Kebencian Penguasa Rusia Terhadap Kebangkitan Islam Semakin Terserlah

Pada penghujung bulan Januari baru-baru ini telah dilaporkan berita tentang penahanan terhadap beberapa kaum Muslimin di Tatarstan. Pemeriksaan, penahanan, penculikan, penyeksaan dan pertuduhan di mahkamah adalah berita sedih yang sudah menjadi perkara biasa berlaku di sana. Tindakan kejam ini memanifestasikan kebencian yang tidak dapat disembunyikan lagi oleh pemerintah Rusia terhadap umat Islam terutamanya terhadap para pejuang Islam. Umpama seperti bangkai yang membusuk, kejahatan yang mereka lakukan selama ini semakin terserlah dan tidak mampu lagi untuk ditutup meskipun dengan mata yang buta. Kebencian dan kebiadapan mereka ini bukan sahaja berlaku di Rusia, malah di tempat-tempat lain seperti di negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain di mana para penguasa mereka masih berada di bawah pengaruh Rusia dan mereka terus berkhidmat untuk memuaskan hati tuan mereka di Kremlin. Selain itu, Kremlin juga memainkan peranan di tempat lain seperti memberi sokongan kepada si penyembelih, Bashar Al-Assad di Syiria sama ada dari segi sokongan politik mahupun persenjataan.

Pada bulan November 2013, berpuluh-puluh kaum Muslimin telah telah ditahan dan dicampakkan ke dalam penjara di bandar Neftekhimik dan Chistobl. Mereka telah diseksa dengan dikenakan renjatan elektrik dan dilemaskan. Tulang belakang, rusuk dan kaki sebahagian daripada mereka ada yang patah, termasuklah ada yang dibakar bahagian anggota sulit mereka. Ini hanyalah sebahagian daripada bentuk-bentuk penyeksaan yang dilakukan oleh pemerintah Tatarstan terhadap mereka, belum mengambil kira seksaan dalam bentuk psikologi seperti memisahkan anak daripada ayah serta pelbagai ugutan berbaur kecaman dan bunuh.

Pada pertengahan Januari 2014, di bandar-bandar seluruh Tatarstan seperti Kazan, Neftekhimik, Elapog, Nizhny Chelny, Olmatvsk, Nurlat, Chistobl dan Oznakayv; kaum Muslimin ditangkap dan rumah mereka digeledah. Mereka telah dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan yang mereka tidak lakukan. Pada 20 Januari 2014, laman web rt.rbc.ru melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri Tatarstan, Jukhurin, mengeluarkan kenyataan berkaitan pengeboman dan bahan letupan, “Kita dan sekutu dalam perisikan Rusia bertanggungjawab melakukan yang terbaik untuk menghadapkan pelaku pengeboman ke muka pengadilan agar tiada seorang pun yang akan terlepas dan mereka ini ialah daripada Hizbut Tahrir”.

Ini merupakan penipuan dan tuduhan liar yang dilemparkan kepada Hizbut Tahrir dengan mengaitkannya dengan kekejaman dan aktiviti keganasan. Hizbut Tahrir merupakan parti politik intelektual yang menolak sebarang penggunaan kekerasan dalam perjuangan mereka dan tuduhan ini menunjukkan kekejaman pemerintah Rusia.

Pada 30 Disember 2013, bandar Volgagrad telah digeledah berikutan pengeboman di stesen keretapi. Berhampiran dengan gereja di situ terdapat hampir 200 orang penduduk berkumpul berdemonstrasi sambil melaungkan slogan, “Perisikan mendapat jutaan wang hasil daripada pengeboman”. Seperti biasa, kaum Musliminlah orang pertama yang dituduh bagi setiap kes yang melibatkan pengeboman. Mengikut rakaman video yang dikeluarkan dalam internet, pelbagai perbincangan telah dilakukan tentang perisikan Rusia yang masih menggunakan teknik yang sama sejak lewat 90-an apabila Rusia digegarkan oleh pengeboman yang dilakukan sendiri oleh pihak perisik.

Pemerintah Rusia juga mungkin terpengaruh dengan hasil kajian Paul Goble, penyelidik yang secara khusus melakukan kajian terhadap kaum minoriti di Persekutuan Rusia yang mana ia meramalkan bahawa Rusia bakal menjadi sebuah negara majoriti Muslim dalam beberapa dekad akan datang. Ini merupakan ancaman terbesar kepada mereka.

