Tanpa Khilafah, umat Islam akan terus jadi mangsa keganasan

ban-ki-moonUmat Islam adalah mangsa terbesar keganasan yang berlaku di dunia ini, demikian menurut kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon. Menurutnya lagi, “fenomena kekerasan ekstremisme pada pengganas tidak berakar umbi atau terbatas pada agama, wilayah, kebangsaan atau kumpulan etnik sahaja,” yang dipetik Arab News.

Aneh, apakah baru sekarang Ban Ki-Moon sedar yang umat Islam adalah mangsa keganasan terbesar? Dia tidak seharusnya menamatkan kenyataannya di situ, tetapi apa yang Setiausaha Agung badan dunia itu perlu bongkarkan ialah siapakah pengganas sebenar ke atas umat Islam.

Pembantaian dan kekejaman terhadap umat Islam di seluruh dunia bukanlah suatu yang terlindung. Lihat sahaja Palestin, Iraq, Kashmir, Afghanistan, Myanmar, Selatan Thai dan lain-lain, siapakah yang menjadi mangsa pembunuhan jika bukan orang Islam? Itu belum lagi mengambil kira pemboikotan, perlecehan dan diskriminasi yang dilakukan ke atas umat Islam yang menetap di negara-negara Barat.

Jadi, persoalannya kenapa Ban Ki-Moon baru menimbulkan hal ini? Dan persoalan yang lebih penting, apakah tindakan PBB untuk menyelamatkan umat Islam dari terus menjadi mangsa keganasan? Cukuplah segala sandiwara oleh PBB, kerana kita kenal siapa PBB!

Keadaan buruk yang menimpa umat Islam memang tidak dapat dipisahkan dari kejatuhan Daulah Khilafah. Khalifah merupakan perisai umat Islam sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah SAW bahawa Imam (Khalifah) itu adalah perisai di mana umat Islam berlindung dan berperang di belakangnya. Sejak hilangnya perisai tersebut-lah, maka tiada lagi seorang pemimpin pun yang melindungi umat Islam, sebaliknya pemimpin yang ada menambahkan lagi penderitaan kepada umat Islam.

Lihatlah bagaimana para pemimpin yang ada tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan umat Islam yang dibunuh dan ditindas di serata dunia. Lihatlah bagaimana para diktator yang memerintah umat Islam yang sanggup membunuh rakyatnya sendiri dari kalangan umat Islam demi kepentingan diri sendiri dan kepentingan Barat yang menjadi tuan mereka. Lihatlah bagaimana penguasa umat Islam yang mengenakan pelbagai undang-undang dan tindakan demi menyekat para pengembang dakwah yang ingin menerapkan Islam dan lihatlah pelbagai penderitaan lainnya yang diakibatkan oleh penguasa umat Islam itu sendiri, yang rata-ratanya bersekongkol dengan Barat dalam melakukan kekejaman ke atas umat Islam!

Sekiranya Setiausaha Agung PBB itu ikhlas dalam pembongkarannya, dia bukan sahaja kena membongkar mangsa, tetapi sepatutnya membongkar siapakah pemangsa umat Islam. Siapakah yang melakukan pembantaian ke atas umat Islam di Palestin, Iraq, Myanmar dan lain-lainnya. Terangkan sahaja tanpa malu dan tanpa takut siapakah pengganas sebenar di dunia pada hari ini! Kemudian, ambil tindakan ke atas pengganas/pemangsa tersebut!

Namun hakikatnya PBB hanyalah kuda tunggangan AS dan kuasa-kuasa besar yang ada veto di dalamnya, tidak lebih dari itu. PBB-lah yang membidani kelahiran Israel dan PBB-lah yang selama ini menambahkan segala penderitaan ke atas umat Islam. Malah kewujudan PBB itu sendiri adalah dalam rangka menghancurkan Daulah Khilafah yang mendominasi dunia pada waktu itu dan menggantikannya dengan kekuatan kuffar yang memusuhi Islam!

Umat Islam perlu sedar bahawa inilah nasib yang akan berterusan menimpa umat Islam, tanpa titik noktahnya selagi mana Islam tidak kembali hidup di bawah naungan Khilafah yang berperanan sebagai perisai dan pelindung kita semua. Kata-kata manis Ban Ki-Moon sekali-kali tidak akan menjadikan PBB sebagai badan penyelesai masalah umat Islam.