Kenaikan Nilai Satu Bitcoin

KUALA LUMPUR: Nilai satu bitcoin buat pertama kalinya telah melepasi paras AS$10,000 (RM41,000). Mata wang maya ini mencapai penanda aras penting untuk kali pertama, hanya beberapa hari selepas ia melepasi paras AS$9,000. Ia mencapai peningkatan nilai yang luar biasa untuk mata wang kripto, yang didagangkan di bawah AS$1,000 pada awal tahun ini. Pakar matawang percaya aset itu masih jauh boleh melambung. Ada juga pakar lain yang mengatakan ia mewakili gelembung spekulatif tanpa apa-apa yang ketara di terasnya yang boleh meletupkan masa. (AstroAwani: Rabu, 29 Disember 2017).

Berita penuh: http://www.astroawani.com

Ulasan:

Nilai satu bitcoin buat pertama kalinya telah melepasi paras AS$10,000 (RM41,000). Kenaikan nilai bitcoin yang mendadak ini telah menjadi fenomena di seluruh dunia. Di sebalik fenomena ini, banyak pihak telah melontarkan pendapat mengenai isu ini. Ada yang melihat dari sudut keuntungan semata-mata, ada yang melihat dari sudut implikasi penggunaan matawang ini terhadap pasaran gelap, ada yang melihat matawang ini sebagai saingan kepada matawang sedia ada dan tidak kurang juga yang membahaskan isu ini menurut sudut pandang agama Islam.

Namun satu persoalan yang penting yang boleh kita bahaskan ialah mengapa bitcoin boleh muncul? Bitcoin muncul tidak lain kerana kelemahan matawang sedia ada. Matawang kertas (fiat money) yang digunakan di seluruh dunia ternyata bersifat terikat dengan bank negara di setiap negara. Wang kertas yang dikeluarkan oleh bank negara hanya sah laku nilainya di negara tertentu sahaja serta tidak mempunyai nilai intrinsik.

Namun adakah ini bermakna bitcoin merupakan penyelesaian terbaik? Ternyata Bitcoin juga mempunyai kelemahan seperti ketiadaan nilai intrinsik dan bergantung pada spekulasi semata-mata. Nilai bitcoin juga hanya bertahan selagi tidak ada teknologi yang lebih hebat yang mampu memanipulasi nilainya.

Oleh itu kembalilah kepada penggunaan matawang sandaran emas dan perak yang telah diiktiraf oleh hukum syara’ sejak sekian lama.

Hasbi Tahir
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia