Kenaikan pendapatan isi rumah tidak menjanjikan kesejahteraan ekonomi

PUTRAJAYA: Kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah penengah di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus daripada RM4,585 pada 2014 kepada RM5,228 pada tahun lalu.

Selain itu, kata Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pendapatan isi rumah bulanan purata bagi Malaysia pula meningkat 6.2 peratus kepada RM6,958 pada 2016 daripada RM6,141 semasa 2014.

“Kadar kemiskinan pada 2016 susut kepada 0.4 peratus berbanding 0.6 peratus dua tahun sebelumnya, kadar kemiskinan juga bertambah baik di bandar dan luar bandar, masing-masing pada kadar 0.2 peratus dan satu peratus.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my


Ulasan:

Tahun 2017 semakin hampir ke penghujungnya dengan hebahan daripada berita menyatakan bahawa kadar kenaikan pendapatan isi rumah bulanan di Malaysia semakin meningkat dalam setiap golongan iaitu kumpulan terendah 40 peratus (B40), kumpulan pertengahan peratus (M40), dan kumpulan tertinggi 20 peratus (T20).

Namun begitu, perkara pokok yang perlu dilihat dalam situasi ini mengikut kepada pakar ekonomi, selain daripada pendapatan yang meningkat, kadar perbelanjaan seisi rumah juga perlu dititiberatkan supaya selari dengan pertumbuhan pendapatan.

Kenaikan harga makanan dan perkhidmatan disebabkan oleh gabungan daripada kejatuhan nilai ringgit, inflasi dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 2014 telah menunjukkan secara langsung bahawa faktor-faktor tersebut telah melemahkan kuasa beli sebenar dalam sesebuah isi rumah.

Melihat kepada faktor inflasi, mengikut rujukan daripada Bank Negara Malaysia, jika dibuat perbandingan antara negeri, isi rumah di Kuala Lumpur mengalami kadar inflasi tertinggi 2.8% pada tahun 2016, lebih tinggi berbanding daripada purata inflasi kebangsaan 2.1%. Menurut kepada data daripada Laporan Jabatan Statistik Gaji dan Upah, pada 2016 upah median (wage in the middle) adalah RM2,000 sebulan, meningkat sebanyak 3% daripada RM1,942 pada 2015. Jika dibandingkan dengan kadar inflasi tersebut boleh dikatakan kenaikan upah sebenar hanya meningkat sebanyak 0.2% sahaja di kawasan Kuala Lumpur dan 0.9% bagi kawasan yang lain.

Selain itu, kadar perbelanjaan turut meningkat disebabkan oleh ketidaktentuan harga minyak dan secara tidak langsung para peniaga lebih mudah menjadikan ia sebagai faktor kenaikan harga sesuatu barang meningkat secara mendadak. Faktor-faktor lain yang perlu dilihat dalam kenaikan perbelanjaan ialah disebabkan oleh kejatuhan nilai matawang ringgit. Spekulasi penurunan harga minyak dunia menyumbang faktor tertinggi berlakunya kejatuhan nilai matawang. Kesan kejatuhan tersebut secara relatifnya meningkatkan harga barangan import.

Terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang meningkatkan kadar perbelanjaan isi rumah dan secara puratanya peningkatan tersebut tidak selari dengan kadar kenaikan pendapatan isi rumah bulanan terutama bagi golongan B40 dan sebahagian golongan M40. Langkah-langkah yang sangat drastik perlu diambil oleh rakyat secara amnya dan negara khususnya bagi menangani masalah ekonomi ini.

Pihak kerajaan mestilah lebih telus dalam memberikan fakta-fakta supaya rakyat lebih berjaga-jaga dalam mengurus kewangan dalam sesebuah institusi keluarga. Penyelesaian ekonomi yang menjurus kepada sistem ekonomi Islam perlu diketengahkan secara menyuluruh supaya keseimbangan ekonomi negara lebih terjamin.

Yusri
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia