SN068 – HARI BURUH – Ilusi Kapitalisme

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN



[SN068] 1hb Mei, Hari Buruh Sedunia. Malaysia juga tidak terkecuali saban tahun meraikannya. Kali ini, ia disambut dengan tema “Pekerja Cemerlang Negara Terbilang”; sekali lagi untuk memenuhi hasrat pembangunan modal insan berminda kelas pertama [Utusan Malaysia, 1 Mei 2006]. Di dalam perutusannya, Perdana Menteri mengiktiraf serta mengakui golongan pekerja sebagai aset terpenting negara, menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Dalam penghayatan sambutan Hari Buruh ini, mungkin ramai di antara kita yang tidak mengetahui asal usul mengapa ia disambut; malah mungkin ramai juga yang tidak tahu mengapa 1hb Mei dipilih sebagai Hari Buruh.

Sebagai umat Islam, kita haruslah peka terhadap sebarang pemikiran dan pegangan yang wujud dalam kehidupan kita sehari-hari. Ini adalah amat penting kerana sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menetapkan pendirian kita berdasarkan hukum Islam dan bukannya berdasarkan ‘ikut-ikutan’ ataupun pemikiran selain Islam. Justru wajarlah bagi kita untuk memahami hakikat sambutan Hari Buruh sebelum menetapkan pendirian kita mengenainya.

Sejarah Hari Buruh

Pada tahun 1884, The Federation of Organized Trades and Labor Unions telah menyebarkan resolusi untuk menetapkan 8 jam sehari sebagai waktu kerja yang sah bermula dari 1 Mei 1886. Resolusi tersebut menyeru agar para pekerja melakukan demonstrasi umum untuk mencapai tujuan itu memandangkan kaedah mengikut saluran yang sah telah dianggap gagal. Pada ketika itu, pekerja dipaksa bekerja selama 10, 12 hingga 14 jam sehari. Sokongan kepada gerakan ini telah tumbuh dengan cepat. Pada April 1886, dianggarkan seramai 250,000 pekerja telah menyertainya. Gerakan ini berpusat di Chicago dan dianjurkan oleh golongan anarki dari International Working People’s Association. Ahli perniagaan dan pemimpin negara pada ketika itu merasa bimbang dengan peningkatan pengaruh revolusi ini dan mereka telah membuat persediaan sewajarnya. Bilangan polis dan anggota keselamatan ditambah dan senjata baru dibekalkan, dibiayai oleh ketua-ketua perniagaan tempatan.

Antaranya, Kelab Komersial Chicago, yang telah membeli senjata bernilai US$2000 untuk Pengawal Keselamatan Illinois mengawal kemaraan demonstrasi. Walaubagaimanapun, pada 1hb Mei, gerakan ini telah berjaya memenangi hati kebanyakan para pekerja termasuklah pembuat pakaian, pembaiki kasut dan para buruh. Pada 3hb Mei 1886, untuk mengekang kemaraan, pihak polis telah melepaskan tembakan amaran kepada para pendemonstrasi di hadapan kilang McCormick Reaper Works, menyebabkan 4 orang terkorban dan banyak yang cedera. Keesokannya, golongan anarki telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran untuk membantah tindakan pihak berkuasa tersebut di dataran Haymarket. Perhimpunan ini berjalan lancar sehinggalah jurubicara terakhir berucap di pentas. Orang ramai mulai beredar dan hanya tinggal beberapa ratusan orang. Ketika inilah, 180 orang polis telah mengepung medan tersebut dan mengarahkan agar perhimpunan itu dibubarkan. Ketika pembicara terakhir turun dari pentas, sebiji bom dilemparkan ke arah polis, membunuh seorang dan mencederakan 70 orang yang lain. Polis bertindakbalas melepaskan tembakan ke khalayak ramai mengakibatkan seorang pekerja mati dan ramai yang cedera. Inilah secara ringkas sejarah perjuangan yang dimulakan oleh golongan anarki sosialis untuk menuntut hak dan keadilan golongan pekerja terhadap majikan. Perjuangan ini akhirnya diabadikan dengan sambutan Hari Buruh.

