SN070 – FORMULA KEBANGKITAN UMAT

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN


[SN070] “Kekuatan pemikiran dan ilmu pengetahuan juga menjadi asas untuk mencapai ‘Melayu Maju’ pada tahun 2020”. Inilah antara ucapan Perdana Menteri ketika merasmikan ulangtahun UMNO ke 60 di Johor Bahru baru-baru ini. Jika diteliti dewasa ini kita sering dilontarkan dengan pelbagai slogan dan kata-kata semangat yang bertujuan membangkitkan minda rakyat untuk mencapai dayasaing dalam menempuh era globalisasi. Di antara slogan lain yang didengari adalah ‘Minda Kelas Pertama’ sepertimana yang juga disuarakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke 9 baru-baru ini. Katanya, “‘Minda Kelas Pertama’ menjadi asas kedua terpenting untuk mencapai matlamat Wawasan 2020”. Timbalan Perdana Menteri juga tidak ketinggalan dengan slogan beliau ‘Melayu Glokal’ (yang merupakan cantuman antara perkataan global dan lokal) yang diperkenal dan dilancarkan pada Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun lalu. Slogan-slogan ini hanya merupakan sebahagian kecil dari ratusan slogan yang tidak putus-putus kita dengari dalam rangka untuk membangkitkan orang Melayu.

Isu kebangkitan bukanlah merupakan isu baru di negara ini, mahupun di mana-mana negara umat Islam. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sendiri acapkali menekankan aspek ilmu pengetahuan dan perubahan paradigma berfikir rakyat Malaysia. Penubuhan ‘Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad’ merupakan manifestasi dari usaha ke arah tersebut. Sejak perjuangan Melayu menentang Malayan Union dan seterusnya penubuhan UMNO, kerajaan tidak putus-putus berusaha untuk membangkit dan memajukan orang Melayu. Apapun bentuk slogan, usaha atau institusi yang ada, yang pastinya, golongan sasaran kerajaan (golongan Melayu) tidak menunjukkan tanda-tanda kebangkitan yang nyata. Kesimpulannya mudah sahaja, sekiranya orang Melayu sudah maju dan bangkit maka semestinya usaha-usaha dan slogan-slogan tersebut tidak perlu dan tidak akan kedengararan lagi.

Adakah formula-formula ini dan yang seumpama dengannya dapat membangkitkan rakyat Malaysia umumnya dan bangsa Melayu khususnya? Inilah persoalan yang akan dibincangkan di dalam Sautun Nahdhah (SN) kali ini, bersesuaian dengan maksud Sautun Nahdhah itu sendiri yakni Suara Kebangkitan. Kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghidangkan kepada para pembaca yang ikhlas, suatu penulisan yang kami harap dengannya benar-benar akan membangkitkan pemikiran umat Islam, benar-benar akan menyatukan umat Islam tanpa mengira bangsa, Melayu, Cina, India, Arab, Turki, Pakistan dan lain-lain. Selama mana kalian adalah golongan yang bersyahadah, selama itulah kalian merupakan orang-orang yang digelar oleh Allah sebagai ummatan wahidah (umat yang satu). Inilah slogan mulia yang ingin kami lontarkan kepada kalian, slogan La ilaha illallah, Muhammad Rasulullah. Kemuliaan umat Islam itu tidak samasekali terletak pada bangsa mereka, tetapi ketaqwaan mereka kepada Allah. Allah dan RasulNya mengingatkan kita,

“…sesungguhnya yang paling mulia (di antara) kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa (di antara) kamu…” [TMQ Al-Hujurat:13]

Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang a’jam (bukan Arab) dan tidak ada keutamaan orang a’jam atas orang Arab, tidak ada keutamaan orang berkulit hitam atas yang merah dan tidak ada keutamaan orang berkulit merah atas yang hitam, kecuali dengan taqwa” [HR Ahmad]

Ingin Bangkit Melalui Assabiyyah?

