SN043 – Sicupak Dari Istanbul – Bukan Setakat Imbasan Sejarah
SN Keluaran 2005
[SN043] Selamat Hari Raya Eidul Fitri diucapkan kepada semua pembaca Sautun Nahdhah yang dihormati, semoga dengan ketibaan Syawal ini, semangat dan istiqamah dalam mengembalikan kemuliaan Islam dapat kita perbaharui dan kita perteguhkan. Sempena Syawal yang diberkati ini, marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar kerinduan yang dirasai oleh kaum Muslimin untuk melihat Islam kembali diterapkan secara kaffah akan terjawab pada tahun hadapan dengan kita menyambut Ramadhan dan merayakan Eidul Fitri di bawah naungan Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah, insyaAllah!
Di dalam kesempatan kali ini, Sautun Nahdhah ingin mengucapkan tahniah kepada pihak TV3 yang telah berjaya menyiarkan program Jejak Rasul siri ke-11 di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu dengan tema Sicupak dari Istanbul . Secara umumnya siri Jejak Rasul kali ini mengisahkan sejarah hubungan antara umat Islam di Nusantara dan Asia Timur, khususnya Acheh, dengan Kesultanan Turki Uthmaniyyah. Kami yakin, sudah tentu ramai para penonton yang amat menghargai usaha TV3 ini dalam menerbitkan rancangan sebegini rupa; sememangnya sejak rancangan Jejak Rasul ini mula diterbitkan 11 tahun yang lalu, ia telah banyak mendedahkan kepada kaum Muslimin di Malaysia sejarah Islam yang sebelum ini mungkin tidak begitu jelas gambarannya di dalam benak ramai di antara kita. Bukanlah menjadi tujuan makalah SN minggu ini untuk menyoroti semula siri Jejak Rasul yang lalu, namun kami merasa terpanggil untuk memberikan sedikit sebanyak masukan mengenai siri tersebut yang mungkin tidak begitu ditekankan di sepanjang tayangannya.
Sejarah menceritakan kepada kita perkembangan sesuatu tamadun, jatuh bangunnya dan memberikan kepada kita pengajaran yang harus kita ambil iktibar darinya agar kesilapan yang lalu tidak kita ulangi. Inilah fakta sejarah. Sebagai umat Islam, sejarah Islam juga harus diperhatikan di dalam konteks ini. Malah lebih dari itu, sejarah Islam haruslah juga diperhatikan di dalam konteks tanggungjawab kita pada zaman ini untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi oleh umat Islam terdahulu, sebagai sesuatu yang di bebankan oleh Allah Azza wa Jalla ke atas kita.
Bangsa Arab sebelum kedatangan Islam bukanlah suatu bangsa yang digeruni atau disegani. Dalam kelenaan mereka yang lalai dengan warna-warni dan keseronokan hidup, Islam tiba sehingga menjadikan mereka umat yang termulia. Kemuliaan Islam terus terjaga selepas kewafatan Rasulullah al-Mustafa. Khulafa’ Ar-Rashidin membela Islam dengan penuh komitmen. Khalifah-khalifah selepas itu, meskipun ada yang tergelincir dari tanggungjawab mereka yang sebenarnya, namun secara umumnya telah meletakkan Islam dan umatnya di tempat yang tertinggi di antara umat-umat yang lain. Tokoh-tokoh Islam seperti Umar Abd. Aziz, Harun Al-Rashid, Salahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Qutuz menjadi pembela Islam yang tiada tolok bandingannya. Setelah itu, kepimpinan kaum Muslimin diserahkan pula kepada bangsa Turki dengan pemimpinnya yang tidak kurang hebatnya seperti Muhammad Al-Fatih, Sulaiman Qannuni dan Sultan Abdul Hamid. Kekuasaan kaum Muslimin ketika itu mencengkam kuat di daratan Eropah dan mampu bertahan selama 6 abad sebagai kuasa besar dunia, digeruni dan ditakuti oleh negara-negara Eropah yang kini telah mengambil alih kepimpinan peradaban dunia.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
‘Kalian adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia – kalian menyeru kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran dan kalian beriman kepada Allah...’[TMQ Al-Imran:110]
