Pencabulan seks oleh pasukan pengaman PBB: Pagar makan padi
Sebanyak 69 pertuduhan pencabulan seks dilaporkan telah dilakukan oleh tentera-tentera yang bernaung di bawah pasukan pengaman PBB dalam misi badan dunia tersebut sepanjang tahun 2015, sebagaimana laporan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon yang dipetik oleh agensi berita The Associated Press. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding 52 kes pada 2014, dan menjangkaui rekod 2013 iaitu sebanyak 66 kes.
Hampir satu pertiga daripada kes pencabulan yang berlaku sepanjang 2015 terjadi di Republik Afrika Tengah (CAR), kebanyakannya melibatkan tentera Perancis yang bernaung di bawah pasukan pengaman di negara tersebut. Selain itu, insiden pencabulan seksual turut dilakukan oleh tentera pengaman PBB di Congo, Haiti, Liberia, Ivory Coast, Mali, Abyei, Cyprus serta di Darfur dan Timor Timur.
Laporan ini dikeluarkan ekoran daripada desakan yang diterima setelah sebuah laporan bebas yang dikeluarkan pada bulan Disember tahun lepas berkaitan isu pemerkosaan dan pencabulan wanita dan kanak-kanak perempuan di CAR.
Jenayah pencabulan dan rogol melibatkan tentera pengaman PBB ini bukanlah suatu perkara yang baru dan terpencil, bahkan telah dilaporkan saban tahun tanpa sebarang tindakan bagi menanganinya. Bahkan pelaku jenayah tersebut sentiasa terlepas daripada sebarang hukuman atas kesalahan mereka kerana tentera pengaman tertakluk di bawah bidang kuasa perundangan negara asal masing-masing.
Kebanyakan mangsa rogol adalah kanak-kanak dan wanita yang terdesak untuk memenuhi keperluan keluarga mereka di tengah-tengah suasana berkecamuk ekoran konflik yang tercetus di negara masing-masing.
Realiti yang menyelubungi misi pengaman PBB ini menjadi bukti nyata betapa badan dunia tersebut hakikatnya bukan sahaja gagal melaksanakan peranannya dengan baik, bahkan membawa musibah kepada penduduk di kawasan yang bergolak.
Sesungguhnya PBB mempunyai lebih banyak rekod buruk berbanding kejayaan dalam menangani konflik dan krisis yang melanda dunia, sejak penubuhannya. Bahkan sejarah juga telah mencatatkan sikap double standard yang diamalkan badan dunia itu, khususnya apabila melibatkan negara-negara kecil yang lemah. PBB tidak lebih daripada alat manipulasi kuasa-kuasa besar dunia dalam mencengkam dan melaksanakan agenda jahat mereka ke atas negara yang lemah.
Walau apa usaha sekalipun yang dilakukan PBB yang cuba menunjukkan bahawa mereka bertujuan membawa keamanan kepada dunia, hakikatnya jauh panggang dari api dan sudah terlalu banyak bukti hipokrasi dan kejahatan yang dilakukan PBB, khususnya ke atas umat Islam. Benarlah firman Allah,
“Dan bila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi’, mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang membuat perbaikan” [TMQ al-Baqarah (2):11].