Permasalahan Buruh

Sambutan Hari Buruh ini sebenarnya sangat sinonim dengan demonstrasi. Di negara jiran kita yang sentiasa hangat dengan acara demonstrasi, telah dirancang satu perarakan besar-besaran sempena sambutan Hari Buruh [Utusan Malaysia, 29/4/06] sebagai kesinambungan dari berbagai demonstrasi yang muncul di kota-kota besar Indonesia. Ini merupakan manifestasi masalah serius yang sedang dihadapi oleh para pekerja di sana. Demonstrasi tersebut ditujukan khusus memprotes pindaan undang-undang pekerja no. 13/2003 yang dikatakan menguntungkan majikan [Utusan Malaysia, 29/04/06]. Antara fasal draf pindaan yang dikatakan merugikan pekerja adalah jika mereka mogok, pekerja boleh didakwa di mahkamah dan jika majikan kerugian akibat mogok tersebut, cuti dan jaminan hari tua atau skim pencen akan ditarik. Ini hanyalah salah satu daripada teriakan yang dilaungkan oleh kaum buruh. Banyak lagi permasalahan yang mengongkong mereka. Di Australia, ratusan ribu pekerja turun mogok kerja membantah undang-undang baru pekerja pada 15 November 2005. The Australian Council of Trade Unions (ACTU) melaporkan seramai 210 ribu pekerja turun di jalanan Melbourne dan mendakwa lebih 546 ribu orang kesemuanya mengambil bahagian dalam demonstrasi ini di seluruh negara, menjadikannya tunjuk perasaan terbesar di Australia. Demonstrasi ini tetap berlaku walaupun pekerja telah diberi amaran oleh majikan bahawa mereka akan dikenakan denda setinggi A$20,000(US$14,600) jika berbuat demikian [South China Morning Post, 16/11/2005]. Di Malaysia pula, antara tuntutan pekerja yang masih belum selesai adalah elaun kos sara hidup (COLA), imbuhan tetap khidmat awam (ITKA), imbuhan tetap perumahan, gaji minimum sektor awam RM1000 sebulan , gaji minimum pekerja Malaysia RM900 sebulan, umur persaraan 60 tahun, penyalahgunaan Skim Pemisahan Secara Sukarela (VSS), penghadan pengambilan pekerja imigran dan lain-lain [Sumber: Presiden Ceupacs dan MTUC].

Permasalahan buruh ini nampaknya semakin hari semakin meruncing di setiap negara di dunia ini. Pergeseran yang muncul di antara pekerja dan majikan nampaknya tidak pernah reda. Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, rungutan dan tuntutan makin bertambah. Apa yang dahulunya tidak terkait secara langsung dengan dunia pekerjaan mula dikaitkan, menjadikan permasalahan ini semakin rumit dan kompleks. Kita lihat sehingga kini para pekerja kerap mengadu upah yang rendah, menuntut hak dalam pendidikan, kesihatan, cuti, cuti kehamilan dan bersalin, sehinggalah kepada penyediaan kemudahan perumahan, kesihatan, sukan dan lain-lain. Lebih buruk lagi sekiranya masalah buruh ini mendapat perhatian negara Kapitalis Barat dan menjadikan isu-isu buruh ini sebagai sebahagian daripada alat politik luar negerinya. Sudah semestinya persoalan buruh ini akan dicampur dengan ramuan Hak Asasi Manusia, kebebasan berbicara, kebebasan berkumpul dan berpersatuan. Fenomena ini boleh dijadikan sebagai alat oleh negara-negara kapitalis seperti Amerika untuk menekan secara politik dan ekonomi negera kecil seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Mungkin para pekerja memandang ‘Hari Buruh’ ini sebagai suatu manifestasi terbelanya golongan pekerja. Namun hakikatnya, konflik pekerja-majikan masih berleluasan di seluruh dunia. Lantas, apakah sebenarnya masalah yang sedang berlaku dan apakah penyelesaian yang tuntas bagi permasalahan ini? Sautun Nahdhah kali ini ingin membongkar ilusi dan penipuan sistem kapitalisme serta kekejaman sistem sosialisme agar para pekerja benar-benar dapat menjadi cemerlang pemikirannya. SN juga akan menggariskan pandangan Islam dalam masalah perburuhan secara ringkas agar dapat menjadi panduan yang sebaik-baiknya dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Diharap ini dapat menjadi pedoman bagi semua pihak termasuk majikan dan para pemimpin agar dapat menjalankan peranan mereka dengan betul dalam merungkai kemelut ini.

