SN427 – Kos Sara Hidup Meningkat: Rakyat Semakin Tersepit Dan Terhimpit

PDF

SN keluaran 8 Mei 2015

[SN427] Sudah lebih sebulan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan. Setakat 30 April 2015, kerajaan, melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan telah mengutip pendapatan haram dari GST sebanyak RM1.3 bilion. Pada 1 Mei lepas, ribuan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan GST telah melakukan demonstrasi di Kuala Lumpur bagi mengutuk tindakan kerajaan yang zalim ini. Namun, sebagaimana diagak, kerajaan terus memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap tuntutan rakyat, kalau pun mereka masih ada telinga dan mata! Sejak sekian lama hingga kini, rakyat bukan sahaja dibebani dengan GST, malah dengan pelbagai jenis cukai, dari segenap sudut. Jika kita ada tanah, maka kita dikenakan cukai tanah; ada rumah, dikenakan cukai pintu; jual tanah dan rumah, dikenakan cukai keuntungan; ada kereta dan motosikal, dikenakan cukai jalan dan tol lagi; ada gaji, dikenakan cukai pendapatan; beli barang-barang dan menggunakan perkhidmatan, dikenakan pula GST dan banyak lagi. Pendek kata, kehidupan kita dikelilingi dengan pelbagai jenis cukai sama ada langsung atau tak langsung!

Punca Kenaikan Kos Sara Hidup

Kenaikan kos sara hidup sudah pasti menyebabkan kuasa beli pengguna jatuh dan sekali gus boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Pendekatan pemulihan dengan subsidi dan lain-lain pakej rangsangan ekonomi negara, sudah tidak mampu memperbaiki keadaan kerana semua ini hanyalah “kosmetik” kerajaan bagi mengurangkan kemarahan rakyat, bukannya untuk memulihkan sistem ekonomi itu sendiri. Menurut kaji selidik Trend Gaji ECA International, pada tahun 2015 kenaikan kadar inflasi akan mencapai paras antara 4% hingga 5% dan para majikan mengunjurkan gaji pekerja di Malaysia naik 5.7% pada 2014 (http://www.mtuc.org.my). Manakala dari segi pendapatan isi rumah pula, hampir 40% daripada isi rumah Malaysia berpendapatan kurang dari RM3000 sebulan (http://www.epu.gov.my). Apa yang pasti, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak mampu ditampung dengan purata kenaikan gaji tahunan yang kurang daripada 6% setahun. Ini belum diambil kira para petani, nelayan, penjaja dan peniaga kecil-kecilan yang pendapatan mereka sentiasa tidak menentu. Lebih dari itu, ramai yang tidak menikmati kenaikan gaji daripada majikan kerana keadaan ekonomi yang merudum, malah ada yang telah dan bakal berdepan dengan kehilangan pekerjaan. Beginilah parahnya keadaan ekonomi negara kini yang sering dipropagandakan oleh kerajaan berada dalam keadaan stabil. Ya, stabil untuk mereka kerana gaji dan elaun mereka puluhan ribu setiap bulan dan sentiasa naik, sedangkan rakyat terus terhimpit!

Selain pemerintah yang zalim, sesungguhnya semua kesengsaraan rakyat ini tidak lepas dari penerapan sistem ekonomi Kapitalisme ke atas kita semua. Dalam sistem ini, bukan cukai sahaja yang menjadikan rakyat semakin tersepit, peningkatan harga bahan api, bahan mentah, barang-barang dapur, yuran persekolahan dan pengajian, tambang, sewa dan banyak lagi sudah tidak terkata menjadikan rakyat terus terbelenggu. Ringkasnya, tekanan demi tekanan yang dihadapi rakyat memang tidak boleh lepas dari sistem yang diamalkan oleh kerajaan, malah sistem ekonomi Kapitalisme inilah yang merupakan punca kepada masalah ekonomi di seluruh dunia. Sistem buatan Barat yang bertentangan dengan wahyu yang diterapkan di Malaysia ini telah gagal menciptakan kemakmuran hidup. Ekonomi Kapitalisme hanya menumpukan gagasan idea kepada aspek kebendaan dan hawa manusia semata-mata tanpa ada campur tangan aspek kerohanian.

Kita tidak perlu menjadi pakar ekonomi untuk memahami bahawa antara faktor kenaikan harga barangan serta perkhidmatan adalah berpunca daripada polisi ekonomi negara yang rosak seperti pelaksanaan cukai, apatah lagi yang terbaru, GST. Walaupun ia dilihat baik oleh pendukung-pendukungnya kerana GST menambah pendapatan negara, namun, apa yang pasti ia turut menambah kesengsaraan rakyat, malah jauh lebih besar! Cukai, dalam bentuk apa sekalipun pun dalam sistem Kapitalisme ini, merupakan suatu yang amat membebankan dan menyakitkan. Kerana itu, tidak hairanlah apabila para tokoh dan institusi agama diperkudakan oleh pemerintah bagi mengurangkan kemarahan dan persepsi negatif masyarakat terhadap percukaian yang jelas haram menurut Islam ini.

