Fikratul Ummah – September 2011

DARI LIDAH PENGARANG
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh...

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Zat Maha Tinggi kerana dengan izin-Nya jua kita berkesempatan untuk bertemu lagi dalam keluaran September 2011, bulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1432H.  Allah Subhanahu wa Taala berfirman yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [TMQ al-Baqarah (2): 185]

Pada saat majoriti umat Islam berlumba-lumba melaksanakan pelbagai ibadah demi meraih ganjaran pahala di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, rupa-rupanya ada pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk memesongkan
aqidah umat Islam. Kejadian pada tarikh 2 Ogos yang lalu begitu membangkitkan kemarahan umat Islam apabila Gereja Methodist Damansara Utama menganjurkan majlis makan malam dengan menjemput 12 orang Islam secara tertutup yang dianggap sebagai percubaan untuk memurtadkan orang Islam. Namun, pihak berkuasa tempatan dan jabatan agama Islam negeri gagal mengambil tindakan tegas terhadap pihak gereja itu. 

Sebenarnya, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dalam sistem pemerintahan demokrasi ini, negara membenarkan pengamalan agama lain selain agama Islam secara terbuka melalui prinsip kebebasan beragama! 

Inilah kesannya apabila tiadanya insititusi negara Khilafah yang akan berperanan memerangi golongan murtad dan pihak yang terlibat.  Pada tahun ini, seluruh umat Islam menyambut Aidilfitri kali ke-87 tanpa seorang pemimpin yang bergelar Khalifah.  Walau bagaimanapun, seruan kemenangan di pagi Aidilfitri terus membara dalam jiwa-jiwa mereka yang inginkan kehidupan Islam.  Justeru, sidang redaksi FU terus menyemarakkan jiwa-jiwa ini dengan hidangan artikel-artikel utama yang masih menyentuh isu pelaksanaan silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS). 

Artikel pertama bertajuk Peranan Negara Dalam Menjaga Aqidah Umat merungkaikan bagaimana negara seharusnya berfungsi memastikan aqidah umat Islam sentiasa teguh dengan menghalang kemasukan unsur-unsur negatif dalam kehidupan rakyat yang boleh membawa kepada kerosakan aqidah dan akhlak. 

Artikel kedua pula bertajuk Mencegah dan Menghukum Kesalahan Seks Bebas dan Buang Bayi Secara Hakiki.  Artikel ini menggambarkan bagaimana kerangka sistem uqubat Islam mampu mencegah berlakunya gejala sosial dalam masyarakat. 

Lanjutan daripada bulan lepas, artikel terjemahan membawakan tajuk ‘Cara Berdakwah di Alam Maya (Bahagian II): Etika Posting dan Bertingkah Laku’ oleh Felix Siauw.  Sempena bulan Syawal ini, Fikih Wanita pula mengangkat artikel berkaitan Hukum Lupa Bayar Zakat Fitrah.  Tidak ketinggalan juga Doa pilihan menghadirkan Doa di Akhir Ramadhan untuk para pembaca budiman.

Akhir kalam, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir & Batin kepada semua pembaca setia FU.  Semoga istiqamahanya kalian dalam mengkaji Islam melalui tulisan-tulisan dalam FU ini diberkati Allah dan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda, insyaAllah.



PERANAN NEGARA DALAM MENJAGA AQIDAH UMAT

Gejala sosial yang berlaku seringkali mendapat liputan meluas media.  Setiap kali timbul isu masalah sosial, pelbagai pihak akan tampil untuk mencadangkan langkah penyelesaian terhadap gejala ini.  Lazimnya, pihak sekolah, ibu bapa, pertubuhan sosial dan pusat kebajikan merupakan golongan masyarakat yang akan tampil untuk mencari penyelesaian.  Namun, tidak kelihatan peranan negara.  Di mana peranan negara sebagai pihak yang paling berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini?  Sayang sekali, peranan negara dalam menangani permasalahan ini seringkali dipandang sepi.  Jika ada sekalipun, “mereka” hanya sekadar sebagai pengulas isu-isu yang terjadi seterusnya mencadangkan perlaksanaan hukuman terhadap pesalah terbabit. Malangnya, semua cadangan yang dilontarkan hanyalah penyelesaian jangka pendek.  Masalah gejala sosial terus menular.  Adakah benar sekadar itu kemampuan negara menyelesaikan masalah gejala sosial ini atau sebenarnya negara tidak berminat untuk bersungguh-sungguh menyelesaikannya?  Apakah sebenarnya peranan dan fungsi negara dalam menangani gejala sosial ini?  Cukupkah sekadar menjatuhkan hukuman kepada si pesalah?
 
Media dan Keadaan Sekeliling Bebas Mempromosikan Seks
Sebelum penjelasan difokuskan kepada peranan negara, kita perhatikan terlebih dahulu analisis berkaitan faktor-faktor pemangkin gejala sosial pada hari ini.  Sebenarnya,terlalu banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala sosial sehingga memberikan pengaruh yang buruk kepada rakyat, khususnya remaja.  Contoh yang paling mudah untuk memperlihatkan kepincangan ini ialah iklan yang dipaparkan di media cetak dan elektronik.  Iklan yang dipaparkan acapkali menyelitkan unsur-unsur seks sebagai pelaris produk yang dipasarkan. Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah unsur seks itu suatu yang begitu sinonim dengan iklan dan sebagai pelaris.  Hal ini dapat dilihat hampir dalam semua iklan, daripada barangan kegunaan harian seperti syampu, minyak wangi dan sebagainya, hinggalah ke busana dan fesyen, hatta termasuk juga iklan kereta dan barangan mewah lainnya.  Kebanyakan produk menggunakan wanita seksi sebagai bahan tarikan sesuatu produk.

Program-program televisyen yang dipertontonkan juga tidak ketinggalan menjadikan seks sebagai tarikan.  Jika si hero dalam sesebuah rancangan digambarkan dengan imej ganas, si heroin pula disinonimkan dengan imej seksi dan menggoda.  Imej seksi yang menampakkan bentuk atau lekuk-lekuk tubuh wanita sepatutnya dijauhi daripada ditonton.  Ibrahim M.Hefzallah dalam bukunya, Critical Viewing of Television, menyatakan televisyen banyak memaparkan hubungan seks yang berulangkali dan keterlaluan.  [Petikan Buku Kesan TV Terhadap Perkembangan Anak Anda,terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang].

Drama atau filem yang mengetengahkan unsur-unsur cinta antara lelaki dan perempuan pula akan berakhir di ranjang untuk menunjukkan kononnya itulah tanda cinta sejati.  Kesan buruknya ialah remaja akan menganggapnya sebagai lumrah dalam kehidupan seharian.  Secara tidak langsung pembinaan syakhsiyyah para remaja telah diambil alih oleh media kerana apa-apa yang dipaparkan begitu mudah mempengaruhi mereka.Lebih teruk lagi, program kanak-kanak yang ditayangkan turut ditokok tambah dengan eleman seks seperti kartun Sin Chan, Chibi Maruko Chan dan lain-lain.

Manusia, secara fitrahnya diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Taala dengan gharizah an-nau’ (naluri melestarikan keturunan/naluri seks) yang pastinya akan terkesan apabila melihat realiti yang berada di sekeliling mereka hari ini.  Ini kerana, munculnya naluri ini adalah disebabkan oleh rangsangan yang muncul di sekitar mereka.  Gharizah an-nau’ dirangsang apabila penonton didedahkan dengan tayangan-tayangan yang berunsur seks di media elektronik dan media cetak seterusnya terperangkap dalam gejolak nafsu sehingga mampu membawa mereka membayangkan kenikmatan melakukan hubungan dengan lawan jantina.