Ilusi Kapitalisme

Sistem Kapitalime secara tabi’i akan mengformat sistem ekonomi yang hanya akan menguntungkan kaum kapitalis dan menjaga kepentingan mereka. Pekerja dalam pandangan mereka dianggap sama seperti aset yang lain – seperti mesin yang menghasilkan barang atau perkhidmatan yang boleh dijual-beli. Justru itu, eksploitasi pekerja memanglah merupakan suatu yang wajar dalam pandangan mereka. Upah yang rendah, beban pekerjaan yang berat dan kedudukan tawar-menawar yang lemah adalah antara keadaan yang menghimpit gologngan pekerja. Upah paling minimum akan seboleh-bolehnya diberikan kepada pekerja untuk mereka mendapatkan keuntungan semaksimum mungkin. Bagi golongan kapitalis ini, gaji yang lebih kecil kepada pekerja adalah lebih baik kerana ini mengurangkan kos pengeluaran. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan ‘efficiency’ bagi mereka. Upah Minimum (Minimum Wage) yang kerap mereka unjurkan sebagai penyelesaian masalah penggajian pada hakikatnya hanyalah sekadar cukup-cukup untuk pekerja tersebut ‘hidup’. Hatta bagi seorang graduan baru (bukan upah minimum) pun, dengan gaji sekitar RM1800, hanyalah cukup untuk menyewa rumah, membayar ansuran kereta dan perbelanjaan sehariannya tanpa peluang untuk menyimpan secara konsisten. Manakala bagi seorang juruteknik yang menerima gaji sekitar RM1000 ianya sekadar cukup untuk membayar sewa bilik, ansuran motosikal dan perbelanjaan hariannya. Dalam menetapkan skim gaji pula, para pendokong sistem kapitalisme menjustifikasi skim yang ‘sesuai’ untuk gaya hidup sesuatu kerjaya; sedangkan hakikatnya, skim tersebut, bagi kebanyakan pekerja hanyalah sekadar ‘cukup makan’ sahaja.

Sekiranya kita perhatikan, bagi majoriti para pekerja, kenaikan tahunan juga merupakan suatu ilusi. Dari segi angka, memang gaji kelihatan meningkat setiap tahun tetapi jika dibandingkan dengan kenaikan harga barang dan nilai sebenar wang yang kita perolehi akibat inflasi, pada hakikatnya nilai wang yang diperolehi berkurangan. Sebagai perkiraan kasar, katakanlah, gaji seorang kerani yang berpengalaman pada tahun lepas adalah RM1000; tahun ini gajinya naik RM1200 tetapi rata-rata, harga barang meningkat 30% akibat kenaikan harga minyak. Nilai wang gaji kita pada hakikatnya merosot sebanyak 10%, walaupun angkanya RM1200. Realitinya, gaji sebenar (Real Wages) kita menurun dari tahun lepas!!

Adalah juga merupakan hakikat sistem kapitalisme bahawa penganggur perlu wujud. Jika diperhatikan data-data kesemua negara di dunia, pasti tidak ada satu pun yang mempunyai 0% kadar pengangguran. Sebagai contoh, Afrika Selatan : 31%, Tajikistan, Bosnia, Bangladesh, dan Kenya : 40%, Nepal : 47%, Zimbabwe : 70%. Paling buruk, Liberia dengan kadar pengangguran 85%. Ketika ini, di Indonesia, menurut data BPS (per Okt 2005) angka pengangguran sudah meningkat menjadi 11.6 juta (atau kira-kira 10.82% dari jumlah tenaga kerja). Pusat Penelitian Ekonomi Lembaga Pengetahuan Indonesia (LIPI) dan Institute for Development of Economic Finance(INDEF) menyatakan angka pengangguran yang lebih jauh tinggi daripada laporan kerajaan tersebut. LIPI menganggarkan angka pengangguran mencapai 12.151 juta manakala INDEF pula menganggarkan kira-kira 12 juta hingga 12.151 juta orang. Jumlah ini menunjukkan pertambahan penganggur sebanyak 800,000 hingga sejuta orang berbanding tahun 2005. Jumlah penganggur dikira dari penganggur lama, 11.650 juta orang dan unjuran pertambahan 500,000 orang. Setiap pertumbuhan ekonomi sebanyak 1% dapat menyediakan pekerjaan untuk menyerap 15 juta penganggur. Dengan adanya pengangguran, maka akan terus ada orang yang sanggup bekerja dengan gaji yang amat rendah. Mereka juga menambah bahawa kenaikan harga bahan bakar (BBM) telah mengakibatkan jumlah penduduk miskin mencapai 47.5 juta orang!!! Kenaikan harga bahan bakar ini telah menimbulkan lonjakan inflasi dan menurunnya daya beli masyarakat. Ini adalah contoh dari Indonesia, sebuah negara yang amat kaya dengan bahan galian…ke manakah perginya semua kekayaan tersebut???

