Malaysia keluar perangkap ekonomi pendapatan sederhana?

Malaysia dikatakan telah mula keluar daripada perangkap ekonomi pendapatan sederhana terutamanya sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan pada tahun 2010 yang antara lain telah memperlihatkan peningkatan jumlah pelaburan yang tinggi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, sebelum ini jumlah pelaburan bertambah pada lingkungan 6.7 peratus setahun, namun pada tahun 2011, peningkatan sebanyak 12.2 peratus telah dicatatkan dan pada tahun 2012 pula ia meningkat sebanyak 22 peratus.

“Maknanya kita sudah mula keluar daripada middle-income economy trap’ (perangkap ekonomi pendapatan sederhana). Trap bermakna (peningkatan) pelaburan 6.7 peratus (sebelum ini), sekarang sudah 12 hingga 22 peratus,” kata beliau pada majlis Sambutan Hari Hasil ke-17 dan Pelancaran Hasil 4U di sini, hari ini.

Ahmad Husni berkata, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara juga berada pada tahap AS$10,075 berbanding sasaran yang ditetapkan untuk 2012 iaitu sebanyak AS$8,960.

Beliau berkata, hasrat untuk menjadikan negara ini berpendapatan tinggi iaitu dengan PNK per kapita sebanyak AS$15,000 juga boleh dicapai menjelang 2018, iaitu dua tahun lebih awal daripada sasaran pada 2020 berdasarkan pencapaian sekarang.

Persoalannya, adakah dengan meningkatnya pelaburan dalam negara akan menyebabkan meningkatnya kesejahteraan dan kemakmuran rakyat? Adakah dengan petunjuk ekonomi kapitalis ini akan benar-benar meningkatkan ekonomi masyarakat seluruh rakyat Malaysia? Atau hanya untuk segelintir golongan para kapitalis sahaja?

Apa yang kita sedang saksikan pada hari ini adalah dengan meningkatnya pendapatan, pada masa yang sama harga barang-barang juga meningkat, harga rumah juga meningkat, harga kereta juga meningkat, malah daya beli matawang pula semakin menjunam menurun. Ini pada hakikatnya tidak membawa sebarang natijah yang bermakna, jauh sekali untuk memakmurkan rakyat. Sedangkan hukum syarak dalam menguruskan negara terutamanya dari segi aspek ekonomi mementingkan pelayanan keperluan asas manusia seperti makan minum, pakaian dan perumahan serta keperluan asas masyarakat seperti kesihatan, pendidikan dan keamanan yang mempunyai kayu ukur ekonomi yang jauh berbeza sama sekali daripada sistem kapitalis mahupun sosialis.

Yakinlah kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan jika sekiranya penduduk sesebuah kampung beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan membukakan ke atas mereka keberkatan daripada langit dan bumi.” [TMQ Al A’raf (: 96]

Yang dimaksudkan dengan beriman di dalam ayat ini adalah penyerahan diri kepada ketentuan Allah dalam segala aspek kehidupan iaitu dengan kehidupan Islam. Ini termasuklah perlaksanaan hukum syarak dalam seluruh aktiviti yang berkaitan dengan ekonomi. Maka sepatutnya para menteri ini berasa sedih dan takut akan kemurkaan Allah kerana mereka masih belum berjaya untuk menerapkan sebarang hukum syarak dengan kuasa yang ada pada mereka. Mereka sepatutnya merasa bimbang kerana segala perbuatan mereka dalam menguruskan ekonomi negara akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak. Bagi sesuatu masyarakat yang bertaqwa, Allah telah menjanjikan bahawa berkat dan rahmatNya akan sentiasa dilimpahkan dalam setiap perkara yang mereka lakukan atau perjuangkan.

Sumber: Utusan Malaysia, 02/03/13