Perkahwinan bawah umur: Jangan mengharamkan perkara yang halal

Berita:

KUALA LUMPUR: Perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan yang tular di media sosial sejak Jumaat tidak sah dari segi undang-undang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana perkahwinan itu tidak mendapat kelulusan daripada mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya selain menjadi isteri kepada orang yang lebih tua sekali gus kanak-kanak itu di bawah umur.

Komentar:

Kita sekali lagi dihebohkan dengan isu seorang lelaki yang berusia 41 tahun berkahwin dengan seorang budak perempuan yang berusia 11 tahun. Isu ini mula timbul apabila beberapa keping gambar mereka melangsungkan perkahwinan tular di media sosial.

Isu ini mendapat respon daripada Timbalan Perdana Menteri(TPM) yang mengatakan bahawa perkahwinan terbabit tidak sah dari segi undang-undang. Beliau turut mengatakan sudah tiba masa untuk menaikkan had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Ya, memang benar perkahwinan tersebut tidak sah sekiranya undang-undang buatan manusia yang digunapakai ketika inilah yang menjadi rujukan TPM. Namun apakah yang sepatutnya menjadi rujukan utama umat Islam dalam menilai sesuatu perkara itu boleh atau tidak.

Sudah tentu, al-Quran dan as-Sunnah yang sepatutnya menjadi rujukan kita sebagai umat Islam dan apatah lagi menjadi panduan utama TPM sebagai orang yang berada dalam tampuk pemerintahan.

Hukum syara’ berkaitan persoalan ini sudah jelas bahawa Islam membolehkan (mubah/harus) berkahwin dan mengahwinkan seorang perempuan yang belum baligh (haid). Perkahwinan tersebut sah di sisi syarak jika telah memenuhi kesemua rukun dan syarat pernikahan. Tidak ada ikhtilaf di kalangan ulama’ dalam hal ini. Ini seperti mana penjelasan Ibn Mundzir, sebagaimana yang disebut oleh Ibn Qudamah, “Semua ahli ilmu, yang pandangannya kami hafal, telah sepakat bahawa seorang ayah yang menikahkan anak gadisnya yang masih kecil hukumnya mubah (sah).” [Ibn Qudamah, al-Mughni, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Jordan, Juz II, hal. 1600-1601].

Dalam hal ini, perlu diingatkan bahawa hukum syara’ meletakkan pernikahan dengan perempuan yang masih kecil (bawah umur) ini sebagai perkara yang harus atau mubah sahaja dan bukan menjadikan ia sebagai satu keutamaan (sunnah) ataupun wajib. Kebolehan itu menunjukkan perkara tersebut sah dan halal di sisi Islam.

Jadi, kenyataan yang dikeluarkan oleh TPM sebenarnya bercanggah dengan hukum Islam. Sudah semestinya hukum Islam yang perlu diikuti dan bukannya hukum buatan manusia. Allah SWT berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maaidah (5): 50]

Seperkara lagi ialah, isu yang timbul ini sebenarnya bukanlah perkara atau masalah yang perlu dikecohkan sehingga umat Islam menjadikannya sebagai polemik sedangkan pernikahan tersebut tidak bertentangan dengan hukum Islam. Dalam masa yang sama, isu anak luar nikah yang semakin hari semakin bertambah pula hanya dipandang sebelah mata walhal inilah keharaman yang nyata akibat perbuatan zina.

JPN pernah mengeluarkan statistik bahawa lebih setengah juta anak luar nikah didaftarkan dari tahun 2005 hingga 2015. Statistik turut menunjukkan bahawa mereka yang hamil tanpa pernikahan yang sah ialah dalam lingkungan remaja berumur 10-19 tahun. [https://www.hmetro.com.my/]

Masalah ini yang sebenarnya patut menjadi kerisauan umat Islam apabila ramai remaja perempuan yang dikategorikan bawah umur hamil tanpa suami yang sah daripada kita berpolemik dengan seorang remaja perempuan yang telah pun mengikat ikatan perkahwinan yang sah. Inilah fakta dan realiti yang juga sepatutnya menjadi perhatian utama oleh TPM untuk diselesaikan. Janganlah disebabkan isu ini kita tergolong dalam golongan yang mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perbuatan haram yang jelas-jelas nyata berlaku di hadapan kita.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.” [TMQ An Nahl (16): 116].

Muhd Affandi
Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia