SN466 – 5 Tahun Syria Diratah – Apakah Tiada Penyelesaian?

PDF

SN Keluaran 13 Mei 2016

Dianggarkan 470,000 korban dan lebih dari 4 juta rakyat Syria yang menjadi pelarian dalam tempoh 5 tahun menggambarkan betapa dahsyatnya konflik berdarah yang sedang berlaku di Syria ketika ini. Terbaru, Rejim Bashar dengan bantuan Rusia menggempur Bandar Aleppo (Halab) di utara Syria sejak 21 April lepas. Serangan bom yang memusnahkan antaranya hospital menyebabkan ribuan kematian termasuk para doktor yang selama ini merawat mangsa peperangan termasuk warga emas dan kanak-kanak yang hidup dalam serba kedhaifan.

Al-Jazeera melaporkan bahawa pesawat Rusia dan rejim Assad menyerang Aleppo dengan tujuan kononnya untuk  menghapuskan kumpulan penentang daripada Jabhat al-Nusra dan Daulah al-Islam Iraq dan Sham (ISIS). Peliknya, ISIS sebenarnya berada di kawasan timur Syria yang kebanyakannya bertumpu di kota Raqqa, bukan di Aleppo. Dilaporkan juga bahawa terdapat serangan pesawat rejim Assad ke atas kem pelarian di kota Idlib pada baru-baru ini yang telah mengorbankan banyak nyawa.

 Propaganda Media Barat

Media Barat terus memainkan propaganda yang mengelirukan masyarakat dunia tentang isu Syria. Kekejaman ISIS ditonjolkan berlebihan berbanding segala kekejaman rejim Bashar dan sekutunya yang telah menyebabkan jumlah kematian dan kehancuran yang lebih dahsyat. Tindak-tanduk ISIS telah dijadikan justifikasi oleh kuasa Barat terutama Amerika dan Rusia untuk terus mengebom bumi Syria. Selain itu, media Barat juga cuba menggambarkan konflik Syria merupakan perang saudara antara kumpulan yang berbeza fahaman. Antara yang sering ditonjolkan dalam peperangan yang sedang berlaku di Syria adalah kerana konfik antara Sunni dan Syiah. Maka permusuhan antara Sunni dan Syiah terus diapi-apikan sehingga ramai umat Islam yang tidak menyedari tentang percaturan Barat  dalam konflik yang sedang berlaku di Syria.

Campur tangan badan dunia yang diketuai oleh Amerika Syarikat dalam konflik di Syria merupakan punca mengapa konflik tersebut berlanjutan sehingga kini. Kegagalan demi kegagalan rundingan yang kononnya untuk menamatkan konflik di Syria adalah sebenarnya disebabkan percaturan Amerika untuk membentuk kerajaan demokratik yang tunduk kepada kepentingan Amerika tidak berjaya dicapai. Ini kerana, rakyat Syria menolak segala  usaha penyelesaian yang dirancang mengikut acuan pihak kuffar baik Amerika, Rusia mahupun kuasa besar lain.

Kenapa Krisis Syria Berlanjutan Hingga Lebih 5 tahun?

Kebangkitan di Syria bermula ketika Arab Spring sedang memuncak pada tahun 2011. Sememangnya orang Arab mempunyai banyak sebab untuk bangkit setelah sekian lama hidup ditindas oleh pemimpin mereka sendiri. Tetapi sedihnya Amerika berjaya merampas dan menentukan hasil dari kebangkitan ini, iaitu penukaran rejim diktator yang telah lama berkuasa di Timur Tengah kepada pemimpin sivil yang dipilih secara demokratik.  Inilah yang disebut sebagai proses pendemokrasian Timur Tengah untuk mengekalkan hegemoni Amerika. Pemimpin baru yang dilantik tetap juga akan terus menjaga kepentingan Barat terutama Amerika dan Israel. Berbeza dengan Syria, di mana rakyatnya menolak segala penyelesaian yang dibawa oleh Barat baik secara politik mahupun ketenteraan. Sejak dari awal lagi negara-negara Barat baik Amerika, dan kuasa-kuasa Barat yang lain telah mengambil pelbagai tindakan politik untuk menentukan kesudahan kebangkitan rakyat Syria tetapi gagal.

Walaupun Rejim Basyar telah begitu lemah baik secara politik mahupun ketenteraan, tetapi Barat tidak boleh menjatuhkannya demi untuk mengelakkan berlakunya kekosongan kuasa sehingga boleh terbentuknya sebuah kerajaan yang menentang segala kepentingan dan agenda Barat di bumi Syria. Sebenarnya, jika tanpa bantuan Rusia, Iran dan militia Syiah, Rejim Bashar hakikatnya sudah lama tumbang. Akibat kemaraan Briged Jihad di Aleppo, Bashar telah pergi ke Rusia untuk meminta bantuan. Dengan kebenaran Amerika, Rusia telah menghantar tenteranya mengebom Syria atas nama memerangi ISIS. Walhal yang diserang oleh Rusia adalah rakyat Syria dan Briged Jihad sebagaimana yang terjadi di Aleppo dan Idlib baru-baru ini.