Sesungguhnya Allah telah menjadikan kaum Muslimin sebagai umat yang terbaik sedangkan situasi hari ini jelas menunjukkan yang sebaliknya. Umat Islam yang pada suatu masa dahulu pernah menerajui dunia kini menduduki tempat tercorot, dihina dan diperkotak-katikkan. Memang benar, setiap umat itu telah ditetapkan batasan waktu kewujudannya, sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
‘Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak pula dapat mempercepatkannya” [TMQ Al-A’raaf: 34]
Namun begitu, Allah juga menuntut agar hukumNya ditegakkan di muka bumi ini dalam di setiap waktu dan tempat. Firmannya:
‘…..Sesungguhnya (membuat) hukum itu hanyalah untuk Allah…’ [TMQ Yusuf : 40]
Dan tanggungjawab inilah yang kerapkali dilupakan oleh umat generasi kini. Tempoh masa yang ditetapkan Allah ini bukanlah sesuatu yang harus dijadikan alasan bahawa ‘zaman kegemilangan Islam’ telah berlalu. Hanya Allahlah yang berhak menentukan tempoh waktu ini. Umat Islam hanya berkewajiban untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Kelalaian umat kini dengan cara hidup tidak Islami yang merosakkan pemikiran dan komitmen kita kepada Islam mendominasi seluruh aspek hayat kaum Muslimin hari ini. Akibatnya, apabila umat didedahkan kepada pemikiran, keagungan serta kemuliaan Islam dan umatnya melalui catatan-catatan sejarah silam, jarang sekali kita memerhatikan imbasan ini sebagai suatu tanggungjawab yang harus dipikul – dalam mengembalikan ketinggian Islam. Yang wujud hanyalah perasaan bangga yang sebentar mengenangkan kehebatan umat Islam terdahulu. Kalaupun wujud rasa tanggungjawab, ia lebih tertumpu kepada aspirasi untuk memajukan umat Islam hari ini agar dapat mencapai tahap kemajuan umat-umat terdahulu, tanpa memerhatikan hakikat kehidupan Islam kaffah yang wajib dikembalikan.
Perlu ditegaskan di sini bahawa keagungan Kekhilafahan Uthmaniyyah yang kekal selama lebih 600 tahun itu secara keseluruhannya berdiri di atas dasar aqidah Islam. Aqidah Islam dijadikan asas kepada seluruh tiang dan sendi pemerintahan Kesultanan Turki ini. Tidak pernah, walau sesaat, Khilafah Uthmaniyyah mengadopsi hukum selain hukum Islam dalam pemerintahannya – sehinggalah Mustafa Kamal La’natullah menghapuskan insitusi ini pada tahun 1924. Asas inilah yang membentuk kekuatan dan kehebatan Daulah Khilafah Islamiyyah dan asas inilah juga yang menjadi pedoman umat dalam penyelesaian setiap permasalahan mereka.
Dengan tersebarnya Islam ke seluruh penjuru alam, kaum kuffar mula mencari jalan untuk menghalang perkembangan Islam. Mereka mula melangkah kaki ke kawasan Nusantara untuk merealisasikan tujuan ini. Seperti yang di sebutkan oleh Arnold Toynbee, seorang sejarawan Inggeris di dalam bukunya ‘The World and the West’, gerakan balas Eropah di kawasan Nusantara adalah sebagai usaha untuk melemparkan tali ‘lasso’ bagi mengikat leher kuda Dunia Islam yang sedang berlari kencang dari Asia Barat ke Nusantara. Acheh, salah satu Kesultanan Islam yang menyedari ancaman ini telah meminta bantuan dari Khilafah Uthmaniyyah dalam usahanya untuk menghadapi ancaman barat ini. Acheh sedar bahawa Khalifah, sebagai pemimpin umat Islam sedunia merupakan junnah atau perisai yang dibelakangnya umat Islam berjuang.
Kaum kuffar tidak pernah lalai dalam kesedaran mereka bahawa selama mana umat Islam masih mempunyai seorang pemimpin (khalifah/imam) maka selama itulah Barat tidak akan pernah berjaya mendominasi Dunia Islam. Pada akhir abad ke 19, Snoucke Hurgronye, seorang Orientalis dan Penasihat Pemerintah Agung Hindia Belanda pernah menyarankan agar pemerintah kolonial Belanda di Indonesia menolak dan membataskan perkembangan ajaran-ajaran Islam yang menyangkut idea Khilafah, Pan Islamisme dan Jihad. Hari ini, Bush pula menyuarakan kebimbangannya terhadap Al-Khilafah dan menuduhnya sebagai negara totalitarian yang akan diperintah oleh mereka yang fanatik dan dahagakan darah!! Begitulah kesedaran mereka terhadap kekuatan umat Islam seandainya kaum Muslimin bersatu di bawah payung kekhilafahan.
