SN064 – Nilai, Kebenaran Dan Pengkhianatan
SN Keluaran 2006
[SN064]
Si Musang Berbulu Ayam
Setelah lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleeza Rice ke Indonesia pada 14hb March 2006, warga dunia kembali berhimpun pada 20 Mac yang lalu untuk memperingati peristiwa pencerobohan Amerika dan Britain ke atas Iraq. Lawatan Setiausaha Negara Amerika itu dianggap oleh kebanyakan penganalisis politik sebagai suatu langkah untuk memperbaiki imej Amerika Syarikat yang sedang menjunam ketika ini. Di dalam lawatannya itu, Rice menunjukkan ‘kasih sayangnya’ ketika menziarahi sebuah sekolah agama yang menerima bantuan daripada Kerajaan Amerika. Di dalam lawatan tersebut, Rice juga memuji Jakarta atas sokongan yang berterusan kepada Amerika di dalam kempennya memerangi keganasan di rantau ini. Jakarta juga turut dipuji kerana mengamalkan prinsip demokrasi dengan membiarkan rakyatnya mengamalkan kebebasan bersuara. Tidakkah kita merasa hairan apabila sebuah negara Barat yang terkenal dengan kebenciannya terhadap Islam tiba-tiba memuji sebuah negara kaum Muslimin yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang paling ramai di dunia?
Agak melucukan juga apabila di dalam satu dialog, Rice menyatakan bahawa AS sentiasa mengambil pendekatan berlembut di dalam dasar luarnya dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dasar luar AS lebih bersifat ketenteraan [18/3/2006, Utusan Malaysia]. Padahal, keganasan yang dilakukan oleh AS dipaparkan hampir setiap hari menerusi media cetak, elektronik dan internet sepertimana yang berlaku di Afganistan dan terutama sekali di Iraq.
Amerika Syarikat sebenarnya bersikap seperti musang berbulu ayam. Indonesia merupakan sebuah negara kaum Muslimin yang kaya dengan sumber galian khususnya emas. Minyak dan gas asli merupakan hasil bumi yang semakin menjadi perhatian pihak penguasa Indonesia. Tidak seperti di Indonesia, dasar Amerika terhadap Iraq jelas berbeza. Pada ketika ini keadaan di Iraq semakin meruncing. Pergolakan terus berlaku walaupun Amerika Syarikat berjanji akan mengembalikan demokrasi dan keamanan di Iraq di dalam masa yang singkat. Ternyata, janji tersebut sukar untuk dipenuhi. Agen-agen Amerika dan Britain terus menimbulkan kekacauan untuk mencetuskan perang saudara di Iraq. Perang saudara yang dirancang itu bertujuan untuk memudahkan Amerika membawa keluar kekayaan di Iraq tatkala kedua-dua puak sibuk berperang. Tetapi hingga saat ini, ia masih tidak berlaku. Rakyat Iraq masih teguh dengan prinsip dan ajaran Islam yang suci. Pada mereka, kaum Muslimin adalah satu, membunuh Muslim lain adalah perbuatan yang membawa kepada kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rakyat Iraq terus bertahan dan bersabar. Hingga kini, tiada sesiapa yang dapat meramalkan dengan pasti, apakah yang berlaku selepas ini.
’Keagungan’ demokrasi dan keamanan yang dijanjikan oleh Amerika Syarikat semakin jauh daripada rakyat Afganistan dan Iraq. Bahkan Amerika Syarikat sendiri mencabul prinsip-prinsip demokrasi dan keamanan tersebut. Penubuhan penjara di Teluk Guatanamo, Penjara Abu Gharib dan pencerobohan rumah-rumah penduduk Iraq di hening subuh merupakan sebahagian daripada pengkhianatan nilai-nilai demokrasi yang mereka janjikan.
Amerika dengan jelas bersikap ‘double standard’ atau mengamalkan dasar berat sebelah di dalam kes Iran. “Israel” dengan jelas mempunyai keupayaan senjata nuklear sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakkan media-media Arab. Senjata nuklear tersebut siap untuk dilancarkan daripada jet pejuang F-16 yang berpengkalan di Tel Nof. Di dalam hal ini, Amerika seolah-olah memejamkan mata tanpa mengambil apa-apa tindakan. Sikap prejudis Amerika ke atas Islam adalah suatu yang tidak menghairankan dan ia merupakan alasan yang biasa untuk melancarkan sebarang tindakan ke atas mana-mana negara Islam yang menentangnya. Begitu jugalah syak wasangka Amerika ke atas Iran yang dituduh sedang membangun senjata nuklear secara sembunyi-sembunyi. Walhal, pihak pemimpin Iran telah pun menjelaskan bahawa mereka hanya membangun kemudahan tersebut untuk kegunaan penjanaan sumber tenaga domestik.
