IS rancang culik Najib, apa respons rakyat?
Tiada angin tiada ribut tiba-tiba cerita pemimpin tertinggi negara menjadi sasaran culik IS muncul di kaca televisyen dan terpampang besar di akhbar-akhbar. Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dilaporkan menjadi sasaran penculikan oleh IS sejak lebih setahun lalu.
Berita tergempar ini menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat, cuma kehangatan perbincangan bukanlah kerana keseriusan perkara itu, tetapi rakyat mempersoalkan dengan penuh sinis sejauh manakah kesahihannya, kerana berita tersebut tiba-tiba timbul tatkala pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak diserang dari segenap penjuru.
Berdasarkan komen-komen yang berlegar di alam maya ternyata banyak pihak yang tampil memberikan coretan-coretan sinis dan lawak, sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat secara umumnya sudah bersikap skeptikal terhadap berita yang disogokkan, walaupun yang mendedahkannya adalah Timbalan Perdana Menteri sendiri dan disahkan pula oleh Ketua Polis Negara.
Ketika gelombang dan tekanan politik untuk Najib meletakkan jawatan semakin kuat, maka sesuatu perkara yang dikira sensitif dan yang bersifat provokatif merupakan elemen ampuh yang boleh digunakan sebagai talian hayat bagi menarik simpati, mengalih isu mahupun sebagai suatu justifikasi bagi sesuatu tindakan tertentu oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Hal ini sudah sangat maklum dalam amalan politik Machiavelli.
Malangnya ada pihak yang, apabila sudah terdesak, tidak fikir masak-masak sebelum melakukan suatu tindakan yang akhirnya memakan diri sendiri. Mereka masih menganggap yang rakyat ini bodoh dan boleh diperbodohkan dengan mudah dan akhirnya mereka tersilap langkah.
Sebagai contoh, kita dapat saksikan bagaimana Amerika menggunakan isu serangan di WTC, ancaman al-Qaeda, helah senjata pemusnah besar-besaran (WMD) di Iraq, ancaman IS dan banyak lagi, sebagai justifikasi kepada seluruh tindakannya untuk melawan Islam, tetapi ternyata persepsi dunia Islam terhadap Amerika sebagai negara penjajah yang jahat, tetap tidak dapat dipadamkan.
Keadaan dan skrip yang sama juga dilihat digunakan oleh mana-mana pemerintah yang berkepentingan untuk mencapai tujuan mereka. Akhirnya, hal itu memakan diri mereka sendiri. Ada benarnya dengan kenyataan yang menyebut, seseorang boleh menipu ramai orang sekali, tetapi seseorang tidak boleh menipu ramai orang berkali-kali. ‘Kebenaran’ yang dimaksudkan di sini adalah dari sudut orang yang ditipu sekali mungkin percaya dengan apa yang diceritakan, tetapi setelah ditipu berkali-kali, maka orang tidak lagi akan percaya kepada pembawa berita, walaupun berita yang dibawa itu adalah benar.
Apa pun, dalam menanggapi kemelut politik hari ini, umat Islam mesti mempunyai pemikiran politik yang benar dan jernih. Jika tidak, maka arus pemikiran rakyat dengan mudahnya dapat dicorakkan mengikut acuan pihak-pihak tertentu, terutama pihak-pihak yang menguasai media dan golongan yang mempunyai agenda tertentu. Akhirnya, umat hanya akan diperkotak-katikkan tanpa disedari.
Dalam usaha untuk kita melihat masalah dan menyelesaikannya dengan cara yang benar, maka kita hendaklah melihat kepada punca masalah, bukan dari simptom yang muncul. Punca kepada masalah yang berlaku dalam negara bukanlah kerana pemimpin atau individu tertentu, kerana ternyata sudah berapa ramai pemimpin yang bersilih ganti, masalah tetap juga tidak dapat diselesaikan.
Ini kerana, setiap pemimpin hanya meneruskan sistem yang buruk yang ada sekarang, tanpa keluar daripadanya sedikit pun. Bahtera yang buruk, jika dikemudi oleh nakhoda yang terbaik sekalipun, tidak akan ke mana, apatah lagi jika dikemudi oleh nakhoda yang juga buruk. Bahtera yang buruk ini perlu ditukar. Sistem demokrasi ciptaan manusia yang buruk ini perlu ditukar dan ia perlu ditukar kepada sistem yang baik dan sistem yang baik itu hanyalah sistem Islam yang datangnya dari wahyu iaitu sistem Khilafah di atas jalan kenabian.