Apakah Hukum Mahkamah Syariah Untuk Qazaf Berlandaskan Islam atau Taghut?

Polemik Skandal Liwat Negara Malaysia, sedikit sebanyak telah mewarnai politik tanah air, juga mengundang tumpuan pemerhati politik antarabangsa khususnya Rejim AS. Rejim AS bersuara supaya Malaysia menegakkan ‘rule of law’ terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Walaupun kita tahu bahawa Rejim AS sendiri sering melanggar ‘rule of law’ dalam usahanya mendominasi dunia. Kaedah umum polisi Rejim AS adalah “The End Justifies The Mean” (matlamat menghalalkan cara).
Bukanlah tujuan kami di sini untuk terlibat dengan kancah politik keji kapitalisme yang diterapkan di Malaysia dan juga di dunia amnya, namun kami berhasrat untuk menerangkan kepada umat bahawa dalam pada kita menjunjung Mahkamah Syariah, namun Mahkamah ini tetap menerapkan undang-undang ciptaan manusia.

 

Semalam Dato’ Seri Anwar Ibarhim telah pergi ke JAWI, untuk memberikan keterangan berkenaan dengan tuduhan Qazaf yang dilakukan ke atas beliau. Beliau mengemukakan pendapat Dr Taha Jabir Al-Ulwani untuk kes tersebut. Mengikut peruntukan Undang-undang Malaysia, sekiranya sesuatu kes itu telah ada perincian di Mahkamah Syariah ini bermakna Mahkamah Sivil mesti memberi laluan kepada Mahkamah Syariah untuk kes tersebut. Itulah sedikit sebanyak realiti politik yang berlaku mutakhir ini.

 

Namun marilah kita membandingkan bagaimana Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan akan berhukum, apakah Mahkamah Syariah ini hanya memerhatikan prosedur penghakiman dari Islam tapi mengabaikan jenis hukuman itu, dan apakah ianya bertepatan dengan Islam atau tidak? Marilah kita melihat perbezaannya dengan Al-Quran.

 

Hukum Hudud Qazaf mengikut Al-Quran adalah 80 kali sebatan. Firman Allah,

 

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik” [TMQ Surah An-Nur (24):3]

 

Manakala mengikut hukum buatan manusia Mahkamah Syariah akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, bahagian V – kesalahan pelbagai, seksyen 41. tentang qazaf, memperuntukkan bahawa:-

 

Kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

 

Persoalannya apakah hak Parlimen dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mengubah dan melaksanakan hukum selain dari hukum Allah? Tambahan pula jika kita memasukkan perbincangan Qazaf dalam bab hudud, ini memberikan natijah bahawa seseorang itu tidak boleh meminda dan mengubah hukum tersebut, walaupun dianya adalah seorang Nabi Allah. Alangkah hebatnya ahli Parlimen dan juga Mahkamah Syariah di Malaysia!