SN443 – Serangan Kejam Amerika Dan Rusia Ke Atas Syria Pada Hakikatnya Adalah Dua Sisi Syiling Buatan Amerika Yang Sama!

PDF

SN Keluaran 30 Oktober 2015

banner_sn

…sambungan dari minggu lepas

 Wahai Kaum Muslimin!

Serangan Rusia dari udara, laut dan darat dilakukan melalui pangkalan Amerika, dengan nasihat dan koordinasi dari Amerika. Bahkan Rusia sebenarnya mewakili dan mendapat arahan dari Amerika sehingga mereka sendiri mengaku di mana “…akhbar Guardian mengutip kenyataan dari Senator Kongres Amerika, John McCain bahawa AS sebenarnya terlibat bersama-sama dengan Rusia dalam perang proksi di Syria” [Aljazeera 5/10/2015]. Bukanlah suatu yang pelik apabila melihat tindakan Amerika mengeluarkan sistem anti-peluru berpandu / pesawat patriotnya yang diletakkan di sempadan Turki (yakni) agar Rusia boleh melancarkan serangan udaranya tanpa perlu bimbang terhadap sebarang ancaman. “Setelah dua tahun sejak ia dilancarkan pada musim panas 2013 yang lalu, sistem peluru berpandu ini akan dikeluarkan pada bulan ini seperti yang telah diputuskan dan ia selari dengan perkembangan terbaru di Syria” [AFP, Russia Today 02/10/2015].

Tambahan lagi, setiap manusia yang berakal pasti akan memahami bahawa sekiranya terdapat pesawat dari dua negara yang berbeza terbang di langit yang sama, ia pasti akan menunjukkan sama ada berlakunya koordinasi perang di antara mereka sebagai pasukan sahabat ataupun berlakunya pertempuran di antara mereka seperti yang berlaku dalam mana-mana peperangan. Mereka pada hakikatnya adalah pasukan sahabat yang melakukan koordinasi peperangan di awan untuk menyelesaikan satu tujuan yang sama di antara mereka. Kenyataan oleh kedua-dua pihak tersebut mengesahkan lagi hal ini.

Menteri Luar Rusia telah pun mengeluarkan kenyataan di laman sesawang rasminya pada Khamis 08/10/2015 “seiring dengan kelulusan yang diberikan oleh Presiden Putin dan rakan sejawatnya Barack Obama di hujung rundingan mereka dalam Persidangan Umum PBB, kedua-dua Menteri Luar akan memuktamadkan rundingan mengenai kaedah untuk menyelesaikan situasi di Syria, yang mana salah satu daripada perkara yang dibincangkan adalah untuk memasukkan keperluan dan syarat untuk mengelakkan “kemalangan” di udara Syria di samping memperkukuhkan penyelesaian politik di Syria berdasarkan kepada apa yang telah disepakati dalam Deklarasi Geneva pada 30/06/2012”. Kenyataan itu menambah bahawa kedua-dua Menteri Luar itu “…akan mencari jalan untuk melaksanakan perkara yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Minsk mengenai masalah di Ukraine yang telah dimeterai pada 12 Februari…” [Al-Hayat, Naskhah Elektronik, Rabu 7/10/2015].

Bukan itu sahaja, Amerika bahkan telah memaksa Turki agar mendiamkan diri dalam menghadapi isu serangan Rusia ini yang menggunakan sempadannya, malah turut memasuki ruang udaranya. Turki bukan hanya mendiamkan senjatanya, malah turut mendiamkan mulutnya. Sesungguhnya tiada lagi tempat untuk Turki menyembunyikan wajahnya apabila ia telah berjanji bahawa ia tidak akan berdiam diri sekiranya perkara seperti ini berulang, kemudian ternyata perkara seperti ini terus berulang dan berulang lagi, sedangkan ia terus mendiamkan diri. Ini kerana Amerika mahu Rusia melancarkan serangan ke atas Syria tanpa ada sebarang halangan dari sesiapa pun.