Penyelesaian Menurut Islam

Sebagai sebuah ideologi yang syumul, Islam mengatur segenap aspek kehidupan manusia, termasuklah ekonomi. Dalam Islam, pengaturan/politik ekonomi (siyasah iqtisadiyyah) bermaksud “tujuan yang ingin dicapai oleh hukum-hakam yang digunakan untuk memecahkan mekanisme pengaturan pelbagai urusan manusia”. Politik ekonomi Islam juga bermaksud untuk menjamin terealisasinya pemenuhan semua keperluan asas (basic needs) setiap orang secara menyeluruh, kemudian, kemungkinan dirinya untuk memenuhi keperluan kedua (secondary) dan keperluan mewah (tertiary)nya, sesuai dengan kadar kesanggupannya sebagai individu yang hidup dalam sebuah masyarakat yang memiliki corak hidup (life style) tertentu [Sistem Ekonomi Islam, Sheikh Taqiyuddin al-Nabhani].

Melalui sistem ekonomi, Islam telah menetapkan bahawa negara wajib menjamin terpenuhinya keperluan asas setiap individu rakyatnya berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal. Dengan kata lain, negara (pemerintah) akan berdosa dan akan dihisab oleh Allah SWT jika ia mengabaikan hal ini. Pemerintah wajib menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pemakanan bagi memastikan rakyat dapat memenuhi keperluan asas ini. Hal ini penting agar negara tidak semata-mata bergantung pada negara luar (khususnya negara kafir) bagi memenuhi keperluan asas rakyat. Dalam konteks ini, politik pertanian turut memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan produksi makanan dalam rangka memenuhi keperluan warganegara yang terus meningkat dan juga di saat bencana. Lebih dari itu, ia juga menjaga dari berlaku kemungkinan boikot negara-negara kuffar ke atas negeri kaum Muslimin serta ancaman kebuluran di sesetengah negeri Muslim lainnya.

Dalam Islam, tugas negara ialah menjaga dan menunaikan hak rakyat, tidak sebagaimana sistem kapitalis sekarang di mana negara “bertugas” untuk menghisap darah rakyat. Kenaikan kos sara hidup memang tidak boleh dilepaskan dari pengaturan/politik ekonomi (siyasah iqtisadiyyah) yang dimainkan oleh kerajaan. Kerakusan kerajaan menghisap darah rakyat inilah yang menyebabkan naiknya kos sara hidup. Memang benar hukum Islam telah mewajibkan setiap lelaki bekerja sehingga dia dapat memenuhi keperluan asas dirinya sendiri, seterusnya menafkahi mereka yang berada di bawah tanggungannya. Malah lebih dari itu, Islam mengajar jika orang tersebut tidak mampu bekerja (kerana sakit, cacat, tua dan sebagainya), maka kewajipan jatuh ke atas anak-anaknya serta ahli warisnya untuk memenuhi keperluan asasnya. Bahkan Islam turut mewajibkan (secara sementara) kepada jiran-jiran untuk memenuhi keperluan asas tetangganya.

Firman Allah SWT,

“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya dan ahli waris pun berkewajipan demikian…” [TMQ al-Baqarah (2):233].

Rasulullah SAW bersabda,

“Tidak beriman kepadaku, tidak beriman kepadaku, tidak beriman kepadaku, orang yang pada malam hari tidur dalam keadaan kenyang sementara tetangganya kelaparan dan dia mengetahui hal tersebut” [HR al-Bazzar].

Jika mereka yang wajib menanggung nafkahnya tidak ada atau tidak mampu, maka negaralah yang wajib memenuhinya sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Seorang pemimpin itu adalah pemelihara dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari dan Muslim].

Namun demikian, jika negara berterusan mengenakan pelbagai cukai dan merampas segala harta yang dimiliki rakyat, maka sudah pasti bebanan rakyat dan kos hidup semakin meningkat!

Dalam sebuah Negara Islam (Khilafah), siyasah iqtisadiyyah negara tidak akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup sehingga membebankan. Ini kerana Khilafah, bukan sahaja tidak akan merampas hak rakyat yang diharamkan oleh Allah, sebaliknya akan menunaikan kesemua hak rakyat yang akan dengan sendirinya meringankan segala beban. Contohnya, pendidikan, keselamatan dan kesihatan merupakan tiga perkara yang menjadi hak kolektif rakyat yang wajib disediakan oleh negara secara percuma. Bukan sahaja percuma, malah Khilafah wajib menyediakan infrastruktur dan kemudahan serta tenaga kerja yang cukup bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Ini adalah sebahagian daripada tugas pemerintah selaku “khadam” kepada rakyat, sebagaimana yang telah diperintahkan, malah telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri,

“Pemimpin suatu kaum adalah khadam (pelayan) mereka” [HR Abu Nu‘aim].

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melayani orang di bawah kepimpinannya dengan layanan yang sungguh luar biasa, tidak pernah menyakiti mereka, apatah lagi menyebabkan mereka sengsara. Tetapi kini, pemimpin kita menyakiti kita dengan sungguh luar biasa!!!

