TNB untung rakyat rugi, TNB rugi rakyat menderita

Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.27 bilion bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013. Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, prestasi kewangan suku kedua dikekalkan menerusi kos arang batu yang stabil.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, permintaan bekalan tertinggi direkodkan pada 16 April lalu sebanyak 16,356 megawatt (MW). “Kumpulan akan terus memastikan keselamatan dan kemampanan bekalan tenaga negara dapat dipenuhi di samping mengimbangi prestasi kewangan dan teknikal dalam jangka panjang”, katanya. Dalam pada itu, lembaga pengarah juga telah meluluskan dividen interim sebanyak 10.0 sen sesaham biasa bagi suku tahun kedua tahun kewangan berakhir 28 Februari 2013.

Berlaku kepelikkan dalam kes TNB di mana ada masanya kita mendengar berlakunya kerugian bersih dan kadang-kadang memperoleh keuntungan bersih pula. Umumnya, apabila ingin menaikkan tarif elektrik, maka akan dilaporkan kerugian atau keuntungan sedikit bagi tujuan menjustifikasi kenaikkan harga supaya rakyat tidak membantah atau masih mengundi parti pemerintah pada pilihanraya akan datang. Kenaikan tarif atau harga barang biasanya akan berlaku selepas selesai pilihanraya. Sekiranya rakyat marah, kemarahan mereka akan reda dalam beberapa ketika dan terdapat selang masa yang cukup bagi pemerintah untuk mengalihkan perhatian dan emosi rakyat sebelum menjelangnya pilihanraya yang akan datang. Inilah keburukan sistem demokrasi, parti pemerintah membuat keputusan bukan atas asas kebenaran terhadap apa yang terbaik bagi rakyat dan negara, tetapi keputusan dibuat agar mereka tidak kalah dalam pilihanraya.

Dengan kata lain, sewaktu musim pilihanraya sepertimana yang sedang dilalui sekarang, ia bukanlah waktu yang sesuai untuk menaikkan tarif elektrik kerana ia adalah waktu yang panas untuk berita yang buruk. Sebaliknya, sekarang adalah waktu yang sesuai untuk berita-berita yang baik seperti keuntungan syarikat berkaitan kerajaan seperti TNB, Petronas, TM dan lain-lain, kerana ia akan memberi imej yang baik kepada parti pemerintah dengan gambaran bahawa semasa mereka memerintah, kesemua prestasi syarikat kerajaan adalah baik. Prestasi yang baik juga digunakan oleh Lembaga Pengarah untuk menjustifikasi pemberian dividen untuk pemegang saham atau ‘bonus’ pilihanraya.

Realitinya, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti TNB bukanlah milik penuh kerajaan, tetapi kerajaan hanya sebagai pemegang saham utama. TNB akan memulangkan keuntungan kepada kerajaan dalam bentuk dividen pemegang saham dan cukai. Sedangkan operasi utama TNB adalah untuk menjana dan menjual elektrik yang dijana daripada bahan-bahan api yang merupakan milik umum. Rasulullah SAW bersabda;

“Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api”
[HR Abu Daud & Ahmad]

Hukum penjana elektrik asalnya adalah milik peribadi. Penjana elektrik untuk kegunaan awam bergantung kepada bahan api yang digunakan. TNB menjana elektrik daripada arang batu, gas asli, hidro dan minyak yang merupakan milik umum. Hanya lebih kurang 1% sahaja tenaganya diperoleh daripada tenaga yang diperbaharui seperti tenaga suria, hampas kelapa sawit dan lain-lain. Maka secara keseluruhannya, bahan-bahan api TNB adalah datangnya daripada sumber milik umum. Oleh itu, sepatutnya seluruh aset TNB adalah milik umum dan tidak boleh dimiliki oleh mana-mana individu tertentu. Hakikatnya, pegangan equiti TNB sebahagian besarnya adalah milik peribadi setelah dikorporatkan daripada Lembaga Letrik Negara (LLN).

Mengikut hukum Islam, TNB dan syarikat-syarikat penjana tenaga bebas lain yang menggunakan bahan-bahan api milik umat yang menjual elektrik kepada TNB harus dimiliki sepenuhnya oleh umat. Pemerintah hanya mengelolakannya secara syar’i dengan memberikan elektrik secara percuma kepada seluruh rakyat dengan hanya mengenakan harga kos sahaja tanpa sebarang keuntungan. Sekiranya memperoleh keuntungan hasil kutipan harga kos tersebut, ia harus dipulangkan semula hak tersebut kepada pemilik asalnya iaitu umat. Ia bukan sepertimana realiti pada hari ini di mana sekiranya keuntungan diperoleh, maka keuntungan tersebut akan masuk ke dalam poket-poket kroni. Manakala sekiranya ia mengalami kerugian, maka ia akan ditanggung oleh umat dengan membayar kenaikan tarif elektrik.

Islam mewajibkan pemerintah (negara) untuk memelihara urusan dan kemaslahatan rakyat. Dalam memberikan pelayanan kepada rakyat, yang diberi keutamaan adalah kemaslahatan umat, bukan selain daripada itu. Semua masalah yang kita hadapi ketika ini adalah berpunca daripada penerapan ideologi kapitalisme yang menjadikan segala urusan umat sebagai milik individu yang boleh mendatangkan keuntungan. Selagimana ideologi barat ini masih hidup subur, maka selama itulah masalah rakyat tidak akan pernah dapat diselesaikan. Hanya dengan menamatkan sistem buatan manusia ini dan menggantikannya dengan sistem Islam, hak umat akan dipulangkan kembali daripada dikaut oleh para kapitalis. Hanya Khilafah sahaja yang mampu untuk menguruskan harta umat dengan hukum Islam dan mensejahterakan hidup mereka, dan bukannya bertindak berdasarkan hawa nafsu manusia.

Sumber: utusan.com.my