Amerika sebenarnya tidak perlu menyamar sebagai musang berbulu ayam untuk masuk dan meragut kekayaan kaum Muslimin. Ini adalah kerana, yang ada hanyalah anak-anak ayam yang mudah untuk diratah dan dilapah. Amerika barangkali boleh berbangga sebagai negara nombor satu dunia. Mungkin mereka telah ’berjaya’ menghapuskan diktator kejam seperti Saddam Hussein sambil merasa megah dengan memaparkan kekuatan teknologi ketenteraan yang dimilikinya. Namun begitu kaum Muslimin seharusnya sedar bahawa kos pembinaan dan pembangunan ketenteraan tersebut diperolehi oleh Amerika daripada hasil memerah kekayaan kaum Muslimin di seluruh dunia terutamanya dari tanah Arab yang sedang dan telah dikaut kekayaannya sejak tahun 1944 lagi melalui syarikat minyak Aramco (Arabian American Oil Company).
Kaum Muslimin akan terus menjadi mangsa kepada kerakusan dan kekejaman Amerika selagi mereka sendiri terus mengamalkan nilai dan cara hidup yang bersumber daripada Barat. Mereka masih tidak sedar bahawa nilai-nilai ini telah dihias sebegitu rupa sehingga ada yang berkata: “Ini tidak bertentangan dengan Islam”. Padahal, setelah lebih 80 tahun menerapkannya, kita dapat melihat dengan jelas kerosakkan yang telah ditimbulkannya. Inilah padahnya apabila ‘anak-anak ayam menari tarian musang.’
Menafikan Kebenaran
Barat terus melancarkan propaganda dengan menyatakan bahawa apa yang sedang diterapkan oleh penguasa-penguasa kaum Muslimin pada hari ini adalah hasil daripada pemahaman prinsip-prinsip Islam. Ia diberi pelbagai label, ini termasuklah Islam Madani, Islam Hadhari, Islam Moden, Islam Sederhana, Islam Moderat dan sebagainya. Pada masa yang sama mereka mengatakan bahawa Islam yang dibawa oleh pendakwah-pendakwah yang ikhlas sebagai bukan daripada Islam yang sebenar. Islam yang dibawa oleh para pendakwah ini dilabel sebagai Islam Fundamentalis, Islam Terroris dan Islam Ekstremis. Mereka melontarkan tohmahan bahawa aliran-aliran Islam ini terkeluar daripada mainstream masyarakat Islam yang sebenarnya. Perjuangan mendirikan Khilafah Islamiyyah dikatakan sebagai perjuangan menubuhkan sebuah negara diktator/ketenteraan Islam. Barat khususnya Amerika dan British mengetahui dengan jelas bahawa Islam yang sedang diperjuangkan oleh para pendakwah ini adalah sesuatu yang akan mengembalikan semula zaman kegemilangan Islam. Akan tetapi, mereka telah mengkhianati kebenaran tersebut.
Kaum kuffar mempunyai sejarah yang panjang di dalam pengkhianatan nilai dan prinsip kepercayaan mereka sendiri demi untuk mencapai tujuan politik. Ia berlaku sejak di zaman Rasulullah Sallallahu ‘aialhi wa Sallam sebagaimana kisah kaum Yahudi mengkhianati kepercayaan mereka dengan mengatakan ajaran-ajaran jahilliyah kaum Quraish adalah lebih baik daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘aialhi wa Sallam. Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ikrimah :
“ Tatkala Huyai bin Akhtab dan Ka’ab bin Asyraf datang ke Makkah untuk melakukan pakatan menjelang perang Ahzab, bertanyalah musyrikin Quraish kepada mereka,
“ Hai golongan Yahudi, sesungguhnya kamu itu adalah para Ahli Kitab terdahulu, dan orang-orang yang berpengetahuan tentang apa yang menjadikan perselisihan di antara kami dan Muhammad ( Sallallahu ‘aialhi wa Sallam). Oleh kerana itu, maka kami bertanyakan kepada kamu, manakah yang lebih baik, adakah kami ini yang telah memberi makan-minum kepada orang-orang haji tiap tahun, memegang kunci Ka’bah dan bersilaturrahim satu sama lain ataukah Muhammad yang telah memutuskan hubungan kekeluargaan dan kesukuan dan hanya diikuti oleh orang-orang miskin tetapi tetap mengaku bahawa ia adalah lebih baik dan lebih besar dari kami?’’ Huyai dan Ka’ab menjawab; “.. agama tuan-tuan yang lebih baik, dan tuan-tuanlah pemeluk agama yang benar. Engkaulah yang lebih utama daripada Muhammad.” [Daulah Islamiyyah, Sheikh Taqiyyudin An Nabhani]
Padahal, orang-orang yahudi itu tahu benar bahawa ajaran jahiliyyah kafir Quraish itu jelas batil dan menyalahi hakikat agama tauhid mereka. Akan tetapi, disebabkan dendam kesumat dan tujuan politik yang hendak dicapai, mereka sanggup untuk mengkhianati ajaran mereka sendiri dan mengatakan bahawa ajaran jahiliyyah kafir Quraish itu sebagai suatu agama yang benar.