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab berada dalam kondisi yang paling terperosot. Semangat assabiyyah begitu mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga mereka sanggup berperang dan mati demi mempertahankan bangsa atau kabilah masing-masing. Rasulullah sallallahu ’alaihi wa Sallam datang dan menghapuskan segala bentuk assabiyyah yang ada dan sekaligus menyatukan masyarakat Arab di bawah satu kalimah, tanpa mengira bangsa, keturunan mahupun warna kulit. Rasulullah telah mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya, dari jurang neraka menuju syurga. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

… dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyyah), lalu Allah menyatukan di antara hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam)….” [TMQ Ali Imran:103]

Persaudaraan yang dibawa oleh Junjungan Besar kita dipertahankan oleh umat Islam sekian lama. Di sepanjang sejarah pemerintahan Islam, kaum Muslimin telah disatukan di bawah satu payung pemerintahan, Daulah Khilafah. Kesatuan dan persaudaraan mereka kental sehingga mereka tidak lagi mengenal apa itu assabiyyah. Kekuatan persaudaraan yang dibangun atas aqidah Islam ini tidak dapat digoncangkan oleh mana-mana pihak musuh. Malangnya, kekuatan aqidah ini lama-kelamaan telah dihidu oleh pihak musuh sehingga mereka menyedari bahawa untuk melemah dan mengalahkan umat Islam, ikatan persaudaraan ini mestilah dipisahkan dan diganti balik dengan ikatan Jahiliyyah, ikatan assabiyyah. Sejak dari itu, musuh-musuh Islam ini tidak henti-henti berusaha memecah belahkan kekuatan kaum Muslimin dengan menyuntik racun assabiyyah ke dalam tubuh umat Islam.

Jauh sebelum runtuhnya Kekhilafahan Islam terakhir di Turki pada tahun 1924, benih-benih nasionalisme telah mula disemai oleh kalangan missionaris Kristian di jantung Dunia Islam. Sejarah telah menceritakan kepada kita bahawa kaum Imperialis Barat, khususnya Inggeris dan Perancis, dibantu oleh golongan missionaris Kristian tidak henti-henti menebarkan benih yang beracun ini. Benih-benih ini lama-kelamaan telah menjadi subur yang kemudiannya makin membesar dan telah memecahkan benteng pertahanan terakhir kaum Muslimin, yakni Daulah Khilafah Uthmaniah di Turki. Keadaan ini diperparah dengan munculnya beberapa gerakan yang didirikan di atas asas assabiyyah ini. Gerakan-gerakan tersebut terutama yang berorientasikan nasionalisme Arab (seperti yang dilakukan oleh Syarif Hussein di Mekah), secara nyata telah diprovokasi oleh Barat yang menyerukan bahawa bangsa Arab tidak selayaknya dipimpin oleh Bangsa Turki. Mereka telah diapi-apikan bahawa bangsa Turki telah merampas kempimpinan dari tangan bangsa Arab.