Malangnya, kaum Muslimin pula yang mudah lupa. Hatta dalam keagungan zaman kekhilafahan, umat begitu mudah terpedaya dengan pemikiran busuk yang disuntikkan oleh Barat – nasionalisme dan demokrasi telah berjaya menjauhkan umat dari Islam sehingga ada yang sanggup mengenepikan Islam atas dasar kekufuran. Hari ini, dalam kesungguhan umat untuk cuba menghidupkan kembali kegemilangan kaum Muslimin yang silam, kesatuan umat dan penerapan Islam secara kaffah di bawah Daulah Khilafah jarang sekali di ambil kira secara serius.
Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan Jejak Rasul siri ke-11 kali ini telah berjaya memanifestasikan keagungan Khilafah Uthmaniyyah dan hubungannya dengan Nusantara dan negara-negara Asia Timur. Namun, siri ini seharusnya sudah cukup untuk menimbulkan banyak pertanyaan yang mendesak – mengapakah keagungan ini sudah tidak lagi wujud hari ini? Bukankah Daulah Khilafah ini sudah wujud lebih 1300 tahun lamanya lalu apakah yang menjadikan umat generasi hari ini begitu istimewa sehingga tidak memerlukan lagi Daulah Khilafah? Bukankah menegakkan Khilafah ini merupakan suatu kewajiban yang tidak akan pernah gugur sehingga hari kiamat? Lalu mengapakah setelah selesai Ramadhan, umat masih tidak kedengaran menanyakan soalan-soalan seperti ini? Sicupak dari Istanbul bukanlah setakat imbasan sejarah yang menghiburkan, ia lebih dari itu. Ia sewajarnya menyedarkan kita bahawa keagungan dan kemuliaan Islam itu wajib dikembalikan dan kitalah, umat generasi hari inilah yang bertanggungjawab untuk merealisasikannya!
Wallahu’alam
SYAWAL BULAN KEMENANGAN
Sebahagian besar umat Islam seluruh dunia menyambut Syawal secara serentak pada 3 November 2005, satu peristiwa yang jarang berlaku dalam dunia umat Islam yang kini hidup terpisah oleh sempadan geografi yang rata-rata dicipta kaum penjajah Barat. Laungan takbir, tahlil, dan tahmid bergema memenuhi alam, seiring dengan berakhirnya bulan suci Ramadhan dan datangnya 1 Syawal 1426 H. Laungan takbir, tahlil, dan tahmid ini sesungguhnya merupakan ungkapan kemenangan yang di raih kaum Muslimin dalam menjalankan ibadah puasa Ramadhan, dengan segala tentangan, halangan, dan rintangannya; kemenangan meraih ketaatan dan ketaqwaan yang lebih tinggi, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dalam firmanNya:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” [TMQ Al-Baqarah (2): 183]
Umat Islam juga dituntut untuk meningkatkan nafsiah Islamiyyah melalui ibadah mereka di bulan Syawal ini sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. ‘Daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah bersabda:
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa” [Riwayat Muslim]
Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang dapat diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam hari pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa’i meriwayatkan daripada Tsauban bahawa Rasulullah bersabda:
“Puasa Ramadan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itu bagaikan berpuasa selama setahun penuh” [Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban]
Apa yang perlu ditekankan adalah, hakikat kemenangan yang dimaksudkan bukanlah setakat terpenuhnya tuntutan antara makhluk dan Penciptanya secara individu semata-mata. Namun, kemenangan yang sebenarnya adalah sinonim dengan meletakkan Islam sebagai aturan hidup bagi individu, masyarakat dan negara. Jika kita memerhatikan sejarah, laungan takbir sebagaimana yang kita kumandangkan saat ini, selalunya dikumandangkan ketika kaum Muslimin meraih kemenangan. Inilah takbir yang dikumandangkan pertama kali di saat Perang Badar, di saat kaum Muslimin sedang menunaikan puasa Ramadhan yang pertama, 19 bulan setelah hijrah Rasulullah ke Madinah dan di saat kaum Muslimin meraih kemenangan membebaskan kota Makkah.
