SN036 – DOKTRIN OPERASI NUKLEAR BERSAMA – HUKUM RIMBA ZAMAN MODEN
SN Keluaran 2005
[SN036] Baru-baru ini, Pentagon telah menerbitkan sebuah draf dokumen yang bertarikh 15hb Mac 2005 bertajuk ‘Doctrine for Joint Nuclear Operations’ di dalam laman webnya. Dokumen ini merupakan revisi kepada dokumen dengan tajuk yang sama yang pernah diterbitkan oleh Pentagon pada tahun 1995. Tambahan penting yang wajar diberi perhatian di dalam dokumen versi baru ini adalah perubahan sikap Amerika terhadap polisi penggunaan senjata nuklearnya. Dokumen ini, yang sedang menunggu kelulusan dari Ketua Pentagon, Donald Rumsfeld, memberikan kebenaran kepada Amerika untuk memulakan serangan nuklear (preemptive strike) ke atas musuh-musuhnya, samada dalam bentuk negara atau bukan negara, dengan alasan untuk mengelakkan mereka (musuh-musuh AS) dari menggunakan senjata pemusnah besar-besaran (SPBB) ke atas Amerika. Dokumen ini juga menggesa tentera AS untuk “bersedia menggunakan senjata nuklear secara berkesan”. Dokumen versi baru ini dilihat sebagai cubaan Amerika untuk menyesuaikan prosedur semasa dengan dinamika dunia yang terus berubah selepas serangan 11 September 2001 [AFP]
Dokumen ini menjelaskan bahawa meskipun Perang Dingin telah berakhir, pembinaan senjata pemusnah besar-besaran yang masih berterusan “…meningkatkan bahaya penggunaan senjata nuklear”. Ia juga menyebut bahawa “…kini, sebanyak tiga puluh buah negara mempunyai program SPBB…”, disamping “…(bahaya) tindakan bukan negara (pengganas) samada secara bersendirian atau ditaja oleh sebuah negara musuh” telah memotivasikan perubahan di dalam polisi nuklear Amerika. Untuk memastikan Amerika mampu menghadapi cabaran-cabaran ini, “…perancangan keselamatan untuk masa hadapan memerlukan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman…”
Komander angkatan perang AS yang beroperasi di seluruh dunia digesa untuk menyediakan pelan khusus penggunaan senjata nuklear di kawasan mereka – dan menggariskan senario-senario, yang mana jika dipenuhi, melayakkan mereka untuk bertindak memohon kelulusan Presiden AS untuk melancarkan serangan nuklear. Di antara senario yang membolehkan penggunaan senjata nuklear adalah memusnahkan ‘hardened bunker’ (kubu yang diperkukuh) musuh yang mengandungi senjata biologi/kimia atau pusat kawalan mereka.
Dokumen ini menggariskan peruntukan yang membenarkan serangan nuklear walaupun musuh tidak mempunyai senjata pemusnah besar-besaran, contohnya untuk menamatkan perang dengan segera atau lebih kepada “memastikan kejayaan AS dan operasi antarabangsa.”. Doktrin ini juga memberikan ruang untuk membolehkan komander-komander AS bertindak ke atas negara yang membekalkan SPBB kepada kumpulan militan. Ia juga memberikan lampu hijau kepada Pentagon untuk menghantar senjata nuklear ke mana-mana bahagian dunia yang difikirkan perlu dan melatih pasukan-pasukannya secara berterusan dalam penggunaan senjata nuklear.