Ironinya pada bulan Mac 2016 yang lepas, telah diadakan latihan ketenteraan “Northern Thunder” yang diketuai oleh Arab Saudi,  dimana latihan tersebut melibatkan kira-kira 350,000  tentera darat, laut dan udara dari berbagai negara umat Islam seperti Mesir, Pakistan, Turki, Malaysia, Jordan, Sudan, Morocco, Tunisia dan lima negara Arab Teluk. Latihan yang berlangsung selama 12 hari dijalankan  di wilayah timur laut Arab Saudi berdekatan dengan sempadan Kuwait dan Iraq. Seperti mana yang dinyatakan oleh Brig. Gen. Saudi Arabia, Ahmed Asiri, latihan ketenteraan tersebut merupakan satu-satunya latihan ketenteraan terbesar yang melibatkan beberapa negara umat Islam dengan tujuan memerangi ISIS.  Latihan ketenteraan sebesar itu oleh negara-negara umat Islam menimbulkan persoalan, apakah ISIS yang baru wujud di Irak pada tahun 2014 adalah lebih merbahaya dan melakukan kerosakan yang lebih besar jika dbandingkan dengan kekejaman rejim Assad yang dibantu oleh Rusia dan Iran?

Apakah Penyelesaian Barat Bagi Syria?

Barat menyedari betapa kritikalnya Timur Tengah terhadap kepentingan mereka. Selain kaya dengan sumber alam, negara-negara Arab mempunyai sejarah gemilang sebagai pusat pemerintahan Islam selama beratus tahun. Keinginan umat Islam di Syria untuk hidup semula dibawah pemerintahan Islam yakni Daulah Khilafah merupakan mimpi ngeri kepada kuasa-kuasa Barat. Maka sebab itu Barat perlu menjamin sebarang perubahan di Syria tidak akan menjurus kepada tertegaknya semula Daulah Khilafah. Dengan kata lain, perubahan yang Barat inginkan mesti mengarah kepada sebuah kerajaan yang akan tetap menjaga kepentingan kuasa-kuasa Barat dan juga turut menjaga kelangsungan kerajaan Israel di bumi Palestin.

Oleh sebab itulah Amerika dengan jelas mahukan pendemokrasian berlaku di Syria. Sejak awal kebangkitan rakyat Syria lagi, Amerika melalui Turki telah mempelopori Syrian National Council (SNC) tetapi gagal. Setelah percaturan melalui Turki ini gagal, Amerika berusaha melalui Diplomat Arab, Lakhdar Brahimi. Kali ini mereka cuba melibatkan gerakan-gerakan Islam dan tokoh-tokoh masyarakat yang cenderung kepada penyelesaian demokratik. ‘Makar’ (perancangan jahat) ini juga gagal.  Selain itu, kuasa-kuasa Barat juga telah mengadakan beberapa siri persidangan di Vienna tetapi ianya sehingga kini masih lagi gagal kerana penyelesaian yang dihasilkan di tolak oleh rakyat Syria.

Apakah Penyelesaian Islam Untuk Syria?

Walaupun Amerika Syarikat dan Rusia berada di dua blok konflik yang berbeza, namun begitu, kedua-dua kuasa besar tersebut menentang sebarang usaha untuk mendirikan semula Khilafah di bumi Syria. Amerika Syarikat dan Rusia mahukan penyelesaian demokrasi sekular dan mereka akan terus memaksa rakyat Syria untuk menerimanya baik melalui usaha politik mahupun ketenteraan. Sedangkan hakikatnya umat Islam di Syria mahukan penerapan hukum Islam dan Khilafah.  Inilah satu-satunya penyelesaian Islam dalam masalah Syria yang akan menjadi igauan ngeri kepada kuasa-kuasa Barat, Israel dan sekutu-sekutu mereka.  Tertegaknya semula Daulah Khilafah bermaksud, bangkitnya semula Sleeping Giant yang bukan hanya akan menyaingi kuasa-kuasa Barat, tetapi juga akan melindungi dan memberikan pembelaan ke atas penindasan yang dialami oleh seluruh umat Islam di pelosok dunia. Ini dapat dibuktikan sepanjang 1400 tahun sejarah kewujudan Khilafah sebelum ianya diruntuhkan oleh Mustafa Kamal Ataturk pada tahun 1924.