Pakar ekonomi kapitalis mengatakan bahawa kekayaan yang ada akan dapat dirasai oleh setiap warga sesebuah negara melalui mekanisma yang dikenali sebagai ‘The Trickle Down Effect’ (kesan aliran ke bawah). Hakikatnya kesan ini tidak wujud. Apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya – kesemua kekayaan mengalir ke atas (bukan ke bawah). Bill Gates sebagai contoh, memiliki kekayaan US$52.8 billion. Dengan kekayaan ini, dia mampu membayar gaji Presiden Amerika, George W. Bush sebanyak US$400,000 selama 132,000 tahun!!! Kekayaannya melebihi bajet tahunan negara Russia. Namun begitu, di manakah kesan kekayaan Bill Gates ini kepada rakyat Amerika yang masih ramai menganggur, tiada berumah dan tidur di jalanan?

Kapitalisme sebenarnya tidak menjadikan urusan jaminan kesejahteraan masyarakat sebagai tanggungjawab negara. Tanggungjawab ini diletakkan di atas bahu pelbagai institusi lain. Hak pendidikan dan kesihatan juga dibebankan oleh negara kapitalis ke atas majikan. Dengan pembatasan tanggungjawab ini sesebuah negara kapitalis itu berfungsi hanyalah sebagai sebuah institusi politik. Kesejahteraan hidup buruh dibebankan kepada majikan, manakala kesejahteraan lapisan masyarakat yang lain dibebankan pula kepada badan-badan kebajikan masyarakat, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak dalam bidang sosial, pendidikan dan kesihatan. Inilah salah satu penyebab kacau bilaunya aturan sosial di dalam sesebuah negara kapitalis; yang akhirnya dengan mudah melahirkan berbagai masalah dan kegoncangan sosial dan ekonomi. Oleh itu tidak hairanlah, dalam sesebuah negara kapitalis itu, kerap berlaku konflik antara buruh dan majikan. Buruh menuntut sedangkan majikan tidak merasakan bahawa itu adalah tanggungjawabnya. Pada hakikatnya kapitalisme memandang bahawa orang yang tidak bekerja itu adalah orang yang tidak berguna kerana tidak menyumbang apa-apa pun kepada sistem. Oleh itu, bagi golongan kapitalis tulen, mereka ini digolongkan sebagai orang yang tidak layak untuk mendapatkan hak; dengan kata lain mereka tidak layak untuk hidup.

Kaum Muslimin yang dimuliakan Allah, inilah sistem yang mendominasi kehidupan kita hari ini. Keselesaan dan kestabilan hidup yang dirasai oleh setiap individu yang hidup di dalam sistem ini hanyalah merupakan satu ilusi dan penipuan …

Kekejaman Sosialisme

Dalam menangani masalah buruh ini, terdapat sebuah lagi sistem yang tidak kurang penting peranannya dalam merosakkan kehidupan manusia. Sosialisme/Komunisme muncul sebagai suatu reaksi dari penerapan sistem Kapitalisme. Kelahiran dua kelas dalam masyarakat – golongan borjuis(majikan) dan proletar (buruh) – dalam sistem Kapitalisme, merupakan mangkin berkembangnya pemikiran ini. Sosialisme menitikberatkan pembelaan pihak buruh atau golongan proletar ini. Sosialisme jugalah yang telah melontarkan konsep yang lebih dikenali dengan keadilan sosial. Konotasi ’adil’ di dalam konsep keadilan sosial ini tidaklah membawa maksud Sosialisme itu benar, kerana hakikatnya ia juga merupakan satu sistem yang zalim. Sosialisme sebenarnya tidak menjamin keperluan asas (primary needs) bagi setiap individu. Mereka hanya cuba menyamaratakan pemilikan. Dalam satu bentuk Sosialisme sebagai contoh, pemilikan barang pengeluaran adalah dilarang sama sekali. Mereka membataskan pemilikan hanya kepada barangan pengguna sahaja. Oleh kerana kurangnya perhatian dalam menjamin penyelesaian keperluan asas, kemerosotan luar biasa tahap kehidupan rakyatnya terserlah. Ini berlaku di semua negara yang menerapkan sistem Sosialisme. Kemerosotan ini termanifestasi pada majoriti rakyatnya, sehingga ada rakyat yang tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan asasnya.