Doktrin ini mengimbau kembali ingatan kita kepada langkah AS ketika menyerang Jepun pada tahun 1945. Ketika itu, Amerika memberikan dua justifikasi untuk menyerang Jepun dengan bom atom. Pertama, serangan terus ke atas tanah Jepun akan menyebabkan korban jiwa yang banyak seperti di dalam Perang Iwo Jima dan Okinawa. Kedua, satu penamat perang yang segera diperlukan kerana tentera Jepun tidak bersedia untuk menyerah kalah. Namun hakikatnya, setelah Jerman menyerah kalah dalam bulan Mei 1945, sangat jelas di mata dunia bahawa Jepun yang pada masa itu telah pun terlalu lemah akan turut menyerah kalah. Jabatan Luar Negara Jepun telah pun secara rasmi memaklumkan kepada Rusia pada 13hb Mei 1945 keinginan mereka untuk berdamai dengan pihak sekutu. Perisikan Amerika mengetahui rancangan diplomatik ini namun Projek Manhattan tetap diteruskan juga. Mereka bimbang Jepun akan menyerah kalah sebelum bom tersebut boleh digunakan. Dua kota di Jepun yang dipilih itu dibiarkan tanpa sebarang pengeboman ke atasnya untuk dijadikan sebagai sasaran ujian – dan inilah perkataan yang digunakan oleh Presiden Truman dan Major Groves yang pada masa itu mengetuai Projek Manhattan. Presiden Truman mengatakan, “Dunia akan melihat bahawa bom atom pertama dijatuhkan di Hiroshima, sebuah pangkalan tentera. Ini adalah kerana kami ingin mengurangkan kadar kematian di dalam serangan pertama ini”. Beliau juga berkata dalam tahun 1945, “Kami telah membelanjakan USD2 bilion di dalam sebuah pertaruhan saintifik yang paling besar dalam sejarah – dan telah menang”. Apa yang dicapai oleh Amerika adalah satu demonstrasi kuasa baru – kuasa yang telah membunuh lebih 200,000 orang sebagai harga yang ‘wajar’ dibayar untuk sebuah ‘eksperimen’. Brigedier Jeneral Carter Clark yang pada masa itu ditugaskan untuk menyediakan komunikasi pihak Jepun yang dipintas untuk Truman dan penasihatnya menyatakan, “..apabila kita tidak perlu melakukannya dan kita tahu bahawa kita tidak perlu melakukannya dan mereka juga tahu bahawa kita tahu kita tidak perlu menggunakannya, namun kita gunakannya sebagai sebuah eksperimen untuk dua bom atom tersebut”.
‘Perubahan polisi nuklear’ Amerika ini juga disokong dengan langkah baru AS dimana Senat dan Dewan Perwakilannya telah meluluskan empat juta dolar untuk tahun kewangan 2006 untuk mengkaji keberkesanan ‘Robust Nuclear Earth Penetrator’ atau bom ‘bunker-buster’ yang boleh memusnahkan kubu kebal bawah tanah. Usaha ini merupakan program yang telah tergendala pada tahun lepas akibat dari kecaman domestik dan antarabangsa. Walaubagaimanapun kajian ini boleh diteruskan kerana di bawah Perjanjian Moscow, AS dibolehkan untuk mengekalkan penggunaan 2,200 peluru berpandu strategik nuklear sehingga tahun 2012. Doktrin ini mengingatkan bahawa walaupun pengunaan awal senjata nuklear boleh mengundang kecaman, tiada undang-undang antarabangsa yang melarang mana-mana negara dari menggunakan senjata nuklear di dalam konflik ketenteraan. [AFP]
Hukum rimba yang membimbangkan
Kesemua perkembangan ini pada hakikatnya adalah amat membimbangkan. Mengimbas kembali kepada sejarah perang AS, telah banyak undang-undang atau ketetapan antarabangsa yang dilanggar oleh kuasa besar ini. Contohnya ketika menjatuhkan dua bom atom yang dinamakan ‘Little Boy’ dan ‘Fat Man’ di Nagasaki dan Hiroshima. Pembunuhan dan pemilihan sasaran orang awam pada masa itupun telah dianggap melanggar Konvensyen Geneva tetapi mereka tetap melakukannya untuk menunjukkan kepada dunia kuasa pemusnah yang dimiliki oleh Amerika.
Begitulah juga keadaannya ketika mereka menyerang Iraq. Dalam rangka untuk membenarkan tindakan mereka melancarkan Perang Teluk pada 26 Ogos 2002, Dick Cheney menyebut di Konvensyen Kebangsaan Veteran Perang Luar Negara, “tidak ada keraguan lagi bahawa Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.” Kemudian pada bulan September, Presiden Bush dengan tegas mengatakan kepada persidangan umum PBB, “..sekarang ini Iraq sedang mengembangkan kelengkapan yang akan digunakan untuk membuat senjata biologi” dan dalam ucapan kepada negaranya pada Januari 2003 beliau sekali lagi mendakwa, “..pegawai perisikan kita menganggarkan bahawa Saddam Hussein mempunyai bahan-bahan untuk membuat sebanyak 500 tan sarin, mustard dan agen saraf VX”. Begitu juga di dalam ucapan beliau kepada rakyatnya pada bulan Mac 2003, beliau mengatakan, “Risikan oleh negara ini dan lain-lain menunjukkan bahawa tiada keraguan lagi bahawa regim Iraq terus memiliki dan menyembunyikan beberapa senjata yang sangat merbahaya”. Donald Rumsfeld pula ketika ditanya wartawan ABC menyatakan bahawa “Kami tahu mereka ada. Senjata itu ada di sekitar kawasan Tikrit dan Baghdad serta kawasan timur, barat, utara dan selatannya.”. Sebaliknya pada bulan Mei 2003 setelah puas mencarinya, Leftenan Jeneral James Conway, pegawai tertinggi marin AS di Iraq berkata “Sangat menghairankan kepada saya – dan ia kekal menjadi kejutan kepada saya – bahawa kita tidak menjumpai senjata, seperti yang anda katakan. Percaya atau tidak, kita telah mencari di setiap pusat bekalan antara sempadan Kuwait dan Baghdad, namun kami tidak menemui apa-apapun”.
