Empat anggota HTM dipanggil beri keterangan
KUALA LUMPUR, 15 Disember – Susulan demonstrasi aman yang diadakan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) berhampiran KLCC semasa menolak kedatangan Obama dan dilanjutkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 November lepas, empat orang anggotanya telah dipanggil untuk memberi keterangan di IPD tersebut hari ini. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Mereka yang dipanggil ialah Sdr Yusuf Muhammad, Razi Salleh, Mu’adz Abu Thalhah dan Abdul Rahman. Keempat-empat mereka, bersama lebih 100 yang lain, terlibat dalam demonstrasi di hadapan Bangunan Public Bank, Jalan Ampang untuk membantah kedatangan pengganas nombor satu dunia, Barack Obama dan juga demonstrasi di hadapan IPD Dang Wangi yang bertujuan untuk mendesak PDRM membebaskan Jurucakap dan seorang lagi aktivis HTM yang ditahan di IPD berkenaan sehari sebelumnya.
Jurucakap HTM, Ust Abdul Hakim Othman dan seorang lagi aktivis HTM, Ust Umar Hussein ditangkap di kediaman masing-masing oleh sepasukan polis dari Cawangan Khas Bukit Aman, di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah kerana membantah kedatangan Obama ke Malaysia dan pihak polis cuba mengaitkan Hizbut Tahrir dengan pertubuhan ISIS, satu kaitan yang sungguh tidak berasas!
Pihak polis merekod keterangan keempat-empat anggota HTM itu lebih sejam, sebelum dibenarkan pulang. Dalam kenyataannya, salah seorang anggota HTM terbabit menyatakan bahawa HTM tiada masalah jika polis sekadar memanggil untuk meminta keterangan berhubung demonstrasi, tetapi pihak polis tidak sepatutnya menangkap mana-mana anggota HTM seperti yang dilakukan ke atas Abdul Hakim dan Umar Hussein.
“Tidak perlu menangkap anggota kami, kerana kami tidak melakukan kesalahan. HTM melakukan aktiviti secara terbuka dan diketahui umum. Justeru, sekiranya pihak PDRM ingin tahu lebih lanjut tentang aktiviti dan fikrah Islam yang dibawa oleh Hizbut Tahrir, mereka boleh bersemuka dengan anggota HTM pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, asalkan dengan cara baik dan tidak perlu prejudis”, ujar salah seorang anggota HTM yang direkod keterangannya.
Selain itu, anggota HTM tersebut juga menegaskan bahawa pihak PDRM sepatutnya mendukung usaha-usaha yang dilakukan oleh HTM kerana ia adalah untuk kebaikan umat Islam dan juga rakyat Malaysia kerana Hizbut Tahrir berjuang untuk mengembalikan hukum Allah secara kaffah, yang Insya Allah jika hukum Allah ditegakkan, masalah peningkatan kadar jenayah yang dihadapi oleh PDRM turut dapat diatasi.
HTM dengan ini menegaskan yang hak untuk berhimpun adalah dibenarkan oleh syarak, asalkan tidak melakukan kerosakan, merampas hak atau mencederakan orang lain atau lain-lain bentuk keharaman di dalamnya. Apatah lagi dalam kes ini di mana HTM melakukan kewajipan muhasabah kepada pemerintah yang menerima kedatangan Obama, si pembunuh umat Islam dan muhasabah kepada pihak polis yang telah menangkap dua orang aktivis HTM dengan cara yang bercanggah dengan syarak.