Malah sikap tentera Turki yang berpeluk tubuh terhadap pencerobohan Rusia ke atas ruang udaranya ini, bukanlah suatu perkara yang rahsia, tetapi ia diperkatakan secara terbuka, “Turki telah menyatakan bahawa pesawat pejuang Rusia mencabul kedaulatan ruang udaranya berhampiran sempadan Syria pada Sabtu dan Ahad lalu. Turki menyatakan bahawa sebuah pesawat MIG-29 yang identitinya tidak diketahui telah mengganggu lapan buah pesawat F-16 Turki. Tentera Turki menyatakan lagi bahawa pesawat itu telah mengunci sasarannya ke atas salah sebuah jet pejuang Turki dan bersedia untuk melancarkan peluru berpandu terhadapnya…” [Al-Hayat, Naskhah Elektronik, Rabu 7/10/2015].

Meskipun dimalukan sedemikian rupa, tiada sebarang langkah efektif yang diambil Turki untuk menghadapinya, selain dari memanggil duta dan wakil diplomatik Rusia dengan amaran untuk memutuskan hubungan persahabatan! “Sebagai wakil, Presiden Turki memberi amaran kepada Rusia bahawa mereka akan merasai kehilangan yang besar sekiranya hubungan persahabatannya dengan Ankara dimusnahkan dan beliau menyatakan bahawa kesabaran Turki ada batasnya sekiranya pihak Rusia berterusan mencabul ruang udara Turki dengan pesawat pejuangnya. Turki memanggil duta Rusia di Ankara untuk kali kedua dalam tempoh dua hari ‘untuk menyatakan bantahan kerasnya’ setelah pesawat pejuang Rusia sekali lagi mencabul kedaulatan ruang udara Turki berhampiran sempadan Syria, seperti mana yang telah dimaklumkan oleh sumber rasmi di pejabat Menteri Luar…” [Al-Dustoor, Rabu 07/10/2015].

Wahai Kaum Muslimin!

Sungguh menyakitkan apabila menyaksikan tanah kaum Muslimin ini dijadikan medan pertempuran bagi pesawat, peluru berpandu dan kapal musuh. Bukan hanya itu, malah inilah kali pertama di dalam sejarah umat Islam, musuh dijemput, diberikan tepukan dan disanjung atas serangan yang dilakukannya. Sesungguhnya ini adalah pengkhianatan terhadap Allah, RasulNya dan kaum Mukminin. Dahulu, pemimpin kaum Mukminin memerangi musuh sehinggalah kemenangan dicapai dan musuh dikalahkan. Mereka tidak akan membiarkan sebarang serangan musuh ke atas umat Islam apatah lagi menjemput musuh agar mereka berlumba-lumba menerbangkan pesawat mereka di atas tanah umat Islam!

Namun pada hari ini kita mendengar dan menyaksikan orang-orang yang menyanjung pakatan anjuran Amerika dalam serangannya ke atas umat Islam dan jauh lebih buruk dari itu, orang-orang itu malah akan menghantar rungutan kepada Amerika sekiranya jumlah serangan terhadap kaum Muslimin berkurangan hari demi hari. Di sisi yang lain, kita mendengar dan menyaksikan beberapa kelompok memuji serangan yang dilakukan oleh Rusia sambil menganggap bahawa serangan udara itu sebagai aksi kepahlawanan yang menakjubkan! Sesungguhnya perkara ini tidak lain kecuali merupakan sebuah malapetaka. Di masa lalu, para ejen musuh berasa malu untuk menunjukkan bahawa mereka adalah ejen kepada kafir penjajah. Mereka hanya sekadar memberikan khidmat dan kesetiaan mereka tanpa mahu menunjukkan sokongan mereka terhadap serangan kuffar ke atas tanah kaum Muslimin.