Semasa mengambil tindakan ketenteraan sebelum ini juga, Amerika dilihat terlalu cepat membuat keputusan tanpa usul periksa terlebih dahulu. Pada tahun 1998, dua trak penuh dengan bahan letupan telah diletupkan berhampiran Kedutaan AS di Kenya. Pentadbiran Clinton telah membuat kesimpulan bahawa ia angkara al-Qaeda dan melancarkan serangan yang dikenali sebagai Operasi Infiniti dengan mengebom kem latihan di Afghanistan menggunakan peluru Tomahawk. Begitu juga dengan tiga belas peluru berpandu yang dilancarkan dan memusnahkan kilang El Shifa di Khartoum, Sudan. Presiden Clinton pernah mengumumkan bahawa serangan ini dilakukan ke atas “kemudahan berkaitan senjata kimia” dan adalah merupakan “tindakan untuk mempertahankan diri … untuk mencegah dan menghapuskan serangan tambahan dari ancaman pengganas yang telah dikenalpasti” dan “kelengkapan berkaitan pengganas di Afghanistan dan Sudan” telah dibom kerana “..ancaman yang bakal menggugat keselamatan negara”. Padahal hakikatnya, kemudahan yang dituduh kilang senjata kimia adalah kilang farmaseutikal yang terbesar di dalam sebuah negara termiskin. Kilang ini membekalkan ubat Malaria terbesar di Afrika, sejurus selepas serangan wabak Malaria meningkat secara mendadak di Afrika. [Freedom Daily December 2004]
Sebelum perubahan pada dokumen asal, polisi AS adalah ‘menolak penggunaan awal senjata nuklear’. Polisi ini ditentang oleh doktrin terbaru ini kerana ia dikatakan boleh menghalang langkah pencegahan (deterrence). Doktrin terbaru ini menyeru kepada ‘meyakini bahawa AS mempunyai keupayaan dan akan dengan segera menjangka dan bertindakbalas dengan tindakan yang berkesan’. Apabila dokumen ini diluluskan kelak, AS akan merasa bahawa mereka berhak untuk menggunakan senjata nuklear meskipun hanya dengan tanggapan-tanggapan tanpa bukti yang jelas dan tanpa provokasi. Melihat kembali tindakan-tindakan Amerika sebelum ini yang penuh dengan kesilapan, dunia pasca doktrin ini pasti akan menjadi medan kebuasan dan keganasan Amerika yang jauh lebih buruk lagi. Sejak Amerika mengumumkan perang keatas keganasan, seluruh tenaga dan daya usaha pentadbiran Bush difokuskan kepada memerangi dan mengawal negara-negara kaum Muslimin. Reaksi Presiden Bush terhadap serangan 11 September 2001 adalah kempen yang panjang yang kononnya bertujuan untuk memerangi ‘pengganas’. Bush berikrar untuk memburu pengganas dengan menyebut “..kita akan menyekat dana mereka, satu demi satu, kejar mereka di semua tempat, sehingga tiada lagi tempat utnuk mereka berlindung dan berehat. Kita akan menyerang negara-negara yang melindungi pengganas. Semua negara, di semua rantau sekarang ini, perlu membuat keputusan. Samada anda bersama kami, atau bersama pengganas. Bermula hari ini, mana-mana negara yang masih menerima pengganas akan dianggap sebagai regim ganas oleh AS.” Beliau seterusnya menyambung “Apabila orang-orang Amerika ditanya, bagaimana kita memerangi dan memenangi peperangan ini? Kita akan menggunakan semua sumber – semua cara diplomasi, semua alat risikan, semua instrumen undang-undang, pengaruh kewangan, dan semua senjata – untuk memusnahkan dan mengalahkan jaringan keganasan global ” [September 20, 2001, United States Capitol].