Dari itu, kemenangan yang berhasil diraih kaum Muslimin selepas menjalankan ibadah puasa Ramadhan kali ini, sudah semestinya dibuktikan secara nyata dengan bertambahnya ketaatan mereka kepada Allah – ketaatan yang tidak hanya terbatas dalam urusan ibadah ritual semata, akan tetapi ketaatan yang utuh dan menyeluruh dengan menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya dalam seluruh aspek kehidupan. Ini berarti, kaum Muslimin wajib menjalankan urusan pemerintahan sesuai dengan aturan Allah; menjalankan urusan ekonomi sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan politik dalam dan luar negeri sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan sosial dan budaya sesuai dengan perintah Allah; dan demikian seterusnya. Barulah pada ketika itu, takbir dilaungkan sebagai ungkapan kemenangan yang nyata, yang berhasil diraih oleh kaum Muslimin dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimat Allah di muka bumi ini. Kemenangan mereka ini hanya akan benar-benar terealisasi dengan tertegaknya kedaulatan hukum-hukum Allah di muka Bumi; dan kemenangan mereka menundukkan kekufuran dalam segala bentuknya.
Namun, apakah yang sedang terjadi saat ini? Takbir kini dikumandangkan setiap tahun, sementara kaum Muslimin yang mengumandangkannya, senantiasa dibelenggu kekalahan demi kekalahan, kemerosotan demi kemerosotan, kemunduran demi kemunduran. Berbagai masalah mencengkam umat ini terus-menerus, seolah-olah tidak kunjung padam, baik di dalam mahupun di luar negeri. Umat Islam di pelbagai negeri kaum Muslimin, hingga kini masih tetap dalam kemerosotan, kebodohan, dan kemiskinan di tengah-tengah sumber alam mereka yang melimpah ruah. Afganistan dan Iraq, hingga kini tetap diduduki kaum penjajah kafir pimpinan AS. Kaum Muslimin di Palestin juga masih tetap menderita di bawah cengkaman Yahudi Israel. Di Asia Tengah, seperti Uzbekistan dan Kyrgyzstan, umat Islam masih juga tetap dalam belenggu kekejaman rejim-rejim diktator, yang menjadi ejen kaum kafir penjajah. Demikian juga yang terjadi Chechnya, Dagestan, Kashmir, Pattani dan Filipina.
Oleh itu, jika dengan menjalankan ibadah puasa Ramadhan, kaum Muslimin ingin kembali kepada fitrahnya, maka seharusnya ini difahami sebagai kembali kepada hukum dan aturan-aturan Allah sebagai pengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Dengan kata lain, kembali kepada fitrah adalah kembali kepada syariah Allah, iaitu syariah Islam, untuk mengatur seluruh aspek kehidupan kita. Inilah fitrah manusia yang seutuhnya, dan inilah kunci kemenangan umat Islam.
Ingatlah, sesungguhnya kemenangan demi kemenangan yang berhasil diraih oleh Rasulullah dan para sahabatnya, serta para khalifah sesudahnya, adalah kerana mereka menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan mereka. Ini menjadikan generasi Islam terdahulu mampu membangun kekuatan “super power”, Negara Khilafah, yang disegani kawan dan ditakuti lawan. Negara Khilafah inilah yang kemudiannya mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyatnya, baik Muslim mahupun non-Muslim. Tamadun ini mampu melahirkan para pejuang Islam yang konsisten dalam memikul misi-misi pembebasan di berbagai negeri; yang mampu menumbuh-suburkan perkembangan sains dan teknologi untuk kemaslahatan umat manusia serta menjadikan Daulah Islam sebagai kiblat perkembangan sains dan teknologi, di saat bangsa Eropah masih tenggelam dalam kebodohan dan keterbelakangan.
Semoga Ramadhan yang baru berlalu dan Syawal yang kini menjelma menambahkan lagi tekad dan kekuatan kita untuk lebih mendalami dan bergerak bersama Islam agar pada Ramadhan yang akan datang, umat Islam seluruhnya akan dapat bersatu di bawah payung kekhilafahan. Kita doakan agar umat akan segera mencapai kemuliaan dan kemenangan yang dijanjikan Allah dan RasulNya ini sepertimana kemenangan pejuang Islam generasi terdahulu di dalam peperangan Hamra’ al Asad, peperangan Al Ahzab dan peperangan Al Hunain yang kesemuanya berlaku di dalam bulan Syawal. Amin.