Provokasi demi provokasi telah dilakukan secara terencana oleh Barat, antara lain melalui pertubuhan-pertubuhan yang terselindung. The Association of Arts and Science yang salah seorang anggotanya, Boutros al-Bustani, seorang Kristian dari sekte Maroni telah mendirikan Madrasah al-Wathaniah untuk membangkitkan nasionalisme Arab. Syrian Scientific Association yang didirikan pada tahun 1857 juga diprogramkan untuk melancarkan nasionalisme Arab. Secret Association yang ditubuhkan dari tahun 1875 juga mempunyai misi untuk menyerukan nasionalisme Arab dan kebebasan bangsa Arab, khususnya di Syria dan Lebanon. Hasil dari ini, bangsa Arab telah menelan bulat-bulat racun assabiyyah yang di berikan oleh Barat ini. Mereka mula terpukau dengan konsep nation-state (negara bangsa) yang telah diformatkan oleh musuh-musuh Allah ini ke atas Daulah. Makar Barat ini telah membuahkan hasil apabila ternyata negara-negara Arab kemudiannya satu persatu tercerai dari Khilafah Uthmaniah. Konsep negara bangsa yang direncanakan oleh Barat ke atas umat Islam mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Umat Islam telah terpecah belah berdasarkan bangsa. Kedatangan Rasulullah dengan menghancurkan segala bentuk assabiyyah kini telah diterbalikkan oleh pemimpin-pemimpin kaum Muslimin dengan membina kembali ’kehinaan’ ini. Masing-masing berbangga dengan negara bangsa masing-masing dan bermati-matian berusaha demi mempertahan dan mengekalkan ’kehinaan’ ini. Rasulullah datang dengan perintah yang jelas dari RabNya mengharamkan assabiyyah, justeru dihalalkan semula oleh penguasa-penguasa umat Islam kini. Umat Islam bangkit setelah mencampakkan segala bentuk assabiyyah dan bersatu di bawah satu kalimah dan satu pemerintahan. Umat Islam menjadi umat yang termaju dan memerintah hampir dua pertiga dunia setelah membuang jauh-jauh ’kekejian’ ini. Hari ini, satu fakta yang tidak dapat dinafikan, umat Islam adalah umat yang paling mundur, terkebelakang, dihina, ditindas, diseksa dan dibunuh dengan kejam, disembelih, dirogol dan diberlakukan sewenang-wenangnya oleh kaum kuffar – setelah umat Islam menghidupkan kembali apa yang Rasul mereka telah hapuskan, assabiyyah. Inilah apa yang terjadi kepada umat Islam. Sedarlah wahai kaum Muslimin sekelian! Bangkitlah dari lena kalian!

Jalan Kebangkitan Yang Ditunjukkan oleh Rasulullah

Sebagaimana telah disebutkan, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Jahiliyyah merupakan sebuah masyarakat yang mundur. Kemunduran mereka amat ketara jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa yang telahpun maju pada waktu itu khususnya Rom dan Parsi. Dalam keadaan di mana Rom dan Parsi adalah negara yang menjadi super power, pada masa yang bersamaan, masyarakat Jahiliyyah hanya merupakan sebuah masyarakat yang terkenal dengan kepandaian bersyair dan berdagang. Yang lebih parah, mereka adalah masyarakat yang betul-betul berpegang kepada kepercayaan nenek moyang yang karut marut. Antara kepercayaan yang wujud pada waktu itu adalah kepercayaan bahawa anak perempuan akan membawa sial. Oleh yang demikian, mereka telah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Umar al-Khattab adalah salah seorang yang telah berbuat demikian (semasa Jahiliyyah). Ini menunjukkan betapa mundurnya pemikiran masyarakat Jahiliyyah pada waktu itu. Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat pada hari ini, kita tidak pernah mendengar ada golongan yang menanam anak mereka hidup-hidup, walau semundur mana pun golongan tersebut.

Setelah Muhammad diutus menjadi Rasul, baginda telah menyeru kepada kaum Quraish untuk menerima Islam. Rasulullah kemudian berjaya meng-Islamkan beberapa orang sahabat baginda. Sahabat-sahabat yang telah menyahut seruan Rasul ditasqif (bina) dengan memantapkan diri mereka dengan aqidah Islam. Mereka kemudian diajak berfikir mengikut tuntunan Islam (Qiyadah fikriyah) untuk melihat kehidupan, alam serta peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka sepertimana dijelaskan di dalam banyak ayat Al Quran. Dari ayat-ayat ini dapat difahami bahawa Allah memerintahkan manusia untuk memperhatikan dan berfikir tentang ciptaanNya agar yakin dengan adanya Allah. Sesungguhnya segala sesuatu yang wujud menjadi bukti adanya Pencipta, yang Maha Esa, Maha Mengetahui, wajibul wujud iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seruan Allah supaya manusia itu mencapai wihdatul tauhid (kesatuan tauhid) melalui ’proses berfikir’ menunjukkan pentingnya peranan berfikir dalam Islam.

Melalui proses berfikir itulah para sahabat sebenarnya telah memeluk Islam dan seterusnya memantapkan keyakinan mereka dengan Deen baru ini. Rasulullah terus-terusan berdakwah kepada kaum Quraish dengan menyeru mereka supaya berfikir dan merubah pemikiran mereka untuk menerima Islam. Rasulullah tidak membawa sebarang wang, kemewahan, harta benda, senjata, teknologi canggih atau apa-apa alat di dalam seruan baginda supaya masyarakat mundur tadi (Jahiliyyah) menerima Islam. Satu-satunya senjata yang Rasulullah bawa adalah pemikiran. Rasulullah telah ’berperang’ dengan golongan mundur ini dengan menggunakan senjata pemikiran di dalam menyeru kaum Jahiliyyah ini kepada Islam. Ternyata, pemikiran Islam yang Rasulullah bawa telah berjaya mengalahkan pemikiran kufur yang ada pada kaum Quraish. Sebahagian mereka memeluk Islam dan sebahagian lain mengingkari, walaupun sebenarnya golongan yang engkar tersebut kalah di dalam ’perang pemikiran’ dengan Rasulullah. Kesombongan mereka telah menghalang mereka dari tunduk kepada Rasulullah.

Bermula dari perubahan pemikiran inilah (pemikiran kufur kepada pemikiran Islam), kaum Muslimin mula bangkit dari keterpurukan Jahiliyyah. Dengan pemikiran Islam yang telah ditanam dan dimantapkan oleh Rasulullah kepada mereka, para sahabat benar-benar faham dan telah berjuang mempertahankannya. Mereka semacam telah mendapat satu suntikan baru, peningkatan paradigma berfikir yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Mereka menjadi orang-orang yang sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan apa yang telah dibawa oleh Rasulullah. Hasil dari perubahan berfikir ini, tidak ada seorang pun yang berpaling tadah, walaupun nyawa mereka telah menjadi taruhan.

Kaum Muslimin telah benar-benar bangkit! Mereka telah dibangkitkan oleh Rasulullah tanpa mengira pangkat, darjat, warna kulit, bangsa dan keturunan. Kalimah tauhid tidak mengenal assabiyyah, ia dilafazkan oleh semua golongan. Dengan lafaz yang mulia inilah umat manusia bersatu dalam persaudaraan Islam dan menjadi semakin kuat. Kaum Muslimin bangkit dengan sebenar-benar kebangkitan. Inilah kebangkitan yang telah dibawa dan ditunjukkan oleh Nabi kita dan yang lebih utama, inilah cara kebangkitan yang diperintahkan. Allah mengingatkan kita,

”… dan apa saja yang dibawa oleh Rasul maka ambillah oleh kamu dan apa saja yang ditegah (oleh Rasul) maka tinggallah oleh kamu…” [TMQ Al-Hasyr:7]

Setelah berlaku perubahan pemikiran kaum Muslimin di Mekah, kafir Quraish telah mula merasa tergugat. Kaum Muslimin mula disiksa dengan pelbagai siksaan. Segala penganiayaan fizikal yang dilakukan ke atas kaum Muslimin tidak dapat merubah pemikiran mereka (kaum Muslimin). Kaum Muslimin yang disiksa tetap beriman sehinggalah ajal menjemput mereka. Pertolongan Allah tiba dengan kedatangan kaum Aus dan Khazraj ke Mekah. Mereka beriman dengan Rasulullah dan disusuli dengan proses bai’ah.

Setelah itu episod sejarah berubah. Rasulullah dan para sahabat berhijrah ke Madinah. Maka dengan itu berdirilah Daulah Islam yang pertama di dunia. Rasulullah mempersatukan seluruh masyarakat Madinah di dalam pemikiran dan perasaan serta pada masa yang sama diterapkan hukum-hukum Islam untuk mengatur mereka di bawah satu kesatuan negara. Rasulullah telah mempersatukan para sahabat tanpa mengira bangsa atau kaum, muhajirin atau ansar, miskin atau kaya, warna kulit atau keturunan. Negara yang baru lahir ini umpama singa yang telah mula tumbuh taringnya. Singa ini mula mengaum, menggentarkan jantung sesiapa sahaja yang mendengarnya. Kafir Quraish mulai kecut. Kaum Muslimin sekali lagi bangkit dan kebangkitan kali ini disertai dengan kekuatan sebuah Negara. Kekuatan yang bakal menghancur luluhkan segala kekufuran.