Kini, Amerika sedang membentuk pakatan beberapa negara untuk menceroboh tanah kaum Muslimin atas alasan memerangi keganasan. Manakala Rusia pula melakukan pakatan dengan Iran di mana Baghdad dan Damsyik menurutinya, juga dengan menggunakan hujah dan alasan memerangi keganasan. Ini semuanya dilakukan dalam keadaan merekalah yang hakikatnya merupakan punca kepada segala keganasan dan kekejaman, di mana sahaja mereka berada. Mereka telah sepakat untuk memerangi Islam dan umatnya dan inilah perangai sebenar musuh Islam. Walaupun mereka sering bertelagah sesama sendiri, namun apabila berhadapan dengan Islam, mereka akan bersatu.

“Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?” [TMQ al-Munafiqun (63):4].

Sesungguhnya Amerika adalah kepala pengganas terhadap negeri kaum Muslimin. Amerika memerangi kita di Syam, bukan sahaja secara langsung, malah dengan pelbagai bentuk dan cara, baik dari konteks tempatan, serantau mahupun antarabangsa. Ada kalanya Amerika melakukannya melalui pengkhianat al-Syam dan kuncu-kuncunya. Jika ejen diktatornya hampir tumbang, Amerika mendukungnya secara serantau melalui Iran dan partinya di Lebanon serta pengikutnya dari Iraq. Jika itu gagal, Amerika akan melakukan pakatan kejinya di peringkat antarabangsa. Rusia hanya mengikut jejak dan berperang demi Amerika dalam pakatan yang merugikannya…Ini ditambah dengan Eropah yang terus mengintai kita, mereka berputar mengelilingi Amerika untuk cuba meraih sesuatu darinya atau menjadi sebahagian daripada perancangan Amerika.

Wahai kaum Muslimin!

Situasi yang kita alami sekarang ini memiliki penyelesaian yang kita sudah ketahui dan dengan izin Allah, kejayaannya sudah pasti (jika penyelesaian tersebut diambil) dan tiada keraguan sedikit pun padanya. Penyelesaiannya telah diucapkan di gua Hira’; direalisasikan pada hijrah Rasulullah; diambil oleh Khilafah al-Rasyidah; dinyatakan di pinggiran pantai oleh ‘Uqbah; ditunjukkan oleh Thariq al-Andalus; digambarkan oleh kata-kata Harun al-Rashid dan oleh jawapan al-Mu’tasim; direalisasikan oleh Salahuddin al-Ayubi di Hittin – Sang Pembebas al-Aqsa dan penakluk tentera Salib; ditunjukkan oleh Qutuz di Ain Jalut yang menghancurkan Tartar dan direalisasikan oleh sebaik-baik pemimpin – Muhammad Al Fatih – Pembebas Constantinople. Penyelesaiannya juga telah disahkan oleh permintaan daripada Perancis kepada Sulaiman al-Qanuni untuk menyelamatkan Raja mereka yang telah dijadikan tebusan dan penyelesaiannya juga telah dibuktikan dengan tunduknya Amerika kepada Daulah Islam dengan terpaksa membayar cukai kepada Daulah Isla untuk memastikan kapalnya melalui Laut Mediterranean dengan selamat.

Sultan Abdul Hamid telah memberi amaran mengenai bumi Palestin dan Yahudi akan hilangnya ‘penyelesaian’ ini apabila beliau berkata, “Sekiranya Khilafah telah dihancurkan, mereka (Yahudi) akan mengambil Palestin dengan percuma”. Inilah yang berlaku sekarang, Palestin telah diambil dan negeri kaum Muslimin menjadi pentas untuk tindakan ganas kaum kuffar yang penuh kenistaan. Inilah penyelesaiannya  (yakni) kaum Muslimin perlu kembali ke benteng yang kukuh iaitu Negara al-Khilafah ar-Rasyidah. Di sisinya-lah terletak kemuliaan dunia dan akhirat. Inilah penyelesaiannya sebagaimana telah termaktub di dalam al-Kitab dan telah disampaikan oleh Rasulullah SAW. Ia telah terpahat dalam lipatan sejarah dengan tinta emas yang akan diingati oleh setiap manusia.

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya” [TMQ Qaaf (50):37].

 

Hizbut Tahrir

27 Zulhijjah 1436H / 11 Oktober 2015M