Gaji naik, tetapi rakyat Malaysia tidak gembira

Berita:

Upah tidak sejajar dengan inflasi pada 2018, kata pakar ekonomi

UPAH yang tidak naik selaras dengan kadar inflasi dijangka akan berterusan tahun ini, kata seorang pakar ekonomi, walaupun kenaikan harga barang akan lebih rendah pada 2018 berbanding tahun lalu.

Pakar ekonomi Azrul Azwar Tajuddin berkata pada 2017 kadar inflasi atau kadar harga barangan dan perkhidmatan meningkat, mencecah purata 4%.

Namun menurut perunding pengurus global Korn Ferry Hay Group (Korn Ferry), purata upah meningkat hanya 1.3%.

Berita penuh: themalaysianinsight.com


Komentar:

Bagi rakyat Malaysia amnya, kenaikan gaji hanyalah kegembiraan yang sementara. Kenaikan gaji tetap tidak dapat membantu tekanan yang dirasai akibat kos sara hidup yang semakin parah. Kajian yang dilakukan oleh pakar ekonomi, Azrul Azwar Tajuddin meyakinkan lagi masalah kos sara hidup akan terus menekan hidup rakyat Malaysia pada tahun 2018.

Saban tahun, pakar-pakar ekonomi bekerjasama dengan kerajaan telah berusaha mencari formula untuk menangani masalah kos sara hidup namun tampak tiada hasil. Pemberian BRIM, penetapan gaji minima, pelepasan GST untuk barangan asas, pelepasan cukai pendapatan, penghapusan tol dan pelbagai lagi inisiatif kerajaan tidak mampu membendung mahupun mengurangkan derita yang dialami rakyat.

Isu kos sara hidup ini antara isu yang paling hangat dibincangkan menjelang pilihanraya umum ke-14. Mungkin isu inilah yang menjadi penentu undi rakyat. Pakatan harapan cuba membuktikan masalah kos sara hidup berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional hari ini dan skandal yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak. Di sisi lain, kerajaan Barisan Nasional pula memberi amaran akan ketidakstabilan ekonomi yang lebih parah jika Malaysia dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Hakikatnya, Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional hanya mem’politik’kan isu kos sara hidup demi agenda politik masing-masing. Kedua-dua pihak gagal mengetengahkan akar permasalahan kos sara hidup yang sebenarnya berpunca daripada sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di Malaysia.

Sistem kapitalis sememangnya diketahui ramai akan sifatnya yang rapuh dan menanti kehancuran. Gelombang kejatuhan ekonomi yang pernah melanda Malaysia pada tahun 1998 akan berulang dan diramalkan impaknya lebih teruk. Maka, walau wajah kepimpinan yang baru yang memerintah, sistem ekonominya tetap asasnya kapitalis, rakyat tetap sahaja akan sengsara dengan dibelenggu kos sara hidup. Ibaratnya kereta usang yang enginnya berkarat menanti rosak, jika ditukar dengan pemandu F1, ditukar aksesori kereta dan dicat semula agar tampak baru sekalipun tetap tidak akan mampu pergi jauh selagi masalah akarnya iaitu engin tidak ditukar.

Sistem ciptaan manusia ini (kapitalis) sudah pasti tidak mampu menandingi kehebatan sistem ekonomi Islam yang berteraskan wahyu. Sistem ekonomi yang bernaung di bawah pemerintahan Khilafah akan terbukti mampu menyejahterakan rakyatnya. Sebagai seorang muslim, antara sistem ekonomi ciptaan manusia dan wahyu, sistem ekonomi manakah yang perlu kita pilih?

Faizal Abu Suhaib
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia