Kes Aminulrasyid: KPN jangan angkuh
Setelah 6 tahun berlangsungnya perbicaraan kes Aminulrasyid, seorang pelajar berusia 15 tahun yang ditembak mati oleh polis, akhirnya Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memberikan keputusannya pada 24 Mac yang lalu. Dalam keputusan itu, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menyatakan bahawa mahkamah mendapati Koperal Jenain Subi melakukan kecuaian dan bertanggungjawab ke atas kematian Aminulrasyid dan tindakan melepaskan tembakan sebanyak 21 das adalah bertentangan dengan standard Perintah dan Arahan Tetap (Standing Order) Ketua Polis Negara (KPN).
Sementara itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ketika itu merupakan Ketua Polis Selangor turut didapati bertanggungjawab secara bersama melakukan salah laku kepada orang awam kerana memberi maklumat dan kenyataan yang tidak benar berhubung kejadian tersebut dalam sidang akhbar. Khalid memberitahu media, bahawa terdapat parang dalam kereta tersebut untuk tujuan rompakan walhal kewujudan parang tersebut tidak dapat dibuktikan. Begitu juga dengan fakta yang suspek cuba melanggar polis sebagaimana dakwaan Khalid, pun tidak terbukti semasa perbicaraan. Atas dasar itu, mahkamah mendapati Khalid bersalah kerana melakukan kemungkiran awam (misfeasance of public duty).
Dari segi moral, walaupun Khalid cuba mempertahankan tindakan orang bawahnya, tetapi sebagai penjawat awam dan sebagai seorang Muslim, dia sepatutnya jujur dan amanah dalam menjalankan tugas kerana tanpa sikap mulia ini pada seorang ketua, sejauh manakah dia akan mendidik anak buahnya untuk bersikap jujur dan amanah?
Kes ini sesungguhnya merupakan salah satu episod hitam dalam sejarah negara yang melibatkan kredibiliti dan integriti pasukan polis, yang sepatutnya menjaga masyarakat dan keamanan negara. Walaupun remaja yang memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan, tetapi persoalannya di sini ialah wajarkah ia dibalas dengan 21 das tembakan?
Apa yang sangat menyakitkan, lebih-lebih lagi kepada keluarga mangsa ialah, di saat Jenain memohon maaf atas kesalahannya menyebabkan kematian Aminulrasyid, Khalid sebaliknya bertegas tidak mahu memohon maaf, malah dengan angkuhnya bertanya, “kenapa saya perlu memohon maaf?”
Mahkamah telah pun memutuskan yang pihak polis melakukan kecuaian. Jadi, apa salahnya jika Khalid memohon maaf kepada keluarga mangsa sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab? Tidak akan jatuh maruah mahupun kredibiliti Ketua Polis Negara itu jika dia memohon maaf, malah hal ini menunjukkan sikap bertanggungjawab yang tinggi yang ada padanya dan dia akan lebih dihormati oleh masyarakat.
Aib sangatkah untuk memohon maaf kepada keluarga malang yang telah kehilangan nyawa seorang anak yang mereka sayangi? Hina sangatkah untuk menyatakan “saya memohon maaf di atas kematian Aminulrasyid?”
Wahai Ketua Polis Negara! Janganlah angkuh dengan pangkat dan jawatan yang sedang disandang. Sesungguhnya pangkat dan jawatan itu tidak lama dan tidak ada nilai di sisi Allah bila tidak dijalankan menurut apa yang Allah kehendaki. Ya kita mungkin boleh terlepas di dunia dengan segala pangkat, kebesaran dan keangkuhan yang kita ada, tetapi ingatlah bahawa kita tidak akan sekali-kali terlepas dengan perbicaraan di mahkamah Allah di akhirat kelak. Pada hari itu, segala pangkat, kebesaran, penyesalan dan permohonan maaf sudah tiada gunanya.