pengetahuan seks yang sihat, tetapi pendidikan seks tetap tidak mempengaruhi kadar penggunaan alat kontrasepsi.

Dalam artikel berjudul “Compulsory Sex Education for Primary Schools” pelajar sekolah rendah hendaklah diberikan pendidikan seks asas yang akan diwajibkan pelaksanaannya di semua sekolah. Walaubagaimanapun, kumpulan yang menggelar diri mereka “The Family Education Trust” membangkitkan bahawa tiada bukti bahawa kadar kehamilan dalam kalangan remaja akan dapat dikurangkan dengan memperkenalkan pendidikan seks diusia muda. [http://www.guardian.co.uk/education/2008/oct/23/sexeducation-primaryschools]

Cinta yang hakiki
Cinta yang sebenar adalah kepada Allah dan Rasulnya, mengikut Al Azhari, “Erti cinta seorang hamba kepada Allah dan Rasulnya adalah dengan mentaati dan mengikuti perintah Allah dan RasulNya” [Pilar-pilar pengukuh Nafsiyyah Islamiyyah, Taqiuddin an-Nabhani]

Walaubagaimanapun, Allah Subhanahu wa Taala menciptakan manusia dengan keinginan terhadap lawan jenis sebagai satu mekanisme untuk memanjangkan zuriat dan keturunan. Sabda Rasulullah, ‘Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya’. [HR Bukhari & Muslim]

Daripada hadis di atas, kita memahami bahawa satu-satunya jalan untuk memenuhi keinginan yang lahir dari rasa cinta ialah dengan perkahwinan untuk memelihara kesucian dan ketakwaan. Kita juga diterangkan bahawa seandainya seseorang belum mampu untuk bernikah, maka dia disarankan untuk berpuasa sebagai satu mekanisme membendung nafsunya. Alangkah indahnya hukum yang Allah turunkan kepada manusia selaku Sang Pencipta yang mana apabila kita memahami hakikat dan tujuan penciptaan kita di dunia ini, sebagai hambanya kita langsung tidak berhak untuk mengatur hidup kita mengikut acuan akal yang terbatas ini. Sebagaimana yang telah jelas lagi terang Allah Subhanahu wa Taala menyatakan: “Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.” [TMQ An Nur: 51-52].

Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah boleh bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [TMQ Al Ahzab: 36]

Khatimah
Mengalami cinta bukanlah satu keadaan yang mesti dinafikan. Apa yang perlu difahami oleh umat Islam ialah bagaimana menyalurkan perasaan cinta menurut syarak sama ada menikah yang mesti dipermudahkan – sama ada menikah seorang atau melakukan poligami tanpa perlu majlis ala “wedding of the year”, tanpa hantaran tinggi dan sebagainya atau membendung keinginan kepada lawan jenis dengan menumpukan kepada naluri beragama seperti berpuasa. Realiti masyarakat hari ini yang merasakan bahawa pendidikan seks akan dapat membendung gejala seks songsang pada hakikatnya hanya penyelesaian kepada simptom masalah, manakala masalah akar (root cause) adalah ketiadaan sistem pendidikan Islam yang melahirkan insan bertakwa disebabkan sistem Sekular-Kapitalis yang menyelesaikan masalah seksual menurut akal semata-mata. Bahayanya pemikiran bahawa pendidikan seks dapat menyelesaikan gejala sosial pada hari ini adalah seseorang Muslim itu berkemungkinan mengambil langkah-langkah pencegahan dan memakai alat kontrasepsi untuk mengelak kehamilan luar nikah. Akan tetapi ia tidak dapat membendung perzinaan yang membawa kepada kesengsaraan di dunia dan azab pedih di akhirat. Wallahu a’lam bisshawab.


