Muslimah di AS terus jadi mangsa jenayah kebencian terhadap Islam

Gambar BG 210316 (3)Komuniti Muslim di Amerika Syarikat (AS) kini berdepan dengan peningkatan serangan jenayah atas dasar kebencian terhadap Islam sebanyak empat kali ganda semenjak insiden serangan di Paris dan penembakan di San Bernardino. Hampir 80% daripada serangan tersebut disasarkan ke atas Muslimah, menurut Ibrahim Hooper, Pengarah Komunikasi Kebangsaan bagi Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR).

Hooper turut menyatakan bahawa usul penyekatan kemasukan Muslim ke AS yang dibangkitkan oleh calon Presiden, Donald Trump merupakan titik-tolak yang membuka ruang kepada peningkatan serangan jenayah kebencian tersebut.

Kini, Muslimah di AS terpaksa melengkapkan diri dengan ilmu seni mempertahankan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan untuk diserang ekoran sentimen Islamofobia yang semakin menebal di negara tersebut.

Umat Islam secara dasarnya telah menjadi sasaran pihak yang sengaja menimbulkan ketakutan terhadap Islam sejak peristiwa serangan 9/11 pada 2001. Namun, sentimen tersebut semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa dan kini diperbaharui lagi setelah dijadikan topik dalam retorik perdebatan antara calon-calon Presiden AS seperti Trump dan Ben Carson.

Keadaan dijangka bakal menjadi lebih buruk bagi umat Islam yang membentuk kelompok minoriti di AS setelah salah seorang calon presiden lain, Ted Cruz bertindak melantik Frank Gaffney sebagai salah seorang penasihatnya. Gaffney merupakan pengasas Pusat untuk Polisi Keselamatan (CSP) yang terkenal dengan kontroversi bersifat teori konspirasi bertemakan Islamofobia.

Sesungguhnya kebencian kaum kuffar terhadap Islam tidak akan berkesudahan dan tidak menghairankan, kerana Allah SWT telah pun menjelaskannya,

“Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi…” [TMQ Ali Imran (3):118].

Namun, yang menjadi persoalannya, di manakah penguasa Muslim yang akan membela para Muslimah daripada jenayah kebencian yang semakin menjadi-jadi ini?

Sungguh, akibat pengkhianatan para penguasa, umat Islam pada hari ini berada dalam keadaan lemah dan terpecah-belah sehingga nasib Muslimah tidak lagi terbela. Begitu juga dengan golongan-golongan yang ditindas oleh musuh-musuh Islam di seluruh penjuru dunia yang tidak mendapat sedikit pembelaan pun dari penguasa yang khianat ini.

Hal ini jauh berbeza berbanding zaman Khilafah di mana Khalifah Mu’tasim terus melancarkan jihad hanya kerana permintaan tolong seorang Muslimah yang diganggu kehormatannya di Rom sehingga penjadi penyebab kepada pembukaan Kota Amuriyah.

Serangan demi serangan ke atas para Muslimah akan terus dilakukan oleh Barat selagi umat Islam tidak kembali mempunyai kekuatan yang dapat melindunginya. Sungguh, hanya dengan kembalinya Negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah sahajalah, maka darah dan kehormatan umat Islam akan terbela, kerana itu adalah salah satu fungsi Khilafah.

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung” [HR Muslim].