Isu Baitul Maqdis – Cukupkah penguasa umat Islam sekadar bersolidariti berhimpun?

PUTRAJAYA, 20 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan resolusi Malaysia berhubung isu Baitulmuqaddis pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra di sini, Jumaat ini. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia juga akan berbincang dengan negara-negara lain untuk membawa isu Baitulmuqaddis ke Perhimpunan Agung Tergempar Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Bernama, Rabu, 20 Disember 2017

Sumber: http://www.bernama.com


Ulasan:

Seperti sebelumnya, pemimpin-pemimpin negara umat Islam masih lagi menggunakan cara resolusi, kritikan dan persidangan tergempar untuk menyatakan bantahan dan penyelesaian kepada isu Baitul Maqdis selepas diistiharkan sebagai ibu negara entiti Yahudi oleh Presiden Amerika Syarikat (AS). Pemimpin Malaysia juga tidak berkecuali, diketuai oleh Perdana Menteri sendiri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak bersama parti pimpinannya (UMNO) bergabung tenaga bersama beberapa  parti politik dan NGO untuk mengadakan perhimpunan “Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis”. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang juga dijangkakan akan turut berucap di atas pentas yang sama.

Persoalannya di sini, cukupkah begitu tindakan yang patut dilakukan oleh seorang pemimpin negara? Menyatakan bantahan, melahirkan resolusi dan menyertai perhimpunan bagi menyatakan solidariti? Adakah setakat itu sahaja kemampuan yang boleh dilakukan oleh pemimpin umat Islam hari ini sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk melakukan suatu tindakan yang lebih praktikal? Bahkan persoalan utamanya di sini ialah adakah tindakan tersebut sesuai dengan apa yang dituntut oleh hukum syara’

Sebagai pemimpin umat Islam di Malaysia, Perdana Menteri berkewajipan untuk menyelesaikan isu Baitul Maqdis dan Palestin ini sesuai dengan hukum Allah SWT. Jadi, penyelesaian yang wajib dilakukan oleh pemerintah ialah mengisytiharkan jihad dengan menghantar bala tentera untuk membebaskan Baitul Maqdis, bukannya dengan berhimpun dan beretorik tanpa sebarang tindakan yang nyata. Allah SWT berfirman:

قَاتِلُواْ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلاَ بِالْيَوْمِ الآخِرِ وَلاَ يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلاَ يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حَتَّى يُعْطُواْ الْجِزْيَةَ عَن يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhir dan mereka yang tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan Rasulnya dan mereka yang tidak beragama dengan agama yang benar (iaitu orang-orang) yang telah diberikan kitab, hingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [TMQ at-Taubah (9):29].

Sedangkan peranan parti politik dan NGO Islam serta para ulama’ pula berkewajipan mengingatkan pemerintah Malaysia tentang kewajipan mereka yang sebenarnya berlandaskan hukum Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam ayat al-Quran di atas. Sekali lagi diingatkan, pemimpin umat Islam wajib sedar bahawa tugas mereka membebaskan Baitul Maqdis adalah dengan melancarkan seruan jihad, menggerakkan tentera kaum muslimin memerangi dan seterusnya mengusir entiti Yahudi dari bumi Palestin. Inilah penyelesaian yang wajib diambil oleh pemimpin umat Islam, barulah kita akan melihat jiwa Salahuddin al-Ayyubi yang sebenarnya.

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia