Model Ekonomi Baru = Model Ekonomi Lama = Sistem Ekonomi Kapitalisme

Bantu pulih ekonomi

JERLUN 6 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara tanpa bergantung model ekonomi lama.  Sehubungan itu katanya, mereka perlu bekerjasama dengan  kerajaan Barisan Nasional (BN).   “Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbincang bagaimana model ekonomi baru boleh membantu meningkatkan pertumbuhan,” katanya pada Majlis Perjumpaan dan Sumbangan Limau Sempena Tahun Baru Cina di Dewan SRJK Chung Hwa, Kodiang di sini, hari ini.  Sementara itu, Muhyiddin turut umumkan peruntukan RM200,000 kepada SRJK Chung Hwa untuk membina kemudahan di sekolah itu.

Sumber: Utusan Malaysia 07/02/10

Model Ekonomi Baru = Model Ekonomi Lama = Sistem Ekonomi Kapitalisme

Nampaknya TPM cuba untuk terus “menggula-gulakan” atau dengan bahasa kasarnya “memperbodohkan” rakyat dengan menggembar-gemburkan  isu model ekonomi baru yang diperkenalkan oleh PM yang dikatakan boleh meningkatkan pertumbuhan  tanpa negara perlu bergantung kepada model ekonomi lama. Persoalannya ialah, secara faktanya sistem ekonomi yang diterapkan oleh Malaysia hari ini masih tetap sama iaitu sistem ekonomi Kapitalisme yang berasakan kepada riba dan judi, sistem ekonomi yang dihadiahkan oleh penjajah sebelum mereka keluar dari Malaysia 52 tahun yang lepas. Cuma apabila muncul dan bergantinya kepimpinan pemerintahan negara dari seorang pemimpin kepada seorang pemimpin yang lain maka para pemimpin yang baru ini akan pasti melakukan propaganda baru untuk mewujudkan “public opinion” di kalangan rakyat dengan menggambarkan bahawa polisi yang digunapakai oleh pemimpin tersebut merupakan pendekatan yang hebat.

Hakikatnya selama mana sistem yang digunakan adalah sistem kapitalis, sistem ciptaan akal manusia yang bersifat terbatas, saling bergantung dan terpengaruh kepada persekitaran, maka selama itulah ia akan terus gagal.  Sistem ekonomi ini gagal membezakan hakikat ilmu dan sistem ekonomi. Ilmu ekonomi membahas dan membincangkan persoalan bagaimana meningkatkan produksi, mekanisasi dan hal-hal teknikal yang dapat diterima, diolah dan dimiliki oleh siapapun serta bersifat neutral. Ini berbeda dengan sistem ekonomi yang terkait dengan pandangan hidup tertentu dan bergantung kepada jenis mabda ataupun ideologi yang dijadikan sandaran.

Wahai Muhyiddin! Apakah kamu tahu bahawa sistem ekonomi yang kamu dokong dan sokong pada hari ini adalah sistem ekonomi yang lahir dari akal manusia seperti Marx, Engels, Lenin, Trotsky, Smith, Bentham, Mill, Rousseau, Ricardo, Locke dan pemikir lainnya. Sedangkan sistem ekonomi Islam sumbernya adalah al-Quran dan as-Sunnah. Wahai TPM! Maka mana mungkin dan amatlah tidak layak dan tidak wajar sebagai seorang Muslim yang memegang kekuasaan pada hari ini untuk terus bersekongkol dengan segala bentuk kemungkaran dan kerosakkan yang dihasilkan oleh sistem ekonomi Kapitalisme. Apakah tidak cukup kita menyaksikan Amerika pada hari ini, yang merupakan sebuah negara kuasa Kapitalisme besar dunia, sehingga ke saat ini masih gagal untuk menyelesaikan kemelut ekonominya sendiri. Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran dari keadaan ini? Amat malang bagi umat Islam yang memiliki para pemimpin sekular seperti hari ini.