Justeru itu Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman sebagaimana maksudnya:
“Perhatikanlah, betapa mereka mengadakan-adakan dusta terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata( bagi mereka). Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi sebahagian dari al Kitab? Mereka percaya kepada Jibti dan Thaghut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir(musyrik Makkah) , bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman.”
[TMQ An Nisaa’ (4):50-51]
Antara pembohongan-pembohongan yang dilakukan oleh Barat pada masakini adalah sebagai contoh, mengiktiraf Taslima Nasreen, sebagai tokoh bahkan mendapat pencalonan untuk Hadiah Noble Tahun 2005 kerana tulisannya banyak menyerang dan ‘memperbetul’ ajaran Islam yang berkaitan dengan wanita. Kita juga tidak merasa hairan ketika akhbar Guardian, dalam laporannya mengenai pergerakan Sisters in Islam begitu ghairah memuji Zainah Anwar dari SIS – “Zainah Anwar is a good Muslim. She is also an outspoken campaigner for women’s rights. To many Muslim men in Malaysia and beyond” – yang bermaksud: “Zainah Anwar adalah seorang Muslim yang baik. Dia adalah seorang aktivis yang lantang bersuara untuk hak-hak wanita. Ini memandangkan jumlah lelaki di Malaysia lebih ramai”. [‘Sisters take on scholars in battle for Islam’, Simon Tisdall, Guardian Unlimited 1.06.2005]. Padahal kedua-dua tokoh wanita Muslim tersebut mempunyai pemikiran yang jelas bertentangan dengan Islam, namun begitu mereka dikatakan sebagai membawa ajaran Islam yang sebenar.
BARATisme dan kesan-kesannya.
Penerimaan nilai-nilai BARATisme ini telah membawa kepada kehancuran umat Islam. Menerimapakai idea, prinsip dan pemikiran daripada Barat ini justeru telah mengundang seribu kesengsaraan ke atas umat Islam. Dari segi politik, umat Islam di dalam keadaan yang hina dan diperlekehkan. Lemah dari segala aspek kehidupan kecuali menjadi juara di dalam gejala sosial. Dari sudut ekonomi, prinsip-prinsip kebebasan yang digunapakai telah menyebabkan masyarakat terjerumus ke lembah kemelesetan ekonomi yang sangat curam dan dalam. Pemulihan ekonomi yang entah bila akan muncul itu nanti pasti akan jatuh kembali kerana kitaran kejam pasaran modal yang batil!
Walaupun tidak sampai seratus tahun, sistem nilai Barat telah menampakkan kepincangannya. Prinsip kebebasan yang didokong telah menyebabkan undang-undang syariah di negara ini dicabar. Pejabat mufti Perak melaporkan sebanyak 250,000 kes murtad dilaporkan dan 100,000 daripadanya ingin bertukar ke agama Kristian. Di dalam perkara penagihan dadah, angka-angka menunjukkan ia semakin meningkat. Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa jumlah penagih berjumlah 1 juta orang, angka-angka terkini tetap menakutkan. Contonnya pada tahun 2001, jumlah penagih dadah baru yang dikesan adalah seramai 31556 orang dan jumlah ini bertambah kepada 31893 orang pada tahun 2002. Perangkaan pada tahun 2002 juga mendapati bahawa jumlah penagih dadah di Malaysia adalah sebanyak 235,495 orang (lebihkurang 1% daripada jumlah penduduk Malaysia). Manakala yang telah dijangkiti HIV pula berjumlah 6427 dan AIDS pula ialah 1148 [ Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia].