Suatu hakikat yang tidak dapat dirahsiakan lagi bahawa ‘War on Terror’ Bush sebenarnya merupakan perang ke atas Islam, dan AS akan menggunakan apa cara sekalipun, termasuk penggunaan senjata nuklear untuk mencapai hasrat mereka ini. Pemikiran yang sederhana sudah cukup untuk menunjukkan bahawa perkembangan ini sebenarnya adalah merupakan sebahagian dari rancangan AS untuk membendung kebangkitan Islam sekaligus mengekalkan hegemoni dunia mereka. Gambaran ini diperkuatkan melalui kenyataan Jeneral Richard Myers yang memberitahu persidangan berita Pentagon bahawa Amerika Syarikat mesti mempertahankan kedudukannya di Iraq, tempat dimana wujud unsur pengganas yang dipimpin oleh Abu Musab Al-Zarqawi dari Jordan (orang kedua yang paling dikehendaki AS selepas pemimpin Al-Qaeda, Osama Bin Laden).
“Jika Zarqawi berjaya menakluki Iraq dan akan bermula kekhilafahan seperti yang mereka impikan, perkembangan kekuasaan (kekhilafahan) itu akan meluas di wilayah tersebut” katanya. Beliau menggunakan perkatan “khilafah” secara eksplisit dalam menjelaskan sebuah negara Islam yang dipimpin oleh seorang ‘ekstrimis’ pada pandangan Barat. [Associated Press].
Wahai kaum Muslimin,
Kesombongan dan keangkuhan AS telah sampai ketahap kebinatangan yang melampaui batas. Mereka sanggup mengorbankan jutaan nyawa manusia dengan alasan-alasan lemah yang diasaskan kepada data perisikan yang kurang meyakinkan, hanya semata-mata untuk membuktikan kepada dunia ‘kekuatan’ mereka. Kesombongan Bush dalam memaksa dunia untuk menyokong tindakannya adalah sama seperti tindakan Fir’aun ketika menghadapi seruan Nabi Musa yang membawa risalah Allah kepadanya. Fir’aun lalu mendustakannya dan mengumpulkan kaumnya untuk menentang Musa. Seruan yang dilontarkan Fir’aun kepada kaumnya adalah,
“Akulah tuhanmu yang paling tinggi” [TMQ An-Naazi’at:24].
Kemudian apabila ahli sihir yang dikumpulkan pembesar Fir’aun gagal melawan mukjizat Nabi Musa dan terus beriman kepada Allah, Fir’aun marah lalu mengatakan
“Apakah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan” [TMQ Al-‘Araaf:123]
dan mereka terus diugut dengan hukuman potong tangan dan kaki serta disalib.
Pembinaan senjata nuklear dan senjata-senjata pemusnah besar-besaran lainnya di dalam Islam adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan musuh sesuai dengan firman Allah yang bermaksud
“ Bersiap sedialah kamu menghadapi mereka dengan kekuatan dan tambatan kuda yang dengannya kamu akan dapat menakutkan musuh Allah dan musuh kamu …” [TMQ Al-Anfaal:60].
Namun begitu, adalah haram bagi kaum muslimin untuk melancarkan serangan ke atas musuh menggunakan senjata nuklear secara preemptive atau berdasarkan tanggapan-tanggapan yang tidak pasti sehingga boleh mengorbankan beribu-ribu malah jutaan nyawa yang tidak berdosa – seperti yang ingin dilakukan oleh pengganas rimba dengan undang-undang rimba ciptaan mereka sendiri. Amerika telah dengan jelas dan zalimnya membunuh umat Islam dan terus berusaha untuk membunuh lebih ramai lagi kaum Muslimin untuk mengekalkan hegemoninya serta mengekang berdirinya Daulah Khilafah yang mereka ramalkan dan yang pernah mereka hadapi suatu masa dahulu.
Barat begitu komited dalam menghalang kebangkitan kuasa baru dunia ini; bagaimana keadaannya dengan kaum Muslimin sendiri? Adakah kalian masih ragu akan hakikat kedatangan Khilafah sehingga kalian tidak berusaha, malah memperlekehkan sebarang usaha ke arah itu? Atau kalian mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga ada orang lain yang berjaya melakukannya? Bukankah kalian amat berkeinginan untuk menjadi seperti para sahabat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam? Hakikatnya, inilah tugas yang pernah dipikul para sahabat 1400 tahun dahulu – berjuang meletakkan Islam mengatasi seluruh ideologi lainnya dengan menegakkan Daulah Islamiyyah ‘ala minhaj an-nubuwwah!
