Konferens Sistem Ekonomi Islam Berikan Penyelesaian Masalah Ekonomi Semasa

KUALA LUMPUR 11 Nov – Bertempat di Auditorium SJKC Wangsa Maju, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini mengadakan Konferens Sistem Ekonomi Islam sebagai kemuncak kepada Kempen Kenali Sistem Ekonomi Islam yang telah dilancarkan sejak tiga bulan lepas.

Konferens ini membariskan tiga ahli panel yang terdiri daripada gabungan pimpinan pusat HTM dan juga HTI (Hizbut Tahrir Indonesia).

Pimpinan Pusat HTM, Ust Mu’adz Abu Thalhah yang menjadi pembicara pertama mengupas tentang masalah kenaikan kos sara hidup yang ditanggung oleh majoriti rakyat hari ini yang berpunca daripada penerapan sistem ekonomi kapitalis. Penggunaan matawang fiat yang diperkenalkan oleh kapitalisme telah menimbulkan pelbagai krisis dan inflasi sehingga menyebabkan nilai wang semakin hari semakin mengecil dan harga barang semakin hari semakin naik. Beliau kemudiannya menjelaskan tentang matawang menurut sistem ekonomi Islam iaitu dinar dan dirham, kelebihan dan keunggulannya, serta kewajipan umat Islam mengembalikannya berdasarkan tuntutan syara’, yang akan dapat menyelesaikan salah satu daripada punca utama kenaikan kos sara hidup.

Ust Abdul Hakim Othman yang juga merupakan Jurucakap HTM mengambil tempat kedua untuk membicarakan tentang kenaikan harga rumah yang melambung di Malaysia sekarang ini sehingga ramai yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri dan jika dapat pun terpaksa menyalurkan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan hanya untuk membayar ansuran rumah bahkan tak kurang juga ramai warga kota hari ini telah menjadi gelandangan. Dengan paparan yang simple dan ringkas, beliau menunjukkan punca dan penyelesaian terhadap isu tersebut serta perbezaan di antara sistem kapitalis dan sistem Islam dalam menguruskan salah satu daripada keperluan asas manusia itu. Sungguh jelas bagaimana Islam dapat menyelesaikan permasalahan tersebut dengan sangat mudah tetapi sayangnya masih ramai umat Islam yang masih belum menyedarinya.

Perbincangan konferens diakhiri dengan Ust Dr. Dwi Condro Triono yang membentangkan bagaimana sistem ekonomi kapitalisme yang pada teorinya dicipta untuk menyelesaikan masalah, tetapi hakikatnya menjadi punca kepada seluruh masalah ekonomi dan penindasan yang berlaku. Pakar ekonomi perbandingan itu, yang juga merupakan Pimpinan Pusat HTI menjelaskan kegagalan ekonomi berteraskan “syariah” yang cuba menyelesaikan masalah yang diciptakan oleh kapitalisme, kerana apa yang dilakukan oleh mereka dengan segala bentuk “skim dan perbankan syariah” tidak lebih daripada menjenamakan semula kapitalis dengan nama Islam, yang akhirnya memberi talian hayat kepada sistem ekonomi kapitalis yang sedang menuju kehancuran.

Pemegang Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu seterusnya menjelaskan dengan panjang lebar bagaimana sistem ekonomi Islam akan membawa keadilan dan kesejahteraan kepada dunia dan apa yang diperlukan ialah sebuah Negara Islam (Khilafah) yang akan menerapkannya secara keseluruhan. Beliau seterusnya mengajak seluruh hadirin dan hadirat untuk bersama-sama dengan Hizbut Tahrir dalam usaha menegakkan Khilafah yang merupakan satu-satunya kekuatan politik umat Islam yang dapat mengeluarkan umat ini daripada segala kesengsaraan yang diciptakan oleh Kapitalis.

Konferens seterusnya dibuka kepada sesi soal-jawab sebelum diakhiri dengan bacaan doa penutup sekitar jam 1.15 petang.