Selain pendidikan, keselamatan dan kesihatan percuma, harta milik umat seperti minyak, gas asli dan sumber alam lainnya, akan dikelola oleh negara dan hasilnya akan diagihkan kepada setiap warganegara. Negara akan sentiasa meneroka dan mengembangkan (research and development) sumber ini bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan warganegara sentiasa terpelihara. Sekiranya kerajaan menerapkan hukum Allah dalam hal ini, kita ambil contoh keuntungan Petronas sahaja (untuk 9 bulan berakhir 30 September 2014) yang berjumlah sebanyak RM78 billion, jika diagihkan kepada semua rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta, maka setiap individu akan mendapat hak mereka sebanyak RM2785 seorang. Ini baru hasil Petronas, belum lagi hasil sumber alam yang lain.

Selain itu, siyasah iqtisadiyyah Islam memastikan kekayaan negara akan sentiasa berputar dan dinikmati oleh masyarakat, tidak hanya bertompok pada segelintir individu sebagaimana sistem Kapitalis. Allah SWT mengharamkan penimbunan emas dan perak (wang) melalui firmanNya yang cukup tegas,

“Orang-orang yang menimbun emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan Allah, beritahulah mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. Pada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka Jahanam, lalu dibakar dengannya dahi, lambung dan belakang mereka” [TMQ al-Taubah (9):35].   Sistem Kapitalisme yang lahir dari ‘rahim’ sekularisme ini telah mencipta jurang kekayaan yang melampau antara si kaya dan si miskin kerana sistem ini hanya dicipta untuk berpihak kepada para pemilik modal. Lihat sahaja gabungan kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia menerusi nilai aset tersenarai mereka sehingga 16 Januari 2015 yang meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM236.56 bilion daripada RM217.82 bilion tahun sebelumnya. Peningkatan sebanyak RM18.74 billion ini adalah bersamaan dengan pendapatan sebanyak 520,555 isi rumah (yang berpendapatan RM3000 sebulan) dalam masa setahun. Kepincangan ekonomi ini terhasil antaranya kerana harta milik umum dikaut dan dijadikan milik individu/syarikat yang dikuasai oleh para kapitalis (pemilik modal). Monopoli rantaian keperluan asas oleh para kapitalis menjadikan harga barangan dan perkhidmatan berada dalam kawalan mereka, yang seterusnya menyengsarakan rakyat dan dalam masa yang sama mengayakan lagi golongan pemilik modal ini yang termasuk di dalamnya para pemimpin negara!

Islam tidak melarang penganutnya menjadi kaya, tetapi ia hendaklah dengan cara yang betul (syarie), bukannya dengan merampas harta orang lain atau harta milik umum secara batil, sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin sekarang. Apabila kekayaan itu telah diperolehi dengan cara yang halal, maka Islam memperuntukkan satu lagi mekanisme bagi memastikan kesejahteraan umatnya yakni dengan kewajipan berzakat, yang diwajibkan ke atas orang kaya kepada lapan asnaf sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran.

Malangnya di Malaysia, pengagihan zakat yang tidak betul menyebabkan masih ramai golongan fakir miskin yang tidak terbela. Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan yang jumlah kutipan zakat semakin meningkat dari tahun ke tahun dan mencecah RM2 bilion pada tahun 2014. Selangor mencatatkan jumlah pungutan zakat tertinggi dari tahun 2001 hingga 2010, dengan kutipan mencecah RM1.69 bilion, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan pungutan zakat melebihi RM1 bilion dalam tempoh yang sama. Dengan jumlah zakat sebanyak ini, sepatutnya tidak ada lagi rakyat yang berada di bawah paras kemiskinan. Persoalannya, ke manakah wang zakat sebanyak ini dibelanjakan?

Dalam Islam, beban untuk menanggung kos sara hidup bukan hanya terletak di bahu setiap individu semata-mata, tetapi dimulai dengan pelaksanaan siyasah iqtisadiyyah oleh negara yang akan menjamin rakyat mampu untuk memenuhi segala keperluan hidup mereka. Kerana itu, apabila negara telah mengusahakan pemenuhan keperluan tersebut melalui penerapan sistem ekonomi Islam serta memikul tugas melayani umat dengan sebaiknya, lalu disertai dengan setiap individunya bekerja untuk mencari rezeki, maka Insya Allah rakyat tidak akan tersepit dan terhimpit dengan kos sara hidup, sebaliknya akan hidup dalam kesejahteraan dan kemakmuran.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kita telah menyaksikan dan merasainya sendiri, bahawa sudah tidak ada jaminan lagi untuk kita hidup dengan sejahtera, aman dan sentosa di negara sekular yang tidak menerapkan Islam. Namun demikian, haram untuk kita hanya berdiam diri, apatah lagi berputus asa dengan segala kezaliman yang ditimpakan ke atas kita ini. Justeru, ayuhlah berusaha bersama dengan Hizbut Tahrir bagi mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwah, yang hanya dengannya sahajalah, hukum Allah akan diterapkan secara kaffah dan kehidupan kita dilimpahi dengan nikmat, berkat dan rahmatNya, Insya Allah.

Wallahu a’lam.