Wallahua’lam
Bicara SN
Pengiraan ini bukanlah bertujuan untuk menafikan atau mempersoalkan kekayaan individu-individu tersebut tetapi ia hanyalah bertujuan untuk membuat perbandingan bahawa dalam kita berbangga sebagai rakyat Malaysia akan kekayaan individu-individu tersebut, masih ada rakyat yang mengutip kotak-kotak atau tin aluminium untuk menampung perbelanjaan harian. Persoalan pasti timbul mengapa ini berlaku. Bicara SN bukanlah platform yang sesuai untuk perbincangan panjang lebar mengenai punca berlakunya jurang ini. Cukuplah digambarkan bahawa jurang kekayaan yang bukan sahaja jelas termanifestasi di Malaysia malah di mana-mana negara dunia hari ini adalah disebabkan oleh penerapan sistem kapitalis. Mungkinkah Islam, sebagai sebuah ideologi yang diturunkan Allah untuk umat manusia akan dapat menyelesaikan masalah ini?
Polisi Ekonomi dalam Islam
Polisi ekonomi Islam merupakan suatu matlamat yang diarahkan oleh hukum-hukum tertentu dalam menyelesaikan masalah pengurusan perekonomian manusia. Polisi ini digali dari ideologi negara yang diasaskan kepada pemikiran yang menyeluruh tentang alam, manusia dan kehidupan. Sebuah negara kapitalis akan menetapkan polisi-polisi ekonomi mereka berdasarkan manfaat dan secara hakiki bersifat pragmatik. Adapun polisi ekonomi di dalam Daulah Islam, ia diasaskan kepada hukum syara’ yang digali dari nas-nas yang sahih. Realiti kehidupan, dalam pandangan Islam adalah merupakan objek yang diterapkan hukum ke atasnya dan bukannya objek yang akan mengubah hukum yang sepatutnya diterapkan. Salah satu dari polisi ekonomi Islam yang paling menonjol adalah jaminan ke atas pemenuhan seluruh keperluan asas setiap individu yang berupa makanan, pakaian dan kediaman. Yang dimaksudkan dengan individu itu adalah setiap manusia (Ali, Ahmad, Ah Chong, Mutu) dan bukannya suatu gambaran purata (gross average).
Kesinambungan dari ini, Daulah sebagai penerap sistem Islam akan berusaha agar rakyat umum dapat pula memuaskan keperluan-keperluan sekunder mereka mengikut kadar yang mampu dicapai olehnya sebagai manusia yang hidup di dalam sebuah masyarakat yang unik dan mempunyai gaya hidup yang tertentu. Pengurusan ekonomi Islam adalah untuk manusia, bukan individu tertentu, dan ia juga adalah untuk masyarakat, bukan kumpulan tertentu. Islam memberikan kebenaran untuk mencari rezeki tanpa mengira kedudukan seseorang itu dan ia juga menghalang dari berlakunya monopoli. Selain dari itu, Islam juga mendaulatkan nilai-nilai agung di dalam urusan ekonomi. Secara umumnya asas polisi ekonomi dalam Islam diasaskan kepada pengagihan kekayaan dan bukannya peningkatan kekayaan (produksi/pengeluaran).
Islam tidak menghalang mana-mana individu untuk menambah kekayaannya. Apa yang dihalang oleh Islam adalah apabila penambahan kekayaan tersebut dilakukan dengan jalan yang diharamkan oleh Allah. Walaubagaimanapun, hakikatnya, didalam sistem kapitalis, ia meletakkan kebebasan sepenuhnya ke atas mana-mana individu untuk mengaut kekayaan meskipun dengan cara yang diharamkan Allah. Islam menjamin pemenuhan keperluan asas bagi setiap individu. Kapitalisme tidak pernah meletakkan pemenuhan keperluan asas setiap individu sebagai polisi utamanya. Sambil menyeka airmata melihat paparan penuh emosi dalam rancangan “Bersamamu” dan menaip “Tabung 2” atau “Tabung 10” dan menderma melalui sistem pesanan ringkas (SMS) hanyalah penyelesaian jangkapendek, bukan penyelesaian masalah kemiskinan secara total. Oleh itu, selagi kapitalisme masih menghantui kehidupan kita, selama itulah kewujudan Tan Sri Robert Kuok dan Ananda Krishnan akan sentiasa didampingi oleh pengemis dan pengutip tin-tin kosong yang menjalani hidup mereka hanya untuk mencari sesuap nasi.