Sebenarnya terdapat banyak peristiwa sejarah yang menunjukkan bagaimana seorang Khalifah Islam bersungguh-sungguh membela dan melindungi umat Islam apabila diserang oleh musuh. Dalam sejarah Nusantara atau Alam Melayu misalnya, pada kurun ke-16 Masihi Khalifah Uthmaniyyah pernah menghantar bantuan kepada kerajaan  Acheh dalam peperangan menentang penjajah Portugis dan penjajah Belanda selepas kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis. Ketika itu Sultan Acheh iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah telah meminta pertolongan daripada Sultan Sulaiman yang merupakan Khalifah Turki Uthmaniyyah untuk memerangi penjajah Portugis di Melaka. Sultan Sulaiman  bukan sahaja menghantar kapal perang dan senjata, tetapi juga turut menghantar kepakaran ketenteraan bagi menghadapi penjajah Portugis. Meriam besar yang dinamakan meriam Lada Sicupak masih terdapat di Aceh Timur merupakan antara bukti yang menunjukkan  perhubungan rapat di antara Acheh dengan pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah.

Syria Dan Nasib Umat Islam Di Tempat Lain

Sesungguhnya berbagai tragedi yang menimpa umat Islam di seluruh dunia  seperti di Gaza, Kashmir, Republik Afrika Tengah, Xinjiang, Azerbaijan, Bosnia, Arakan, Mali dan Selatan Filipina adalah akibat daripada tidak adanya kuasa politik Islam yakni Daulah Khilafah yang yang dapat mengerakkan tentera untuk membantu umat Islam yang ditindas oleh kuasa kuffar. Akibat dari itu, muncullah banyak kumpulan-kumpulan jihad di seluruh dunia yang bangkit mempertahankan umat Islam daripada terus ditindas dan dibunuh oleh musuh-musuh Islam. Sepertimana yang berlaku semasa konflik di Balkan pada tahun 1992-1996, oleh kerana tentera-tentera umat Islam tidak berbuat apa-apa apabila umat Islam Bosnia di bunuh dengan kejam oleh tentera Serbia, maka ramai mujahidin dari berbagai buah negara telah berhijrah ke wilayah Balkan untuk mempertahankan umat Islam Bosnia. Begitu juga dengan kewujudan Hamas yang wujud kerana penindasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas umat Islam Palestin. Ini semuanya berpunca daripada kegagalan negara-negara umat Islam untuk menggerakkan tentera-tentera mereka bagi membela umat Islam yang tertindas dan dizalimi.

Malang sekali, apabila terdapat sahaja krisis dan tragedi seperti yang sedang menimpa umat Islam di Aleppo ketika ini, penyelesaian yang sering diberikan daripada negara-negara umat Islam sendiri hanyalah menghantar misi kemanusiaan.  Keganasan yang dilakukan oleh rejim Assad dan Rusia ke atas bumi Aleppo sepatutnya dibalas dengan jihad oleh tentera-tentera kaum muslimin, bukannya dengan menghantar misi kemanusiaan. Musuh-musuh Islam tidak pernah gentar membunuh umat Islam kerana tentera-tentera umat Islam tidak pernah dihantar untuk berjihad menentang mereka. Selagi mereka tidak gentar, maka, mereka akan terus menyerang umat Islam disebabkan tiadanya precedent atau fakta terdahulu yang membuktikan bahawa tentera umat Islam akan digerakkan untuk mempertahankan umat Islam jika ditindas atau dizalimi oleh musuh-musuh Islam.

Khatimah

Apa yang sedang menimpa umat Islam di Aleppo ketika ini membuktikan bahawa darah dan diri umat Islam tidak mempunyai pelindung. Tentera-tentera kuffar dengan begitu mudah sekali membunuh umat Islam tanpa belas kasihan. Bagi mereka darah umat Islam seperti tiada nilainya berbanding dengan agenda dan kepentingan yang ingin mereka raih. Sikap pemerintah umat Islam yang merantai tentera-tentera Islam daripada berjihad memerangi tentera-tentera kuffar yang dengan jelas membunuh umat Islam merupakan sikap yang sangat keji dan terkutuk. Tidakkah para pemimpin Islam ini sedar bahawa menjadi kewajipan ke atas mereka mempertahankan setiap diri umat Islam daripada dibunuh tanpa hak? Rasulullah SAW bersabda ;

“Orang Muslim itu ialah saudara bagi orang Muslim yang lain; dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya binasa” [HR Abu Daud dan at-Tirmidzi].

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW “Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak harus mengkhianatinya, mendustakan atau mendustainya, tidak juga membiarkannya (tanpa menolong atau melindunginya). Menjadi kewajipan antara orang Islam menjaga kehormatan, harta dan darahnya” [HR at-Tirmizi].

Sesungguhnya hanya dengan tertegaknya semula Daulah Khilafah, penindasan yang dialami oleh umat diseluruh dunia akan dapat dibela. Sudah sangat terang dan jelas bahawa pemimpin Islam yang ada ketika ini tidak akan melakukan apa-apa untuk membela umat Islam yang tertindas.  Mereka hanya sibuk bermesyuarat di hotel-hotel mewah dan melafazkan ucapan-ucapan yang penuh dengan retorik, namun hakikatnya tiada walau sebutir peluru pun yang dilepaskan kepada tentera-tentera musuh Islam. Oleh itu, umat Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan semula Daulah Khilafah ’ala minhaj nubuwwah berdasarkan thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.