Syria akan terus jadi mainan kejam Barat hingga berdirinya Khilafah

Gambar BG 070416Presiden Syria, Bashar al-Assad pada 30 Mac lalu dengan angkuhnya mengulangi cadangannya untuk membentuk kerajaan perpaduan, sementara White House dalam reaksi segeranya menyifatkan penglibatan Bashar tidak akan membawa sebarang penyelesaian terhadap usaha menamatkan konflik di negara berkenaan.

Bashar masih mahu meneruskan kediktatorannya di Syria manakala Amerika Syarikat (AS) pula masih terkial-kial mencari pengganti Bashar kerana si penyembelih itu sudah tidak lagi berguna kepada AS.

Manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bang Ki-Moon pula sudah kehabisan modal dan hanya berlakon dengan memberi penekanan terhadap usaha menangani krisis pelarian Syria pada satu persidangan anjuran PBB di Geneva baru-baru ini.

Bashar dalam satu wawancara dengan agensi berita Rusia, RIA Novisti berkata, “Adalah logik untuk mewujudkan tentera bebas, tentera pembangkang dan tentera yang setia kepada kerajaan dalam pembentukan pihak berkuasa yang baharu”.

Diktator kejam yang telah membunuh ratusan ribu rakyat Syria itu, selain menyebabkan masalah kebuluran dan pelarian, dengan nada angkuh menolak aspirasi rakyatnya dan menolak cadangan kumpulan penentang yang mahukan pembentukan kerajaan baru agar tidak melibatkan dirinya. Bashar menegaskan bahawa badan peralihan kuasa yang dicadangkan itu adalah tidak logik dan tidak mengikut perlembagaan.

Sejak 2012, rakyat Syria menderita akibat konflik berterusan hasil kekejaman Bashar dan mereka bangkit melawan Bashar dan mahukan pemerintahan Islam di negara itu. Di saat kesemua negara Arab yang terlibat dengan Arab Spring berjaya diubah haluannya oleh Barat, Syria menjadi satu-satunya harapan kerana Barat masih gagal merubah haluan perjuangan kaum Muslimin di sana.

Mutakhir, dengan berlakunya beberapa siri pengeboman di Perancis, Turki dan Belgium, perhatian dunia telah tertarik ke arah peristiwa tersebut dan pergolakan di Syria sepi seketika dari menjadi tumpuan.

Namun demikian, umat Islam yang prihatin tidak akan lupa sama sekali terhadap usaha saudara-saudara seagama di Syria dalam menjatuhkan diktator Bashar, yang kekejamannya mengalahkan binatang buas.

Selagi belum berdirinya Khilafah, selagi itulah Amerika akan terus memainkan peranannya di Syria bagi memastikan ejennya yang baru dapat memerintah Syria. Semoga rakyat Syria akan terus istiqamah dan diberi kekuatan oleh Allah, dengan sokongan dan doa daripada seluruh kaum Muslimin lainnya, dalam usaha menggantikan rejim yang zalim itu dengan sebuah pemerintahan Khilafah Islamiyyah.