SN492 – Realiti Dan Hukum Pembunuhan Warga Asing Dalam Negara

PDF

SN Keluaran 28 Jamadil Awal 1438H/24 Februari 2017

[SN492] Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila digemparkan dengan berita pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada presiden Korea Utara, Kim Jong-un. Jong-Nam dibunuh di lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA2) oleh suspek yang menekap mukanya dengan cecair yang dipercayai mengandungi racun. Mangsa kemudian dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia dalam perjalanan. Hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang menjadi tegang dengan pembunuhan ini dan diburukkan lagi apabila duta Korea Utara ke Malaysia mengecam dan mempertikaikan banyak tindakan Malaysia termasuk tidak membenarkan Korea menghantar pasukan mereka untuk bersama-sama menyiasat kes berprofil tinggi ini.

Sebelum ini, Malaysia telah beberapa kali menarik perhatian dunia dengan beberapa kes yang mengejutkan seperti misteri kehilangan pesawat MH370 yang meragut 227 nyawa, kes penembakan jatuh pesawat MH17 yang mengorbankan 289 nyawa, pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kes-kes penculikan, tebusan dan pembunuhan oleh militan Filipina, pembunuhan dan penyeksaan Muslim Rohingya di sempadan Malaysia dan beberapa yang lain. Ini belum masuk kes-kes politik yang menjadikan Malaysia terkenal seantero dunia seperti skandal 1MDB, derma peribadi kepada Perdana Menteri sebanyak RM2.6 bilion, kekayaan Sarawak yang dibolot oleh pihak tertentu, “penggadaian” tanah dan aset-aset negara kepada China dan banyak lagi.

Dengan begitu banyak kes jenayah antarabangsa yang berlaku di Malaysia atau pun melibatkan Malaysia, termasuklah dengan kes pembunuhan terbaru Kim Jong-nam ini, semua ini telah menimbulkan satu persoalan yakni kenapakah Malaysia “dipilih” sebagai lokasi atau menjadi negara favourite kepada para penjenayah antarabangsa untuk melaksanakan misi mereka? Adakah Malaysia sudah menjadi padang bola untuk permainan pihak-pihak tertentu di peringkat internasional? Secara congak sahaja kita boleh mengira bahawa mesti ada sebab-sebab special kenapa penjenayah ini memilih Malaysia sebagai hub walhal banyak lagi negara lain. Pembunuhan Kim Jong-nam contohnya, walaupun beliau dikatakan sering ke Singapura dan tempat-tempat lain, namun kenapa Singapura atau negaranya sendiri (Korea) tidak pula dipilih sebagai lokasi pembunuhan? Begitulah juga dengan kes-kes jenayah lain yang menampakkan Malaysia sebagai sebuah pentas yang banyak “kelebihan” berbanding negara lain.

Hukum Islam Mengenai Pembunuhan Warga Asing Dalam Negara

Dalam pada ketegangan yang muncul akibat ketegasan Malaysia untuk menyiasat kes ini sendiri tanpa melibatkan Korea dan dengan tegas ingin menggunakan undang-undang Malaysia, mungkin ramai yang tidak melihat persoalan pembunuhan ini dari kacamata Islam. Walaupun saat ini “hukuman syariah” melalui RUU 355 sedang hangat diperkatakan, namun apa yang pasti ialah cadangan pindaan tersebut tidak memasukkan hukuman bunuh sebagai kesalahan syariah, yang sekali gus bermaksud semua kes bunuh di Malaysia kekal di bawah undang-undang yang tidak syariah. Apa pun, sebagai Muslim, kita perlu tahu bagaimana Islam menangani masalah pembunuhan ini dari segi hukum-hakamnya, di samping berusaha keras untuk menegakkan hukum ini dalam bingkai sebuah Negara Islam (Khilafah).

Di dalam kitab Nidzam al-Uqubat, Abdurrahman al-Maliki menjelaskan dengan terperinci tentang kes pembunuhan yang melibatkan warga asing dalam sebuah Negara Islam. Beliau membezakan “status” pembunuh dan orang yang dibunuh kerana hukumnya berbeza berdasarkan status tersebut. Hal ini dengan andaian kes pembunuhan ini telah terbukti samada dengan saksi mahupun pengakuan:-

(1) Jika pembunuhnya adalah Muslim atau kafir dzimmi, dan yang dibunuh ialah kafir harbi.

Kafir dzimmi merupakan orang-orang kafir warganegara Daulah Islam yang tunduk kepada hukum Islam dan membayar jizyah kepada negara sebagai perlindungan ke atasnya. Kafir harbi ialah orang-orang kafir (warganegara asing) yang tidak diberi jaminan keamanan (seperti visa) mahupun hak-hak umum oleh Negara Islam, dan juga tidak ada jaminan khusus baginya dalam Negara Islam. Dengan kata lain, dia memasuki negara dengan cara haram. Dari segi hukum, seorang Muslim mahupun kafir dzimmi, tidak diqisas (bunuh balas) kerana membunuh kafir harbi tersebut, sama sahaja sama ada yang dibunuh itu kafir muharib bi al-fi’l (orang kafir yang memusuhi Daulah Islam secara langsung; seperti halnya kabilah-kabilah yang mengumumkan perang terhadap Rasulullah SAW) atau kafir ghair al-muharib bi al-fi’l (orang kafir yang tidak memerangi Islam).

