Dilema Negara-Bangsa Eropah
Dilema Negara-Bangsa Eropah
(Terjemahan)
Hasil referendum UK telah memberikan tamparan yang hebat kepada asas perpaduan Eropah dan visi sebuah benua yang terdiri daripada berbagai negara bangsa yang mampu menangani cabaran serantau dan global dengan cara yang koheren dan bersatu. Kredibiliti Eropah telah hancur berkecai sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan kegagalan Kesatuan Eropah untuk merumuskan dan mempertahankan dasar bersama untuk menangani puluhan ribu pendatang asing ekoran daripada konflik di Syria.
Kurangnya piawai (standard) hak kemanusiaan walaupun dalam bentuk yang paling asas menyebabkan negara-negara Eropah memungkiri janji sebelum ini untuk menjaga pendatang asing yang melarikan diri daripada penganiayaan. Sempadan dan kawasan penyeberangan telah ditutup sesuka hati yang menyebabkan para pendatang terkepung dan terkurung seperti haiwan di Greece dan Calais. Di Britain, mereka yang telah diberikan perlindungan dipaksa untuk memakai ban-lengan untuk menunjukkan asal-usul ‘asing’ mereka; Denmark telah membenarkan hukuman ke atas ‘pencuri’ dengan undang-undang yang membenarkan pihak berkuasa untuk merampas wang tunai dan barangan berharga milik para pendatang asing dan ramai di antara mereka mendapat layanan yang menghinakan, tidak ubah seperti penjenayah dengan gambar dan cap jari mereka diambil secara rutin.
Usaha EU dalam aspek perpaduan mengenai isu yang lebih luas juga telah gagal selama ini di mana negara anggota sanggup menjual kepentingan bangsa sendiri demi mendapatkan tempat dalam gabungan Eropah. Kegagalan pesawat Eurofighter, sebuah usaha kerjasama antara UK, Itali, Sepanyol dan Jerman pada tahun 1980 (Perancis tidak lama kemudian menarik diri) telah mengalami konflik antara keutamaan nasional dan kemarahan yang akhirnya mengakibatkan kenaikan kos, kelewatan yang tidak berkesudahan dan tiada produk terhasil daripadanya. Sebuah Tentera Eropah, mula disebut-sebut pada tahun 1990 sebagai tentangan terhadap NATO, tidak membawa apa-apa erti. Perkembangan Perlembagaan EU, dengan kuasa yang lebih besar di tangan parlimen Eropah, tidak pernah disahkan oleh negara anggota. Dalam aspek ekonomi, negara yang paling berkuasa di Eropah, Jerman, tidak menunjukkan sebarang sikap belas kasihan terhadap krisis hutang Greece, sebagai pemiutangnya yang berkeras untuk pembayaran balik pinjaman dengan syarat-syarat yang lebih ketat walaupun menimbulkan bahaya yang besar kepada Greece sebagai rakan EU dan sebuah negara Eropah.
Di Eropah, krisis pendatang asing telah memperlihatkan satu per satu negara meletakkan pelbagai halangan untuk mencegah pendatang asing daripada memasuki wilayah mereka atau memindahkan mereka dengan paksaan bagi yang berjaya memasukinya pada peringkat awal. Komitmen untuk memberikan laluan dan perjalanan yang selamat kepada pendatang begitu mudah ditamatkan umpama perjanjian yang dikoyak-koyakkan. Perjanjian Schengen, secara nominalnya adalah untuk membolehkan pergerakan bebas rakyat EU di dalam sesetengah negara Eropah yang tertentu, telah dipinda untuk membolehkan pemeriksaan bukan sahaja ke atas orang bukan-EU tetapi kepada semua rakyat dengan meningkatkan pengawasan dan pemeriksaan sempadan. Tambahan lagi, beberapa negara telah mengenakan semula kawalan sempadan untuk menghalang kemasukan pendatang asing, yang telah melanggar peraturan Schengen dengan memberi alasan ‘keadaan luar biasa’.