Negara China yang menjadi gergasi ekonomi sekarang ini bukanlah pada hakikatnya disebabkan oleh perubahan dasar ekonominya tetapi adalah kerana ramai rakyatnya miskin, hidup melarat, menganggur dan sanggup bekerja dengan gaji yang amat rendah/tiada gaji. Pekerja ini hanya disediakan tempat tinggal kongsi dan diberi makan. Kos buruh yang sangat murah (dalam kata lain, percuma) inilah yang menyebabkan tiada negara yang boleh menyainginya. Kemerosotan tahap hidup ini juga diakui sendiri oleh Khruschev lebih dari sekali. Dia pernah berseloroh di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon ketika beliau melawat Russia pada 1959 bahawa Russia akan hanya dapat mencapai tahap kehidupan Amerika dua puluh tahun yang akan datang. Ini dapat dibuktikan lagi dengan penghijrahan rakyat USSR ke Iraq pada tahun 1958, 1959 dan 1960 dalam keadaan yang teruk kelaparan dan mengharap agar mendapat sesuap makanan. Ini semua menunjukkan Sosialisme juga tidak dapat menyelesaikan masalah keperluan asas rakyatnya termasuklah masalah perburuhan. Kesamarataan yang diimpikannya hanya menjadikan rakyatnya miskin dan hidup merana.

Keadilan Sosial

Ketika wujud jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin, di tengah-tengah pertentangan antara kaum pekerja dan majikan, idea-idea Sosialisme seperti keadilan sosial menjadi barangan panas yang dijajakan oleh golongan sosialis. Dalam dunia hari ini, konsep keadilan sosial diwujudkan untuk mengatasi keadaan yang amat mengerikan akibat penerapan sistem Kapitalisme. Dengan kata lain, ia merupakan usaha untuk menampal keburukan sistem Kapitalisme.

Sekiranya kita telusuri konsep ini dengan mendalam dan menyeluruh, kita akan mendapati bahawa ianya bukanlah menjanjikan ’keadilan sosial’ yang sebenarnya; malah, secara umumnya, ia mengekalkan kezaliman sistem kapitalisme itu sendiri. Sebagai contohnya, skim pencen kepada pegawai perkhidmatan awam, bonus kepada para pekerja, perkhidmatan kesihatan bagi yang miskin dan pendidikan percuma bagi kanak-kanak yang tidak mampu – semua ini, meskipun membawa konotasi ’adil’ namun pada hakikatnya ia tetap mengekalkan kezaliman. Bagi memahami hakikat ini, kita perlu melihat konteks ’keadilan’ secara lebih meluas – mengapakah hanya warga tua sahaja yang mendapat pencen dan bantuan sedangkan terdapat ramai yang bekerja namun tidak berkemampuan (serta patut dibantu); mengapa hanya pekerja sahaja yang mendapat bonus? Bagaimana dengan orang yang bekerja sendiri seperti penjual air, penjual goreng pisang dan yang lain-lain? Mengapa perkhidmatan kesihatan dan pendidikan diberikan percuma hanya untuk orang tidak berkemampuan sahaja, sedangkan sepatutnya perkhidmatan tersebut diberikan secara percuma kepada setiap individu. Semua ini menunjukkan bahawa keadilan sosial juga merupakan suatu kezaliman, kerana sesebuah negara itu bertanggungjawab memastikan seluruh rakyatnya, setiap individu, terjamin dalam mendapat perkhidmatan asasi seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan. Tidak kira samada mereka kaya, miskin, kuat atau lemah, mereka semuanya berhak mendapatkannya. Sesebuah negara itu bertanggungjawab menjamin pemenuhan keperluan asas setiap individu rakyat, dan membantu mereka memenuhi keperluan tambahan mereka. Tanggungjawab umum ini adalah untuk setiap individu rakyat dan bukan hanya golongan tertentu sahaja.