PENGHARAMAN NIQAB DI PERANCIS: SATU PEMBENTURAN PERADABAN

Sabtu, 30 Januari 2010, 08:10 ADNAN KHAN

Dan tidak akan pernah orang Yahudi dan orang Nasrani redha sehingga kamu mengikuti jalan mereka”              [TMQ Al-Baqarah (2):120]

Sebuah jawatankuasa parlimen di Perancis telah mencadangkan pengharaman burqa yakni purdah. Laporan jawatankuasa tersebut yang sepanjang 200 muka surat itu telah mencadangkan pengharaman di hospital-hospital, sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan di dalam pengangkutan awam, dengan erti kata lain, ditempat-tempat umum. Pada Julai 2009, satu laporan dari Inteligen Dalam Negeri Perancis telah melaporkan bahawa hanya 367 wanita di Perancis yang berpurdah. Tetapi,  jumlah tersebut adalah  terlalu ramai bagi Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. Beliau berkata bahawa bertudung tidak boleh diterima di Perancis. Malah, semenjak seabad yang lalu, Perancis telah berusaha menentang cara berpakaian Muslim.

Suruhanjaya Stasi (Stasi Comission) dalam tahun 2004 telah mencadangkan pengharaman semua simbol keagamaan di institusi-institusi pendidikan awam. Suruhanjaya tersebut telah tubuhkan oleh Presiden Jacques Chirac untuk memantau penerapan dan kekuatan sekularisme di Perancis. Pengharaman hijab di sekolah –sekolah telah membuktikan kepada Muslim dan bukan Muslim bahawa Perancis mempunyai masalah dengan Islam.

Mengapa Perancis mempunyai masalah dengan sehelai pakaian? Mengapa Perancis mempertimbangkan untuk mengubal undang – undang menentang satu keputusan peribadi wanita Muslim untuk menutup aurat? Sentimen anti – Islam sangat tinggi merentasi Eropah dimana negara-negara seperti Switzerland – sebuah negara yang paling bersikap tertutup didunia telah mengharamkan pembinaan sebarang simbol Islam. Terdapat beberapa isu yang perlu difahami untuk memahami sepenuhnya sebab-sebab mengapa Eropah telah bertindak sedemikian terhadap umat.

Kapitalisme telah berkembang sepertimana yang terdapat pada hari ini hanya setelah berabad–abad berjuang untuk memisahkan kekuasaan gereja. Ramai pemikir–pemikir, ahli–ahli falsafah dan penulis telah terkorban dalam perjuangan mereka untuk bebas daripada kekuasaan diktator Gereja Kristian. Akibat daripada dogma gereja ini telah menyebabkan banyak penerapannya bertentangan dengan realiti yang telah dipaksa keatas rakyat jelata dimana sebarang penyimpangan adalah dianggap menista dan hukumannya akan dibakar. Perjuangan ini akhirnya telah membawa kepada sebuah revolusi intelektual di Eropah. Ahli falsafah, penulis dan intelek Eropah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan di Eropah dengan tujuan untuk menyatukan Eropah dibawah pemikiran Demokratik Sekular Liberal, yaitu kapitalisme.
 
Banyak pergerakan telah ditubuhkan dan memainkan peranan penting dalam kemunculan kepercayaan baru tentang kehidupan. Salah satu perkara yang sangat signifikan berlaku adalah perubahan sistem politik dan perundangan kepada negara bangsa. Sistem pemerintahan monarki yang bersifat kuku besi beransur-ansur hilang dan digantikan dengan sistem republik yang berasaskan pemerintahan melalui perwakilan dan negara yang berdaulat. Oleh sebab itu orang-orang Eropah telah bersungguh-sungguh menjelaskan nilai-nilai yang telah diperjuangkan dengan susah payah dimana sebarang kompromi mengenai kebebasan, demokrasi dan kesetaraan adalah satu pengkhianatan sejarah Eropah.