Bangsa ini yang suatu ketika dahulu dilihat berlemah-lembut terhadap pendatang asing telah tunduk kepada semangat kebangsaan dan membina pelbagai macam langkah untuk mengurangkan bilangan pendatang asing, dengan niat melempar keluar masalah pendatang asing dari Eropah. Perjanjian EU-Turki pada Mac 2016 yang diusahakan oleh Jerman untuk membawa pulang pendatang asing di Greece kembali ke Turki, dan mewujudkan halangan kemasukan pendatang secara de facto ke Eropah, hanya ditandatangani melalui rasuah terang-terangan sebanyak 6 bilion Euro kepada Turki dan hak visa untuk rakyat Turki.
Tidak dinafikan, kebanyakan layanan oleh masyarakat Eropah terhadap pendatang asing telah didorong oleh fahaman perkauman yang melampau, prejudis dan xenofobia yang disebarkan oleh kerajaan di Eropah. Sesetengah orang memberikan alasan penutupan sempadan Eropah adalah sebagai mempertahankan nilai-nilai Eropah dari Islam dan bertindak sebagai benteng terhadap umat Islam. Walau bagaimanapun, ini hanyalah sedikit dari penjelasan bagaimana Eropah bertindak dalam menangani masalah tersebut.
Punca perpecahan Eropah dalam menangani krisis pendatang asing adalah disebabkan oleh percanggahan yang lebih besar dalam kesatuan politik negara bangsa. Nasionalisme yang dipegang dengan mendalam di Eropah bermakna rakyat mengharapkan undang-undang dan kerajaan untuk memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyatnya – England untuk orang Inggeris dan Perancis untuk orang Perancis dan seterusnya.
Pelbagai kerajaan di Eropah dengan begitu mudah menggunakan EU sebagai pihak tertuduh untuk melemparkan rasa tidak puas hati rakyatnya di atas kegagalan dasar domestik mereka sendiri. Isu pendatang asing justeru menonjolkan lagi ketegangan yang wujud dalam memelihara sempadan dan kepentingan negara terhadap peningkatan bidang kuasa institusi dan perundangan supranasional – maka muncullah perdebatan berkaitan penyerahan kuasa membuat keputusan kepada pihak lain.
Kadangkala kuasa autonomi negara terpaksa diserahkan dengan rasa berat hati, seperti ketundukan Eropah Barat kepada Amerika di bawah NATO sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, sebagai satu keperluan kerana kekurangan sumber tentera atau kewangan.
Tidak dapat tidak, kompromi seumpama itu membawa kepada rasa tidak puas hati dalam politik dan berlakunya perselisihan antara mereka yang ingin merampas kembali kawalan berbanding mereka yang mempunyai keinginan untuk terus menyerah kuasa kepada institusi Eropah atau yang lain. Undi Brexit di UK dalam referendum tersebut, dalam bahasa yang mudah, adalah satu ujian antara dua visi yang sedang bersaing. Satu pihak menginginkan integrasi politik dan ekonomi yang lebih besar [‘sebuah Kesatuan Eropah’] dan pihak yang lain hanya menginginkan hubungan perdagangan di antara satu sama lain dengan kawalan sempadan dan undang-undang [‘sebuah Negara-Bangsa Eropah’] mereka sendiri.
Bagi Barat, dilema ini tidak pernah diselesaikan sepenuhnya dan telah berkumandang selama berabad-abad sejak pembangunan awal kapitalisme dan model negara-bangsa; iaitu sebuah kekuasaan yang mewakili sekumpulan mereka yang berkongsi warisan linguistik atau etnik yang tinggal di suatu wilayah tertentu. Negara tersebut bertindak demi kepentingan kumpulan ini, dan menghasilkan undang-undang untuk melindungi kepentingan mereka (undang-undang buatan manusia). Oleh itu, negara kapitalis akan sentiasa menghadapi pelbagai masalah ketika berfungsi di dalam mana-mana institusi pan-nasional atau dalam kerjasama dengan negara lain, dan kadangkala semasa krisis politik, kegagalan akan sentiasa menjuruskan negara ke arah mempertahankan warganegaranya serta kepentingan diri sendiri dengan apa cara sekalipun, yang mengakibatkan kesengsaraan dan perpecahan seperti mana yang kita lihat di Eropah.