Keadaan ini menjadi lebih parah lagi dengan suasana persekitaran yang dipenuhi dengan unsur-unsur seks sama ada di papan-papan iklan, wanita dan lelaki yang mendedahkan aurat di sana-sini, majalah hiburan, cakera padat lucah yang mudah dibeli, premis urutdan pusat hiburan yang terbuka untuk dikunjungi.  Keadaan ini sangat mungkin untuk merangsang syahwat seseorang.  Jika tidak ditangani dengan cara yang dianjurkan syarak, maka tidak hairan jika zina, sumbang mahram dan seks bebas yang berakhir dengan pembuangan bayi-bayi akan terus berleluasa.

Tidak cukup dengan itu, kurikulum Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) pula diperkenalkan dalam sistem pendidikan.  Visinya adalah untuk menyelesaikan masalah gejala sosial.  Persoalannya, mampukah kurikulum baru ini menghalang gejala sosial dalam kalangan remaja?  Secara faktanya, PKRS tidak banyak beza dengan pendidikan seks yang telah lama bertapak di barat.  PKRS dilaksanakan bertujuan agar para remaja memperolehi maklumat lengkap tentang seksualiti, kesihatan reproduksi dan cara mengatasi masalah kesihatan reproduksi.  Para remaja kononnya berhak memperolehi penerangan yang tepat dan benar tentang kesihatan reproduksi sehingga dapat berperilaku secara sihat dan menjalani kehidupan seksual yang bertanggungjawab.  Namun, cuba bayangkan keadaan para remaja yang terus-menerus disodorkan dengan maklumat tentang seks, dan dalam masa yang sama juga mereka diperkenalkan dengan kondom dan pil perancang keluarga.  Tidakkah keadaan ini merangsang gharizah an-nau’ mereka untuk mencuba sesuatu yang baru dan belum pernah dilakukan?  Secara logiknya, bukankah keadaan ini bakal menyemarakkan lagi seks bebas serta mengundang seribu satu permasalahan lainnya yang tidak akan pernah berakhir?

Halangan Menikah
Tidak dinafikan terdapat sebilangan remaja yang masih bersekolah atau sedang melanjutkan pelajaran merasakan mereka tidak mampu menahan gejolak nafsu serta rangsangan syahwat akibat suasana persekitaran yang begitu hebat mengasak naluri mereka.  Lalu, demi menjauhi perbuatan zina dan maksiat, mereka meminta izin daripada keluarga untuk menikah.  Malangnya, keinginan mereka ini mendapat tentangan dan tidak direstui keluarga dengan alasan masih belajar dan tiada jaminan masa depan jika berkahwin di usia muda.  Sudahlah dihalang keluarga, prosedur mahkamah syariah pula menyulitkan pasangan muda ini.

Misalnya, mengikut Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (NegeriSelangor) 2003 (EUUKIS) memperuntukkan: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Menurut peruntukan di atas, perkahwinan seorang perempuan yang didefinisikan sebagai bawah umur (walaupun telah mencapai umur baligh menurut hukum syara’) hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis dari mahkamah syariah.  Jika bapa atau datuk menikahkan anak atau cucu perempuan yang di bawah umur minimum untuk berkahwin tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Mahkamah Syariah, maka ia adalah satu tindakan yang menyalahi peruntukan Seksyen 40 EUUKIS.  Jika sabit kesalahan, individu terbabit didapati telah melakukan suatu kesalahan dan akan dihukum denda tidak melebihi RM1,000.

Padahal, Islam telah menetapkan hukum berkenaan masalah ini.  Hukum mengahwini atau mengahwinkan seorang perempuan yang belum baligh (belum haid) sekalipun adalah mubah (boleh/harus) dan sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat perkahwinan.  Dalil tentang keharusan perkahwinan seperti ini adalah dari al-Qur’an dan as-Sunnah.  Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud,

“Dan perempuan-perempuan yang sudah tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu, jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu (juga) perempuan-perempuan yang belum haid.  Dan bagi perempuan-perempuan yang hamil, iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.  Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya”.  [TMQ at-Thalaq (65):04].

Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya ada menyatakan bahawa maksud “lam yahidhna” (perempuan-perempuan yang tidak haid) adalah “as-shighar al-la’iy lam yablughna sinnaal-haidh” (anak-anak perempuan kecil yang belum mencapai usia haid).  Tambahan pula, Imam Suyuthi dalam kitabnya Al-Iklil fi Istinbath At-Tanzil hal. 212 menyebut Ibnul Arabi, yang mengatakan, “Diambil pengertian dari ayat itu, bahawa seorang [wali] boleh menikahkan anak-anak perempuannya yang masih kecil, sebab iddah adalah cabang daripada nikah”.  Jadi, secara tidak langsung, ayat dari Surah at-Thalaq di atas menunjukkan kebolehan menikahkan anak perempuan yang belum haid.

Manakala dalil as-Sunnah adalah hadis dari Aisyah Radhiallahu‘Anha yang bermaksud, “Bahawa Nabi Sallallahu  Alaihi wa Sallam telah menikahi Aisyah sedang Aisyah berumur 6 tahun, dan berumah tangga dengannya pada saat Aisyah berumur 9 tahun, dan Aisyah tinggal bersama Nabi Sallallahu alaihi wa sallam selama 9 tahun” [HR Bukhari].  Dalam riwayat lain disebutkan, “Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam menikahi Aisyah Radhiallahu ‘Anha ketikaAisyah berumur 7 tahun dan Nabi berumah tangga dengan Aisyah ketika Aisyah umurnya 9 tahun [HR Muslim].

Daripada dalil-dalil di atas, dapat difahami bahawa menghalang perkahwinan pasangan muda adalah tindakan yang menyalahi syarak kerana syarak jelas membolehkan perkahwinan perempuan yang belum baligh apatah lagi yang sudah baligh.  Alasan perkahwinan muda tidak menjamin masa depan adalah sangat tidak wajar.  Justeru, mentaliti ibu bapa zaman sekarang dan prosedur rumit yang diperuntukkan oleh mahkamah syariah ini secara tidak langsung mendorong sebilangan remaja nekad lari dari rumah atau kahwin lari kerana mahu memenuhi niat mereka itu.  Akibat yang lebih buruk lagi, ramai dalam kalangan mereka memilih untuk berzina.  Bukankah ini tiada bezanya dengan membiarkan mereka melakukan seks bebas dan seterusnya mendorong pembuangan bayi jika hamil hasil hubungan itu?

Peranan Negara Menjaga Keimanan Rakyat
Negara, dalam pandangan Islam, memiliki peranan yang sangat penting dalam mewujudkan generasi yang mempunyai syakhsiyah mulia.  Negara berkewajipan untuk melindungi setiap rakyatnya daripada segala bentuk kerosakan dengan menerapkan seluruh peraturan yang sesuai dengan fitrah manusia.  Peraturan yang diterapkan pastinya merangkumi segala aspek kehidupan manusia.  Peranan negara yang berlandaskan Islam telah terbukti mensejahterakan hidup manusia selama berabad-abad semasa zaman kegemilangan Islam sepanjang 1400 tahun yang lalu.

Berkenaan kewajipan menjaga keimanan rakyat umumnya dan menangani gejala sosial khususnya, negara seharusnya proaktif melakukan pencegahan dari awal lagi.  Negara wajib melaksanakan sistem pendidikan yang berasaskan aqidah Islam dan tidak memberi ruang kepada konsep-konsep yang rosak seperti kebebasan bertingkah laku. 

Sistem pendidikan Islam bertujuan mendidik dan mencetak peribadi-peribadi yang bersyaksiyah Islam agar tumbuh menjadi insan yang beriman dan bertakwa.  Selain mendidik, negara juga bertanggungjawab untuk menghapuskan realiti dan pemikiran-pemikiran yang membawa kepada timbulnya gejolak asmara dan rangsangan nafsu rakyatnya seperti menguatkuasakan larangan mendedahkan aurat; melarang pembinaan premis hiburan; rumah urut dan mengawal selia segala bahan-bahan media sama ada tayangan drama, filem, iklan, maklumat daripada surat khabar, majalah, internet, VCD dan seumpamanya.  Unsur-unsur yang memicu kepada seks bebas ini dilarang keras daripada berada di tengah-tengah umat supaya tidak memberikan kesan negatif kepada mereka.

