SN534 – Pengaruh Asing Dalam Geopolitik Malaysia
Bil: SN534 – 15 Syawal 1439 / 29 Jun 2018
Pilihan raya Malaysia telah berlangsung pada 9 Mei 2018 lepas yang menyaksikan kekalahan Barisan Nasional di bawah Najib Razak dan kembalinya Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika beliau berumur 92 tahun. Di sebalik perkembangan ini, timbul persoalan, adakah terdapat sebarang motif luaran dalam senario politik di Malaysia atau ia adalah semata-mata pilihan rakyat? Untuk memahami persoalan ini dengan baik dan menyeluruh, maka tidak dapat tidak kita harus memerhatikan sejarah tanah air serta perkembangan politik antarabangsa. Umum mengetahui bahawa negara-negara dunia dari negara kecil sehingga negara membangun tidak dapat lari daripada hegemoni kuasa besar.
Malaysia terdiri daripada semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian daripada Borneo yang dipisahkan oleh Laut China Selatan. Islam mula tersebar di rantau itu melalui para pedagang Muslim pada abad ke-13 di mana para pemerintah dan bangsawan pada mulanya memeluk Islam sebelum menyebarkannya kepada orang ramai. Kesultanan Melaka yang terletak di semenenjung Tanah Melayu menjadi penting apabila terdapat peningkatan perdagangan maritim sejak perdagangan di darat terganggu akibat pencerobohan Monggol. Kesultanan Melaka bebas daripada pengaruh China pada abad kelima belas dan setelah memeluk Islam, Islam tersebar dengan pesat ke seluruh rantau tersebut hasil kekuatan dan kedudukan kesultanan yang kukuh. Akibat pengkhianatan, Melaka akhirnya dijajah oleh Portugis pada tahun 1511 apabila Portugis berjaya merasuah seseorang yang berada di dalam kubu untuk membuka pagar kubu ibukota dari dalam.
Kemudian Belanda menjajah Melaka pada tahun 1641 dan penjajahan Britain ke atas semenajung Tanah Melayu bermula pada tahun 1786 melalui perdagangan dan penyewaan pelabuhan, serta melalui strategi Britain mengeksploitasi demografi Tanah Melayu yang terdiri daripada berbilang kaum supaya mereka menjadi pemerintah sebenar dan menjadikan sultan-sultan yang masih kekal hanya sebagai simbol sahaja. Kesatuan Tanah Melayu di Semenanjung telah mencapai kemerdekaan rasmi daripada Britain pada tahun 1957. Kemudian Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 setelah penyatuan Persekutuan Tanah Melayu dengan kepulauan Borneo dan Singapura (Singapura akhirnya keluar daripada Malaysia pada tahun 1965).
Adalah jelas bahawa walaupun setelah kemerdekaan, Britain terus mempunyai pengaruh politik ke atas Malaysia, antaranya melalui beberapa perkara berikut:
i) Malaysia kekal menjadi anggota Komanwel Britain dan menganggotai Pergerakan Negara-negara Berkecuali (Non-Aligned Movement, NAM) yang disertai sejak tahun 2003. Malaysia juga merupakan antara negara pengasas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang menguasai kedudukan strategik laluan perdagangan dunia sekaligus menyaksikan perdagangan UK-ASEAN meningkat dari tahun ke tahun. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman telah dilantik menjadi Setiausaha Agung yang pertama sewaktu penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 1969 di mana sebahagian besar negara-negara Arab masih berada di bawah pengaruh Britain;
ii) Pada tahun 1971, Perjanjian Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA) telah ditandatangani di antara United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura ekoran jaminan pertahanan Britain ke atas Semenanjung Malaysia dan Singapura setelah Britain menarik keluar tenteranya dari timur Suez. Perlu diambil perhatian bahawa pada tahun 1971 Australia diperintah oleh Parti Liberal yang kekal memihak kepada Britain sehingga abad ke-20;
iii) Perdana Menteri Malaysia keempat, Mahathir Mohamad menentang penubuhan pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Asia-Pacific Economic Cooperation, APEC) yang pro-Amerika, di mana ia dilancarkan oleh Australia di bawah kepimpinan pengerusi Parti Buruh, Bob Hawke yang pro-Amerika pada tahun 1989. Pengganti Hawke yang juga pemimpin Parti Buruh dan Perdana Menteri Australia ke-24, Paul Keating menggambarkan Mahathir sebagai “derhaka” kerana tidak menghadiri Sidang Kemuncak APEC pada tahun 1993 di Seattle, Amerika Syarikat;
iv) Sebagai alternatif kepada APEC, Mahathir Mohamad mencadangkan pada tahun 1997 pembentukan Komuniti Ekonomi Asia Timur (East Asian Economic Group, EAEG) dengan mengenepikan Amerika Syarikat dan Australia. Walau bagaimanapun, idea ini gagal dan kemudian diubah menjadi mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Timur, namun sidang tersebut kekal mengenepikan Amerika Syarikat dan sebaliknya menerima Australia di bawah pengerusi Perdana Menteri daripada Parti Liberal yang pro-Britain, John Howard. Amerika Syarikat and Rusia tidak dapat menyertai komuniti ini sehinggalah pada tahun 2011.