Bagi kafir al-muharib bi al-fi’l, tidak ada khilaf (perbezaan pendapat) dalam kalangan ulama bahawa seorang Muslim wajib memerangi mereka di mana pun mereka berada. Darah mereka tidak terjaga. Adapun bagi kafir ghair al-muharib bi al-fi’l, jika ia bukan kafir mu’ahid (orang kafir yang negaranya mempunyai perjanjian dengan Negara Islam), apabila seorang Muslim membunuhnya (tanpa hak), maka Muslim itu tidak diqisas. Akan tetapi ia hanya dikenakan diyat yang jumlahnya separuh daripada diyat pembunuhan seorang Muslim. Hal ini sebagaimana diriwayatkan dari ‘Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda, “Diyat seorang kafir separuh diyat seorang Muslim.” Ini kerana, kita tidak mengumumkan perang terhadap mereka, dan antara kita dengan mereka tidak dalam keadaan perang.

Oleh kerana itu, seorang Muslim secara mutlak tidak diqisas kerana membunuh kafir ghair al-muharib bi al-fi’l (yang negaranya tidak memiliki perjanjian dengan kita). Dalilnya, bahawa Rasulullah SAW telah menyebutkan dengan jelas akan hal ini sebagaimana Imam Ahmad meriwayatkan dari Ali RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Perhatikan, seorang Mukmin tidak dibunuh kerana membunuh seorang kafir (harbi), demikian pula kafir mu’ahid (tidak dibunuh kerana membunuh seorang kafir harbi).” Hadis ini membawa maksud bahawa seorang Muslim mahupun kafir mu’ahid, tidak dikenakan qisas kerana membunuh kafir harbi.

(2) Jika pembunuhnya adalah Muslim atau kafir dzimmi, dan yang dibunuh ialah kafir mu’ahid, kafir musta’min atau kafir dzimmi.

Selain kafir harbi, orang-orang kafir juga tergolong ke dalam kafir dzimmi atau kafir musta’min (orang-orang kafir warga asing yang diberi jaminan keamanan, seperti visa, untuk masuk ke Negara Islam, tidak kira sama ada negaranya mempunyai perjanjian atau tidak, asalkan keamanan itu diberikan terhadapnya sebagai individu). Kafir dzimmi juga termasuk dalam kategori kafir mu’ahid berdasarkan keterikatannya dengan akad perlindungan (dzimmah)nya dengan Daulah Islam. Seorang kafir dzimmi tidak ada bezanya berbanding seorang Muslim dalam hal penjagaan terhadap darah, harta dan kehormatannya oleh Negara Islam. Darah mereka haram atas kaum Muslimin seperti halnya darah seorang Muslim sebagaimana sabda Rasulullah SAW “Barangsiapa membunuh kafir mu’ahid, maka ia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu boleh tercium dari jarak 40 tahun perjalanan” [HR Bukhari]. Sabda baginda yang lain, “Perhatikan, barangsiapa membunuh kafir mu’ahid, maka ia mendapat celaan dari Allah dan RasulNya. Sungguh aku berlindung dari celaan Allah, dan ia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga bisa tercium dari jarak 40 tahun perjalanan” [HR Tirmizi].

Dua hadis ini menunjukkan keharaman membunuh kafir mu’ahid dan dzimmi, di mana Islam memberi ancaman keras ke atas pelakunya berupa pengharaman syurga baginya. Imam Baihaqi mengeluarkan hadis dari Abd al-Rahman al-Bilmani, “Rasulullah SAW telah menghukum bunuh seorang Muslim yang membunuh kafir mu’ahid. Kemudian baginda bersabda, “Aku telah memuliakan darah orang yang memohon perlindungan.” Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang membunuh kafir mu’ahid wajib dihukum bunuh. Atas dasar yang sama, seorang Muslim wajib dihukum bunuh kerana membunuh kafir dzimmi.

Imam Thabarani mengeluarkan atsar (kisah sahabat), “Ali RA diserahi seorang lelaki Muslim yang telah membunuh seorang lelaki kafir dzimmi. Ternyata lelaki tersebut telah terbukti melakukan pembunuhan. Ali kemudian memerintahkan untuk menghukum bunuh lelaki Muslim tersebut. Kemudian datang saudara kafir dzimmi lalu berkata, ‘Aku telah memaafkannya.’ Ali bertanya, ‘Apakah mereka telah mengancam hendak mengusir dan menggertakmu?’ Lelaki itu menjawab, ‘Tidak. Meskipun engkau menghukum bunuhnya, saudaraku tidak akan dapat kembali lagi kepadaku. Mereka telah meminta maaf kepadaku dan aku telah redha. Ali berkata, ‘Kamu lebih tahu, barangsiapa (yakni ahlu dzimmi) yang mendapat perlindungan dari kami, darahnya seperti darah kami, diyatnya seperti diyat kami.

