SN516 – Kembalikan Baitul Maqdis Dengan Khilafah Dan Jihad

PDF

SN Keluaran 26 Rabi’ul Awal 1439H/15 Disember 2017

SN516 - Kembalikan Baitul Maqdis Dengan Khilafah Dan Jihad

[SN516] Kemarahan dan kekecewaan umat Islam di seluruh dunia jelas kelihatan apabila Presiden Negara Pengganas Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa Baitul Maqdis dijadikan sebagai ibu negara entiti Yahudi. Umat Islam di Palestin dipaksa untuk menerima keputusan tersebut. Tunjuk perasaan oleh umat Islam telah diadakan di pelbagai belahan dunia, khususnya di hadapan kedutaan AS untuk menolak pengisytiharan tersebut. Di Malaysia, parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah bergabung mengadakan tunjuk perasaan menolak pengumuman yang dilakukan oleh Trump.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib menyeru dengan lantang agar rakyat Malaysia menolak dengan tegas pengisytiharan tersebut. Retorik mengutuk yang keluar daripada mulut para pemimpin umat Islam ialah sesuatu yang biasa kita dengar setiap kali isu Palestin tercetus. Namun, retorik bermusim ini sedikit demi sedikit akan hilang selepas rasa amarah umat Islam menjadi reda dan isu Palestin tidak lagi menjadi topik utama perbincangan. Padahal kita tidak perlu terlalu terkejut dengan pengisytiharan tersebut, kerana bumi Al-Quds telah pun dijajah sejak 100 tahun dahulu. Pada tahun 1948, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyerahkan bumi Al-Quds kepada entiti Yahudi, dan sejak itulah ia berada di bawah cengkaman entiti Yahudi sehingga umat Islam yang ingin solat di Masjid Al-Aqsa perlu mendapat keizinan daripada pihak berkuasa entiti Yahudi. Situasi ini tidak banyak berbeza sebelum atau selepas pengumuman tersebut.

Two-States Solution : Satu Bentuk Penjajahan

Apa yang perlu difahami oleh umat Islam, penyelesaian dua negara (two-states solution) ialah proses membentuk dua negara di bumi Palestin, iaitu sebuah negara entiti Yahudi dan sebuah lagi negara Palestin yang merdeka. Namun begitu, segala hal-ehwal berkenaan keselamatan, ekonomi, pertahanan dan politik di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza mestilah tunduk kepada kepentingan entiti Yahudi. Apakah maknanya semua itu? Ia hanyalah sebuah gelaran pada nama sahaja tetapi realitinya, penjajahan akan terus berlanjutan disebalik topeng ‘merdeka’.

Penyelesaian dua negara dan proses damai yang diusahakan adalah sebagai salah satu jalan untuk menyerahkan 78% dari bumi Palestin kepada entiti Yahudi, walaupun sekiranya Timur Baitul Maqdis dijadikan ibu negara Palestin. Menyerahkan bumi Islam kepada musuh Islam, iaitu entiti Yahudi termasuk hal-hal yang paling dibenci dan merupakan satu pengkhianatan yang besar di sisi Allah SWT, Rasulullah SAW dan umat Islam. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ Al-Mumtahanah (60):9].

Pengkhianatan Para Pemimpin Dunia Islam

Trump tidak akan berani untuk menghadapi umat Islam dengan pengisytiharan tersebut jika tidak didokong oleh para pemimpin umat Islam yang khianat. Walaupun kita melihat para pemimpin terutamanya di negara-negara Arab mengutuk tindakan Trump, tetapi itu semua hanyalah lakonan semata-mata. Persembahan seperti ini dilakukan agar diri mereka dilihat sebagai menyokong Islam dan kekal relevan dimata rakyat sebagai pemimpin Islam. Padahal menurut siaran Israel’s News 10, rejim Arab Saudi dan Mesir telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Trump bagi meneruskan rancangannya untuk mengiktiraf Jerusalem (Al-Quds) sebagai pusat pemerintahan entiti Yahudi dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Al-Quds (https://www.middleeastmonitor.com/20171208-israel-tv-saudi-arabia-egypt-gave-trump-green-light-regarding-jerusalem/).

Pengkhianatan oleh para pemimpin umat Islam sudah sebati dengan konflik di Palestin sejak dulu lagi. Baik Perang Arab-Israel (1948), Perang Enam Hari (1967), Perjanjian Camp David (1979), Perjanjian Oslo (1993) dan banyak lagi perjanjian selepas itu hanya memihak kepada entiti Yahudi. Semua ini merupakan pengkhianatan daripada para pemimpin umat Islam.

 Jalan Penyelesaian Daripada Wahyu

Al-Quds merupakan rumah Nabi Ibrahim A.S. dan tempat Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit. Ia juga merupakan kiblat pertama umat Islam, masjid kedua yang dibina di muka bumi dan tanah suci yang ketiga selepas Masjidil Haram dan Madinah. Ia juga merupakan bumi para anbiya. Al-Quds ialah tanah suci seperti yang dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya. Persoalan isu Al-Quds ialah persoalan aqidah. Menyerahkannya kepada musuh umpama menyerahkan Kaabah kepada musuh dan inilah gambaran betapa pentingnya Al-Quds kepada umat Islam.