Walau apapun ramalannya, hakikatnya adalah bahawa kerajaan Rusia ketika ini sedang berada dalam ketakutan dengan usaha untuk menegakkan Negara Islam di mana-mana di seluruh dunia. Ketakutan inilah yang menyebabkan mereka terus menindas kaum Muslimin di Rusia sehinggakan tindakan mereka yang kejam ini sudah keluar daripada batasan kemanusiaan. Mereka sangat khuatir akan kebangkitan semula Khilafah yang akan menyatukan umat Islam dan bimbang akan kehilangan pengaruh khasnya di rantau Asia Tengah.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada 14 Disember 2013  dalam sebuah wawancara dengan Vesti 24, beliau mengatakan bahawa “ada keadaan-keadaan di mana semua pejuang tanah air Syria harus memahami apa yang lebih penting (sama ada) untuk memerangi mereka yang ingin Syria menjadi Negara Khilafah atau untuk bersatu dan mengembalikan imej tanah air mereka yang terkenal itu selama berabad-abad iaitu (sebagai) negara multi-pengakuan, multi-etnik, dan negara sekular di mana semua orang hidup dengan selesa”. Pada akhir kenyataan, Menteri tersebut mengatakan bahawa “isu ini pasti akan menjadi salah satu isu utama dalam Konferens Geneva”.

Ketahuilah bahawa rejim tersebut tidak akan sesekali berdiam diri dalam terus menekan para pejuang yang ikhlas dalam menggalas misi dakwah menuju kebangkitan. Rejim inilah yang mendesak penguasa-penguasa Tatarstan yang silih ganti untuk menyekat kebangkitan Islam.
Justeru, Hizbut Tahrir ingin menegaskan beberapa fakta berikut:

Pertama: Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi perjuangannya. Matlamatnya adalah untuk melestarikan kehidupan Islam melalui perjuangan intelektual dan politik dalam rangka mengembalikan semula Khilafah Islam di negeri-negeri kaum Muslimin. Maka, segala pertuduhan yang dilakukan terhadap para anggota Hizbut Tahrir adalah tidak berasas dan ia merupakan tuduhan yang penuh kedustaan.

Kedua: Hizbut Tahrir mencontohi jalan dakwah yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dalam perjuangannya menubuhkan Daulah Islam. Kerajaan Tatarstan tidak pernah sekalipun berjaya membuktikan keterlibatan para anggota Hizbut Tahrir dalam aktiviti keganasan dan pelampau sepanjang tempoh perjuangan mereka di negara tersebut. Parti ini menolak pendekatan kekerasan secara fizikal dalam perjuangannya kerana itulah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan bukannya kerana takut terhadap tekanan daripada rejim yang zalim. Metodologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah inilah yang telah digunapakai oleh Hizbut Tahrir di Tatarstan dan  di mana- mana sahaja Hizbut Tahrir beraktiviti di pelbagai belahan penjuru dunia.

Ketiga: Parti ini tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang usaha yang dilakukan oleh rejim, bahkan sebaliknya usaha-usaha tersebut semakin meneguhkan lagi iltizam para anggotanya. Kami yakin bahawa setiap penindasan yang dilakukan akan hanya menambahkan lagi keazaman, keteguhan dan sekaligus mendorong kami untuk meneruskan perjuangan yang murni meskipun terkorban jiwa dan raga. Sesungguhnya kejayaan yang dijanjikan Allah itu adalah seseuatu yang pasti, meskipun dibenci oleh puak kuffar dan ejen-ejen mereka. Ujian yang dikenakan oleh penguasa Tatarstan ini adalah terlalu ringan jika dibandingkan dengan seksaan yang bakal ditimpakan oleh Allah sekiranya mengabaikan kewajipan dalam mengembalikan kehidupan Islam di muka bumi ini.

Usaha untuk mengembalikan Khilafah Islam semakin berkembang pesat di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Seruan untuk mengembalikan Khilafah di atas manhaj kenabian yang dilaungkan kini telah pun berkumandang di segenap pelusuk dunia. Sesungguhnya, kembalinya Khilafah itu adalah satu kepastian! Inilah janji Allah dan bisyarah RasulNya. Maka nantikanlah balasan dan hukuman terhadap mereka yang berlaku zalim terhadap kaum Muslimin dan yang berusaha untuk menegakkan Islam apabila Khilafah kembali kelak. Ingatlah wahai penguasa Rusia dan tali barutnya, sesungguhnya segala kekejaman yang kamu lakukan ke atas umat Islam ini, pasti akan diperhitungkan oleh Sang Khalifah kelak. Kalian boleh berasa kuat pada hari ini, tetapi pada hari esok belum tentu kalian akan dapat tidur lena apabila Khilafah telah tertegak.
 

وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
 “Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [TMQ Yusuf (12):21]