Negara Khilafah yang menjadikan aqidah Islam sebagai asas dalam pemerintahannya ternyata berupaya mengatasi pelbagai masalah dalam kalangan umatnya.  Sejarah kejayaan negara khilafah sebelum ini bukan hanya dengan mewar-warkan konsep dan slogan tertentu semata-mata, malah sejarah panjang kegemilangan kaum Muslim tersebut membuktikan bahawa penyelesaian tersebut benar-benar dapat direalisasikan.

Jika kini, prosedur nikah di bawah usia dipersulitkan oleh Mahkamah Syariah, berbeza dengan zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.  Beliau pernah mengarahkan pegawainya yang bertugas membahagikan sedekah serta menawarkan bantuan kepada sesiapa yang ingin berkahwin tetapi tidak mampu.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga menggalakkan sesiapa yang mampu berkahwin untuk berkahwin seperti sabda baginda:  “Wahai pemuda, sesiapa sahaja daripada kamu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin.  Sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan.  Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana ia boleh menjadi perisai”  [HR Ibnu Mas’ud].  Ini bermaksud gejala seks bebas atau hamil sebelum nikah dapat ditangani dengan cara yang dihalalkan Islam iaitu melalui jalur pernikahan atau berpuasa sunat bagi mengekang nafsu.

Selain daripada usaha mendidik dan mencegah, negara jugalah yang berperanan sebagai pelaksana hukum Allah dan RasulNya.  Dengan kata lain, Negara berperanan menjatuhkan hukuman bagi pesalah yang melakukan kesalahan tanpa memilih bulu.  Allah Subhanahu wa Taala berfirman “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu.” [TMQ Al Maidah (5): 49]

Hadits riwayat Abu Hurairah r.a. ia berkata: Dari Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, beliau bersabda: “Sesungguhnya seorang pemimpin itu merupakan perisai, rakyat akan berperang di belakang serta berlindung dengannya.  Bila ia memerintah untuk takwa kepada Allah azza wa jalla serta bertindak adil, maka ia akan memperoleh pahala.  Namun bila ia memerintah dengan selainnya, maka ia akan mendapatkan akibatnya”. [HR Muslim]

Jadi, zina dan faktor-faktor yang mengarah kepada terjadinya zina sama sekali tidakakan diberi peluang untuk tumbuh subur dengan penerapan hukuman yang sangat berat bagi pelakunya.  Bagi kes zina contohnya, penzina yang belum pernah bernikah akan dihukum dengan seratus kali sebat, sementara bagi yang pernah bernikah akan dihukum rejam sehingga mati.  Ini berdasarkan perintah Allah dalam firmanNya:

Perempuan dan lelaki yang berzina, deralah masing-masing dari keduanya dengan seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhir dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian dari orang-orang yang beriman.”  [TMQ an-Nur (24):2].

Bagi kes perlakuan aksi lucah dan pornografi, sesiapa yang melakukan tarian atau gerakan erotik (merangsang) dan dapat membangkitkan syahwat di tempat-tempat umum, melakukan perbuatan-perbuatan yang melanggar adab serta melakukan perbuatan cabul dan seumpamanya akan dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan lamanya dan jika dia mengulangi perbuatannya, maka hukumannya akan ditambah menjadi hukuman penjara selama dua tahun dan disebat.  [Abdul Rahmah alMaliki, Nizham al Uqubat].  Tegasnya ancaman hukuman Islam seperti inilah yang akan menjadi pencegah bagi merebaknya zina, aksi lucah mahupun seks bebas dalam masyarakat, sekaligus menjadi penebus dosa bagi pelakunya.

Jaminan perlaksanaan hukuman yang tegas dan tidak memilih bulu akan dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan perlanggaran hukum.  Dalam pandangan Islam, hukuman yang berpandukan wahyu Allah ini dapat berfungsi sebagai pencegah (zawajir) dan sekaligus penebus (jawabir).  Dikatakan sebagai pencegah kerana tegas dan beratnya ancaman hukuman akan membuatkan seseorang berfikir panjang sebelum melakukan kesalahan.  Sebagai penebus, kerana seseorang yang bersalah dan kemudian dihukumi dengan hukum Islam sesuai dengan jenis kesalahannya, maka hukumannya ituakan menjadi penebus dosa bagi dirinya di akhirat kelak.

Tidak hairanlah dalam sejarah Islam tercatat kisah perzinaan yang dilakukan oleh Al-Ghamidiah dan Ma’iz al-Aslami yang secara sukarela minta dijatuhi hukuman rejam ke atas mereka sendiri oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai qadhi (hakim) dan pemimpin negara pada masa itu.  Inilah bukti bahawa negara yang menerapkan hukum Islam dalam seluruh aspek kehidupan dapat melahirkan individu-individu yang rela hati mengakui kesalahan dan segera insaf dan bertaubat dengan perlanggaran yang dilakukan.  Masih wujudkah generasi sebegini dalam kehidupan kita kini?

Ternyata, masalah sosial yang dihadapi saat ini adalah akibat daripada penerapan sistem sekular yang tidak menjadikan agama sebagai sumber hukum.  Hasil daripada sistem sekular itu, maka lahirlah sistem pemerintahan demokrasi.  Negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi mengabaikan aqidah Islam sebagai asas pemerintahan dan pemeliharaan urusan rakyatnya.  Negara demokrasi juga mengiktiraf liberalisme (kebebasan) yang memberi ruang kepada seseorang untuk bertingkah laku sesuka hatinya.

Khatimah
Wahai muslimah sekalian!

Sesungguhnya negara Islam sebenar adalah negara yang hanya menjadikan aqidah Islam sebagai tunjang dalam pemerintahannya.  Pemerintahan yang disandarkan kepada aqidah Islam ini jugalah yang dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin yang bertakwa sepanjang memerintah selama berabad lamanya.  Ketahuilah bahawasanya negara memiliki peranan yang sangat penting dalam menjaga masyarakat melalui penerapan seluruh hukum Islam.  Negara menjadi tiang penting bagi tertegaknya sistem Islam.  Hanya saja negara bukanlah satu-satunya penentu yang menjamin keberlangsungan tegaknya seluruh sistem dan syariat Islam namun harus disokong dengan wujudnya ketakwaan pada individu-individu umat ditambah dengan adanya kawalan yang kuat daripada masyarakat untuk sama-sama melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Adanya hubungan ta’awuniyyah (tolong menolong) sesama individu, masyarakat dan negara sebegini dapat menjamin pelaksanaan syariat Islam yang berhasil menyelesaikan bukan sahaja gejala sosial malah pelbagai bentuk permasalahan lainnya sebagaimana yang difirmankanNya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikandan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.”   [TMQ al-Maidah (5):2].

Wallahu a’lam


MENCEGAH DAN MENGHUKUM KESALAHAN SEKS BEBAS DAN BUANG BAYI SECARA HAKIKI

Mukaddimah
Permasalahan gejala sosial, seks bebas dan pembuangan bayi adalah wabak yang semakin membarah dewasa ini.  Hampir setiap hari ada sahaja kes-kes yang melibatkan pembuangan bayi yang berpunca daripada salah laku seks atau lebih tepat penzinaan.  Melihat kepada statistik yang menyeramkan, seseorang mungkin akan berfikir, tidak berkesankah undang-undang negara menangani gejala ini?  Justeru, Fikratul Ummah kali ini yang juga merupakan kesinambungan daripada topik-topik yang diperbincangkan  dalam keluaran sebelum ini akan mengupas berkenaan penyelesaian yang manakah yang dapat menuntaskan permasalahan ini.

Mampukah Peruntukan Undang-undang  Menanganinya?
Di Malaysia, perbuatan zina ditangani melalui undang-undang syariah kerana zina berbentuk suka sama suka antara dua orang yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan dengan orang lain dianggap haram dilakukan oleh orang Islam sahaja, manakala perbuatan membuang bayi ditangani oleh undang-undang sivil.