Ternyata, kehebatan Sang Singa tiada tandingannya. Kebangkitan dan kekuatan kaum Muslimin tidak dapat dibendung lagi. Rasulullah dan para sahabat memenangi peperangan demi peperangan, membuka setiap desa dan kota, membawa cahaya Allah ke seluruh penjuru bumi yang didatangi. Umat manusia berbondong-bondong memeluk Deen Ilahi. Kaum Muslimin telah bangkit dengan kebangkitan yang benar. Umat manusia disatukan dengan satu kalimah tanpa mengira bangsa. Dengan Islam, langit menurunkan rahmah, bumi disirami berakah.

Wahai kaum Muslimin! Inilah kebangkitan sebenar kalian. Kebangkitan yang berdasarkan wahyu, bukan berdasarkan Melayu. Kebangkitan ini telah bertahan sehingga 13 abad lamanya. Kaum Muslimin kembali mundur semundur-mundurnya setelah si la’natullah Mustafa Kamal Attartuk yang bekerjasama dengan kafir Barat meniupkan api assabiyyah ke tubuh umat Islam. Api itu kemudian merebak ke seluruh dunia umat Islam dan dikobarkan lagi oleh pemimpin-pemimpin kaum Muslimin yang sepemikiran dengan si la’natullah tadi. Dari sinilah bermulanya kemunduran umat Islam, dan api assabiyyah ini sehingga sekarang masih dinyala dan dipertahankan oleh penguasa-penguasa kaum Muslimin. Umat Islam telah terpecah menjadi 57 buah negara bangsa. Perpecahan yang diakibatkan oleh assabiyyah yang dicipta oleh kafir Barat.

Jalan Menuju Kebangkitan

Jika diteliti sunah Rasul di atas, kita akan sampai kepada kesimpulan bahawa yang merubah manusia itu adalah pemikirannya. Ini bertepatan dengan firman Allah yang menyatakan :

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan satu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka” [TMQ Ar-Ra’du:11]

Para mufassirin menyatakan “apa yang ada pada diri mereka” adalah sebagai akal (pemikiran) yang digunakan untuk berfikir oleh kaum tersebut. Inilah yang akan mengubah mereka.

Wahai saudaraku yang mulia! Rasulullah telah berjaya membangkitkan satu bangsa yang paling mundur, bangsa Jahiliyyah, melalui perubahan berfikir yang telah menjadi anjakan kepada perubahan-perubahan yang lain. Bermula dari perubahan pemikiran kufur kepada pemikiran Islam, yang akhirnya telah berjaya mewujudkan satu Negara, umat Islam telah bangkit dengan sebenar-benar kebangkitan. Justeru, tidak ada jalan lain dalam menuju kebangkitan kecuali mengikuti thariqah (method) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ’alaihi wa Sallam.

Jika di zaman Rasulullah, masyarakat Jahiliyyah telah berubah cara berfikir setelah mereka memeluk Islam. Tetapi pada hari ini, mereka yang beragama Islam, telah berubah cara berfikir dengan meninggalkan Islam dan mengambil pemikiran-pemikiran kufur Jahiliyyah. Umat Islam sekarang telah kembali diresapi pemikiran Jahiliyyah dengan mengambil assabiyyah sebagai sesuatu yang diperjuangkan. Semangat patriotik (wathaniah), kebebasan dan sebagainya juga telah menjadi sebahagian dari perjuangan umat Islam. Lebih parah, umat Islam tidak merasa bersalah dengan pemikiran kufur dan undang-undang kufur yang diterapkan ke atas mereka. Mereka berdiam diri dengannya. Lebih malang, sebahagian dari umat Islam redha kepadanya. Sebahagian lagi yang betul-betul telah dirasuk, bukan setakat redha bahkan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan eksistensi undang-undang kufur ini. Na’uzubillahu min zalik.

