Sistem Kapitalis menyuburkan pengangguran

Dengan adanya lebih kurang 2 juta pekerja asing di Malaysia, peratus pengangguran dijangka akan meningkat pada tahun 2009 kepada 4.5 peratus [Malaysiakini]. Ini adalah satu angka yang tidak munasabah jika diambil kira bilangan pekerja asing yang ada di negara ini. Jika diambil kira golongan pesara dan lepasan sekolah angka peratusan ini akan bertambah.

Para kapitalis mendakwa, fenomena ‘pelik’ ini adalah disebabkan oleh  pasaran pekerjaan yang gagal membekalkan pekerja yang memiliki kemahiran yang diperlukan oleh majikan. Inilah yang mereka dakwa sebagai ‘structural unemployment’.

Jika dilihat dengan mendalam, dakwaan ini hanyalah dusta semata-mata. Kegagalan membekalkan pekerja mahir adalah satu pembohongan. Ini kerana, pada masa ini terdapat berpuluh-puluh universiti dan pusat latihan perindustrian di Malaysia yang mampu mengeluarkan berpuluh ribu pekerja mahir setiap tahun.

Kapitalis cuba bermain dengan istilah dengan mengatakan bahawa keadaan ini dipanggil ‘pengangguran berstruktur’ (structural unemployment). Hakikatnya, ‘pengangguran berstruktur’ sama sahaja dengan pengangguran, tidak ada bezanya sedikit pun. Pokoknya, ia (pengangguran) merupakan satu keadaan dimana sekumpulan manusia gagal untuk mendapatkan pekerjaan untuk melangsungkan hidup.

Jawapan mudah kepada fenomena ini adalah ianya merupakan manifestasi kerosakan yang dicipta oleh sistem ekonomi Kapitalis. Mengapa wujud ketidak seimbangan di dalam sektor pekerjaan? Pada asasnya sistem Kapitalis menetapkan gaji para pekerja pada tahap minimum sara hidup di tempat tersebut. Gaji para pekerja di negara maju adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara membangun dan negara mundur.

Apabila globalisasi melanda, muncullah perusahaan-perusahaan Kapitalis yang mengimport dan mengeksport buruh. Ditambah dengan kesulitan ekonomi yang dihadapi oleh sesetengah negara dek sistem Kapitalis yang mencengkam, banyak juga berlaku penghijrahan secara individu mahupun beramai-ramai untuk bekerja di negara yang dilihat lebih baik. Untuk terus berjaya dalam persaingan global dan mendapat untung yang maksima, perusahaan-perusahaan Kapitalis ini telah menetapkan gaji pekerja asing berdasarkan jumlah minimum sara hidup di tempat asal mereka. Pekerja asing ini tiada pilihan lain selain dari hidup pasrah dengan gaji yang sedikit, manakala bagi warga tempatan tidak mungkin mereka dapat menerima cara penetapan gaji sedemikian dilihat kepada standard hidup lazim mereka. Bagi mereka yang datang dari negara maju pula yang kebanyakannya terdiri dari tenaga mahir, mereka juga dibayar seumpama malah lebih lagi dari gaji yang mereka dapat di tempat mereka.

Penetapan gaji berdasarkan tahap minimum sara hidup telah membuka ruang ekploitasi oleh majikan terhadap pekerja. Walhal sama sahaja manafaat yang didapati oleh majikan dari tenaga yang dikerah oleh warga luar ataupun warga tempatan. Kemahiran mereka sama sahaja. Namun oleh kerana standard hidup di tempat asal dijadikan ukuran, maka gaji yang diterima tetap sama. Disinilah punca kepada apa yang mereka dakwa sebagai ‘structural unemployment’.

Selain dari eksplotasi, wujud ketidakadilan yang amat ketara di mana pekerja-pekerja yang datang dari negara maju dibayar gaji yang tinggi kerana mengikut taraf hidup negara asal mereka. Professional tempatan dibayar gaji yang lebih rendah berbanding professional dari negara maju, walaupun keduanya mempunyai kemahiran yang sama.

Di dalam Islam, sememangnya tidak salah untuk menggajikan orang lain, tidak kira sesama Muslim mahupun kafir. Firman Allah,

“Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar mereka dapat mengambil manafaat atas sebahagian yang lain….” [TMQ Az-Zukhruf:32]

Namun, yang menjadi ukuran dalam menetapkan gaji adalah “manfaat/hasil” yang diperolehi dari majikan atas usaha pekerja. Jadi jika manfaat/hasil yang diperolehi oleh majikan dari seseorang pekerja itu sama sahaja, maka gaji mereka pun seharusnya sama, bergantung pada akad yang dipersetujui. Justeru, gaji seorang pekerja yang datang dari Bangladesh, Amerika, Indonesia ataupun Britain seharusnya sama sahaja, jika kepakaran mereka adalah sama. Dengan ini, barulah tidak ada istilah ‘pengangguran berstruktur’ sebagaimana yang diwujudkan oleh sistem Kapitalis.

Ini hanyalah dari satu aspek sahaja yang kecil. Dari aspek yang lebih luas, Negara bertanggungjawab memastikan setiap orang mendapat pekerjaan untuk meneruskan hidupnya. Jika ada pengangguran di dalam Negara, walaupun seorang, yang tidak dapat meneruskan hidup (kerana pengangguran tersebut), maka pemerintah berdosa. Pemerintah wajib memberi atau mencari ruang pekerjaan kepada rakyatnya agar mereka dapat melangsungkan kehidupan sebagai seorang manusia. Di dalam sebuah hadis menceritkan bahawa Rasulullah di datangi seorang penganggur, maka baginda terus memberikan kapak dan seutas tali kepada penganggur tersebut untuk ke hutan dan memotong kayu api untuk dijual. Hadis ini menunjukkan yang Rasulullah sebagai Ketua Negara mesti menyediakan peluang pekerjaan kepada warganegara Daulah. Ini kerana, ia sebenarnya termasuk di dalam ri’ayah (pengurusan) seorang oleh ketua Negara. Rasulullah bersabda,

“Imam (Khalifah) itu pemelihara dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya” [HR Muslim]

Pendek kata, Islam telah lama menyelesaikan masalah pengangguran, sebelum datangnya Kapitalis yang membawa kemusnahan kepada dunia dan mencipta begitu banyak pengangguran dan kebuluran kepada dunia hasil sistemnya yang sangat mencengkam dan menjijikkan.