Jangan Pertikai Keputusan “Mahkamah Syariah”?

 
altUsah pertikai keputusan mahkamah tinggi syariah

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia mempersoalkan kenyataan pihak tertentu yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Sukarno, 32, kerana meminum arak sedangkan keputusan sama pernah dibuat sebelum ini.

Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata hukuman seperti itu pernah dijatuhkan Hakim Syarie sama, Datuk Abdul Rahman Yunus, tetapi membabitkan pesalah lelaki, namun ia tidak dipertikaikan.

“Kenapa perlu mahu campur tangan dengan keputusan itu sedangkan hukuman berkenaan pernah dikenakan terhadap tiga pesalah lelaki lain sebelum ini.

“Jangan samakan undang-undang Syariah dengan undang-undang Sivil kerana falsafah jenayah Islam tidak membezakan hukuman kepada pesalah lelaki dan pesalah wanita. Undang-undang sivil lebih kepada falsafah Barat yang melihat logik akal berbanding Hukum Syarak berlandaskan perintah Tuhan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya menyifatkan penahanan untuk pelaksanaan hukuman sebatan terhadap Kartika sebagai keputusan melampaui kuasa hakim dan wanita itu boleh menyaman atas alasan tindakan penahanan dan sebatan itu tidak sah.

Bagaimanapun, Kartika tetap dengan keputusannya mahu menjalani hukuman sebatan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Mohamad Isa meminta semua pihak supaya menerima keputusan itu terutama apabila model sambilan itu sendiri tetap mahu menjalani hukuman berkenaan.

Beliau berkata, sepatutnya semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah dan sekiranya ada kekeliruan keputusan itu perlu diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

Mohamad Isa juga memuji tindakan Kartika yang menunjukkan beliau reda dan insaf terhadap kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, hakim yang menjatuhkan hukuman itu menjalankan kuasanya mengikut peruntukan undang-undang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah).

Sumber: Berita Harian : 25/8/2009

Ulasan

Kes Kartika ini telah menimbulkan pelbagai persepsi yang berbeza-beza. Apa yang jelas, tidak ramai pula yang mempersoalkan asas permasalahan yang menyebabkan timbulnya pelbagai persepsi ini. Apabila hukum Allah dilupakan, hukum buatan sendiri diperdebatkan, maka bercakaran mereka antara satu sama lain, demi mempertahankan hukum yang batil. Malah lebih buruk lagi, meskipun hukum rotan yang dikenakan ke atas Kartika bukanlah hukum dari Allah, tetapi oleh kerana ia terkait dengan ‘Undang-Undang Syariah Islam’ maka ada saja pihak yang mempertikaikannya!

Umat harus jelas apakah posisi sebenar masalah ini. Sebagai orang Islam, kita seharusnya meneliti apakah hukuman sebenar yang wajib dikenakan ke atas peminum khamar . Islam telah menetapkan 80 kali sebatan sebagai uqubat yang wajar bagi peminum khamar dan tidak ada tolak ansur dalam hukuman ini.  Malah dalam segenap aspek kehidupan, Deen Allah yang mulia ini mempunyai jawapan, bukan hanya untuk masalah khamar. Syariat Allah yang mulia ini wajib diterapkan dalam segenap ruang kehidupan.  Namun suasana hari ini cukup menyedihkan. Syariat Allah ditinggalkan, undang-undang manusia diterapkan dan lebih hina lagi, dipertahankan! Ingatlah firman Allah..

“…Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [TMQ  al-Ma’idah (5):45]