Justeru, apakah para pemimpin umat Islam yang bermesyuarat di persidangan OIC di Istanbul dapat mengeluarkan keputusan yang benar? Sebenarnya, tidak sukar untuk meramalkan apakah keputusan yang akan mereka ambil. Ia tentu sahaja satu keputusan yang akan selari dengan perancangan AS di bumi Palestin. Persoalannya, apakah Allah SWT tidak memberikan penyelesaian dan jawapan kepada kita dalam isu ini?

Di dalam al-Quran telah diterangkan dengan jelas penyelesaian kepada isu ini. Allah SWT berfirman:

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah SWT. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim”. [TMQ Al-Baqarah (2): 193]

Perintah ini telah dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab ketika beliau membebaskan Al-Quds daripada kekuasaan Rom melalui perang Yarmuk 636M. Sejak itu, bumi yang diberkati ini berada di bawah keadilan Islam selama lebih 450 tahun. Kemudian, tentera Salib menjajah ke atas tanah tersebut ketika umat Islam dalam keadaan lemah pada tahun 1099M. Sepanjang 88 tahun dijajah oleh tentera Salib, umat Islam tidak pernah melakukan rundingan dua negara atau rundingan-rundingan lain. Tetapi sebaliknya tentera Islam digerakkan sekali lagi di bawah Panglima Perang Salahudin Al-Ayubi dalam Perang Hittin (1187M) dan berjaya membebaskan Palestin semula. Setelah itu, Al-Quds berada di bawah naungan Islam sekali lagi selama lebih 700 tahun.

Bukankah dua peristiwa tersebut memberikan kita jawapan yang jelas kepada penyelesaian isu Palestin?

Sebab itulah penyelesaian yang benar kepada konflik di Palestin adalah dengan menghantar kekuatan tentera dan membebaskannya daripada penjajahan entiti Yahudi. Entiti Yahudi mesti ditundukkan dengan kekuatan tentera dan bukan lagi dengan melakukan rundingan dan mesyuarat tergempar. Persoalannya, siapakah yang kita harapkan untuk menggerakkan tentera Islam? Dapatkah kita mengharapkan para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini menggerakkan tentera bagi membebaskan Palestin? Hanya orang yang akalnya sudah dikunci dengan kedunguan sahaja yang tidak dapat melihat pembohongan dan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh para pemimpin umat Islam ke atas Palestin.

Khilafah Satu-satunya Harapan

Sedarlah wahai umat Islam, hanya melalui Jihad fii Sabilillah sahaja yang dapat membebaskan Palestin dan Baitul Maqdis daripada cengkaman musuh Islam. Tetapi, jihad membebaskan bumi Palestin tidak dapat dilakukan tanpa adanya kesatuan di bawah naungan Khilafah yang tegak di atas jalan kenabian.

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) adalah pelindung, orang-orang berperang di belakangnya dan menjadikannya pelindung.” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud].

Sistem pemerintahan Khilafah akan membebaskan tentera umat Islam daripada belenggu assabiyyah dan undang-undang antarabangsa ciptaan barat lalu menggerakkan mereka untuk mengalahkan dan mengusir entiti Yahudi keluar dari tanah suci Palestin. Kemudian, ia akan menjadikan Al-Quds sebagai ibu negara Khilafah Islamiyyah seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW sebagaimana Baginda bersabda:

“Perkara ini (Khilafah) akan ada sesudahku di Madinah, lalu di Syam, lalu di Jazirah, lalu di Iraq, lalu di Kota(Konstantinopel), lalu di Baitul Maqdis. Jika ia (Khilafah) berada di Baitul Maqdis, lalu Baitul Maqdis menjadi pusat negerinya, tidaklah suatu kaum mengeluarkannya dari sana lalu akan kembali kepada mereka selamanya.” [Ibnu ‘Asâkir, Târikh Dimasyq, 1/185]

Apa yang diberitakan oleh Rasulullah SAW benar-benar berlaku. Madinah menjadi ibu kota Khilafah ar-Rashidah. Kemudian, Syam menjadi ibu kota Khilafah Ummayyah, Iraq (Baghdad) pula menjadi ibu kota Khilafah Abbasiyyah, lalu Konstantinopel (Istanbul) menjadi ibu kota Khilafah Uthmaniyyah. Maka akan kembali semula Khilafah di akhir zaman ini dan ibu kotanya akan berada di Baitul Maqdis.

Namun, berita gembira ini belum dapat direalisasikan sehingga hari ini kerana Khilafah yang mengikut thariqah (metodologi) Rasulullah SAW masih belum dapat ditegakkan lagi. Sudah menjadi kewajipan bagi seluruh kaum muslimin ketika ini untuk menegakkan semula sistem pemerintahan Khilafah. Bukan sahaja bumi Palestin akan dibebaskan, tetapi juga akan membela dan membebaskan umat Islam yang ditindas di seluruh dunia. Wallahu’alam.