Kewujudan konsep keadilan sosial di dalam sistem Kapitalisme pada hakikatnya bertindak sebagai ubat bius agar manusia tidak menyedari akan keburukan sistem tersebut. Ia, pada hakikatnya bertujuan melanjutkan lagi jangka hayat penerapan sistem ini.

Masalah Buruh dalam Islam

Islam sebagai sebuah ideologi yang lengkap mempunyai penyelesaian tuntas bagi permasalahan buruh. Dalam Islam, isu-isu yang berkaitan dengan masalah buruh diperhatikan sebagai masalah hubungan ajir(buruh) dengan musta’jir(majikan).Oleh kerana ia mencakup berbagai aktiviti manusia, maka Islam mengatur hubungan ini dengan hukum-hukum yang berkaitan dengan aqad ijaarah (kontrak kerja). Jika diperhatikan, Islam pada hakikatnya mengatur kontrak kerja dan kerjasama antara majikan dan pekerja ini supaya bersifat saling menguntungkan. Islam mengatur secara jelas dan terperinci hukum-hukum berkaitan ijarah al-ajir (kontrak kerja). Di antara prinsip asasnya adalah:

i) Perkhidmatan atau produk yang dihasilkan adalah halal,
ii) Ia memenuhi syarat sahnya aqad ijarah, iaitu orang yang membuat transaksi mampu membezakan yang baik dan buruk;
iii) Wajib mendapat keredhaan kedua-dua pihak, tiada unsur paksaan.
iv) Ia mempunyai perincian yang jelas berkaitan bentuk, jenis pekerjaan, masa bekerja, upah dan tenaga yang dicurahkan ketika bekerja.

Ijaarah ertinya adalah ‘transaksi atas khidmat atau manfaa t(yang dikeluarkan oleh pekerja) untuk memperolehi imbalan berbentuk upah/gaji’. Yang menjadi dasar hubungan antara majikan dan pekerja sebenarnya adalah manfaat/khidmat yang dikeluarkan oleh pekerja. Atas khidmat/usaha/manfaat inilah pekerja mendapat upah. Berdasarkan perkara ini, upah/gaji berbeza mengikut jenis manfaat/khidmat yang diberikan. Bahkan untuk jenis manfaat/khidmat yang sama juga, upah yang diperolehi boleh berbeza-beza kerana pengaruh latar belakang pendidikan, pengalaman bekerja, keterampilan dan lain-lain. Oleh itu, upah/gaji seorang pekerja itu ditentukan oleh kedua belah pihak, iaitu pekerja dan majikan mengikut kesepakatan. Negara yang menjalankan hukum Islam dalam masalah buruh ini tidak campurtangan dalam menentukan saiz upah/gaji atau mengkelaskan jenis manfaat/perkhidmatan yang dikeluarkan. Namun, negara tersebut wajib memastikan semua kontrak kerja dilakukan berasaskan kepada prinsip asas aqad ijaarah di atas. Jika berlaku perselisihan antara majikan dan pekerja, negara boleh campurtangan bagi mencegah berlakunya kezaliman di antara kedua-dua pihak. Kerajaan ini juga boleh membentuk satu badan khas yang menangani urusan akad kontrak kerja tersebut.

Dalam Islam, perkara-perkara seperti perkhidmatan kesihatan, jaminan hari tua, wang gantirugi, penghargaan, pampasan kemalangan semasa kerja, rekreasi, perumahan dan sebagainya bukanlah tanggungjawab majikan. Kewajiban majikan hanyalah membayar upah/gaji tepat pada waktu yang telah dijanjikan dengan jumlah upah yang sesuai dengan kesepakatan yang telah dibuat oleh kedua-dua pihak. Begitu juga hak politik kaum buruh, ia tidaklah termasuk dalam urusan perburuhan, tetapi menjadi hak setiap individu rakyat. Justru itu, bukan hanya golongan buruh sahaja yang berhak bersuara, bersyarikat, berkumpul, mengeluarkan pendapat dan berpersatuan; majikan juga berhak melakukan perkara yang sama. Seluruh lapisan masyarakat sebenarnya berhak melakukan kesemua aktiviti yang disebutkan tadi. Pengaturan sistem Islam dalam urusan perburuhan berpihak kepada kedua-dua belah pihak, pekerja mahupun majikan.