Perundangan syariah di Malaysia memperuntukkan undang-undang yang melibatkan denda dan penjara sahaja dengan kadar yang sangat minimum.  Kebanyakan pesalah pula mampu membayar denda dengan mudah tanpa perlu ke penjara.  Menurut Enakmen 11 Tahun 1965, Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1965, Seksyen 155 memperuntukkan tentang zina dan hukuman kepada pelakunya, antara lain seperti berikut:

(1)  Barang siapa yang bersetubuh dengan seorang yang diketahuinya atau ia pada masa itu isteri kepada orang lain atau ada sebab-sebab yang boleh dipercaya bahawa orang itu ialah isteri orang lain dan persetubuhan itu bukan menjadikan satu kesalahan rogol, adalah melakukan kesalahan zina dan bolehlah dihukum penjara tidak lebih daripada satu tahun dan bolehlah juga di kenakan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit.

(2)  Barang siapa bersetubuh dengan seorang perempuan yang bukan isteri kepada orang lain, jika persetubuhan itu bukan membangkitkan satu tuduhan rogol, adalah melakukan kesalahan zina, dan apabila didapati salah oleh Mahkamah yang berkuasa boleh lah dihukum penjara tiada lebih daripada satu tahun atau denda tiada lebih daripada satu ribu ringgit atau kedua-duanya sekali  iaitu penjara dan denda.

(3)  Mana-mana perempuan yang bersubahat melakukan kesalahan  tersebut dalam pecahan-pecahan (1) dan (2) dalam fasal ini boleh dihukum penjara tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit.

Justeru, hukuman yang sangat ringan ini menyebabkan pelaku-pelaku zina ini langsung tidak merasa gentar untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.  Ini kerana hukuman-hukuman yang dikenakan tidak mampu menginsafkan si pelaku zina itu sendiri, sementelah ia langsung tidak menunjukkan unsur-unsur pencegah kepada orang lain dari melakukannya.  Ini belum lagi mengambil kira hukuman bagi perbuatan ‘mukaddimah zina’ dan perbuatan yang belum sampai tahap berzina misalnya khalwat, yang mana hukumannya jauh lebih ringan.

Hukuman yang terlalu ringan dan minimum ini telah diakui sendiri oleh Pensyarah Jabatan Undang-undang Islam Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Paizah Ismail yang menggesa agar undang-undang syariah di negara ini dikaji semula agar sistem kehakiman itu mempunyai kuasa menyeluruh sebagai pencegah gejala zina dan pembuangan bayi yang terus meningkat.  Jelasnya, undang-undang jenayah Syariah yang diamalkan bukan undang-undang bertujuan untuk merealisasikan syariat Islam sepenuhnya, sebaliknya merupakan undang-undang yang berperanan untuk menampung kekurangan yang ada pada undang-undang konvensional dalam hal keagamaan.

Kerana itulah peruntukan-peruntukan di dalamnya lebih bersifat untuk menjaga kepentingan keagamaan bagi umat Islam di negara ini dan bukan melaksanakan undang-undang jenayah Islam sepenuhnya,” beliau seterusnya berkata, “Peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalamnya tidak mampu memberi kejutan kepada remaja dan penuntut terlibat supaya lebih berhati-hati agar tidak akan berhadapan dengan hukuman berat yang sukar dipikul”.  Beliau berkata demikian pada Muzakarah Fatwa “Menangani Zina serta Pembuangan Bayi dalam kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah” yang diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). [http://www.selangorkini.com.my/my/berita/23421].

Terkini di Malaysia, kesalahan membuang bayi sedang dicadangkan untuk dikenakan hukuman yang lebih berat dan setimpal dengan perlakuannya iaitu termasuk kepada kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun yang sama akan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.  Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.  Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan manakala 60 kes direkodkan sehingga pertengahan 2010.  Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sekian lama kerajaan menangani masalah kes pembuangan bayi menerusi pendekatan kebajikan termasuk kempen dan pelbagai program, malangnya masih ada manusia sanggup membunuh bayi.  Menurut beliau lagi, langkah itu wajar untuk membawa pihak yang bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu. [http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ Hukumanmatikesbuangbayi/Article/]

Begitulah hakikatnya undang-undang ciptaan manusia yang diubah dengan mudah oleh mereka yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang baru atau pun meminda undang-undang yang sedia ada sekiranya dirasakan sudah tidak sesuai dan tidak boleh diterima pakai lagi.  Apabila berlaku sesuatu masalah yang lebih buruk, mereka akan meminda undang-undang dengan menggantikannya berdasarkan akal manusia yang kemampuannya terbatas ini.

Oleh yang demikian, perlu disedari bahawa sehebat mana pun undang-undang itu digubal atau dipinda, permasalahan tetap tidak dapat diselesaikan sehingga ke akar umbi sebaliknya ia hanya bersifat sementara.  Walaupun menyedari undang-undang ini acapkali menemui kegagalan tetapi mereka dengan angkuhnya tetap setia dan teguh dengan hasil ciptaannya.  Sampai bila mereka mahu menerima hakikat bahawa kemampuan akal manusia itu sangat terbatas dan kerana itulah apa sahaja yang diciptakan manusia pasti tidak menemui kesempurnaan?

Islam Ada Penyelesaiannya!

Telah termaktub  dalam al-Quran bahawa perbuatan seperti berzina dan membunuh bayi diadili dalam Islam dengan hukum hudud dan qisas.  Namun, hukuman ini bukanlah suatu yang dilaksanakan secara melulu tanpa terlebih dahulu melaksanakan apa yang wajib dijalankan oleh pemerintah dalam rangka memenuhi tanggungjawab terhadap rakyatnya.  Dengan kata lain Negara Islam hendaklah terlebih dahulu melaksanakan Islam secara kaffah (menyeluruh) yang bererti salah laku sosial sejak dari awal lagi dicegah melalui perlaksanaan sistem pergaulan Islami serta pemahaman tentang hukum syarak dan penanaman ketakwaan melalui sistem pendidikan Islami dan dakwah Islam.

Hudud Sebahagian daripada ‘Uqubat Dalam Islam
Negara Islam (Daulah Islam) merealisasikan sistem pergaulan Islam dengan menyediakan suasana kehidupan umum di mana ikhtilat (perkumpulan lelaki dan perempuan dalam satu masa dan tempat) dikawal terhad kepada keperluan sahaja seperti dalam perdagangan dan pelajaran, itu pun dalam batas kebenaran syarak.  Sudah tentu premis-premis dan program-program yang membawa kepada pergaulan bebas diharamkan sama sekali contohnya pusat hiburan, arak dan dadah, dan acara hiburan yang bersumber dari hadharah (budaya hidup berasaskan pandangan hidup) asing.  Dalam kehidupan khusus pula dilaksanakan hukum syarak berkaitan tatacara pergaulan bagi menjaga setiap insan agar tidak terangsang untuk memenuhi nalurinya dengan melanggar hukum syarak.

Selain pelaksanaan sistem sosial Islam oleh Daulah, masyarakat dan individu dibina melalui dakwah dan pendidikan yang berterusan dari usia kecil hingga ke liang lahad.  Pembinaan ini bertujuan mewujudkan masyarakat yang mengawal anggotanya (bahkan memuhasabah pemerintah jika melakukan kesalahan) dan individu yang bertakwa.  Gabungan pelaksanaan sistem oleh negara, kawalan masyarakat dan takwa individu akan menghasilkan suasana kehidupan yang amat baik hingga sukar sekali untuk melanggar hukum syarak.

Namun, disebabkan sifat manusia yang diberi potensi untuk melakukan kebaikan ataupun keburukan, tetap akan ada segelintir yang melanggar hukum syarak. Maka di sinilah uqubat iaitu hukuman wajib dilaksanakan kerana individu ini tetap melakukan dosa walaupun telah dicegah oleh negara dan dikawal oleh masyarakat. Pun begitu, uqubat dalam Islam dilaksanakan dengan berhati-hati agar mencapai tujuannya iaitu sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus).