Justeru, thariqah untuk mengembalikan kebangkitan umat Islam hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah dengan menukar segala pemikiran-pemikiran kufur yang ada pada kaum Muslimin seperti assabiyyah, wathaniah, sekularisme, liberalisme dan pelbagai lagi kepada pemikiran Islam semata-mata. Kaum Muslimin mesti diperingatkan bahawa seruan kepada assabiyyah tidak sekali-kali akan membangkitkan umat, sebaliknya akan menjerumuskan para penyerunya kepada neraka Jahanam. Rasulullah sallallahu ’alaihi wa Sallam bersabda,

Tidak termasuk golongan kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, yang berperang kerana assabiyyah dan yang mati kerana assabiyyah.[HR Abu Daud]

Siapa sahaja yang berperang di bawah panji kejahilan, ia marah kerana assabiyyah atau menyeru kepada assabiyyah atau ikut menolong (membantu) demi assabiyyah, kemudian ia terbunuh, maka matinya adalah mati Jahiliyyah” [HR Muslim]

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Tinggalkanlah segala ikatan assabiyyah yang ada pada diri kalian. Tinggalkanlah ikatan-ikatan palsu dan kufur yang menghalang kebangkitan kalian. Sedarlah! Semua ikatan tersebut hanyalah ciptaan kaum kafir demi untuk menjauhkan dan memesongkan kita dari aqidah yang kita anuti ini. Dengan adanya kesedaran inilah kaum Muslimin akan kembali bersatu. Sesungguhnya kaum kafir amat takut apabila kita mempunyai kesedaran sahih ini kerana inilah yang akan memandu dan mengantarkan kita ke arah penyatuan sebagaimana yang telah terjadi di masa lampau. Kebangkitan umat akan terjadi apabila umat mula berfikir sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ’alaihi wa Sallam. Oleh itu, tempohlah jalan berfikir yang benar melalui Qiyadah Fikriyah Islam. InsyaAllah! dengannya, kita semua akan meraih kebangkitan sebagaimana yang Rasulullah perintahkan.

Saudaraku, umat Islam telah terbukti berada dipuncak kebangkitan, menjadi umat yang terbaik ketika mana hukum-hukum Allah dilaksanakan sepenuhnya di dalam kehidupan. Dengan kata lain, Islam itu wujud dalam bentuk pemerintahan bernegara yakni Daulah Khilafah yang menerapkan Islam secara kaffah. Inilah satu-satunya cara yang telah meletakkan umat Islam di kemuncak kejayaan. Khilafah Islam terbukti telah menguasai hampir dua pertiga dunia, menjadi pelindung umat Islam dan sekaligus merupakan negara super-power di dunia. Justeru, konsep kebangkitan sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan Daulah Islam. Sebagaimana dunia hari ini memandang Amerika sebagai sebuah negara yang bangkit dan maju kerana ia adalah super-power. Oleh yang demikian, demi untuk mencapai kebangkitan yang hakiki, umat Islam mestilah merubah cara berfikir kufur yang ada dalam diri mereka sekarang kepada cara berfikir Islami, hanya menjadikan hukum syara’ sebagai tolok ukur. Halal dan haram mestilah dipandu mengikut Islam, bukan mengikut hawa nafsu; perintah dan larangan Allah adalah sesuatu yang wajib dipatuhi, bukan diengkari apa lagi dipermain-mainkan. Seterusnya umat Islam wajib berusaha mendirikan Daulah Khilafah atau bersama-sama dengan gerakan yang berusaha menegakkan kembali Daulah Khilafah atas jalan kenabian. Sesungguhnya Daulah Khilafah adalah kewajipan dan hak kaum Muslimin seluruhnya.