Jurucakap dan aktivis HTM dipanggil beri keterangan
KUALA LUMPUR 5 Jan – Susulan demonstrasi aman dan penyerahan memorandum di Suruhanjaya Tinggi Britain dan Kedutaan Perancis pada 11 Disember lalu, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dan seorang lagi aktivis Hizb, Ustaz Umar Hussein dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi hari ini.
Kedua mereka yang berucap semasa perhimpunan tersebut, diminta hadir untuk direkodkan keterangan berhubung demonstrasi yang khususnya dilakukan di hadapan bangunan Suruhanjaya Tinggi Britain yang termasuk di bawah kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi. Manakala kawasan Kedutaan Perancis berada di bawah pentadbiran IPD Wangsa Maju yang setakat ini belum lagi memanggil HTM.
Pihak polis merekodkan keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah yang menurut anggota polis yang mengambil keterangan, fail siasatan akan diserahkan ke Bahagian Pendakwaan dan terserah kepada mereka untuk diambil tindakan lanjut.
Dalam keterangannya, Ustaz Hakim menjelaskan bahawa pihak HTM telah pun memaklumkan kepada kedua-dua IPD berkenaan sebelum melakukan demonstrasi dan makluman itu telah diterima oleh pegawai di kedua-dua IPD berkenaan serta pasukan dari kedua-dua IPD telah memberi kerjasama penuh semasa demonstrasi dan penyerahan memorandum dilakukan.
HTM melakukan demonstrasi sebagai bantahan terhadap serangan dan pengeboman oleh kedua-dua negara kuffar terbabit ke atas Syria yang telah membunuh ramai umat Islam di sana, jelas Jurucakap HTM semasa memberi keterangan. Dalam konteks ini, pihak PDRM seharusnya menyokong apa yang dilakukan oleh HTM dan tidak sepatutnya membuat sebarang pendakwaan ke atas perhimpunan yang berjalan dengan aman dan mematuhi hukum syarak, tambah beliau.
Kita ada tanggungjawab sebagai Muslim dan juga sebagai sebuah parti politik Islam untuk membela saudara-saudara kita yang dibunuh oleh musuh-musuh Islam, menurut kemampuan masing-masing dan setiap anggota PDRM yang beragama Islam juga mempunyai kewajipan yang sama, tegas Hakim. Di akhirat nanti, Allah akan tanya setiap orang, tidak kira orang awam atau polis, apakah yang telah kamu lakukan di dunia untuk menyelamatkan saudara-saudara kamu serta menegakkan agama Allah dan apakah jawapan kita pada waktu itu, soal Jurucakap HTM kepada anggota polis yang merekodkan keterangan tersebut. Anggota polis yang berkenaan menyatakan persetujuannya dari segi tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh setiap Muslim dalam menghadapi musuh-musuh Islam.
Hakim dan Umar dibenarkan pulang setelah lebih kurang sejam diambil keterangan dan pegawai yang berkenaan mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua anggota HTM itu.