Kenaikan kos sara hidup, lagi-lagi simptom yang cuba dibaiki

Kita sudah lihat tawaran-tawaran penjimatan hebat yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan kepada rakyat untuk menangani masalah kenaikan kos sara hidup seperti menu 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, kedai rakyat 1Malaysia, pemberian BR1M dan seumpamanya. Tidak jauh beza dari itu, muncul pula pandangan daripada pihak pembangkang yang menggesa kerajaan menaikkan gaji rakyat bagi mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup tersebut. Mafhumnya, kerajaan perlu berlaku adil yakni sekiranya kos barangan dan perkhidmatan dinaikkan, maka gaji juga perlu dinaikkan.

Persoalannya, adakah cadangan menaikkan gaji ini akan menyelesaikan masalah? Walhal, penyelesaian mirip seperti ini telah pun dilakukan dengan penetapan gaji minimum pada tahun 2012. Hakikatnya, segala bentuk penyelesaian yang diberikan itu tidak pernah menyelesaikan masalah. Ini kerana kesemuanya hanya mengubati simptom sahaja dan bukannya mengubati punca. Semua kaedah yang mereka rangka tidak pernah dan tidak akan pernah dapat memperbaiki keadaannya, kecuali hanya menjadi ubat bius yang meringankan rasa sakit untuk sementara waktu.

Prinsip dan akar masalah dalam perekonomian kapitalis berpunca daripada kerosakan asas sistem itu sendiri. Sistem Kapitalis ini merupakan ciptaan manusia dan sudah pasti bertentangan dengan Islam dipandang dari aspek mana sekalipun. Dari sudut kewangan, sistem ini cukup rapuh kerana tidak disandarkan kepada emas dan perak sebagai nilai mata wang. Manakala perbankan ribawi yang haram menambahkan lagi kerosakan sistem ini dan umat Islam itu sendiri. Ditambah pula dengan pasaran saham yang penuh dengan spekulatif yakni mengandungi unsur perjudian yang menjahanamkan pada bila-bila masa.

Sistem Kapitalis juga tidak membezakan hak pemilikan yang menjadikan pemerintah berkuasa penuh dan dengan rakus menjadikan pemilikan umum seperti mintak, gas asli dan lain-lain galian sebagai milik peribadi. Segala kekayaan negara yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat, terus menerus dirampas oleh kerajaan, menyebabkan rakyat terus menderita.

Ini berbeza dengan Sistem Islam, yang menjadikan emas dan perak sebagai sandaran nilai kepada mata wangnya, serta melarang segala bentuk transaksi yang berasaskan ribawi. Jika Islam memerintah, segala hak kepemilikan umum yang selama ini dimonopoli oleh swasta mahupun individu-individu tertentu dalam sistem kapitalis akan dikembalikan kepada rakyat, yang akan dikelola dengan sebaiknya oleh Negara sebagai pengatur urusan rakyat dan penjaganya. Negara Islam pula menjamin pendidikan dan kesihatan secara percuma kepada rakyat tanpa sebarang diskriminasi.

Jadi, kesempitan hidup dan kenaikan kos sara hidup yang melanda Malaysia bukanlah hanya tertumpu pada masalah naik atau turunnya harga, atau tidak naiknya gaji di kalangan pekerja itu sendiri. Akan tetapi, ia berpunca daripada sistem ekonomi kapitalis yang mengatur umat saat ini yang sememangnya mendatangkan keburukan dan malapetaka dalam kehidupan. Tanda-tandanya dapat kita lihat di depan mata, kerosakannya pula dapat kita rasakan dalam kehidupan. Apa yang perlu dilakukan oleh umat adalah menolak pemerintah dan sistem yang tidak betul ini dan berjuang untuk menegakkan hukum Allah dalam bingkai Khilafah Islamiyah.