Sistem ‘Uqubat yang Diwahyukan Allah
Sistem ‘uqubat Islam dilaksanakan sama ada sebagai hudud, ta’zir, qisas dan diyat serta mukhalafah.  Hukuman hudud dilaksanakan terhadap lapan kesalahan yang dikhususkan dalam al-Quran, antaranya zina.  Hukuman ta’zir dilaksanakan terhadap sebarang perbuatan dosa selain daripada yang dikenakan hudud.  Hukuman qisas dilaksanakan terhadap pembunuhan dan diyat terhadap perlakuan yang mencederakan.  Manakala hukuman mukhalafah dijatuhkan kepada pesalah yang melanggar peraturan negara meskipun perbuatan itu asalnya bukanlah haram.

Maka, apabila berlaku satu perzinaan, haruslah difahami bahawa zina itu berlaku hanya selepas dilakukan beberapa perbuatan lain yang dikatakan sebagai mendekati zina sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”. [TMQ al-Isra(17):32]  Maka perbuatan-perbuatan ini, sama ada berpacaran, berkhalwat, membuka aurat, tidak menundukkan pandangan dan sebagainya adalah dosa-dosa yang wajar dihukum oleh negara dengan hukuman ta’zir.  Hukuman yang akan dikenakan sebagai ta’zir terhadap dosa-dosa ini boleh ditentukan oleh qadhi yang mengadili kes tersebut, contohnya denda, penahanan, termasuklah nasihat; asalkan mencapai tujuannya iaitu untuk memberi pengajaran.

Tetapi jika zina tetap berlaku, maka di sinilah hukuman hudud yang dinyatakan Allah dalam Al-Quran wajib dilaksanakan, berdasarkan ayat al-Quran dan hadith berikut:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari mereka seratus kali sebatan”.  [TMQ An-Nur[24]:2]

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam yang bermaksud, “Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berada di masjid, datanglah seorang pemuda menghadap beliau dan melaporkan, “Ya Rasulullah, aku telah berbuat zina.” Mendengar pengakuan itu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berpaling daripadanya, sehingga pemuda itu mengulangi pengakuannya sampai 4 kali.  Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya, “Apakah engkau gila?” Pemuda itu menjawab “Tidak”.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya lagi, “Apakah engkau orang muhsan?” Pemuda itu menjawab, “Ya”.  Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintahkan kepada para sahabat,  “Bawalah dia pergi dan rejamlah.”  [HR Bukhari]

Oleh itu, hukuman bagi kesalahan zina bagi penzina bukan muhsan (belum menikmati hubungan seks daripada perkahwinan yang sah) adalah sebat 100 kali dan bagi yang muhsan maka hukumannya adalah rejam sampai mati.  Hukuman ini dijatuhkan di khalayak ramai supaya menjadi penebus dosa kepada pelakunya dan pencegahan kepada yang menyaksikan hukuman itu, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud, “...dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”  [TMQ Surah an-Nisaa’ (24): 2]

Perlu diingatkan bahawa hukuman hudud ini hanya dilaksanakan setelah sabitnya kesalahan dan memenuhi syaratnya seperti pendakwaan berdasarkan persaksian empat lelaki yang adil terhadap kejadian zina yang jelas (seperti pedang memasuki sarungnya) ataupun pengakuan pelakunya bahawa dia benar-benar telah berzina.  Jika telah berlaku dosa menghampiri perbuatan zina tetapi tidak memenuhi syarat-syarat di atas, maka hukuman ta’zir yang akan dilaksanakan.

Maka jelas di sini bahawa Islam telah menggariskan metodologi yang amat wajar dalam menangani salah laku seperti zina.  Bermula dari perlaksanaan sistem Islam yang lengkap, pembinaan umat melalui pendidikan, mekanisme sinergi antara perlaksanaan negara, kawalan masyarakat dan takwa individu, hinggalah perlaksanaan uqubat dalam pelbagai bentuknya.  Oleh itu wajarkah manusia mengambil hukuman ciptaan sendiri yang jelas-jelas palsu untuk menghukumi pesalah zina.  Sedangkan hukuman yang sepatutnya diterapkan jika seseorang itu berzina telah jelas terkandung dalam hukum syarak.  Hukum-hakam yang Allah Subhanahu wa Taala turunkan dalam semua bidang tidak pernah berubah dan bertukar mengikut masa dan tempat tetapi hukuman ciptaan manusia sentiasa menerima perubahan mengikut keadaan, masa dan tempat serta kemahuan orang yang membuat hukum.

Sebuah Renungan
Sudah terang lagi bersuluh bahawa negara tidak melaksanakan sistem Islam termasuk sistem pergaulannya.  Peradaban dan budaya barat dijadikan sebagai pedoman hidup umat manusia termasuklah umat Islam sendiri.  Dosa dan neraka sudah tidak nampak ngeri dan menakutkan kepada mereka ini, apa yang lebih penting adalah keinginan untuk berseronok yang perlu dipenuhi walaupun harus mengorbankan maruah diri.  Segala perbuatan mereka hanya menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata tanpa menilai perbuatan mereka dengan ukuran halal dan haram.  Beginilah umat Islam dewasa ini yang mengambil peradaban barat sepenuhnya.  Padahal umat Islam seharusnya mengambil Islam secara kaffah.  Namun sebaliknya yang terjadi ialah umat Islam hanya mengambil Islam sesuai dengan manfaat yang ingin diraih persis si kafir Barat; bukannya mengambil Islam mengikut perintah Yang Maha Esa.

Dari segi pendidikan, hakikat yang harus ditempuh oleh umat Islam kini adalah anak-anak hanya ditekankan dengan pencapaian akademik dan diperkukuhkan dengan jiwa nasionalisme dan patriotisme sahaja tetapi shakhsiyah /keperibadian anak-anak tidak diutamakan.  Padahal aqidah dan shakhsiyah Islamlah yang akan membentuk jati diri anak-anak pada masa yang akan datang.  Inilah sebenarnya cetakan (Blue Print) peradaban Barat yang telah dicetak semula ke atas anak-anak umat Islam.  Anak-anak berjaya dan hebat dalam bidang akademik dan kerjaya yang akan memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan material negara tetapi mereka mempunyai keperibadian dan perilaku yang sangat buruk.  Justeru terbayangkah apa yang berlaku kepada generasi akan datang yang mempunyai peribadi dan perilaku yang buruk ini semasa membangun dan menerajui kemajuan negara?  Sudah pasti akan porak porandalah negara dan akan tersasarlah cita-cita negara untuk mencapai kemajuan kerana mempunyai peneraju-peneraju yang rendah jati dirinya.

Dari segi undang-undang pula, sesungguhnya undang-undang yang digunapakai di Malaysia dan negeri-negeri umat Islam yang lain hanya bersandarkan akal dan hawa nafsu semata-mata.  Undang-undang ini membelakangkan hukum syarak dari Allah Subhanahu wa Taala yang serba lengkap dan relevan hingga hari kiamat itu sebagai hukuman para penzina.  Maka tidak hairanlah hukuman ini tidak mampu memberi keinsafan kepada pelaku zina dan pengajaran kepada masyarakat.

Wahai kaum muslimin dan muslimat, sedarlah bahawa syariat Islam itu adalah untuk diterapkan sepenuhnya.  Ingatlah Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman kepada orang Yahudi yang mengamalkan sebahagian kitab dan kufur sebahagian yang lain dengan ungkapan yang jelas.

Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. [TMQ Al-Baqarah[2]: 85]

Allah Subhanahu wa Taala telah berulang-ulang kali mengingatkan umat Islam supaya mengikut hukum Allah Subhanahu wa Taala dalam memutuskan suatu perkara, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
Dan Kami (Allah) telah turunkan kepada kamu kitab al-Quran dengan membawa kebenaran, maka hukumlah perkara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan membelakangkan kebenaran yang telah datang kepada kamu“.  [TMQ al-Maidah(5): 48]

Khatimah
Sesungguhnya ketahuilah bahawa punca dari segala permasalahan gejala seks bebas sehingga melahirkan anak luar nikah dan akhirnya berlaku pembuangan bayi adalah pengabaian hukum Allah yang merupakan pokok segala permasalahan.  Oleh yang demikian, menanganinya ialah dengan menyelesaikan pokok permasalahan tersebut dan bukannya menyelesaikan simptom atau hasil dari permasalahan pokok tersebut.

Perbuatan zina seharusnya diselesaikan menurut apa yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Taala yang pastinya akan dapat memberi penyelesaian yang tuntas.  Ini kerana Allah Subhanahu wa Taala telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan dan Allah Subhanahu wa Taala dengan kasih sayangNya juga telah membekalkan manusia dengan pengaturan dan hukum-hakam yang serba lengkap, tiada cacat cela, dan tiada kekurangan walau sedikit pun.  Begitulah kesenangan dan kemudahan yang Allah Subhanahu wa Taala kurniakan kepada manusia untuk membolehkan manusia menjalani kehidupannya dengan aman dan tenteram.

Namun amat menyedihkan, hakikatnya makhluk yang bernama manusia (yang ingkar) itu, mereka tidak pernah mensyukuri kurnia Yang Maha Esa.  Justeru manusia mahu pula mencabar kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu wa Taala dengan menciptakan undang-undang palsu yang serba serbi penuh dengan kekurangan.  Ironinya, undang-undang palsu itu tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut malah menimbulkan masalah lain pula yang jauh lebih parah.  Amat pelik apabila mereka masih mahu membela undang-undang ciptaan manusia yang penuh kepalsuan.  Ayuhlah kembali kepada Islam yang syumul, Islam yang haq yang pasti akan menjamin kehidupan yang tenteram dan diredhai-Nya.


ETIKA DAKWAH DUNIA MAYA (2)


Etika Posting dan Bertingkah laku

Tidak dinafikan lagi bahawa internet adalah media paling pantas dan murah untuk menyebarkan maklumat.  Hanya dengan menekan butang “klik”, rakyat di seluruh dunia boleh mendapat maklumat yang kita kongsikan.  Perkara ini mengundang dua kemungkinan, iaitu potensi ke arah kebaikan atau keburukan.  Oleh itu, ada beberapa panduan yang perlu diperhatikan dalam memanfaatkan internet sebagai saluran penyebaran maklumat.

1. Maklumat yang kita kongsikan mestilah benar, mustahak dan disasarkan untuk orang ramai.
Terdapat banyak maklumat yang mudah diperoleh di sekeliling kita.  Maklumat yang disebarkan ada kemungkinan maklumat yang benar.  Namun, ada maklumat yang mengelirukan, malah ada maklumat yang tidak benar sama sekali.  Seorang pendakwah Islam semestinya memberikan maklumat setelah memastikan kebenarannya, dan sebaliknya tidak menyampaikan maklumat yang belum pasti kebenarannya sehingga boleh memudaratkan mana-mana pihak.  Apabila diperlukan, sebaik-baiknya kita mencantumkan sumber dan link yang boleh dirujuk oleh pembaca terutamanya bagi maklumat yang menyentuh sensititiviti masyarakat.  Dengan cara sebegini, kita dapat mengelakkan diri daripada bahaya fitnah dan mengumpat, serta merugikan orang/kumpulan lain.  Allah berfirman:
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”  [TMQ Surah al-Hujuraat (49):6]

Setelah kita memastikan kebenaran berita itu, maka hal yang mesti difikirkan seterusnya adalah “adakah maklumat ini diperlukan?”.  Ini karena, ada maklumat yang tidak diperlukan tetapi disebarkan.  Ini adalah amalan membuang masa dan boleh memancing masalah yang lain.  Dalam facebook, sindrom semacam ini kerap berlaku, seolah-olah mengupdate status adalah perkara yang wajib.

Tengah tenung matahari pagi..”, seterusnya disambung “Nak tido balik ar..”, dan 1 jam selepas itu “Nak kena g kelas ni”, 30 minit lagi,“aku nampak orang minta-minta kat tepi jalan sana, sian betul ar, kurus kering sehelai sepinggang..”, tak lama kemudian “BRB, gua belah dulu beb..”. Ada juga yang suka menghantar ucapan tahniah, hug, smile, kiss, love yang berlebihan (walaupun dengan menggunakan aplikasi) umpamanya “Please accept this smile — I got it just for you!”, atau “I got you a special ♥ heart!” dan lain-lain.

Cukuplah bagi seseorang berbuat dosa dengan menceritakan setiap apa yang didengarnya”[HR Muslim]

Selanjutnya, kita juga mesti membezakan antara maklumat yang hanya relevan dengan diri sendiri dan maklumat mana yang diperlukan oleh orang ramai.  Sikap berhati-hati semestinya menjadi prinsip seseorang dalam menyampaikan maklumat kerana apabila maklumat yang sepatutnya hanya relevan untuk diri sendiri boleh diakses orang ramai, ianya akan menjadi sesuatu yang merugikan, malahan haram hukumnya jika kita menyebarkan maklumat yang semestinya dirahsiakan.

Kisah Hatib bin Abi Balta’ah boleh menjadi contoh.  Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam memerintahkan umat Islam untuk merahsiakan rancangan membebaskan Makkah, Hatib yang mencari orang untuk melindungi hartanya dan harta saudaranya akhirnya tergamak untuk menuliskan surat (membocorkan maklumat) yang semestinya dirahsiakan.  Walaupun akhirnya Allah dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam memaafkan kecuaian Hatib, namun Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam tetap memerintahkan Ali bin Abi Thalib untuk menahan perempuan yang menyeludup surat Hatib kepada penguasa Makkah agar rahsia itu tidak jatuh ke tangan orang yang tidak berhak mengetahuinya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:
Bilamana seorang membicarakan sesuatu kemudian dia menoleh kepadanya maka itu adalah amanah.     [HR Abu Dawud]

Dalam setiap gerakan dakwah, mesti ada kerahsiaan dan sikap berhati-hati.  Perkara ini mesti benar-benar difahami oleh setiap orang yang berdakwah.  Maka setiap umat Islam, khasnya pendakwah mesti membiasakan diri untuk menyampaikan maklumat yang mustahak sahaja.  Hal-hal yang tidak menjadi keperluan orang ramai tidak perlu ditulis  dan segala yang sifatnya rahsia mestilah dijaga kerana sikap berhati-hati dan waspada lebih utama daripada keterlanjuran.

2. Berkongsi berita baik boleh sahaja asalkan tidak berlebihan
Allah berfirman di dalam al-Qur’an:
Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).” [TMQ Surah adh-Dhuhaa (93): 11]

Ini bermakna apabila kita mendapatkan nikmat atau kebahagiaan daripada Allah, kita boleh menceritakannya kepada saudara-saudara kita dengan harapan mereka akan termotivasi dan bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang telah diterima.

Tetapi kita mesti ingat bahawa tidak semua nikmat yang kita peroleh mesti ditulis.  Maksudnya, memadai kita menulis perkara yang mustahak sahaja.  Tidak semua perkara wajar untuk kita tulis.  Berusahalah hanya untuk menulis perkara yang akan memberi inspirasi dan memotivasikan, tetapi jangan berlebihan.
Dan sesungguhnya orang yang paling aku dibenci dari kalian dan paling jauh dariku di hari kiamat adalah orang yang banyak bicara.”  [HR Tirmidzi]

3. Elakkan menyebarkan berita yang memberi mudarat.
Yang paling sering kita jumpai dalam posting di dunia maya adalah orang yang berniat baik ketika memberikan maklumat, namun dia tidak sedar bahawa perbuatannya itu sebaliknya mengundang mudharat.  Misalnya dengan posting:
Sahabat-sahabat, ada laman web yang sangat menghina Islam, namanya : www.link-dikongsi.com, kita tak boleh duduk diam dengan penghinaan ini!”. Ataupun posting yang bentuknya seperti ini “Inilah kisah akhir zaman, sungguh memprihatinkan, kerosakan di mana-mana, ada filem di pawagam bertajuk–LUAR BIASA PANAS – yang ceritanya penuh dengan aksi lucah.  Sesiapa yang telah menontonnya, tak senang tidur dibuatnya. Tak tahu nak cakap apa …

Benar, mungkin yang posting berniat untuk berkongsi maklumat. Namun, tanpa disedari maklumat yang disampaikan menyebabkan semakin ramai orang beratur untuk mengakses laman web berkenaan, dan seterusnya menyebarkannya kembali berkaitan laman web tersebut, maka, semakin ramailah yang akan mengakses laman web tersebut.  Apa akibatnya?   Si pembuat laman web fitnah berkenaanlah sebaliknya gembira melihat jumlah pelawat/visitornya yang naik mengejut, walaupun diiringi dengan maki hamun sumpah seranah ‘atas nama Islam’, yang semakin memberi alasan kepada orang ramai untuk membenci Islam dan memperolok-olokkan Islam.