Namun, jika idea Perpaduan Eropah ini runtuh, tidak bermakna perpaduan telah mati bagi setiap manusia lain.
Islam, dan sistem politiknya, Khilafah, menangani pelbagai isu dengan garis panduan yang jelas mengenai bagaimana perpaduan di dalam negara dikekalkan. Berbeza dengan perpecahan yang berterusan di Eropah, hubungan antara wilayah dengan Khalifah adalah seimbang bagi memenuhi keperluan setiap kawasan serta memenuhi tuntutan Pusat.
Pertama, sistem Islam adalah sebuah kesatuan yang bermaksud bahawa wilayah dan para pemerintah mereka [wali] bukanlah terdiri daripada negara kecil yang ‘bebas’ dalam sistem politik yang lebih besar. Mereka bukanlah negara ‘mini Khilafah’ yang bergabung membentuk negara Khilafah yang lebih besar. Analogi dengan model negara bangsa kapitalisme sememangnya tidak sesuai; oleh itu percanggahan yang dihadapi oleh negara Eropah di mana mereka perlu mengimbangi pemeliharaan undang-undang, adat dan tradisi mereka sendiri dengan pihak yang memaksa dan memerintah mereka, tidak berlaku dalam Khilafah.
Kedua, Islam melahirkan undang-undang untuk menjaga hal ehwal semua manusia, tanpa mengambil kira latar belakang etnik atau agama mereka, oleh itu tidak akan berlaku ketegangan antara wilayah.
Pada dasarnya, gabenor wilayah (para Wali), merupakan wakil Khalifah di mana sebahagian kuasa Khalifah diturunkan kepada mereka. Oleh itu, mereka bukanlah lawan atau pesaing kepada Khalifah dan undang-undang syariah yang diterapkan dalam negara Khilafah berlaku di semua wilayah. Pemahaman seperti inilah yang membolehkan sistem Islam diguna pakai dalam waktu yang cukup lama merangkumi pelbagai jenis kaum, bahasa dan latar belakang manusia.
Pada masa yang sama, struktur (pentadbiran) Khilafah adalah struktur tidak berpusat dengan pentadbiran yang diwakilkan kepada peringkat tempatan untuk memastikan kemudahan dan keberkesanan penjagaan hal ehwal rakyat. Setiap satu daripada wilayah tersebut mempunyai Majlis al-Wilayah yang dipilih supaya orang ramai boleh membangkitkan pelbagai isu dan aduan. Tahap bidang kuasa yang diberikan kepada Wali oleh Khalifah adalah mengikut budi bicara Khalifah dan boleh dilentur agar pemerintahan di sesebuah wilayah boleh dihadkan kepada fungsi tertentu atau diluaskan dengan lebih besar jika diperlukan.
Sempadan kawasan dalam negara Khilafah akan ditetapkan berdasarkan geografi tetapi jika kawasan tertentu menjadi pusat persaingan kuasa kepada Khalifah, seperti yang pernah berlaku dalam sejarah Islam, atau bertindak sebagai kubu pemberontakan, maka kuasa eksekutif Khalifah membolehkannya mengambil tindakan segera terhadap Wali atau dalam pelbagai pengurusan kawasan/wilayah tersebut.
Pengajaran daripada kegagalan EU dalam menangani krisis pendatang asing yang akhirnya menimbulkan pelbagai masalah nasionalisme seharusnya tidak menyebabkan kaum Muslimin menjadi gusar. Dunia Barat akan sentiasa mengalami pertembungan – terutamanya pertembungan di antara model negara-bangsa dan institusi pan-nasional. Model perpaduan atas dasar Islam dibentuk atas asas yang jauh berbeza dari itu dan model yang dimaksudkan, Khilafah, akan sekali lagi akan menjadi pegangan bagi seluruh umat manusia.