Salah satu usaha awal untuk menggugat kapitalisme telah dilakukan oleh Soviet Union yang muncul sebagai negara kuasa besar selepas Perang Dunia Kedua. Soviet Union melambangkan satu alternatif cara hidup yang menawarkan satu set nilai-nilai alternatif dimana tunggak kepercayaan sistem tersebut adalah komunisme – tidak boleh wujud seiring dengan sebarang ideologi. Dari saat itu Perang Dingin bermula, dimana pemerintah–pemerintah Barat berusaha mengugat komunisme dengan mereka–reka suasana ketakutan di kalangan penduduk mereka dengan membenarkan pertukaran kuasa pemerintahan dan mengatur kedudukan ketenteraan malah memberi lebih peruntukan kewangan bagi industri ketenteraan berbanding dengan industri domestik.

Kemungkinan ancaman serangan nuklear oleh pengganas merah (The Red Menace) keatas rakyat digunakan sebagai satu dakyah aggresif keatas Blok Komunis. Ini dibuktikan oleh laungan Amerika melalui “McCarthysim” pada awal 1950-an dimana perkara yang sama juga dilakukan di Vietnam dan Cuba pada awal 1960-an. Barat telah mengalahkan komunisme dengan merekacipta gambaran-gambaran palsu mengenai Blok Komunis. Sungguhpun kesan perjuangan ini telah dianggap sejarah, metod yang digunakan oleh Barat adalah kritikal untuk difahami dan pada 21 Januari 1996, Elaine Sciolino dari The New York Times telah menulis: “Ancaman Merah telah berlalu. Tetapi, kini Ancaman Hijau, iaitu Islam” (The Red Menace is Gone. But Here’s Islam, the Green Menace)

Selepas Perang Dunia II, Britain memerlukan tenaga buruh yang banyak dan telah mengiklankan peluang pekerjaan dinegara-negara jajahannya. Oleh kerana benua Eropah memerlukan pembinaan semula, maka beberapa negara Eropah ketika itu telah mengimport pendatang (migran) dari negara-negara koloni mereka. Akibat daripada penghijrahan tersebut, Eropah pada hari ini berhadapan dengan situasi “catch 22”. Pada satu aspek, mereka memerlukan ramai pendatang (migran) dari negara-negara membangun untuk meneruskan keberlangsungan sistem ekonomi mereka akibat populasi yang berumur. Manakala pada aspek yang lain pula, telah menyebabkan orang Eropah menjadi bertambah nasionalis dan kurang toleran. Sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan RAND corporation pada tahun 2004: “Penambahan imigran untuk mengimbangi populasi yang berumur di Kesatuan Eropah dan negara-negara ahlinya bukanlah sesuatu yang boleh diterima dalam keadaan sosiopolitik Eropah sekarang.”

Pada tahun 1990-an telah menyaksikan beberapa peristiwa yang mempolitikkan umat di Eropah. Diantara peristiwa-peristiwa tersebut adalah reaksi kepada penerbitan “Satanic Verses” di UK, Perang Teluk I dan Bosnia. Lain-lain konflik yang membawa kepada pertambahan aktiviti dan peningkatkan ketegangan termasuklah konflik di Algeria, Chechnya, Dagestan, Kashmir dan Gujarat. Kemudian, apabila berlaku serangan di New York dan Washington umat Islam mendapati mereka secara tidak langsung termasuk sebagai kumpulan minoriti di tengah-tengah kancah politik Eropah. Pengeboman di Madrid dan Britain telah menjadikan umat di Eropah dianggap sebagai golongan pelampau Islam. Ini merupakan contoh unggul tentang perasaan permusuhan dan kecurigaan terhadap umat Islam. Malah, satu perdebatan yang mempersoalkan kesetiaan umat Islam terhadap negara-negara tuan rumah mereka di Eropah berlaku apabila umat Islam yang memegang pasport Eropah didapati berperang bersama-sama Taliban bagi menentang angkatan bersenjata Eropah. Mereka ini (umat Islam yang menjadi warganegara Eropah), kini dilihat sebagai sekelompok rakyat yang mempunyai visi yang sangat berbeza dari Eropah. 9/11 telah membuatkan umat Islam dipersoalkan identiti, maruah dan kesetiaan mereka. Malah minoriti Muslim diseluruh Eropah mendapati bahawa mereka terpaksa menerima serangan, kritikan dan kemarahan yang hebat apabila kecurigaan terhadap mereka meningkat dengan mendadak.