Kita mesti ingat bahawa memberitahu seseorang tentang sesuatu perkara yang buruk bukanlah dengan memberi contoh yang buruk kepadanya.  Ini kerana, terdapat ramai orang yang pada mulanya tidak tahu menjadi tahu untuk mengakses laman-laman web yang tidak sepatutnya diakses.  Walaupun mungkin sahaja ada manfaatnya ketika kita menyebarkan maklumat semacam ini, tetapi tetap menolak mafsadat/kerosakan lebih utama daripada mengundang manfaat.  Bersesuaian dengan kaedah yang berbunyi:
Sesungguhnya, menghindari kerosakan, mesti didahulukan dibandingkan mengambil manfaat.”

Jadi, ketika kita menemukan laman web yang menghina Islam, atau mengandungi maklumat yang memberi mudarat dan sebagainya, lebih baik kita tinggalkannya dan jangan sesekali kembali.  Tidak perlu membesar-besarkan dan menghebahkannya kerana itulah sebenarnya yang diinginkan oleh pemilik web tersebut.  Walau bagaimanapun, kejadian seperti ini akan terus berulang selagi masih ada perkhidmatan internet.

Jika anda memiliki kekuasaan atau mengenali seseorang yang berkebolehan menghentikannya, maka cukuplah maklumat ini dikongsikan dengannya sahaja dan bukan kepada yang lain.  Semua ini untuk menjaga agar fitnah tidak tersebar tanpa kawalan.

4. Jangan berlebih-lebihan dalam memberikan maklumat
Seringkali kita jumpai pendakwah yang suka menunjuk-nunjuk di setiap posting atau maklumat yang dia berikan. Dia sengaja membuat postingnya nampak luar biasa sehingga banyak komen yang  mengaguminya.
Di antara orang yang aku cintai dan paling dekat tempat duduknya denganku di hari kiamat adalah orang yang baik akhlaknya.  Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di hari kiamat adalah ats-Tsartsarun (orang yang memaksakan diri untuk memperbanyak ucapan), al-Mutasyaddiqun (orang yang bercakap tak tentu hala tuju) dan al-Mutafayqihun (orang yang sengaja memperluas skop pembicaraan dan suka membuka mulut dalam majlis serta memfasih-fasihkan/membagus-baguskan bahasanya dalam pembicaraan).” [HR Muttafaq‘alaih]

Maka, usahakan dalam setiap posting dan maklumat yang kita berikan, kita berserah kepada Allah. Janganlah memaksakan diri, atau melebih-lebihkan perkataan, atau tunjuk lagak.  Walaupun kita ingin posting sesuatu untuk menyuntikkan semangat, maka lakukanlah dengan berhati-hati.

5. Tidak bersikap lemah, membuka aib diri sendiri ataupun orang lain ketika menyampaikan maklumat
Gaya tulisan yang sebegini mudah dijumpai.  Begitu banyak tulisan yang terlalu melankoli, merayu-rayu madah berlagu, yang tidak seharusnya ditampilkan.  Begitu juga posting yang membuka aib peribadi dan hal-hal privasi yang sepatutnya tidak dikongsikan dengan umum, sehingga mengundang fitnah.
Oh tak sabarnya tunggu cik abang pulang, malam jumaat pulak tu“, “Sungguh berombak dadaku menunggu saat-saat ku akan jadi isteri“, “Siapakah dia yang selama ini aku rindui..”, “Aku tak mengerti siapakah diriku ketika ini”, “bosanlah dengan X ni, janji nak datang penat aku tunggu”, “Cuma kamu yang terbaik untukku..terima kasih kerana menyayangiku selama ini…duhai suami”, “Sudahlah…”, “Terima kasih cinta….”, “Semua telah berakhir…

 Sedangkan Rasul SAW telah memperingatkan kita agar menjauhi fitnah:
Sesungguhnya kebahagiaanlah bagi sesiapa saja yang menjauhi fitnah.” [HR. Abu Dawud]

Dari huraian di atas, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa identiti kita sebagai pendakwah telah membawa kita kepada kedudukan dan tanggungjawab yang lebih besar dan berat dibandingkan dengan orang yang belum terlibat dengan dakwah. Setiap perkataan, posting, atau maklumat yang kita keluarkan akan diawasi dan dipantau oleh semua pihak, sama ada yang suka ataupun yang benci. Oleh itu berhati-hatilah dalam memilih maklumat mana yang akan dikongsikan.

Dakwah sememangnya sesuatu yang susah maka janganlah disusahkan lagi.  Refreshing boleh sahaja, bergurau juga boleh, asalkan tidak berlebihan dalam memanfaatkan dunia maya.  Gunakanlah dunia maya sebagai wasilah untuk memperluas jangkauan dakwah.  Sebarkanlah semangat anda kepada orang lain sebagai sumbangan dalam apa-apa bentuk.  InsyaAllah semua yang kita lakukan di dunia maya akan menjadi kebaikan dalam catatan Allah Subhanahu wa Taala.
Wallahu a’lam bi ash-shawab


LUPA BAYAR ZAKAT FITRAH

SOALAN:
Apakah hukumnya jika seseorang itu terlupa membayar zakat fitrah?   Adakah boleh diganti?

JAWAPAN :

a. Batas Waktu Akhir Zakat Fitrah
Terlebih dahulu perlulah difahami tentang batas waktu (tempoh) akhir untuk membayar zakat fitrah, sehinggalah menjadi jelas bahawa orang yang lupa untuk membayar zakat fitrah bererti bahawa dia terlupa untuk membayarnya sehingga tempoh akhir pembayaran itu berakhir.

Batas waktu terakhir (nihayatu waqtin) mengeluarkan zakat fitrah menurut kami adalah ketika solat Aidilfitri, dan bukan setelah tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri.  Barangsiapa mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri, zakatnya masih diterima.  Sedangkan barangsiapa mengeluarkan zakat fitrah setelah solat Aidilfitri, maka itu hanya dianggap sedekah dan tidak dianggap sebagai zakat fitrah.  [Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 319; Ibnu Hazm, Al-Muhalla, Juz 2, hal. 339, mas`alah no. 718].

Dalilnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA, bahawasanya :

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah memfardhukan zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan perkataan kotor dan juga sebagai makanan untuk orang-orang miskin.  Barangsiapa menunaikan zakat fitrah itu sebelum solat [Aidilfitri] maka itu zakat yang diterima.  Dan barangsiapa menunaikan zakat fitrah itu setelah solat [Aidilfitri] maka itu satu saqadah dari sadaqah-shadaqah.“  [HR Abu Dawud, no 1609; Ibnu Majah, Ad-Daruquthni, dan Al-Baihaqi.  Juga diriwayatkan dan disahihkan oleh Al-Hakim(1/409), dan dipersetujui oleh Adz-Dzahabi].  (Lihat Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 317; Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/139).

Berdasarkan dalil di atas, jelaslah bahawa batas waktu pembayaran zakat fitrah adalah ketika pelaksanaan solat Aidilfitri.  Barangsiapa yang belum membayar zakat fitrah tanpa uzur sehingga masuk waktu solat Aidilfitri, dia berdosa dan kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur daripada orang itu.  Zakat fitrah tersebut akan menjadi hutang yang tetap wajib dibayarnya sesudah itu.  Dengan kata lain, orang tersebut wajib qadha` zakat fitrahnya walau pun telah lewat daripada waktu yang ditentukan.