Britain mendapati bahawa hubungan Amerika Syarikat dengan mantan Perdana Menteri Najib Razak semakin erat dan khuatir berlaku kecenderungan ke arah Amerika, walaupun beliau merupakan menteri daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United, Malays National Organization, UMNO) yang menerajui kerajaan Malaysia sejak merdeka dan pro-Britain. Antara tanda-tanda terhadap hubungan ini adalah:
i) Lawatan Barack Obama ke Malaysia pada April 2014 mengukir sejarah apabila ia merupakan presiden Amerika Syarikat yang pertama melawat Malaysia dalam hampir 50 tahun. Dalam lawatan tersebut Obama memutuskan untuk “meningkatkan hubungan Malaysia-Amerika ke tahap perkongsian menyeluruh” yang merupakan dasar Pivot To East Asia oleh Obama;
ii) Setelah Najib dan Obama menjadi rakan bermain golf bersama-sama di Hawaii pada bulan Disember 2014, Obama kemudian melawat Malaysia sekali lagi pada bulan November 2015;
iii) Najib begitu kuat menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership, TPP) yang merupakan inisiatif Amerika Syarikat. Setelah Amerika Syarikat menarik diri ketika era Presiden Trump, Najib kemudian bekerjasama dengan Jepun untuk meneruskan Trade Point Program (Program Titik Perdagangan). Vietnam dan Malaysia memainkan peranan penting untuk menyelamatkan 11 negara yang terlibat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang hampir gagal setelah Amerika Syarikat menarik diri.
iv) Menjelang pilihan raya 2018, Britain sekali lagi kelihatan memberi tumpuan kepada Mahathir Mohamad yang menggunakan pentas pembangkang untuk kembali berkuasa dan akhirnya berjaya. Sebagaimana praktik terdahulu, para pemimpin parti politik akan ke Amerika Syarikat dan Britain sebelum pilihan raya umum berlangsung. Timbul persoalan, apakah kaitan Britain sehingga pertemuan bersejarah di antara Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Mahathir di London pada Julai 2017 yang lalu telah berhasil menyelesaikan krisis struktur kepimpinan dan mengubah situasi politik barisan pakatan pembangkang (HARAPAN)? Mengapa pertemuan ini dilakukan di London dan bukannya di Kuala Lumpur? Merujuk senario-senario di atas, dijangkakan bahawa Malaysia akan berpaling daripada dasar-dasar dan campur tangan Amerika Syarikat di negara dan rantau ini.
[Sumber: Nukilan soal-jawab Hizbut Tahrir pusat, www.hizb-ut-tahrir.info, 28 Mei 2018]
KOLUM SEJARAH
Kisah Penghinaan Nabi di Zaman Khilafah Uthmaniyyah
Baru-baru ini, ahli politik Belanda, Geert Wilders yang dikenali dengan sikap dan gerakan anti-Islam sekali lagi menimbulkan kontroversi dengan mengadakan pertandingan melukis karikatur Nabi Muhammad SAW. Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW hakikatnya telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW sendiri sehingga ke hari ini dalam pelbagai bentuk. Namun respon yang diberikan oleh umat Islam yang dipimpim oleh para pemerintah hari ini sangat berbeza dengan respon yang dizahirkan ketika wujudnya negara Khilafah. Suatu ketika pada zaman Khalifah Abdul Hamid II, Perancis pernah merancang untuk mengadakan pementasan drama yang diambil dari hasil karya Voltaire(seorang pemikir Eropah) yang bertemakan “Muhammad atau Kefanatikan” yang mencaci Rasulullah SAW dan turut menghina Zaid dan juga Zainab. Ketika Khalifah mengetahui hal tersebut, melalui dutanya di Perancis, beliau segera memberikan amaran kepada pemerintah Perancis supaya menghentikan pementasan drama tersebut serta-merta. Beliau mengingatkan bahawa Perancis bakal berhadapan dengan “tindakan politik” jika tetap meneruskan pementasan tersebut. Pemerintah Perancis akhirnya tunduk dan membatalkan pementasan tersebut.
Tidak berhenti di situ, kumpulan teater tersebut kemudiannya berangkat ke Britain. Mereka merancang untuk mengadakan pementasan yang sama di Britain. Sekali lagi, Khalifah Abdul Hamid yang mendapat tahu hal tersebut, terus memberi amaran kepada Britain. Britain dengan angkuhnya tidak melayan amaran tersebut. Alasannya, tiket sudah habis terjual dan jika dibatalkan drama tersebut, ini bertentangan dengan prinsip kebebasan (freedom) yang dianutinya. Wakil Khilafah Uthmaniyyah di sana kemudian menegaskan kepada pemerintah Britain bahawa Perancis telah pun membatalkan acara tersebut sekalipun sama-sama mendukung kebebasan sebagaimana Britain. Pihak Britain justeru menjawab bahawa kebebasan yang dinikmati rakyatnya jauh lebih baik daripada apa yang ada di Perancis. Setelah mendengar sikap Britain yang demikian, Khalifah terus memberi amaran, “Aku akan mengeluarkan perintah kepada umat Islam dengan mengatakan bahawa Britain sedang menyerang dan menghina Rasul kita. Aku akan mengobarkan jihad al-akbar!”. Melihat ketegasan Khalifah dalam menjaga kehormatan Rasulullah SAW tersebut, pemerintah Britain serta merta melupakan idea tentang kebebasan, dan pementasan drama itu pun dibatalkan.
[Sumber: Majalah al-Wa‘ie, No. 31, 2003].