Kesemua perkara yang berkaitan kesejahteraan buruh, hak pendidikan, perkhidmatan kesihatan, jaminan hari tua dan lain-lain adalah merupakan kewajiban dan tanggungjawab negara. Negara dalam pandangan Islam wajib bertanggungjawab ke atas setiap individu rakyatnya, bukan sahaja terhadap para pekerja. Negara wajib melindungi dan memelihara kepentingan serta memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat, samada pekerja, majikan, kaum lemah mahupun kuat, berada atau miskin, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang tua yang tenat. Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam pernah bersabda yang bermaksud:

“Imam (Khalifah/pemimpin) itu laksana pengembala, dimana dia bertanggungjawab ke atas setiap rakyatnya.” [H.R. Bukhari]

Di sinilah letaknya keadilan Islam; hukum-hukumnya tidak hanya berpihak kepada golongan lemah dan miskin atau hanya kaum buruh, tetapi juga terhadap golongan majikan, yang kaya dan yang mampu. Semua lapisan masyarakat memperolehi jaminan keamanan, kesejahteraan dan keadilan. Kesemuanya diperlakukan dan dilayan sama di hadapan hukum Allah. Implikasi yang akan diperhatikan sekiranya sistem Islam dilaksanakan terhadap dunia perburuhan sudah pasti akan jelas berbeza dari keadaan yang kita lihat sekarang. Para buruh dan majikan kedua-duanya mempunyai posisi tawar menawar yang sama dalam membuat transaksi kontrak kerja. Amalan diskriminasi Kapitalisme dalam masyarakat, terutamanya kepada pihak yang lemah akan terhapus. Tiada lagi sikap ‘lepas tangan’ pemerintah yang biasa diperhatikan di negara-negara kapitalis dalam menjamin keperluan rakyatnya. Tiada lagi isu ’terpaksa rela’ dalam bekerja akibat tekanan kehidupan yang amat sangat. Tiada lagi kezaliman ke atas golongan pekerja.

Wahai kaum Muslimin yang mulia!

Kebanyakan masalah dunia yang menjerat manusia hari ini, termasuk masalah yang dihadapi oleh golongan pekerja, muncul akibat dari penerapan sistem Kapitalisme yang cenderung mewujudkan kezaliman dan ketidakadilan. Kemelut permasalahan kaum buruh jelas merupakan manifestasi kerosakan yang dibawa oleh sistem ini. Akibatnya kaum buruh bertungkus lumus berjuang untuk mendapatkan hak-hak mereka yang banyak dirampas oleh golongan majikan kapitalis. Wahai kaum buruh, sesungguhnya segala yang ingin kalian capai terdapat di dalam sistem Islam.

Bukankah keadilan dan kesejahteraan yang ingin dicapai oleh kaum buruh? Bukankah ketenangan dan kesenangan yang ingin dikecapi? Lantas mengapakah sistem Kapitalisme, sistem yang menyebabkan pelbagai ketidakadilan ke atas kaum buruh ini, terus diharapkan untuk menyelesaikan kemelut yang dimunculkannya sendiri?

“Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah, bagi orang-orang yang yakin? [TMQ Al-Maidah 50]

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyediakan bagi umat manusia sebuah sistem yang pasti akan membawa rahmat kepada mereka. Sistem yang secara intrinsik memanifestasikan keadilan dan jaminan kesejahteraan – Al-Islam yang menghidangkan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Justru itu, kembalilah kepada Islam, wahai umat yang diredhai Allah. Kembalilah kepada Islam secara menyeluruh dengan menerapkan setiap aspek hukum di dalamnya; ekonomi, sosial, politik dan yang lainnya. Bagi seluruh umat Islam, termasuk kaum buruh, yang sewajarnya diserukan adalah mengembalikan kehidupan Islam yang telah lama hilang dengan menegakkan Daulah Khilafah Islamiyyah. Seruan da’wah ini hendaklah di dalam bentuk yang telah digariskan oleh Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam – seruan intelektual tanpa tindakan fizikal. Semoga Allah menyegerakan kemenangan bagi mereka yang ikhlas menyerukan kepada yang diredhaiNya.

Wallahua’lam