Pendapat yang kami anggap kuat (rajih) dalam hal batas akhir zakat fitrah ini memang berbeza dengan pendapat jumhur (Malikiyah, Hanabilah, Syafi’iyah), iaitu batas akhir zakat fitrah adalah tenggelamnya matahari pada hari raya Aidilfitri.  Menurut jumhur, zakat fitrah tetap sah walaupun dibayar sesudah solat Aidilfitri sehingga datangnya waktu maghrib pada hari Aidilfitri atau pada tanggal 1 Syawal.  Hanya saja, ulama Hanabilah dan Syafi’iyah memandang makruh mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat Aidilfitri.  [Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/906-908; Abdurrahman Al-Jaziri, Al-Fiqh’ Ala Al-Madzahib Al-Arba’ah, 1/425; Muhammad bin Abdurrahman Ad-Dimasyqi, Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al-A`immah, hal. 62].

Namun pendapat jumhur ini tidak dapat diterima, kerana dalilnya lemah.  Dalil ulama jumhur adalah berdasarkan hadis riwayat Ibnu Umar bahawa Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda :                                                                                       
Cukupilah mereka [orang-orang miskin] dari meminta-minta pada hari ini [Aidilfitri].”  [HR Ad Daruquthni, 2/153, Al-Baihaqi, 4/175].  (Lihat Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/908; Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 317).

Menurut Syaikh Nashiruddin Al-Albani hadis tersebut lemah (dhaif), kerana dalam sanad hadis tersebut ada perawi yang lemah, iaitu perawi bernama Abu Ma’syar (dalam riwayat Ad-Daruquthni dan Al-Baihaqi) dan Muhammad bin Umar al-Waqidi (dalam riwayat Ibnu Sa’ad dalam Thabaqah-nya).  (Nashiruddin Al-Albani Mukhtashar Irwa` Al-Ghalil, 1/62, hadis no 844; Irwa’ Al-Ghalil, 3/332, hadis no 844).  Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani telah menegaskan kedhaifan isnad hadis Ibnu Umar dalam riwayat Ad-Daruquthni, kerana ada perawi bernama Muhammad bin Umar Al-Waqidi.  (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/138).  Dalam kitab Al-Majmu’ (6/126), Imam An-Nawawi juga telah menjelaskan kedhaifan hadis di atas dengan berkata :

Adapun hadis “Cukupilah mereka [orang-orang miskin] dari meminta-minta pada hari ini“, ia diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dengan isnad dhaif.” [Imam An-Nawawi, Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, 6/126]

Dengan demikian, jelaslah bahawa hadis di atas adalah dhaif sehingga tidak layak menjadi hujah (dasar hukum) bagi jumhur ulama bahawa batas akhir zakat fitrah adalah tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri.  Yang benar, batas akhir zakat fitrah adalah solat Aidilfitri, bukan tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri.

Jadi, dapat diketahui bahawa lupa membayar zakat fitrah bererti lupa untuk membayarnya sehingga melampauinya batas akhir zakat fitrah, iaitu ketika solat Aidilfitri, dan bukanlah sehingga tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri atau datangnya waktu maghrib pada hari Aidilfitri.

b. Wajib Mengqadha` Zakat Fitrah Bagi Orang Yang Lupa
Orang yang lupa untuk melaksanakan zakat fitrah tidak berdosa, kerana “lupa” (an-nisyan) merupakan salah satu uzur syarie yang menggugurkan dosa.  Hal ini berdasarkan sabda Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam:

Sesungguhnya Allah telah memaafkan dari umatku [dosa kerana] tersalah (tidak sengaja), lupa, dan apa-apa yang dipaksakan atas mereka.”  [HR Ibnu Majah, no 2033; Ibnu Hibban, no 7342; Ath-Thabrani, dalam Al-Mu’jam Al-Kabir, no 1414]

Namun kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur daripada orang yang lupa untuk membayarnya dan dia tetap wajib untuk qadha` zakat fitrah itu (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/908).  Kewajipan untuk qadha` zakat fitrah itu didasarkan pada kaedah fikih berikut sebagaimana yang dikemukakan oleh Imam Ash-Shan’ani :

Orang yang tidak tahu hukum, atau orang yang lupa, hukumnya dalam meninggalkan [kewajipan] sama dengan orang yang sengaja.”  [Lihat Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 1/55]

Kaedah di atas mengandung pengertian bahawa dalam hal meninggalkan suatu kewajiban (tarkul wajib), orang yang lupa atau tidak tahu hukum, sama hukumnya dengan orang yang sengaja meninggalkan kewajipan itu.  Sama hukumnya di sini bermaksud adalah sama dalam hal tidak gugurnya suatu kewajipan yang ditinggalkan.  Maka, suatu kewajipan tidaklah gugur, baik bagi orang yang lupa mengerjakannya, atau yang tidak tahu hukum, atau yang sengaja meninggalkannya.

Oleh itu, orang yang lupa membyar zakat fitrah, wajib untuk qadha` zakat fitrahnya, iaitu kewajipannya tidak gugur dan tetap wajib membayarnya walau sudah lewat daripada waktu yang ditentukan.  Demikian pula orang yang lupa membayar hutang, atau lupa memberi nafkah kepada isteri-anak, atau lupa membayar gaji pegawainya, tetap diwajibkan membayar kewajipan-kewajipan itu.  Demikian pula orang yang lupa membasuh kaki ketika wudhu’ dan hanya ingat setelah selesai solatnya, maka dia tetap wajib mengulangi wudhu’ dan solatnya.  Perempuan yang lupa menutup rambutnya secara sempurna sehingga tidak tertutup sempurna, dan hanya sedar setelah selesai solat juga wajib menutup rambutnya secara sempurna dan mengulangi solatnya.  Demikian seterusnya dalam hal-hal lain.

Kaedah fikih yang membawa makna yang sama dengan kaedah di atas dikemukakan pula oleh Imam Izzuddin bin Abdis Salam sebagai berikut :
Barangsiapa lupa akan sesuatu yang diperintahkan, tidaklah gugur perintah itu kerana dia lupa jika masih memungkinkan untuk dapat dikerjakan secara susulan.“  [Izzuddin bin Abdis Salam, Qawa’idul Ahkam fi Mashalih Al-Anam, 2/3, Beirut : Darul Kutub Al-Ilmiyah, 1999].

Imam Izzudin bin Abdis Salam menerangkan bahawa sesuatu yang diperintahkan (kewajipan/kesunnahan) yang ditinggalkan kerana lupa itu ada dua macam.   Pertama, yang tidak dapat disusul (laa yaqbal at-tadaaruk), seperti jihad, sholat Jumaat, sholat gerhana, solat rawatib, dan solat jenazah.  Kewajipan atau kesunnahan jenis pertama ini, gugur dengan berakhirnya waktu.  Kedua, yang dapat disusul (yaqbal at-tadaaruk), seperti solat, zakat, puasa, nazar, hutang, kaffarah, dan nafkah kepada isteri.  Kewajipan jenis kedua ini tidak gugur dengan berlalunya waktu.(Izzuddin bin Abdis Salam, Qawa’idul Ahkam fi Mashalih Al-Anam, 2/3).

Berdasarkan kaedah fikih di atas, orang yang lupa untuk membayar zakat fitrah tetap wajib membayar zakatnya walaupun sudah melewati batas akhir yang ditentukan.

Kesimpulan
Orang yang lupa membayar zakat fitrah, tidak berdosa namun wajib untuk qadha` zakatnya itu.  Dengan kata lain, kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur darinya dan tetap wajib dibayarkan walaupun sudah melewati batas waktu akhir yang ditentukan (iaitu solat Aidilfitri).  Wallahu a’lam.

Yogyakarta, 11 Oktober 2008
Muhammad Shiddiq Al-Jawi