Pasca 9/11, berakhirlah suasana pelbagai budaya kerana satu model untuk menarik minoriti integrat kedalam nilai-nilai dan kepercayaan sepertimana yang dikehendaki Eropah adalah sangat perlu. Keadaan yang direka-reka oleh Barat ini termasuklah serangan secara terbuka terhadap Islam, seperti pakaian Muslimah, Syariah, Ummah dan Khilafah. Wartawan, penulis dan menteri memberikan justifikasi mengenai serangan keatas Islam melalui kebebasan bersuara. Apabila Jylland – Posten menerbitkan gambar-gambar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam, Flemming Rose, editor kepada Jylland – Posten memberikan komen berikut: “Sesetengah Muslim telah menolak masyarakat moden dan sekular. Mereka menuntut satu kedudukan yang istimewa, mendesak supaya diberikan pertimbangan yang istimewa mengenai agama mereka. Ia tidak cocok dengan demokrasi kontemporari dan kebebasan bersuara dimana seseorang itu harus bersedia untuk diperlekehkan…”  Andre Gerin, seorang legislator Parti Komunis merangkap Datuk Bandar Venissieux, satu kejiranan di Lyon, telah memulakan satu usul untuk mengharamkan pemakaian purdah di Perancis dan beliau telah memperlihatkan dengan jelas kepada umat isu sebenarnya yang juga telah bergema menyeberangi Eropah dimana beliau berkata, “Burqa hanyalah satu bahagian kecil dari sesuatu yang lebih besar, Islamism sebenarnya mengancam kita.” Islam adalah masalahnya di Eropah; segala usaha untuk menyerang Islam dan pengharaman simbol keIslaman sebenarnya adalah satu realiti dimana Barat berusaha untuk mempertahan Kapitalisme. Hijab, niqab dan burqa bagi Barat adalah simbol-simbol keIslaman. Justeru itu, pemakaiannya bukanlah satu tanda pemisahan, tetapi kepada yang liberal adalah satu cabaran terbuka kepada kapitalisme – dengan erti kata lain, permusuhan dengan mereka. Laporan Parlimen Perancis telah mencadangkan pengharaman niqab dengan menjelaskan bahawa: “Pemakaian purdah adalah satu cabaran kepada republik kita. Ini tidak boleh diterima. Kita mesti mengutuk  perbuatan yang keterlaluan ini,”. Suruhanjaya ini telah menyeru parlimen untuk mengadopsi satu resolusi yang menyatakan bahawa “Purdah adalah bercanggah dengan nilai-nilai yang diterapkan oleh republik” dan mengisytiharkan bahawa “Seluruh Perancis menyatakan ‘tidak’ kepada purdah”.     

Barat telah mengalahkan komunisme secara subversif dengan mengadakan pelbagai penipuan terhadapnya dimana rakyat Barat sendiri tidak boleh menerimanya sama sekali. Mereka kemudiannya melumpuhkan Kesatuan Rusia melalui perlumbaan senjata dan penerokaan angkasa yang panjang, dimana akhirnya menghancurkan ekonomi Rusia. Barat menunjukkan bahawa sistem ekonomi mereka adalah satu sistem yang ideal untuk pengagihan sumber  dan telah berjaya menawan banyak negara-negara komunis untuk menerima idea ini, walaupun ketidakseimbangan kekayaan dapat dilihat merentasi Barat. Dengan nada yang sama, Barat berusaha melindungi ideologinya melalui cara subversif terhadap Islam. Barat telah berjaya menonjolkan kepada rakyat bahawa Khilafah secara semulajadinya adalah ganas dan seruan untuk mengembalikan Khilafah adalah keganasan. Ia sentiasa mempropagandakan bahawa undang-undang Islam adalah menekan dan ketinggalan zaman, contohnya, pakaian Muslimah. Dengan cara ini, perdebatan hanya tertumpu kepada Islam dan umat Islam sibuk untuk memperjelaskan Islam; ini hanyalah untuk memastikan bahawa tidak ada perbincangan tentang kapitalisme, sama seperti strategi yang digunakan untuk meruntuhkan komunisme.