Di dalam ekonomi pula, statistik Bank Dunia (2003) menunjukkan pecahan penduduk dunia berdasarkan jumlah pendapatan adalah: 21% berpendapatan tinggi dan sederhana tinggi manakala 79% berpendapatan sederhana dan rendah. Ini membuktikan bahawa terdapat jurang yang besar di antara golongan atasan, pertengahan dan bawahan. Kerana itu, tidak menghairankan sekiranya di dalam sistem kapitalis hari ini, seseorang individu boleh membina istana bak kayangan manakala ada sebilangan penduduknya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Dari statistik yang dikeluarkan oleh World Food & Agriculture Organisation, 842 juta penduduk dunia hidup dalam kebuluran dan ini merupakan 13% dari jumlah penduduk dunia manakala 780 juta berada di dalam keadaan kebuluran yang amat sangat. Di dunia ketiga, 1.2 billion orang hidup di bawah taraf kemiskinan antarabangsa – pendapatan kurang dari $1 sehari. 153 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di dunia kekurangan makanan dan 11 juta mati setiap tahun di mana lebih separuh daripadanya adalah kerana kebuluran. Data terkini juga menunjukkan pertambahan 15 juta orang kekurangan makanan setiap tahun sejak dari 1996. Data-data yang dipaparkan tersebut hanyalah sekadar potret sedih akibat perlaksanaan sistem yang ada pada hari ini. Walaupun kita mungkin tergolong di dalam kelas atasan ataupun pertengahan dan tidak merasa kesusahan yang melampau, ia tidak seharusnya membuatkan kita dibuai mimpi indah di dalam tidur yang lena. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:
“.…Hendaklah hati-hati orang-orang yang menyimpang dari perintah (juga larangan)-Nya, bahawa mereka akan ditimpa fitnah, atau azab yang pedih” [ TMQ An Nur : 63]
Prinsip kebebasan yang kerap digembar-gembur pula, pada hakikatnya tidak wujud di dalam hakikat kehidupan. Ia tidak wujud di dalam Islam bahkan di Barat sendiri prinsip ini tidak dilaksanakan. Ia hanyalah merupakan sebuah fatamorgana. Amerika Syarikat sendiri mempunyai undang-undang yang memastikan bahawa individunya tidak melakukan hal yang sewenang-wenangnya. Amerika dan Britain sejak sekian lama telah mencabul nilai-nilai yang selama ini mereka perjuangkan seperti konsep keamanan, kestabilan, hak asasi manusia dan pertumbuhan ekonomi bebas. Apa yang mereka laungkan tidak selari dengan apa yang mereka lakukan. Berbagai api peperangan dan rusuhan sengaja dinyalakan oleh Barat di negeri-negeri Islam seperti Perang Teluk I ( Perang Iraq-Iran) dan Perang Teluk II ( Iraq-Kuwait) yang bertujuan untuk menguasai sumber kekayaan minyak kawasan tersebut. Ia dilakukan dengan membangun pangkalan-pangkalan tentera di kawasan-kawasan strategik dengan alasan untuk mempertahankan keamanan kawasan tersebut. Malah Barat sendiri sentiasa memberikan tajaan pada gerakan-gerakan pemisah seperti gerakan pemisah Kurdi dan Sudan Selatan serta perang saudara di Afganistan. Justeru, dapatlah dikatakan bahawa nilai-nilai di dalam BARATisme ini diwujudkan hanya untuk dikhianati demi mencapai tujuan-tujuan politik dan ekonomi.
Wahai Kaum Muslimin,
Sesungguhnya kebenaran itu datangnya daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata. Janganlah kalian mengambil selain daripada Islam sebagai pedoman, pegangan dan nilai-nilai kehidupan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam…” [TMQ Al Imran:19]
Dalil di atas dengan sendirinya menafikan agama-agama samawi yang sebelumnya dan ini dikuatkan melalui firman Allah yang bermaksud :
“ Hari ini telah aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, dan aku ciptakan untuk kalian nikmat-ku, serta aku redhai Islam sebagai agama kalian.” [TMQ Al Maidah : 3]
Islam sebagai suatu cara hidup mesti diambil secara keseluruhan, tidak boleh mengambil sebahagian sahaja dan sebahagian lagi daripada ajaran lain. Ini jelas melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab(Taurat) dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada seksa yang sangat berat…”
[TMQ Al Baqarah : 85]
Khatimah
Matlamat hidup umat Islam adalah untuk mencapai syurga Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ia hanya dapat digapai apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala meredhai perbuatan-perbuatan kita. Tidak ada perbuatan yang lebih diredhai melainkan aktiviti dakwah dan menyeru kepada perlaksanaan syariat Islam.
Umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan dakyah Barat yang memuji penerapan Islam kontemporari hari ini serta mengeji para pendakwah dengan label-label yang negatif. Kaum Muslimin wajib menyahut seruan-seruan ke arah perlaksanaan syariat Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu pemutus dalam hal yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya” [TMQ An Nisa : 65]
Perhatikan juga Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:
“….Maka hendaklah orang-orang yang menyimpang dari perintahNya berhati-hati terhadap bala bencana dan azab yang pedih yang akan ditimpakan kepada mereka” [TMQ An Nur : 63]
Perjuangan untuk menegakkan negara Khilafah Islamiyyah adalah hal yang sangat mendesak Hanya dengan penegakkannya, syariat Islam akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Kesengsaraan umat Islam samada di dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik tidak boleh diubati dengan hanya menangani kesan-kesannya (symptoms) , tetapi harus terus kepada akar permasalahan yang sebenar – hilangnya Islam dari kehidupan umat hari ini. Semoga Allah menyegerakan berdirinya Daulah ini dan mengembalikan kemuliaan ke atas kaum Muslimin seluruhnya.
Wallahu ‘alam