Kesimpulannya, seorang Muslim atau kafir dzimmi akan dihukum bunuh jika ia membunuh seorang kafir mu’ahid atau kafir dzimmi.

Manakala kafir musta’min, statusnya sama sebagaimana kafir dzimmi dari segi sama-sama mempunyai perjanjian dan diberi hak keamanan oleh Negara Islam selama ia berada dalam negara kita. Sama sahaja apakah keamanan itu bagi dirinya sendiri, atau keamanan tersebut bersifat umum yang mencakup pengaturan urusan negaranya. Jadi, darah, harta dan kehormatan seorang kafir musta’min adalah haram, sehingga seorang Muslim (atau kafir dzimmi) akan dihukum bunuh jika membunuhnya. Firman Allah SWT, “Dan jika seseorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya” [TMQ al-Taubah (9):6].

Jika mana-mana Muslim, ataupun kafir dzimmi, apatah lagi kafir lainnya membunuh kafir musta’min, maka mereka akan dihukum bunuh, tanpa kecuali. Ini kerana, hukum Allah merupakan undang-undang negara yang bukan sahaja terkena ke atas orang-orang Islam, tetapi juga ke atas orang-orang kafir yang berada dalam Daulah Islam. Al-Quranul kareem ada menyebut tentang pembunuhan tidak sengaja yang berlaku ke atas kaum kafir yang memiliki perjanjian (dengan Negara Islam) yang mana hukumannya sama seperti hukuman membunuh seorang Muslim. Firman Allah SWT, “Dan jika ia (yang terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diyat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang Mukmin” [TMQ al-Nisa’ (4):92].

Ayat ini menunjukkan bahawa hukuman bagi pembunuhan terhadap kafir mu’ahid tanpa sengaja, sama sahaja tanpa mengira siapa pelakunya, selama mana ia berlaku dalam negara yang diperintah oleh Islam. Ini kerana hukum Allah, yang merupakan undang-undang bagi negara, terkena ke atas siapa sahaja, walaupun orang itu bukan warganegara sekalipun, selama mana kesalahan yang dilakukannya adalah di dalam Negara Islam. Apa yang perlu dibezakan ialah “statusnya” sahaja sama ada kafir harbi atau kafir mu’ahid dan seterusnya. Dalam hal ini, kita tidak akan melihat lagi kepada undang-undang antarabangsa, yang sebenarnya tidak ada, kecuali “diada-adakan” bagi menundukkan umat Islam kepada sistem dan undang-undang kufur. Di sudut antarabangsa, kita hanya terikat dengan norma-norma antarabangsa, dan bukannya undang-undang antarabangsa, sebagaimana dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dahulu seperti keharaman berperang dalam bulan-bulan tertentu. Itupun selagi mana norma-norma tersebut tidak menyalahi al-Quran dan al-Sunnah.

Apabila kita menelusuri nas-nas yang terdapat di dalam al-Quran mahupun al-Hadis, maka Insya Allah kita akan dapat menjawab kes pembunuhan Kim Jong-nam dari segi hukum syarak. Adapun dari segi penyiasatan, pembuktian, prosedur dan proses perbicaraan, semua ini juga ada hukum syarak mengenainya yang wajib kita istinbat (gali) dari nas-nas mengenainya, yang tidak sempat kita bicarakan di sini. Apa yang penting, cara berfikir kita sebagai Muslim hendaklah diluruskan agar segala macam masalah yang menimpa kita, keluarga, masyarakat mahupun negara, penyelesaian yang perlu kita fikir dan usahakan ialah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya berdasarkan undang-undang kufur yang sedia ada.

Khatimah

Berleluasanya kes-kes jenayah dalam negara yang semakin berkembang dan meningkat dari segi statistik dan bentuk-bentuknya dari semasa ke semasa, sesungguhnya hal ini tidak dapat dipisahkan daripada penguatkuasaan undang-undang yang longgar, korupsi, penyelewengan, pembabitan orang dalam dan banyak lagi. Walau apa pun faktornya, sistem dan undang-undang buatan manusia yang berkuatkuasa pada hari ini ditambah dengan para penguasa yang tidak amanah, tamak haloba dan tidak takutkan Allah, menjadi punca utama kepada segala kerosakan. Semua kelemahan dan keburukan yang ada dalam negara ini, dilihat oleh kuasa besar dan para penjenayah, baik dalam mahupun luar negeri, sebagai lubuk emas untuk mereka menjalankan agenda mereka. Inilah natijah daripada wujudnya pemerintah dan sistem yang memisahkan agama daripada kehidupan (sekular), yang mana selagi wujud pemerintah dan sistem ini, maka selagi itulah negara ini akan dibelenggu dengan pelbagai masalah. Kebaikan, keamanan, keadilan, kesejahteraan dan rahmat Allah hanya akan menaungi rakyat dan negara ini apabila hukum Allah SWT dilaksanakan sepenuhnya dalam bingkai negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir akan kewujudannya di seluruh dunia. Wallahu a’lam.