Perancis telah menubuhkan satu negara yang kuat ditengah-tengah Eropah melalui Revolusi Perancis. Penyedaran ini bermula di Perancis dan akibatnya idea baru mengenai peranan Raja dan kekuasaan negara telah muncul. Ramai ahli falsafah dan intelek Perancis telah mencapai pengaruh sosial, politik dan falsafah dengan meluas. Diantara mereka ini ialah Voltaire, Denis Diderot dan Jean – Jacques Rousseau, yang menulis “The Social Contrast, Or Principles of Political Rights” dan Charles de Secondat, Baron de Montesquieu yang menerangkan pemisahan kekuasaan adalah satu pemangkin untuk perubahan sosial dan pemerintahan diseluruh Eropah. Walau bagaimanapun, pada hari ini, ramai telah beranggapan bahawa budaya Perancis telah lupus. Ketika awal kapitalisme, Perancis adalah yang mengetuai perubahan di Eropah, malangnya pada hari ini, kebanyakan pemikir, idea-idea baru dan ahli-ahli filosofi datang dari Amerika Syarikat. Ini telah menjadikan Perancis tidak selamat dan telah menjadi sangat pesimis mengenai masa depan negaranya. Inilah tujuan sebenarnya Suruhanjaya Stasi dibentuk bagi mengkaji apakah yang telah terjadi kepada Perancis.

Orang-orang Perancis seperti orang-orang Eropah yang lain merasakan dan mempercayai bahawa cara hidup mereka telah merosot dan sedang dicabar oleh Islam melalui penggunaan simbol-simbol Islam dan ketaatan dan kesetiaan umat diseluruh Perancis. Dalam mempertahankan ideologi mereka, Perancis telah menggubal undang-undang untuk menghalang Islam berbanding daripada memilih dan mengambil jalan secara intelektual berdebat dengan Islam. Keadaan serupa dapat dilihat di seluruh dunia Barat di mana kebencian Islam hanya diperlihatkan dengan serangan yang berterusan keatas beberapa aspek Islam sahaja kerana kedangkalan intelektual. Eropah juga telah menghalang gelombang kebangkitan Islam melalui pengharaman beberapa aspek keIslaman sepertimana yang berlaku di Jerman yang memaksa penduduk untuk menandatangani akujanji bagi mendapat kewarganegaraan atau sepertimana di United Kingdom yang memerlukan angkat sumpah taat setia kepada Ratu bagi mendapat kerakyatan Britain.

Umat di seluruh dunia seharusnya melihat serangan terhadap Islam sebagai satu sinar positif. Barat sedang berusaha untuk mempertahankan ideologi kapitalisme walaupun umat tidak pernah melancarkan sebarang serangan balas secara terancang. Usaha mereka untuk mempertahankan kapitalisme adalah melalui serangan, penipuan dan subversif keatas Islam dengan harapan dapat menghalang gelombang Islamisasi yang sedang melanda dunia Islam. Mempolitikkan umat akan pasti menuju kepada keKhilafahan kerana idea-idea politik akan sentiasa berakhir dengan sebuah revolusi dan kerajaan – sepertimana yang telah dialami oleh Barat. Kemunculan dan kebangkitan Khilafah adalah mimpi ngeri terburuk mereka, dan inilah natijahnya jika umat memberi respons yang Islami keatas isu-isu global, mereka secara bermati-matian akan berusaha mempertahankan ideologi mereka.  

Umat perlu berdiri teguh untuk Islam dalam menghadapi segala penipuan yang dilabelkan oleh Barat keatas Islam sehingga menyebabkan mereka terlepas pandang krisis yang sedang dialami mereka. Di Amerika Syarikat, seorang dibunuh setiap 31 minit, dirogol setiap 1.9 minit, diserang setiap 36.9 saat dan sebuah rumah akan dirompak setiap 18 minit. Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah dua buah negara yang mempunyai kadar kehamilan remaja tertinggi di dunia. Dua dari setiap lima orang dianggap obes di Eropah. Ketika Sarkozy berusaha melindungi wanita Muslim di Perancis, terdapat 3.2 juta warga Perancis menderita akibat kemurungan, 25 000 wanita di Perancis adalah mangsa rogol setiap tahun, 400 wanita mati akibat keganasan di Perancis, lelaki dibayar 11% lebih tinggi daripada wanita untuk jenis pekerjaan yang serupa dan 5 400 wanita bunuh diri setiap tahun di Perancis. Selepas 200 tahun, masyarakat Kapitalis Barat sedang lemas terkapai-kapai di lautan hutang dan keruntuhan masyarakat. Kapitalisme perlu menjelaskan mengapa dunia harus mengadopsinya, sedangkan ketika ini ia menghadapi masalah untuk menyakinkan umat untuk meninggalkan Islam. Oleh sebab itu pembelaan kapitalisme tidak dibentangkan secara terperinci tetapi nampaknya hanya berhujah pada alternatif yang membingungkan.

Barat telah berjaya membabitkan beberapa orang Muslim dalam usaha mereka memperlekehkan Islam di mana pada masa yang sama mereka ini sebenarnya membantu Barat berkempen untuk merendahkan martabat Islam. Pada Januari 2009, Mufti Besar Al-Azhar, Sheikh Tantawi telah berkata bahawa beliau akan cuba mendapatkan pengharaman purdah di sekolah. Seharusnya telah jelas bahawa niqab adalah satu pendapat di dalam Islam yang berkaitan dengan pakaian wanita dalam kehidupan umum. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman di dalam Al-Quran;  

Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak–anak perempuan kamu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang”       

Walaupun ada beberapa interprestasi yang berbeza mengenai ayat ini, tetapi apabila dirujuk kepada dalil-dalil yang lain, maka burqa adalah satu pendapat yang Islami. Walau bagaimana pun, ini bukanlah hujah oleh Perancis mahupun Barat. Hujah mereka adalah niqab itu melambangkan Islam dan oleh yang demikian ia adalah satu cabaran kepada orang-orang yang mempercayai nilai-nilai Barat. Menidakkan burqa bukan sahaja membantu Barat tetapi ia merupakan satu pengkhianatan kepada Allah Subhanahu Wa Taala ketika Barat secara terang-terangan melancarkan perang dengan Islam.

Pelbagai kajian, laporan daripada kumpulan penasihat (think tank) dan pembuat dasar (policy makers) telah melaporkan bahawa umat Islam secara global telah menolak nilai-nilai Barat. Satu kajian yang dikenali sebagai Gallup Survey  dalam tahun 2006 telah merumuskan bahawa wanita Muslimah cenderung menilai budaya Barat sebagai tidak bermoral dan obses dengan sex, dadah dan “rock ‘n’ roll”. Kesemuanya ini menunjukkan satu kegagalan yang sangat menonjol oleh Barat yang tidak pernah berhadapan dengan sebarang cabaran ke atas ketinggian kuasanya semenjak kejatuhan komunisme. Ini bererti peperangan hati dan pemikiran serta penjajahan secara fizikal menggambarkan usaha terakhir untuk menyelamatkan kemunculan satu sistem pemerintahan alternatif. Oleh itu, mempertahankan Islam seharusnya diambil dari perspektif kedudukan yang kuat, bukan dari kedudukan yang lemah.

Dalam konteks inilah Perancis sedang berusaha untuk mengharamkan komponen dari Islam.