Seruan Negara Bangsa

ALOR SETAR 21 Mei – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah, golongan guru dan pemimpin negara perlu memikirkan mengenai pembinaan negara bangsa yang berteraskan perpaduan yang mendalam.
Baginda bertitah, pembinaan negara bangsa itu bukan sekadar bersifat lahiriah sahaja, namun ia mesti berdasarkan prinsip saling menghormati dan menghargai sesama sendiri.

”Bagi membina negara bangsa yang berdaulat dan merdeka, para guru perlu berani melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan bekerja.

”Oleh itu, guru-guru perlu memperkasakan ilmu pengetahuan, kaunseling, kepimpinan dan pengurusan,” titah baginda ketika berucap pada majlis perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

[Sumber : Utusan Malaysia 22/05/09]

Masih modal lama, di takuk lama. Masih tak keluar dari permasalahan. Itulah yang boleh digambarkan melalui seruan untuk terus tetap dengan konsep negara bangsa (nation state). Konsep politik dan minda yang tertutup ini melahirkan paradigma berfikir yang tercorot. Ia bertentangan dengan kemajuan baik kebendaan (material) mahupun pemikiran. Bayangkan selama ini Malaysia telah terperuk dengan konsep tersebut, apakah pencapaian (kemajuan) yang ia miliki? Inilah sebenarnya punca permasalahan kepada kemajuan yang dimaksudkan.

Dari aspek hukum pula, haram bagi umat Islam menduduki suatu wilayah yang terputus secara diplomatik mahupun politik. Malaysia dan lain-lain negeri kaum Muslimin dengan perlembagaan masing-masing mengenepikan kesatuan yang seharusnya menjadi asas kepada ikatan persaudaraan umat. Tidakkah ini menzahirkan perpecahan di kalangan umat Islam? Padahal kita adalah satu umat!

Seruan negara bangsa ini merupakan picisan dari seruan-seruan jahiliyyah berbentuk wataniyyah (patriotisme) yang diharamkan oleh Islam secara mutlak. Walhasil, kita telah dan sedang melalui zaman kemunduran kerana masih dijajah dengan pemikiran serta politik jahiliyyah. Seruan-seruan seperti ini perlu dijauhi. Kita perlu segera bangun dengan pemikiran Islam, yang pastinya akan menyatukan semula seluruh wilayah dan umat kepada kesatuan yang diwajibkan ke atas kita – kehidupan Islam di bawah naungan Khilafah Rasyidah kedua kalinya; suatu yang difardhukan dan dijanjikan-Nya.