Pertandingan Lukisan Nabi Muhammad Satu Kebiadapan Atas Nama Kebebasan!
Geert Wilders seorang ahli politik kontroversi, mengumumkan akan mengadakan sebuah peraduan kontoversi, iaitu mencari lukisan kartun terbaik Nabi Muhammad SAW. Pemenang bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak €5000 (independent.com). Dia menyatakan bahawa pertandingan melampau ini telah mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa Belanda dan dianjurkan oleh partinya sendiri. Dia juga merasakan larangan melukis gambar Muhammad ialah ancaman terhadap kebebasan bersuara, iaitu salah satu doktrin yang penting dalam fahaman kebebasan. (https://www.independent.co.uk/news/world/europe/geert-wilders-prophet-muhammad-cartoon-competition-islamophobia-dutch-netherlands-a8396386.html)
Umat Islam terus berhadapan dengan pelbagai penghinaan terhadap Islam daripada Geert Wilders tanpa ada pembelaan. Sehingga kini pelbagai momokan dan jolokan dilemparkannya terhadap Islam, sebuah agama yang semakin berkembang di dunia saat ini. Bukan hanya syariat Islam seperti jihad dan hudud yang menjadi modal cercaan, malah kitab suci al-Quran dan susuk tubuh Rasulullah SAW yang mulia turut dihina. Mengapa kebiadapan ini boleh terjadi ketika umat Islam baharu sahaja menyambut Aidilfitri?
Hal ini berlaku demikian kerana musuh-musuh Islam seperti Geert Wilders mempunyai agenda atau kepentingan politik untuk meningkatkan popularitinya dengan memburuk-burukkan ajaran Islam dan umat Islam. Dia sudah pasti menantikan reaksi-reaksi kemarahan umat Islam untuk lebih mempropagandakan Islam sebagai agama yang mengongkong manusia dan bertentangan dengan nilai-nilai kebebasan Barat.
Dengan alasan kebebasan bersuara, Barat membenarkan perbuatan menghina dan ini bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Siapakah antara kita suka dihina, dimaki dan dikutuk? Apatah lagi penghinaan itu ditujukan terhadap insan yang jauh lebih kita sayangi berbanding diri, keluarga, harta dan perniagaan, iaitu Rasulullah SAW sepertimana yang diperintahkan dalam firman Allah SWT :
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
‘Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik’ [TMQ at-Taubah (9): 24].
Malangnya kebiadapan Wilders ini tidak sedikit pun disentuh oleh pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini. Langsung tiada sebarang bantahan mahupun tekanan politik daripada mana-mana pemimpin umat Islam setakat ini. Justeru, umat Islam perlu sedar, bahawa pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini tidak mampu mempertahankan Nabi Muhammad SAW sehingga menyebabkan penghinaan demi penghinaan ditujukan terhadap Islam pasca kejatuhan Khilafah. Mereka sibuk mengurus agenda politik Barat seperti menerapkan kapitalisme, menancapkan liberalisme dan membiarkan hedonism menyubur sehingga tidak mampu menghalang atau paling kurang menakut-nakutkan musuh-musuh Islam. Kita rindu akan ketegasan Sultan Abdul Hamid II suatu ketika dahulu yang tegas memberikan amaran kepada pemerintah Perancis supaya menghentikan pementasan drama bertemakan “Muhammad dan Kefanatikan”. Sultan juga mengugut Britain yang berkeras untuk membuat persembahan dengan mengatakan “Aku akan mengeluarkan perintah kepada umat Islam dengan mengatakan bahawa Britain sedang menyerang dan menghina Rasul kita. Aku akan mengobarkan jihad al-akbar!” (https://ht-malaysia.com/fitna-seruan-dari-hizbut-tahrir-malaysia-3/)
Wahai saudaraku!
Apakah anda mahu melihat dan menyaksikan penghinaan terhadap Rasulullah SAW terus terjadi? Apakah anda boleh berdiam diri sedangkan Rasulullah dihina, dilukis dan difitnah oleh para penghina? Atau anda perlu bertindak sesuai dengan kedudukan anda? Sebagai pemimpin, gunakan kuasa yang ada bagi menggerakkan tentera dan umat Islam untuk membela Rasul dan umatnya agar kebiadapan sebegini tidak lagi berulang. Dalam pada itu, kita juga berperanan untuk menyuarakan bantahan terhadap kebiadapan Wilders ini dan mendesak mereka yang berada di tampuk pemerintahan untuk bertindak tegas ke atasnya.
Dalam pada itu, umat ini juga perlu menyedari bahawa sistem yang diterapkan pada hari ini juga menjunjung tinggi idea-idea kebebasan sepertimana Wilders menjunjungnya. Inilah salah satu daripada kerosakan yang berpunca daripada sistem demokrasi yang diamalkan pada hari ini. Tanpa adanya kepimpinan yang ikhlas dan tegas membela Islam serta umatnya, selagi itulah kebiadapan sebegini akan terus dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha untuk mengembalikan sistem kehidupan Islam dan menegakkan Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah.
Wallahualam.
Abu Ammar
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia